26 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
PARIT BUNTAR - Pergolakan yang berlaku di Tunisia, Mesir, Libya dan beberapa negara Timur Tengah telah membuka mata dunia mengenai peranan suara rakyat, tidak terkecuali Malaysia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim berkata, bersandaran kekuatan suara itu, Barisan Nasional (BN) tidak perlu gentar sekiranya Pas sering menyampaikan informasi kepada rakyat Malaysia berhubung protes rakyat di timur tengah.
Menurutnya, Pas hanya menyampaikan berita berkaitan situasi terkini rakyat di Mesir, yang dianggap sekadar bersifat percambahan maklumat dan berita dunia.
“Pas hanya menggambarkan betapa pemimpin di Mesir ditolak rakyat kerana telah berlaku ketidakadilan.
“Berdasarkan pergolakan itu, kita ada juga menyatakan ciri pemerintah yang patut ditolak rakyat, hal ini perlu diketahui umum dan ia sama sekali tidak mempunyai maksud lain,” katanya kepada Sinar Harian.
Khalil Idham yang juga Ketua Penerangan Pas Perak berkata, BN sepatutnya lebih terbuka dengan penyataan yang dikeluarkan Pas mengenai pergolakan itu.
Menurutnya, tidak mustahil, pilihan raya yang bakal tiba akan mencipta gelombang baru kebangkitan rakyat era teknologi moden.
“Pilihan raya adalah medan terbaik membuktikan kuasa dan suara rakyat, saya yakin dunia teknologi moden kini mampu membuat perubahan untuk memilih pemimpin yang benar-benar mampu memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat,” katanya.
Sebagai Ketua Penerangan Pas Perak, Khalil turut membidas kenyataan bahawa Malaysia, sebuah negara selamat dan paling kurang jenayah.
Menurutnya, berdasarkan fakta yang diterima, Malaysia merupakan sebuah negara yang berdepan dengan ancaman nilai keamanan dan keselamatan.
“Kita masih belum lupa kes pembunuhan jutawan kosmetik serta beberapa kes berprofil tinggi yang lain, masyarakat kini mahukan maklumat yang tepat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan