26 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
SEPANG - Rakyat Malaysia di Libya mengalami suasana ngeri sebelum kerajaan Malaysia segera membawa mereka keluar dari negara yang sedang bergolak itu ekoran rusuhan rakyat terhadap pemimpin mereka.
“Saya tidak boleh lupa kejadian yang berlaku. Saya lihat mayat, pelbagai senjata di tangan orang awam dan berlaku kejadian tembak menembak.
“Ia menakutkan. Tidak pernah saya fikir Libya boleh bertukar macam ini,” kata P Naveen, 36, Kontroler Kanan Ranhill Berhad yang sudah empat tahun bekerja di Libya.
Dia antara 98 orang rakyat Malaysia di Libya yang tiba dengan pesawat komersial Malaysia Airlines (Mas) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini pagi tadi dari Rome, Itali.
Sebelum itu mereka diangkut ke Rome dari ibu negara Libya, Tripoli menerusi pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia.
Keseluruhan seramai 130 rakyat Malaysia dipindahkan ke Rome Jumaat lalu, sementara 32 lagi menunggu untuk dihantar pulang dan dijangka tiba Rabu ini.
Seorang lagi rakyat Malaysia, Shahrizal Zulkifli, 33, dapat menyaksikan suasana di Lapangan Terbang Tripoli sebagai zon perang.
“Saya terpaksa menunggu selama 12 jam dalam cuaca sejuk untuk memasuki terminal Lapa-ngan Terbang Tripoli. Kita beratur 12 jam untuk memasuki lapangan terbang. Lapangan terbang macam zon perang.
“Walaupun tiada kejadian tembak menembak, tetapi dengan kehadiran ribuan orang disertai kehadiran ramai pasukan tentera dan polis, ia menakutkan.
“Dalam keadaan itu, ada yang berdarah, pengsan dan lapangan terbang turut dipenuhi ambulans. Untuk masuk ke dalam lapangan terbang sahaja, kita kena berjalan sejauh satu kilometer.
“Kita tidak dapat masuk de-ngan mudah kerana berpuluh ribu orang berada di dalam kawasan lapangan terbang. Jadi kita kena tunggu 12 jam dengan cuaca sejuk dan angin kuat. Jam 3 pagi (waktu tempatan) baru kita dapat masuk terminal,” kata Shahrizal yang berkerja di Libya belum sampai setahun.
Shaiful Abdul Rahim Abdul Wahab, 40, turut menceritakan pengalamannya terkandas di Lapangan Terbang Tripoli sebelum mereka dipindahkan ke Rome.
“Kita terkandas di lapangan terbang hampir 12 jam. Masa kita keluar dari lapangan terbang turut berlaku kejadian tembak-menembak antara polis dengan mereka yang mahu menaiki kapal terbang.
“Saya takut bila kita dipindahkan dari satu tempat ke tempat lain. Bila kita diarahkan pegawai kedutaan untuk lari ke tempat lain bagi menyelamatkan diri,” katanya.
Seorang pekerja Ranhill, Helmi Saari, 33, berkata, dia dan rakan-rakannya tidak berani keluar dari kem tempat mereka bekerja apabila mengetahui rusuhan berlaku.
“Saya di sana baru dua bulan, bayangkan bila dengar berita rusuhan, kita tidak berani keluar. Kita dinasihat supaya jangan keluar.
“Nasib baik kita tinggal di dalam kem disediakan Ranhill, makanan pun tidak ada masalah,” katanya bertugas di Tajura, Tripoli.
Salwah Shamsudin, 26, berkata dia turut berkurung di dalam rumah sejak 18 Februari lalu atas nasihat pihak kudataan Malaysia.
“Saya dinasihatkan supaya jangan keluar rumah. Jadi saya tidak melihat sebarang kejadian di luar rumah. Saya hanya dapat mendengar jeritan orang ramai,” katanya.
Sinar Harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan