01 Mac 2011

Tiga warga kita di Libya gagal dikesan

26 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

SEPANG: Kementerian Luar mengesahkan tiga rakyat Malaysia yang ke Libya untuk bekerja, masih gagal dikesan dan nasib mereka belum diketahui kerana tidak dapat dihubungi ahli keluarga masing-masing, sejak beberapa hari lalu.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot, berkata pihaknya hanya mengetahui mengenai kehilangan tiga rakyat Malaysia terbabit selepas ahli keluarga masing-masing menghubungi Wisma Putra untuk meminta bantuan bagi membawa mereka keluar dari Libya.

Bagaimanapun, katanya, pagi semalam Wisma Putra belum menerima sebarang maklumat mengenai kedudukan dan lokasi tiga rakyat Malaysia terbabit.
“Kita hanya mengetahui kehadiran tiga rakyat Malaysia itu di Libya selepas dimaklumkan ahli keluarga masing-masing yang bimbang mengenai keselamatan mereka.

“Setakat ini, kita tidak tahu di mana mereka berada. Bagaimanapun, jika tiga pekerja terbabit dapat menghubungi ahli keluarga masing-masing dalam tempoh terdekat, maka lebih mudah untuk kita arahkan pegawai Kedutaan Malaysia yang kini dipindahkan sementara waktu ke Malta membawa mereka keluar secepat mungkin,” katanya selepas menyambut kepulangan kumpulan pertama 98 rakyat Malaysia termasuk dua pelajar dari Sabah dan Pahang serta enam pegawai Kedutaan Malaysia yang berjaya dibawa keluar dari Libya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, semalam.

Kumpulan pertama rakyat Malaysia daripada 86 lelaki dan 12 wanita itu tiba di KLIA kira-kira jam 6.22 pagi, semalam dengan menaiki pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH0015, dari Lapangan Terbang Antarabangsa Rome, Itali, tengah hari kelmarin.

Kumpulan kedua seramai 32 rakyat Malaysia termasuk lima pelajar dijangka tiba di Malaysia, Rabu ini.

Berita Harian/-

Tiada ulasan: