07 Jun 2011

Pas baru mampu lawan UMNO

5 Rejab 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU – Kabinet pilihan raya Pas yang baru disifatkan lebih mantap dan mampu melawan UMNO dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) kerana gandingan pemimpinnya yang berpengalaman luas.

Pengarah Jentera Pilihan Raya Pas negeri, Abdul Fatah Haron (gambar) berkata, peluang Pas bersama Pakatan Rakyat (PR) untuk membentuk kerajaan lebih cerah sekiranya barisan Kabinet baru parti itu dibantu semua pihak.

“Gandingan Timbalan Presiden Pas yang baru (Mohamad Sabu) dengan (Presiden) Datuk Seri Abdul Hadi Awang boleh menguatkan jentera parti, seterusnya meningkatkan sokongan rakyat untuk mengundi Pas.

“Mohamad pernah jadi Ahli Parlimen Kubang Kerian selama dua penggal sebelum dipegang Naib Presiden, Salahuddin Ayub, sehingga kini, manakala Datuk Husam Musa kini Yang Dipertua Pas Kubang Kerian,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, pengalaman ketiga-tiga pemimpin itu diharapkan dapat melawan serangan Barisan Nasional (BN) kerana tidak dinafikan mereka berkelayakan dan sebab itu dipilih perwakilan.

Menurutnya, pemilihan kali ini menunjukkan beberapa calon berpengaruh dari Kelantan dipilih berbanding ketika Muktamar Pas sebelum ini di mana calon dari negeri itu kalah.

“Ketika itu, semua calon dari Kelantan kalah termasuk Husam, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Datuk Annuar Tan, Datuk Takiyudin Hasan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan Muhamad Husin. Namun, kali ini Ahli Jawatankuasa Pas Pusat yang menang Mohd Amar seorang.

“Pemilihan dibuat menunjukkan peranan ulama masih utuh yang mana semua ahli Dewan Ulama dan ahli tertinggi Pas melibatkan golongan ulama, manakala timbalan, naib presiden dan jawatan ke bawah pula campuran golongan profesional,” katanya.

Fatah berkata, Mohamad seorang yang agresif dan diharapkan membawa perubahan supaya Pas lebih disegani.

Sinar Harian/-

Lagi ditangkap bawah ISA

5 Rejab 1432H. [MOD] -

Satu lagi tangkapan dicatatkan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menjadikan jumlah yang menjadi mangsa kezaliman undang-undang tanpa perbicaraan itu seramai sembilan orang tahun tahun ini.

Menurut Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Abdul Haris Syhuhadi, 63, ditangkap pada petang Ahad di rumahnya di Klang, Selangor. Beliau didakwa terbabit dengan “aktiviti keganasan”.

GMI dalam satu kenyataan media berkata NGO berkenaan mengetahui tangkapan itu selepas dimaklumkan oleh ahli keluarga mangsa.

“Abdul Haris ditangkap di rumahnya di Kampung Batu Belah, Klang. Kami diberitahu bahawa beliau adalah seorang peniaga kecil yang menjual tudung, selendang dan jubah. Kami amat prihatin dengan keadaan dan keselamatan Abdul Haris,” kata E Nalini dari GMI.

Beliau juga mahu kerajaan membenarkan peguam dan ahli keluarganya melawat Abdul Haris pada kadar segera, sambil menambah penggunaan ISA ke atas lelaki itu adalah bercanggahan dengan hak asasi manusia, keadilan dan salah guna kuasa.

“GMI menghargai keselamatan negara yang perlu diutamakan tetapi hak bagi mendapatkan perbicaraan yang adil juga tidak harus diketepikan tanpa sebarang asas... Kami gesa kerajaan untuk membicarakan mangsa di mahkamah terbuka. Jika tidak beliau perlu dibebaskan tanpa lenggah lagi ataupun sebarang syarat.”

Malaysiakini/-

Kes Felda Saman Bekas Timbalan Menteri 17 Jun

5 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 17 Jun ini sebagaitarikh pendengaran terhadap permohonan yang difailkan oleh Felda agar bekas Timbalan Menteri Tanah, Pembangunan Koperasi, Dr Tan Kee Kwong memberikan butiran lanjut berhubung mesyuarat yang didakwa dihadiriPerdana Menteri dalam saman Felda RM200 juta terhadap beliau.

Tarikh tersebut ditetapkan oleh Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof pada Isnin, selepas berjumpa dengan pihak-pihak yang menghadiri prosiding pengurusan kes.

mStar/-

"Banyak komen, Umno buat pemilihan kalau berani"

4 Rejab 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 7 Jun: Umno yang dilihat tidak putus-putus menghentam Muktamar PAS, dicabar mengadakan pemilihan parti itu segera jika benar-benar berani, kata Ketua Penerangan PAS Perak, Drs. Khalil Idham Lim.

Beliau berkata demikian sebagai membidas ulasan beberapa pemimpin tertinggi Umno termasuk Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa Muktamar PAS ke-57 yang berlangsung 3 hingga 5 Mei lalu banyak mengambil pertimbangan soal pilihan raya dan bukan memfokuskan perjuagan Islam parti itu lagi.

"Kalau begitulah saya ingin mempersoalkan tindakan menangguhkan pemilihan Umno pada tahun ini adalah dengan pertimbangan apa?

"Jelas mereka menanguhkan pemilihan kerana takut berlaku perpecahan dan menyukarkan mereka untuk menghadapi PRU ke 13," katanya membidas tindakan Umno dan parti komponen BN yang lain yang menangguhkan pemilihan semata-mata berdepan Pilihan Raya Umum ke-13.

Najib ketika mengulas Muktamar PAS kelmarin menggambarkan perjuangan PAS tidak lagi untuk membangunkan sebuah negara Islam ataupun untuk kepentingan Islam itu sendiri.

Beliau merujuk kepada ucapan dasar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang bertemakan 'Membangun Negara Berkebajikan' yang didakwanya sudah lama dipraktikkan oleh kerajaan Umno BN selama ini.

"Dia (Najib) sendiri telah membuka pekung didadanya. Kebajikan yang dimaksudkannya ialah dalam konteks yang sangat sempit dan melibatkan kepentingan kroni dan rakan terpilih sedangkan rakyat Malaysia mengharapkan kebajikan yang lebih luas terutama dalam soal harga barangan yang sering naik," kata Khalil yang juga Adun Titi Serong.

Tambahnya, kalaulah Umno sudah jadi penakut dan menangguhkan pemilihan pada tahun ini yang sepatutnya diadakan, apalah nilai ulasan yang berjela-jela dari 'si penakut' itu.

Kejayaan PAS mengadakan Muktamar katanya lagi, secara jelas telah memberi tamparan hebat kepada Umno BN.

"Kerana itu saya kira layak juga saya mengambil peluang untuk mencabar Najib untuk melakukan pemilihan Umno pada tahun ini.

"Jangan hanya berani memberi ulasan dari pelbagai sudut dan membuat pelbagai andaian yang tidak masuk akal terhadap PAS sedangkan Umno sangat kecut perut untuk membuat pemilihan pada tahun ini," tegasnya.

Geram kumpul tandatangan bantah harga air naik

5 Rejab 1432H. [MOD] -

JASIN, 6 Jun: Gerakan Anak Muda Melaka (Geram) bersama rakan Pakatan Rakyat meneruskan kempen jelajah ke seluruh negeri Melaka bagi mendapatkan tandatangan penduduk sebagai tanda membahtah kenaikan harga air oleh Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB).

Jelajah kali kedua di Pasar Besar Jasin semalam mendapat sambutan menggalakkan dari rakyat yang rata-rata tidak berpuas-hati dengan kenaikan bil air tersebut.

Seorang peniaga kedai runcit, Lim Pin Seng, 65, yang di temui di pasar besar tersebut mengeluh dengan kenaikan tersebut.

“Setiap hari harga barang naik, dulu minyak naik, kemudian air naik dan sekarang elektrik pula naik, ini sangat membebankan saya sebagai peniaga yang sudah lama berniaga di sini,” katanya yang sudah 10 tahun berniaga.

Ada pengunjung yang ditemui tidak sedar kenaikan hargal air sejak 1 April lalu memandangkan notis rasmi tidak dikeluarkan oleh SAMB.

“Saya langsung tak tahu dan tak di maklumkan tentang kenaikan air, sedar-sedar terpaksa membayar lebih walaupun penggunaan hampir sama setiap bulan,” ujar Yusof Ahmad dari Jasin.

Kadar lama tariff air adalah 55 sen bagi setiap meter padu untuk 1-15 meter padu pertama, 85 sen bagi setiap meter padu untuk 15.1-40 meter padu berikutnya dan RM1.33 sen untuk setiap meter padu berikutnya.

Manakala kadar baru pula ialah 55 sen bagi setiap meter padu untuk 15 meter padu pertama, 85 sen bagi setiap meter padu untuk 15.1-30 meter padu berikutnya, 0.95 sen bagi setiap meter padu untuk 30.1-35 meter padu berikutnya dan RM1.45 sen bagi setiap meter padu berikutnya.

Kenaikan sebanyak 20% berbanding sebelumnya.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong telah menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif SAMB bagi mendapatkan maklum balas tentang tarif baru air dan jawapan yang diberikan adalah disebabkan arahan dari pusat.

Harakahdaily/-
Oleh : Muhamad Aizat Bahrudin

Rakyat Yemen Rai Langkah Presiden Tinggalkan Negara

5 Rejab 1432H. [MOD] -

SANAA : Beribu-ribu aktivis demokrasi menyanyi dan menari di jalan-jalan di ibu negara Yemen, Sanaa sepanjang hari semalam meraikan tindakan Presiden Ali Abdullah Saleh meninggalkan negara itu sambil berharap ia akan menandakan berakhirnya kuasa tiga dekad beliau.

“Negara ini lebih cantik (aman) tanpa anda,” kata mesej satu sepanduk dibawa oleh seorang penunjuk perasaan.

Kebangkitan menentang kepimpinan Ali Abdullah bermula Februari lalu di Sanaa yang kemudiannya dilabel sebagai “Dataran Perubahan”.

Mereka turun ke jalan-jalan untuk menari selepas mendengar Ali Abdullah meninggalkan negara itu lewat tengah malam kelmarin ke negara jiran Arab Saudi untuk mendapatkan rawatan mengeluarkan serpihan peluru dari bahagian dadanya.

Presiden itu mengalami kecederaan ekoran serangan roket yang dilepaskan ke atas kediaman rasmi presiden yang dipercayai membunuh atau mencederakan beberapa pembantunya.

Di bandar selatan Taiz, beribu-ribu orang meraikan tindakan Ali Abdullah dengan bunga api.

Sehingga Jumaat lalu, Ali Abdullah enggan tunduk kepada tekanan antarabangsa agar berundur di sebalik kebangkitan rakyat yang dicetuskan oleh pergolakan di Mesir dan Tunisia.

“Akhirnya, kami menang. Revolusi ini berjaya. (Ali Abdullah) Saleh tidak akan pulang!” kata seorang aktivis meskipun ada yang tidak yakin tindakan beliau keluar negara adalah muktamad.

Sanaa. yang berhadapan dengan pertempuran maut selepas Ali Abdullah dengan enggan menandatangani inisiatif damai Teluk bulan lalu, kelihatan lebih tenang semalam.

Pertempuran antara pasukan keselamatan pro-Ali Abdullah dan puak suku dan unit-unit tentera yang memihak penunjuk perasaan telah mengorbankan lebih 200 orang sejak awal tahun ini. — Reuters

Najib Dakwa Negara Kebajikan Hanya Taktik PAS Hadapi PRU- 13

5 Rejab 1432H. [MOD] -

ASTANA (KAZAKHSTAN) 7 JUN : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata laungan terbaru oleh PAS yang kononnya hendak mewujudkan sebuah negara kebajikan bukanlah perkara baru bahkan itulah yang sudah diperjuangkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) selama ini.

Najib berkata perjuangan Umno dan BN selama ini menepati ciri-ciri negara kebajikan seperti dalam bidang pendidikan, kesihatan, subsidi makanan dan minyak yang semuanya sudah dinikmati oleh rakyat sejak sekian lama.

“Perubahan slogan tagline PAS yang bukan lagi untuk mewujudkan negara Islam tetapi negara kebajikan bukan perkara baru tetapi labelling baru saja,” katanya dipetik Bernama Online.

Najib mengadakan lawatan rasmi selama dua hari atas jemputan Presiden Kazakhstan Nursultan Nazarbayev dan akan menghadiri pula Forum Pembangunan Ekonomi Islam (WIEF) Ketujuh Rabu dan Khamis ini, di mana beliau akan turut menyampaikan ucapan bersama beberapa ketua negara lain.

Najib mengulas mengenai keputusan pemilihan pada muktamar PAS yang berakhir semalam.

Kata Najib, keputusan itu terhasil kerana pemilihan PAS banyak mengambil pertimbangan soal pilihan raya berbanding dengan untuk mencerminkan perjuangan membangunkan sebuah negara Islam atau untuk kepentingan Islam itu sendiri.

Pengerusi BN ini berkata terbukti apabila mereka telah menguar-uarkan kononnya pilihan raya akan berlangsung pada bulan Julai sehingga mengakibatkan banyak perwakilan PAS melihat soal pilihan raya dan membuat pertimbangan berdasarkan hal itu, yang menguntungkan pihak yang ingin mengambil alih kuasa dalam PAS.

Menjawab soalan lain, Najib berkata beliau telah meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz supaya mengadakan mesyuarat dengan semua wakil komponen BN untuk mengenal pasti calon-calon yang layak dipertimbangkan untuk biasiswa daripada kumpulan yang memperoleh keputusan rendah sedikit daripada 8A+.

“Keputusan mereka baik tetapi tak layak dapat biasiswa sama ada (bagi melanjutkan pelajaran di) luar negeri atau dalam negeri. Apabila saya balik nanti saya akan buat keputusan dalam hal ini,” katanya.

Tv Selangor/-

Umno cuba gugat keamanan penganut beragama

5 Rejab 1432H. [MOD]

PETALING JAYA, 7 Jun: Mutakhir ini, ada pimpinan Umno dan media yang dimilikinya mencuba menggugat keamanan antara penganut agama di Malaysia dengan retorika perkauman sempit yang tajam, dangkal dan tidak berasaskan prinsip keadilan sebagaimana dianjurkan Islam.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar ibrahim b erkata, upaya mereka semata-mata mahu menakut-menakutkan umat Islam serta menimbulkan prasangka antara kita.

“Kita kesal kerana retorika serta propaganda pimpinan Umno dan media yang dimilikinya hanya membantutkan usaha baik dari kalangan kita demi memenuhi maksud pesan Li ta'arafu, iaitu berusaha kenal mengenali antara kita yang berbeza kepercayaan dan budaya.

“Dengan nada yang sama maka kami juga ingin menyanggah kecenderungan sebahagian yang menyarankan faham melampau di kalangan penganut agama mereka tanpa menghiraukan sensitiviti umat Islam di negara ini,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Maka kepada wakil wakil badan Islam serta agama agama Buddha, Kristian, Hindu dan lainnya, beliau ingin mengulangi komitmen mempertahankan prinsip keluhuran hidup beragama yang termaktub dalam Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan.

“Kita menyedari agama Islam mempunyai kedudukan yang unik di negara ini dan di rantau Asia Tenggara,” ujarnya yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh.

Katanya, peranan mubaligh yang menerapkan pesan Islam secara aman dan berperingkat telah berupaya membentuk weltanschauung umat Islam yang terbuka dan toleran (tasamuh) terhadap kemajmukan budaya.

Tambahnya, Islam juga telah berperanan merungkai minda umat Melayu yang sebelumnya berasaskan mitos serta tahyul kepada pemikiran yang rasional yang sejajar pula dengan pesan- pesan Al Quran.

Beliau berkata, agama Islam merupakan agama yang menjunjung prinsip Keadilan, cintakan keamanan, menghormati hak penganutnya dan juga hak penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan mereka.

Jelasnya, prinsip utama syariah yang dikenali sebagai maqasid syariah merumuskan bahawa adalah satu keutamaan untuk melindungi agama, nyawa, keturunan, aqal, harta dan maruah.

Makanya, kata beliau berteraskan kefahaman Islam yang tepat, penghayatan agama yang tuntas oleh umat Islam untuk memastikan cara hidup yang berintegriti.

Beliau menambah, umat Islam yang mahu memenuhi maksud ihsan dan keadilan sebagaimana yang sering dianjurkan pastinya menolak penindasan, rasuah serta segala bentuk penyelewengan.

“Oleh itu, tidak hairanlah ramai dari kalangan umat Islam kesal dengan sikap pimpinan Umno serta media kongkongannya yang tidak konsisten dalam penghayatan agamanya. Apatah lagi rasuah dan penyelewengan kuasa masih berleluasa,” ujarnya.

Harakahdaily/-

Wajah yang menakutkan Umno

5 Rejab 1432H. [MOD] -

Ada yang menyifatkanya sebagai kemenangan untuk kumpulan profesional dan kekalahan untuk golongan ulama.

Tidak kurang pula tafsiran bahawa kemenangan “kumpulan Erdogan” dalam pemilihan PAS semalam sekali gus menempelak cubaan Umno untuk “meminang” PAS, khususnya sejak beberapa bulan lalu.

Apa pun, yang jelas ialah PAS sekali lagi telah menunjukkan kematangan untuk memilih pasukan terbaik bagi mengetuai cabaran menghadapi pilihanraya umum ke-13 yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Berlainan dengan Umno, PAS tidak menangguhkan pemilihan parti semata-mata kerana khuatir saingan untuk jawatan akan memecah belahkan parti dan menggugat peluangnya dalam pilihan raya umum.

Sebaliknya pucuk pimpinan PAS begitu yakin terhadap kematangan perwakilan dan calon untuk merapatkan saf dengan selesainya pemilihan yang dijalankan dalam semangat demokrasi dan musyarawah.

Kecenderungan untuk menyifatkan PAS sebagai parti yang kini dikuasai oleh golongan professional berpaksi kepada kemenangan Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden dan Husam Musa sebagai Naib Presiden baru.

Mohamad Sabu kini diangkat sebagai orang pertama dari golongan bukan ulama yang menyandang jawatan Timbalan Presiden dalam tempoh 20 tahun.

Nasharuddin Mat Isa tersingkir sebagai orang kedua parti manakala tokoh ulama Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga kecundang kepada Mohamad Sabu.
PAS dalam genggaman profesional

Untuk Naib Presiden, selain Husam, Sallehuddin Ayob dan Mahfuz Omar melengkapkan senarai jawatan itu apabila mengekalkan kerusi mereka.

Kemenangan beberapa tokoh lain seperti Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Zulkfli Ahmad, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan Ahli Parlimen Tumpat Kamaruddin Jaafar untuk menduduki Jawatankuasa Kerja Pusat juga disabitkan sebagai bukti PAS dalam genggaman profesional.

Media arus perdana khususnya Utusan Malaysia akan cuba memaparkan PAS sebagai parti yang tidak lagi dikuasai golongan ulama. Tentunya modal ini akan diambil oleh Umno untuk dijual pula kepada pengundi.

Namun, walaupun bertukar nakoda (itu pun peringkat Timbalan dan ke bawah sahaja) hala tuju PAS tetap sebagaimana yang terpacak dalam matlamat perjuangannya.

Perwakilan yang memilih golongan “profesional” atau Erdogan yakin calon-calon berkenan mempunyai ketokohan untuk memacu PAS menghadapi PRU-13 tanpa melunturkan azam dan matlamat perjuangan parti.

Semua yang dipilih sebenarnya sebati dengan perjuangan PAS – Mohamad Sabu, Husam dan yang lain-lain adalah orang lama yang bergerak sealliran dengan liku-liku perjuangan PAS.

Mereka adalah veteran dalam parti yang faham sentimen akar umbi PAS dan pada masa sama mempunyai sifat dinamis untuk berkerjasama dalam kerangka Pakatan Rakyat bagi mencapai matlamat PAS membangun negara berkebajikan.

Mengaibkan negara Islam?

Konsep negara berkebajikan ini sudah pun dicanang oleh Utusan Malaysia dan Berita Harian sebagai bukti kononnya PAS sudah mengubah haluan dan kononnya mengabaikan penubuhan sebuah negara Islam, apatah lagi di bawah PAS pimpinan golongan professional.

Kedua-dua akhbar itu seharusnya memerinci nilai-nilai yang disebutkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang Hadi dalam ucapan dasarnya dan membuktikan bagaimana penubuhan sebuah negara berkebajikan bercanggah dengan syariat Islam.

“Kita mulakan dengan perlaksanaan negara berkebajikan, ia ada dalam Islam dan al-Quran. Dalam al-Quran tidak sebut negara Islam, ia sebut negara berkebajikan,” kata Hadi pada sidang medianya semalam.

Konsep negara berkebajikan didokong dalam Buku Jingga Pakatan Rakyat, bermakna ia turut dipersetujui oleh DAP.

Kemunculan pemimpin- pemimpin seperti Hadi, Mohamad Sabu, Husam dan yang lain hadir berkongsi pentas dengan Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Karpal Singh untuk menerangkan penubuhan negara berkebajikan kepada umat Islam dan bukan Islam tentunya menjadikan Umno dan akhbar miliknya gusar dan cemas.

Justeru kerana itulah Utusan dan Berita Harian akan menjaja PAS sebagai parti yang tidak lagi dikuasai oleh ulama, malah sudah mengubah matlamat perjuangannya.

Sebelum pemilihan PAS semalam, Utusan Malaysia cuba secara licik untuk membawa mesej- mesej tertentu untuk mempengaruhi perwakilan parti dalam memilih calon.

Utusan yang sering menyerang Islam yang dibawa oleh PAS tiba-tiba mengingatkan keperluan parti itu supaya meneruskan perjuangan dan matlamatnya dengan pimpinan ulama.

Agenda sempit Umno

Memang hebat transformasi Utusan walaupun ia hanya untuk memastikan agenda sempit Umno menjalin kerjasama politik dengan PAS tidak kecundang. Namun akhirnya rancangan Utusan-Umno itu nampaknya gagal juga.

Pemilihan muka-muka baru termasuk Mohamad Sabu dan Husam bermakna mereka kini memikul tanggungjawab besar untuk membantu Hadi mengemudi PAS dan Pakatan Rakyat dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Perwakilan membuat pilihan sedemikian kerana menyifatkan mereka sebagai gandingan terbaik untuk misi berkenaan. Sebuah misi yang mampu mengubah landskap politik Malaysia dan menjanjikan pembaharuan-pembaharuan yang didahagakan oleh rakyat, Islam dan bukan Islam.

Malaysiakini/-

Harga naik: Rakyat mula mengeluh

5 Rejab 1432H. [MOD] -

Pengurangan subsidi ke atas barangan keperluan asas, termasuk gula dan petrol RON97 dan terbaru gas asli yang menyebabkan tarif elektrik terpaksa dinaikkan mula memberi kesan kepada orang ramai daripada pelbagai lapisan.

Pengurangan subsidi itu menurut mereka telah melonjakkan harga makanan dan menjejaskan perbelanjaan seharian mereka. Malah, ada mahasiswa mendakwa terpaksa 'mencatu' makanan akibat kesan berantai itu.

“Makanan mahal, kena belanja (lain) lagi. (Kami) kurangkan perbelanjaan makanan, kurang makan,” kata pelajar Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL) N Mahesh Nanthakumar.

Mahesh, 21, malah turut menyatakan keinginan untuk menyertai demonstrasi bagi meluahkan rasa tidak puas hatinya jika ada pihak yang menganjurkannya.

“Saya akan sertai demonstrasi,” kata Mahesh (kanan) ketika ditanya kesediaannya itu ketika ditemui di KL Sentral di ibu negara, semalam.

Daripada tujuh orang yang ditemubual Malaysiakini secara rambang semalam, semua mereka mempunyai pandangan berbeza-beza berhubung kenaikan harga barang yang dikritik hebat pembangkang.

Kerja sambilan

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, harga subsidi barangan keperluan dikurangkan. Antaranya, petrol RON97 kini mencatatkan paras tertingginya pada RM2.90 seliter.

Tarif elektrik pula naik dengan purata 7.12 peratus bermula 1 Jun manakala harga gula meningkat 20 sen kepada RM2.30 sekilogram berkuatkuasa pada Mei.

Menurut sesetengah ahli ekonomi, kenaikan itu, terutamanya tarif elektrik, secara tidak langsung akan membebankan pengguna apabila pengeluar memindakah kos yang lebih tinggi kepada golongan itu.

Sementara itu, seorang penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) Syazana Shah Lan, 21, memberitahu, beliau kini terpaksa berfikir terlebih dahulu sebelum membeli makanan.

“Terasalah (peningkatan harga), yang itu memang terasalah. Sebab (saya) duduk universiti, duduk asrama, hendak makan kena fikir. Makanan memang mahal, makan sekali, dua kali (sehari) macam itulah,” katanya.

Namun bagi seorang pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Alvin, kehidupan hariannya tidak terjejas secara langsung dengan pengurangan subsidi oleh kerajaan itu.
Mahasiswa sebuah kolej swasta di Sungai Buloh itu, bagaimanapun, mengakui beliau masih tidak puas hati kerana keluarganya kini merasai tempiasnya.

Mahu tukar kerajaan

“Kalau waktu cuti, saya bantu ayah (kerja sambilan),” katanya lagi.

Justeru, Alvin, 22 berharap agar kerajaan dapat menggalakkan lagi pelaburan asing ke dalam negara bagi menstabilkan semula kenaikan harga barang.

Keadaan ini hampir sama dengan nasib seorang pelajar German Malaysian Institute (GMI) Mohd Amiruddin Roslan yang masih tinggal bersama keluarganya.

“Saya tak rasa mana, saya tinggal dengan mak ayah,” kata Mohd Amiruddin, 18, sambil memberitahu orang tuanya merupakan seorang guru.

Bagi Harzuki Ismail – pegawai teknikal di sebuah pengeluar minyak terkemuka – pula, kenaikan harga petrol tidak sepatutnya berlaku kerana Malaysia merupakan negara pengeluar komoditi itu.

Harzuki, 53, berpendapat, keadaan sekarang amat merungsingkan kerana ia memberi kesan kepada kenaikan harga barang dalam keadaan nilai pendapatan makin menurun.

Lebih drastik lagi, beliau merasakan sistem pemerintahan negara perlu ditukar.

“(Tetapi) demonstrasi tak perlu, cuma tukar pimpinan negara. Tak payah (ada) pertumpahan darah. Pemikiran orang kita (harus) tukar, itu lebih penting,” katanya.

'Kerjaaan juga perlu berjimat'

Bagi Alan Tan – seorang orang kurang upaya (OKU) – pula, walaupun beliau tidak bersetuju dengan kenaikan yang berlaku, beliau berharap tujuan kerajaan melakukannya dapat diselami terlebih dahulu.

“Mereka juga ada komitmen (pada rakyat), ada (beri) subsidi,” katanya yang diberhentikan kerja setelah lumpuh sebelah badan akibat serangan angin ahmar sebelum ini.

Manakala seorang jurujual Norjamilah Mohd Halim juga mengaku turut terkesan dengan kenaikan harga barang-barang tersebut kerana gaji orang kebanyakan “tak sebesar mana”.

“Dari segi makanan tidak berbaloi, ambil sikit (pun) harga mahal,” katanya wanita berusian 29 tahun itu.

“Kalau boleh turunkan harga barang,” katanya lagi.

Sebahagian besar mereka juga berkata selain subsidi rakyat yang dikurangkan, kerajaan juga harus membuktikan kesungguhan dengan mengamalkan perbelanjaan berhemah dan menghentikan projek mewah serta tidak membawa manfaat kepada orang ramai.

Malaysiakini/-

Mati tercampak kereta dipandu rakan terbabas

5 Rejab 1432H. [MOD] -


USUNG...anggota polis mengangkat mayat mangsa, semalam.

HULU SELANGOR: Seorang lelaki warga Myanmar maut selepas tercampak kira-kira 25 meter dari kenderaan dinaiki selepas terbabit kemalangan di Kilometer 404.7, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan, dekat Lembah Beringin, di sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.10 pagi apabila mangsa, Keshor Kumar, 30-an yang menaiki Proton Wira Aeroback dipandu rakannya dalam perjalanan pulang bercuti dari Pulau Pinang ke Subang terbabas lalu merempuh penghadang jalan.

Dua rakannya yang parah dan kritikal dihantar ke Hospital Ipoh untuk menerima rawatan susulan.

Sementara mayat mangsa dikejarkan ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi, berkata kenderaan dipandu rakan mangsa berpusing beberapa kali sebelum melanggar besi penghadang lebuh raya.

Katanya, kenderaan itu terpelanting ke arah laluan bertentangan sebelum terkena sebuah kenderaan lain dan lori yang melalui jalan itu.

“Bagaimanapun, tidak ada kecederaan dialami pemandu dua kenderaan itu. Ketika kejadian cuaca cerah.

“Mangsa mati di tempat kejadian akibat pendarahan teruk di kepala selepas tercampak dari keretanya,” katanya.

Beliau berkata, mangsa dan dua rakan lain pekerja di sebuah syarikat pembinaan di ibu negara.

Katanya, kejadian disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

PPMM: Tugu 1Malaysia bukan keperluan mendesak

5 Rejab 1432H. [MOD] -

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berpandangan bahawa pembinaan Tugu 1Malaysia "bukan keperluan mendesak" yang perlu diberikan penekanan oleh kerajaan.

"PPMM mengesyorkan kepada pihak Kerajaan agar menumpukan kepada perkara-perkara yang dapat memberi manfaat secara langsung kepada rakyat berbanding dengan pembinaan tugu tersebut," katanya.

Zainul Rijal (kanan) mengulas saranan pemimpin PAS, termasuk ahli jawatankuasa PAS Dr Mujahid Yusuf supaya Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) mengkaji secara terperinci berhubung pembinaan tugu 1Malaysia.

Saranan itu dibuat ekoran keputusan Jawatankuasa Fatwa Perlis baru-baru ini menegah pembinaan tugu itu, antaranya kerana mengandungi unsur penghormatan yang dikhuatiri boleh menjurus kepada pemujaan al-ansab (berhala).

Dalam satu kenyataannya hari ini, Zainul Rijal turut menggesa MFK membincangkan pendirian Perlis itu, seterusnya mewartakannya supaya ia menjadi undang-undang.

"Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sahaja tidak mempunyai kuatkuasa perundangan, selagi belum diterima oleh negeri serta diwartakan.

"Pihak kerajaan seharusnya peka dengan sentiviti Islam ini supaya tidak tergelincir dari landasan hukum syarak yang sebenar.

"Setiap tindakan yang diambil oleh pihak Kerajaan perlu mengambilkira kedudukannya di dalam Islam sebagai agama bagi Persekutuan," tegasnya sambil mengingatkan supaya agenda kerajaan selari
dengan kedudukan Islam sebagai agama bagi persekutuan.

Malaysiakini/-

Hisham: Saya tak tahu kegiatan adik

5 Rejab 1432H. [MOD] -

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan laporan akhbar Australia yang mendakwa adiknya dibayar untuk menjayakan kontrak kerajaan dengan syarikat negara kiwi itu.

Bercakap kepada pemberita hari ini, beliau mendakwa tidak tahu menahu mengenai kegiatan Haris Onn Hussein (kanan).

"Pertama sekali, saya tidak tahu menahu apa adik saya lakukan. Keduanya, saya tidak rasa bahawa (syarikat) Australia akan melakukannya," katanya ketika ditemui semasa pelancaran ibu pejabat daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur.

Ditanya sama ada beliau menafikan semua dakwaan dalam laporan itu, Hishammuddin berkata: "Itu yang saya katakan. Ya."

Menurut akhbar The Age yang berpengkalan di Melbourne, Securency - firma teknologi kewangan - mengupah Haris pada 2009 untuk mendapatkan kontrak di Malaysia.

"Securency mengupah Haris Onn Hussein dengan harapan beliau akan menawarkan harapan untuk membolehkan mereka akses kepada, dan mempengaruhi, ahli politik tertinggi Malaysia," laporan itu dipetik.

Pada masa itu, Hishammuddin merupakan ketua Pemuda Umno dan juga menteri belia dan sukan.

Malaysiakini/-

Tauge bebas bakteria E. coli

5 Rejab 1432H. [MOD] -



HAMBURG - Ujian awal menunjukkan tauge yang ditanam di negeri Lower Saxony, utara Jerman bebas daripada bakteria pembawa maut E. coli, kata beberapa pegawai semalam.

Ujian itu dilakukan berdasarkan 23 daripada 40 sampel tauge menunjukkan ia bebas daripada bakteria penyebab 22 kematian.

"Siasatan masih berjalan," kata Kementerian Pertanian di negeri itu.

Sebelum ini, pihak berkuasa Jerman mengesyaki tauge tempatan mungkin punca penularan bakteria E. coli yang menyebabkan 22 orang terbunuh dan lebih 2,200 lagi sakit di Eropah.

Kementerian Pertanian di negeri Lower Saxony di utara Jerman telah mengeluarkan amaran meminta orang ramai tidak memakan tauge.

Menurut jurucakap kementerian itu, Gert Hahne, tauge itu kerap dimakan bersama salad.

"Taugeh telah dikenal pasti sebagai produk yang mungkin menyebabkan wabak itu.

"Kebanyakan restoran yang 'menderita' akibat wabak E. coli memesan tauge-tauge," katanya.

Menurutnya, tauge itu ditanam di sebuah ladang di Lower Saxony di utara Jerman.

Saintis-saintis di Jerman kini kebingungan selepas mereka gagal menemui punca penyebaran bakteria E. coli yang membawa maut itu. 

Agensi

Lelaki menyamar wanita untuk berkahwin didakwa

5 Rejab 1432H. [MOD] -


BEKASI - Seorang lelaki, Rahmat Sulistyo yang menyamar sebagai wanita dan berkahwin dengan lelaki lain didakwa di sebuah mahkamah semalam, lapor akhbar dalam talian Kompas.com semalam.

Dia didakwa menggunakan identiti palsu dan menyamar sebagai wanita bernama Friska Anatasya Oktaviany semasa berkahwin dengan seorang lelaki, Muhammad Umar pada tahun lalu.

RAHMAT SULISTYO (kiri) yang menyamar sebagai wanita berkahwin dengan Muhammad Umar di Kampung Bojongsari, Indonesia pada 19 September 2010.

Lelaki itu berkahwin dengan Muhammad di rumahnya di Kampung Bojongsari, Kelurahan Jatisari, Kecamatan Jatiasih, Kota Bekasi pada 19 September 2010 selepas mereka berkenalan menerusi Facebook.

Dalam pendakwaan semalam yang merupakan hari pertama perbicaraan, Rahmat didakwa memalsukan keterangan dalam dokumen pernikahan dan menggunakan dokumen palsu.

Jika disabitkan kesalahan, dia akan dihukum penjara tujuh tahun.

Semasa pernikahan itu, penghulu di kampung tersebut tidak mengetahui bahawa Rahmat menyamar sebagai seorang wanita.

Identiti sebenar Rahmat terbongkar enam bulan selepas dia bernikah setelah suaminya memeriksa tubuh 'isterinya' itu ekoran rungutan jiran-jiran mereka bahawa kelakuannya seperti lelaki. 

Agensi