20 Oktober 2011

Rang Murtad boleh disokong

22 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

HUKUM terhadap orang murtad iaitu orang yang meninggalkan agama Islam dan orang Islam yang terkeluar dari agamanya ada dalam Islam dan Islam pernah menguatkuasakannya.

Justeru itu tiap-tiap negara Islam patut ada undang-undang itu dan tidaklah sempurna pentadbiran Islam sebuah negara Islam kira-kira tidak ada peruntukan melaksanakan hukum itu.

Tanah Melayu sebelum dijajah oleh kuasa barat – Portugis, Belanda dan Inggeris – ada peraturan itu. Perlembagaan Reid yang disediakan oleh British untuk kemerdekaan Tanah Melayu tidak memperuntukkannya, mungkin kerana bertaklid perlembagaan itu adalah untuk negara baru yang merdeka itu sedang murtad itu adalah terletak di bawah kuasa Raja-Raja.

Kerana undang-undang murtad itu adalah satu dari seribu dari ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi SAW, maka menjadi kewajipan bagi PAS menyokongnya tidak kira dari mana datangnya.

Kecuali jika dipastikan rangnya datang dari iblis. Jika rang itu dari iblis, kita sokong maka sokongan itu bukan kerana ia peraturan yang dituntut Allah, tetapi ia dibuat atas suruhan iblis. Mengikut perintah iblis adalah kufur.

Presiden PAS Ustaz Haji Abdul Hadi Awang semasa menjadi Timbalan Presiden dulu pernah membentang usul persendirian di Parlimen bagi menguatkuasakan undang-undang murtad. Rang usul itu dirangka oleh Almarhum Haji Idris Othman, seorang pegawai kanan Jabatan Peguam Negara yang pernah menjadi Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan dan Pesuruhjaya Hisbah semasa PAS memerintah Terengganu tahun 2000.

Percubaan PAS itu tidak pernah diberi laluan oleh Parlimen. Rang usul itu dimasukkan dalam jadual agenda sidang Dewan Rakyat berkali-kali. Tetapi ia tidak pernah dapat dibentangkan.

Disebabkan peraturan itu tidak ada, maka ramailah orang Islam yang murtad. Sekitar 20 tahun hampir setiap hari harian perdana brbahasa Inggeris menyiarkan iklan notis penganut Islam murtad. Semua notis itu diluluskan oleh mahkamah dan tiada cara jabatan pendaftaran dapat mengingkari keputusan mahkamah itu sekali pengarah pendaftarannya adalah orang Islam.

Sudah acap PAS sejak pimpinan Haji Yusof Rawa membangkit isu murtad itu hinggalah rang usul menghalang murtad itu dikemukakan untuk dibahas di Parlimen, kerajaan BN tidak pernah melayan malah tidak ada sedikit sensitiviti pun dari anggota UMNO yang berjuta itu tertarik dengannya.

Hanya selepas gereja diserbu Jais kerana ada orang Islam hadir dalam jamuan makannya bersemarak sedikit rasa anti murtad itu. Mufti Perak Tan Sri Harussani yang pernah membangkit isu beribu orang Islam murtad satu masa dulu, menggesa supaya akta murtad diperkenalkan.

Reaksi Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Menteri (Agama) di Jabatan Perdana Menteri ialah cadangan itu mesti dibincang secara menyeluruh sebelum ia dibentangkan.

Adalah betul cadangan itu mesti dibincang secara menyeluruh. Bukan sesuatu undang-undang itu terus dibuat begitu saja apabila ada cadangan mengenainya.

Bukan sekadar rang murtad, apa jua undang-undang yang hendak dibuat di Parlimen mestilah dibincang secara serius dan menyeluruh. Parlimen Britian misalnya kadang-kadang mengambil masa bertahun membincangkan sesuatu isu dengan orang ramai dan semua pihak sebelum ia dijadikan rang.

Tidaklah seperti hendak mendakwa Dato Harun Idris, Menteri Besar Selangor satu masa dulu. Di bawah peraturan mana dia hendak didakwa kerana dikatakan rasuah, maka serta merta rang pindaan undang-undang dibentang dan diluluskan.

Atas isu murtad ini, orang Islam yang sah menentang hudud dan berkata itu dan ini tentang undang-undang itu boleh jadi murtad. Jika undang-undang itu ada, tiadalah lagi orang boleh berdalih dan mempersenda undang-undang hudud, satu dari seribu ajaran Islam PAS cuba perkenalkan.

Jika rang itu hendak diperkenalkan maka secara terbuka PAS bertanggungjawab menyokong. Jika ada perbezaan pendapat antara PAS dengan sekutunya dalam Pakatan Rakyat, maka perbezaan itu dibenarkan. Bolehlah masing-masing membuat pendirian sendiri tanpa mempengaruhi muafakat yang sudah terjalin.

Seperti isu hudud, sekutu Pakatan Rakyat bersetuju tentang perbezaan pendapat. Tetapi muafakat Pakatan tidak terjejas kerana banyak lagi yang mereka kongsi bersama.

Cuma yang menjadi perhatian ialah reaksi kerajaan mahu hal murtad itu dibincang secara menyeluruh dulu, tetapi ia mungkin tidak akan dibincang. Mungkin ia sekadar jawapan kepada pertanyaan media.

harakahdaily/-

Ilmu pengasih asap rokok

22 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

JOHOR BAHRU: “Din mengamalkan ilmu pengasih menggunakan asap rokok dan bagi menjadikannya lebih mujarab, ia perlu dihembus kepada mangsa di hentian bas,” kata seorang guru sebuah sekolah di bandar raya ini yang mendakwa menjadi mangsa kasanova berjari 17 dikenali sebagai ‘Din Kudung’, semalam.

Mangsa mahu dikenali sebagai Siti, 32, berkata, melalui pengalaman dan cerita mangsa lain, semua perkenalan mereka dengan Din Kudung bermula sama ada di Terminal Pengangkutan dan Pasar Awam Larkin mahupun hentian bas lain.

Menurut Siti, pertemuan pertama dengan Din Kudung serta pengalaman mangsa lain membuktikan lagi telahan lelaki terbabit akan bertindak menghembus asap rokok ke muka mereka.

“Saya berkenalan dengan Din Kudung menerusi panggilan telefon dibuatnya pada awal September 2010 sebelum kami bertemu di hentian bas berhampiran sekolah tempat saya mengajar,” katanya.

“Kali pertama bertemu, Din Kudung banyak bercerita berkaitan diri saya seperti kehidupan peribadi serta mata pelajaran yang saya ajar, membuatkan saya menyenanginya dan mahu berkenalan lebih rapat,” katanya.

Lebih menghairankan, katanya, Din Kudung beberapa kali menghembuskan asap rokok ke mukanya dan mulanya terasa seperti mahu marah tetapi akhirnya hanya mendiamkan diri.

“Sejak pertemuan itu, saya kerap bertemu Din Kudung yang turut mendakwa bertugas sebagai kontraktor dan mempunyai beberapa projek dalam pembinaan sekitar bandar raya ini.
“Lelaki terbabit turut membawa saya ke beberapa lokasi projek pembangunan sekitar bandar raya ini yang konon miliknya.

“Din Kudung mendakwa berdepan pelbagai masalah seperti pekerja ditahan Jabatan Imigresen dan kekurangan wang untuk meneruskan projek.

“Terpedaya dengan helah lelaki berkenaan, saya bersetuju membuat pinjaman bank RM50,000 di sebuah institusi kewangan di pusat bandar raya ini, pertengahan September 2010,” katanya.
Bagaimanapun, Siti terkejut kerana kurang tiga jam, urusan pinjaman itu diluluskan dan dia menyerahkan wang berkenaan kepada lelaki itu.

Menurutnya, dua minggu kemudian, Din Kudung menghubunginya dan memaklumkan perlu RM50,000 lagi untuk menyelesaikan masalah kewangannya.

“Saya akhirnya setuju membuat pinjaman itu selepas didesak, ia diluluskan pada hari sama dan cek pula dikeluarkan atas nama seorang lelaki yang juga rakan kepada Din Kudung.

“Pertengahan Oktober pula, Din Kudung sekali lagi meminta saya membantunya dan saya menggunakan kad kredit untuk mengeluarkan RM8,000 sebelum menyerahkan wang berkenaan kepadanya,” katanya.

Menurut Siti, tidak lama kemudian, lelaki terbabit menghilangkan diri, malah turut menukar nombor telefon bimbitnya.

, Siti juga tertekan kerana Din Kudung berjanji konon mahu menjadikannya rakan niaga selain mengahwininya.

Siti berkata, awal tahun ini, dia mendapatkan rawatan di sebuah pusat rawatan Islam sebelum dimaklumkan sebenarnya terkena ayat guna-guna dan diminta mengamalkan bacaan ayat suci al-Quran.

Katanya, selepas beberapa kali berubat, baru dia dapat berfikir dengan waras.
“Saya akhirnya berjaya mendapatkan beberapa nombor telefon wanita lain yang menjadi mangsa Din Kudung dan apabila dihubungi, mereka turut mendakwa ditipu lebih RM100,000 seorang selain berkenalan di Terminal Pengangkutan dan Pasar Awam Larkin.

“Akibatnya, saya kini terpaksa menjelaskan hutang sebanyak RM1,200 sebulan kepada tiga bank dengan tempoh bayaran pinjaman antara 15 hingga 20 tahun,” katanya.

Menurutnya, disebabkan jumlah hutang yang banyak, dia tidak boleh membeli rumah mahu pun menukar kereta kerana separuh daripada gajinya digunakan untuk melunaskan bayaran terbabit.

Berikutan itu, Siti membuat laporan di Balai Polis Taman Perling, 25 Ogos lalu, dan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Din Kudung bagi mengelak lebih ramai wanita menjadi mangsanya.

Harian Metro

Solat semai disiplin, sikap mulia

22 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

SOLAT adalah acuan terbaik bagi membentuk peribadi mulia kerana ia ibadat paling disukai Allah selain menjadi tiang agama Islam. Solat yang khusyuk menunjukkan kerendahan jiwa yang maksimum di depan Allah.
Bermula dengan berada pada kedudukan yang tinggi ketika berdiri, disudahi dengan kerendahan dan kehinaan ketika berada pada penghujung solat dengan keadaan duduk merendahkan diri di hadapan Allah.

Solat membawa pengertian doa terkandung dalamnya zikir dan tasbih memuji kebesaran Allah. Antara zikir paling utama dalam solat ialah tahiyyat yang dibaca dua kali pada rakaat kedua dan terakhir, penuh kepujian terhadap Allah dan Rasul-Nya serta penghormatan kepada hamba yang salih.

Ada berpendapat ia dialog ketika Baginda SAW naik ke langit semasa peristiwa Israk dan Mikraj.

Sahabat bernama Anas Masud berkata: “Ketika kami bersama Baginda SAW dalam solat, kami menyebut: Assalamu A’lallah (Selamat kepada Allah) lalu diubah Baginda dengan sabdanya: Jangan kamu menyebut Assalam kerana Allah adalah Assalam. Sebutlah Attahiyyatu Lillah, Wassalawat, Wattayyibat (Kesejahteraan, selawat serta kebaikan buat Allah dan Rasul-Nya) hingga akhirnya.

Jika kamu menyebut semua perkataan ini, ia ditujukan kepada semua hamba yang salih di langit dan mereka yang berada di antaranya lalu Allah berbangga dengan kata-kata ini dan memperkenankan doamu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Jika pembesar berasa gembira jika ada yang masuk menghadap dengan penuh hormat dan protokol ditetapkan, maka Allah adalah lebih gembira dan berbangga. Tahiyyat adalah protokol dan penghormatan ketika menghadap Allah dalam solat yang menyatakan ucapan kebesaran dan pengharapan hanya layak dipohon kepada-Nya.

Makna khusus bagi tahiyyat ialah kesempurnaan dan kebesaran hanyalah untuk Allah. Salawat ialah sifat rendah diri dan harapan seorang hamba yang boleh disandarkan hanya kepada Allah, rasul dan orang beriman.

Lafaz ‘tayyibat’ dalam tahiyyat ialah amalan suci dari Allah dan hamba yang salih kerana kesucian dan kebaikan adalah dari sifat Allah seperti sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah bersifat dengan kebaikan dan kesucian. Dia hanya menerima dari amalan yang baik dan suci saja.

” (Hadis riwayat Muslim)
Firman Allah bermaksud: “Kepada-Nya diangkat segala kebaikan dan kata-kata yang baik.” (Surah Fatir, ayat 10)

Selepas kepujian untuk Allah, maka diarahkan pula puji-pujian kepada Baginda Nabi SAW dengan ucapan yang bermaksud Allah yang memelihara dan memimpin Nabi SAW. Kemudian diucapkan tahiyyat dan salam buat diri sendiri, jemaah solat serta sekalian malaikat.
Ada pendapat mengatakan lafaz ini ditujukan kepada seluruh umat Muhammad SAW. Hamba salih yang dimaksudkan adalah dari manusia dan jin serta malaikat sama ada yang hidup atau sudah mati.

Kemudian disudahi dengan kalimah tauhid yang dibawa semua nabi dan rasul khususnya Baginda selaku penutup segala nabi dan rasul, manusia biasa yang dipilih oleh Allah, ditambah dengan selawat untuk Nabi Ibrahim.

Sahabat pernah bertanya kepada Baginda SAW: “Wahai Rasulullah, bagaimanakah caranya untuk kami berselawat kepadamu? Jawab Baginda SAW yang maksudnya: Salam sejahtera kepada Nabi Muhammad, Nabi Ibrahim dan seluruh keluarganya.” (Hadis riwayat Muslim)
Selepas mengucapkan selawat, maka kita dianjurkan untuk berdoa mengikut keperluan masing-masing. Diriwayatkan Ibnu Masud, Rasul SAW menyuruh berdoa dengan mengikut pilihan masing-masing.

Hadis sahih dari Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda bermaksud: “Apabila kamu selesai tahiyyat maka mohonlah perlindungan daripada empat perkara iaitu azab kubur, azab neraka, ujian ketika hidup dan selepas mati, serta Dajjal.”
Demikianlah diajarkan Baginda SAW kepada sahabat sehingga mereka menjadi generasi terpilih di sisi Allah.

Solat membentuk disiplin tinggi dan sikap yang baik dalam kehidupan. Ucapan dalam solat mengajar manusia menuturkan ucapan baik serta menghormati orang lain dan solat juga mengajar manusia mengikuti peraturan ditetapkan.

Solat menjadikan manusia sentiasa merendah diri terhadap sesama makhluk, membina masyarakat cemerlang sementara mengikut imam dalam solat mengajar manusia mentaati pemimpin yang baik.

harian metro/-

Tipu kad pengenalan

22 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

CHOON HUI (kiri) bersama Michael (tengah) dan Kian Fatt menunjukkan salinan kad pengenalan yang disalahgunakan untuk mendaftar perniagaan di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Dua pemuda mendakwa kad pengenalan mereka telah disalahgunakan oleh pihak tertentu bagi mendaftar syarikat perniagaan tanpa pengetahuan mereka.

Mangsa pertama, Thiang Choon Hui, 32, berkata, dia terkejut apabila kad pengenalannya digunakan bagi menjalankan perniagaan cakera padat video (VCD) dan cakera video digital (DVD) cetak rompak.

“Saya menerima surat daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang mengatakan saya menjalankan perniagaan haram pada September lalu.

“Saya hairan dengan dakwaan itu kerana saya tidak pernah menjalankan sebarang perniagaan dan hanya bekerja sebagai ejen insurans,” ujarnya pada sidang akhbar di Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA di sini semalam.

Turut hadir ketua biro tersebut, Datuk Michael Chong.

Jelas Choon Hui, dia melaporkan perkara tersebut kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia, namun didakwa pernah mendaftar sebuah syarikat pada 2009 yang mempunyai empat cawangan di sekitar Seri Kembangan dan Puchong.

Katanya, kad pengenalannya dipercayai disalahgunakan oleh pihak tertentu selepas ia hilang pada tahun 2007.

kosmo/-

Apa salahnya saya jadi alat Islam - Bob Lokman

22 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 20 Okt: "Apa salahnya saya menjadi alat kepada Islam yang merupakan the way of life?" tanya bekas selebriti terkenal, Bob Lokman atau nama sebenarnya Muhamad Hakim Lokman.

Bob ketika ditemui di majlis ceramah anjuran PAS di Taman Melewar malam tadi berkata, tidak timbul soal beliau dipergunakan PAS dan diheret ke setiap ceramah parti itu.

Namun tegasnya, apa yang dilakukan kini adalah atas kerelaan dirinya sendiri yang berazam untuk terus berjuang di lapangan dakwah bersama PAS.

"Soal dipergunakan ini, kita kena tau apa ini dunia. Dunia ini satu lapangan. Lapangan perlukan alat untuk membuka pintu akhirat dan agama alat menuju akhirat.

"Jadi orang kena fahamlah apa itu the way of life. Kalau orang tak boleh faham the way of life, maka dia menyembah dunia.

"Kita menyembah Allah, Islam itu Allah beri kepada kita untuk bagaimana kita nak guna. Bagaimana nak pakai umur, nak pakai harta kita, Islam itulah caranya...dan saya tak salah diperalat Islam untuk buka pintu akhirat," jelasnya panjang lebar.

Selepas menyerahkan borang keahlian PAS Februari lalu, Bob terus aktif menyertai program PAS, kebanyakannya diundang menyampaikan tazkirah dan sesi perkongsian pengalaman bergelumang dalam dunia artis.

Pada 10 Oktober lalu, Bob ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengikut seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Islam (Negeri Selangor) 2003 kerana didakwa menyampaikan ceramah tanpa tauliah di Masjid Sungai Lui, Hulu Langat.

Ketawa apabila dituduh "degil" dan "tidak sopan" kerana nekad untuk tidak akan hadir ke pejabat Jais, beliau tetap dengan pendirian bahawa Jais bertindak atas arahan Umno.

"Sopan ini termasuk dalam bab akhlak. Akhlak ni kalau bab bersopan mesti dalam keadaan tertentu. Dalam kes (tangkapan Jais) ini, kita nampak Jais buat kerja kerana Umno.

"Jadi kalau saya duduk dalam PAS orang yang panggil saya itu orang Umno saya tak datanglah.

"Kalau dia bersifat neutral saya akan datang. Tapi ada kenyataan Jais menghina bahawa ahli PAS 85 peratus tak boleh baca Quran maka saya tau pendirian dia...maka saya pun kena nyatakan pendirian saya.

"Jadi kita kena tahu pendirian dan orang yang berjuang kena tahu prinsip," katanya bersahaja namun dalam nada tegas.

Cakap ada makna

Sambil mengakui kehidupan sekarang lebih bermakna berbanding ketika menjadi artis dahulu, beliau berkata apa yang dituturkan ini hanya untuk Islam.

"Hari ini pun macam dulu jugak banyak bercakap tapi sekarang cakap ada maknalah. Dari hati, cakap untuk mati," katanya.

Tambahnya, kehidupannya sekarang lebih kepada menguatkan jiwa untuk perjuangan Islam.

"Ini perjuangan yang menggunakan zahir dengan apa cara sekalipun tapi tujuannya ialah memperkukuhkan roh.

"Kalau dulu berlakon cari duit nak makan je. Sekarang bukan berlakon tapi cakap betul...tapi bukan cari duit nak makan. Kadang-kadang bukan dapat duit pun, bukan orang bayar pun," katanya berseloroh.

harakahdaily/-

Kubu bawah tanah di hotel Vietnam ditemui

22 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

HANOI, Vietnam - Sebuah kubu yang menjadi tempat berlindung aktres Hollywood, Jane Fonda, Jane Baez dan tetamu asing lain semasa Perang Vietnam ditemui di sebuah hotel bersejarah di sini.

Lokasi tepat kubu tersebut kekal misteri sehinggalah beberapa pekerja membuka atap konkrit Hotel Metropole semasa mereka mengubah suai sebuah bar di dalam bangunan itu pada musim panas tahun ini.

Seorang doktor tempatan yang telah bersara menyatakan, dia pernah berlindung di kubu berkenaan pada tahun 1972 bersama penyanyi Amerika Syarikat (AS), Baez dan Fonda.

Doktor wanita itu berkata, Baez menyanyikan sebuah lagu untuk menenangkan para tetamu apabila AS mengebom Hanoi semasa serangan udara yang dinamakan Pengeboman Hari Krismas.

Mengulas berhubung penemuan tersebut, pengurus besar Hotel Metropole berkata, beliau percaya kubu berkeluasan tujuh buah bilik itu perlu dipulihara sebagai sebahagian peninggalan bersejarah Vietnam. - Agensi

Senaraikan projek terbengkalai seluruh negara

22 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 20 Okt: Kerajaan perlu menjelaskan punca utama kelewatan atau tertangguhnya projek-projek berkepentingan awam di seluruh negara, kata Ahli Parlimen Teluk Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas.

Katanya, selain kerajaan perlu menyenaraikan semua projek terbengkalai, syarikat yang bertanggungjawab juga perlu diberikan amaran, lapor KeadilanDaily.

“Untuk makluman selepas tertangguh, kos untuk memulihkan semula projek meningkat kepada 50 peratus dari harga tender asal. Sedangkan sebahagian besar wang yang diperuntukkan itu telah pun digunakan.

“Apa yang menyedihkan ialah projek-projek itu adalah untuk kepentingan rakyat dan orang miskin,” katanya dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat.

Kamarul berkata antara projek terbengkalai termasuk Hospital Shah Alam, Lebuhraya Seremban-Linggi di Negeri Sembilan, Kem Tentera di Skudai, Johor dan Pelabuhan Tuna di Pulau Pinang.

“Jangan ulangi untuk beri projek kepada syarikat tertentu dan broker sahaja kerana kesannya membebankan,” tegas Kamarul.

Dalam pada itu, menyentuh kadar hutang semasa negara yang berjumlah RM437 bilion dengan kadar faedah 5 peratus setahun, Kamarul menjangkakan Malaysia akan mempunyai hutang terkumpul RM1 trilion pada tahun 2020.

“Apa langkah kerajaan untuk menyelesaikan hutang piutang, sedangkan belum tentu kita dapat mengawal jumlah hutang yang ada sekarang. Apakah pendapatan negara meningkat dengan kadar sama munasabah dengan hutang semasa?” soal Kamarul.

Tambahnya, budaya hutang kritikal dicerminkan melalui statistik 41 belia muflis setiap hari di negara ini kerana masalah kad kredit, hutang kenderaan dan bayaran pinjaman perumahan.

“Lebih separuh dari gaji mereka digunakan untuk membayar hutang. Ini sangat bahaya. Kita tak mahu generasi muda yang diharapkan untuk mentadbir negara ini terjebak dalam hutang.

“Apakah ini yang kita mahu ketika Malaysia mahu menjadi negara maju dalam masa 9 tahun?” soal Kamarul.

harakahdaily/-

Cadangan Serap 30,000 Guru KAFA Ke Jawatan Tetap

22 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diharap dapat mempertimbangkan untuk menyerap kira-kira 30,000 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) ke jawatan tetap bagi menjamin masa depan dan kerjaya yang lebih baik dalam profesion perguruan.

Datuk Md Sirat Abu (BN-Bukit Katil) berkata menerusi penyerapan ke jawatan tetap, kebajikan guru KAFA akan lebih terbela di samping memberi pengiktirafan kepada sumbangan mereka dalam pendidikan agama kepada kanak-kanak.

"Guru KAFA adalah warga pendidik yang memainkan peranan besar dalam pendidikan Islam di negara ini.

"Tugas mereka sangat mulia dalam melahirkan generasi cemerlang ilmu dunia dan akhirat, disamping membentuk akidah dan sahsiah murid-murid dalam membentuk modal insan," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012.

Beliau berkata kebajikan guru KAFA perlu diberi perhatian agar mereka mendapat kemudahan setaraf dengan guru-guru sekolah dibawah Kementerian Pelajaran.

Pada masa kini, guru KAFA berkhidmat menerusi ikatan kontrak dan mereka tidak layak mendapat faedah seperti mana penjawat awam yang mendapat kemudahan perubatan dan pinjaman perumahan.

Persidangan Dewan bersambung pada Khamis.-BERNAMA

Penjual ayam ditembak lelaki tanya alamat

22 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

TELUK INTAN: Seorang penjual ayam cedera selepas ditembak dari jarak dengan pistol oleh seorang lelaki di depan rumah mangsa di Jalan Feri, Simpang Empat, dekat sini, semalam.

K Sooria Theymudu, 39, ditembak seorang lelaki bermotosikal yang mendekatinya sebelum berpura-pura bertanyakan alamat sebuah rumah di situ, kira-kira jam 7.30 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Mohamad Zaki Harun, berkata mangsa ditembak dari jarak antara dua hingga tiga meter dan siasatan polis di lokasi menemui empat kelongsong peluru jenis 9 milimeter.

Kita masih menyiasat motif kejadian. Polis melancarkan gerakan memburu suspek, katanya di sini, semalam.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi Asisten Superintendan K Balakrishnan di talian 05-6299222.

Sementara itu, Sooria Theymudu berkata, lelaki memakai topi keledar berpenutup yang melepaskan tembakan itu menghampirinya ketika dia mahu menaiki motosikal untuk ke gerai menjual ayam di Pasar Simpang Empat.

berita harian/-

BN akan terkubur dengan taktik kotornya.

22 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Saya ingin membuat kenyataan berkenaan pendedahan di media dimana satu pertemuan rasmi telah diadakan di Kuala Kangsar baru-baru atas nama Majlis Penerangan Perdana Kerajaan Negeri Perak yang dihadiri oleh Ketua Penerangan Umno Pusat, Datuk  Ahmad Maslan dan juga Menteri Besar Kudeta Perak.

Apa yang mengejutkan ialah para jemputan yang terdiri daripada ratusan pegawai kerajaan mereka telah disajikan dengan tayangan video yang jelas bertujuan untuk menyebarkan fitnah terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menghasut hadirin untuk membenci Pakatan Rakyat khususnya.

Taktik politik kotor sebegini telah membuktikan kepada kita betapa jijiknya cara Umno-Bn Perak untuk mendapat sokongan undi dari kalangan kakitangan kerajaan di Perak.

Majlis itu juga turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom iaitu orang yang bertanggungjawab dalam portfolio hal ehwal agama di Jabatan Perdana Menteri yang sepatutnya lebih arif dalam selok belok agama dan tahu bagaimana untuk menanganinya, malangnya fitnah ini dibiarkan sahaja.

Majlis yang sepatutnya mempunyai tujuan yang baik bertukar menjadi medan fitnah yang dahsyat,

Pada saya pegawai-pegawai yang hadir dalam majlis tersebut tidak sepatutnya dibabitkan ke dalam kancah fitnah kotor sebegini, seeloknya mereka perlu terus berada di pejabat masing-masing untuk bertugas dari melihat tayangan video tersebut yang sudah pastinya boleh terjebak kepada dosa.

Pakatan Rakyat Perak akan segera tangani isu ini di siri penerangan yang telah dijalankan dan yang bakal direncana di seluruh Perak untuk memastikan fitnah Umno-Bn di Perak dapat ditangani, apa yang pasti, BN Perak akan terkubur menjelang PRU 13 insyaallah.

Drs Khalil Idham Lim
Parit Buntar, 19
20 Oktober 2011

Penduduk Bandar Seri Iskandar Membantah Penubuhan Panggung Wayang

22 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Bandar Seri Iskandar , 20 Oktober 2011 – Penduduk di Bandar Seri Iskandar menyuarakan bantahan kepada penubuhan panggung wayang Lotus Five Star Cinemas di sebuah pasaraya yang sedang dibina di sini. Bantahan ini telah mendapat sokongan padu penduduk tempatan sejak papan tanda pembinaan wayang dinaikkan beberapa minggu lalu dan dibuktikan dengan kutipan ribuan tandatangan protes pembinaan panggung wayang tersebut.

Jawatankuasa bertindak penduduk telah mengambil langkah menyerahkan ribuan tandatangan protes penduduk beserta memorandum bantahan tersebut kepada En Roslan Mohd Lodin, Yang Di Pertua Majlis Daerah Perak Tengah di pejabatnya pada petang semalam.

Semasa ditemui selepas sesi penyerahan memorandum tersebut,  Ustaz Abid Mohd Nor,37 selaku Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Bandar Seri Iskandar melahirkan rasa amat tidak bersetuju dengan pandangan En Roslan yang menyatakan keperluan untuk menubuhkan pusat hiburan dan panggung wayang sebagai penarik pelabur-pelabur untuk datang ke Bandar ini.

“Hiburan dan kemajuan adaah dua perkara yang berbeza. Adakah apabila wujud panggung wayang barulah kita akan menjadi maju? Ini adalah pemikiran barat yang mahu merosakkan umat Islam!” tambah Ustaz Abid lagi.

Ustaz Abid menegaskan lagi bahawa penduduk tempatan mahukan Bandar Seri Iskandar ini menjadi “Bandar Ilmu dan Pendidikan “dan bukannya Bandar Hiburan. Kewujudan beberapa Institusi Pengajian Tinggi di dalam Daerah Seri Iskandar dan lambakan sekolah menengah dan rendah seharusnya dilengkapi dengan kewujudan kedai-kedai buku, perpustakaan, dan akses-akses pendidikan yang perlu untuk menjadikannya sebagai “Bandar Ilmu dan Pendidikan “ dan bukannya dengan menubuhkan panggung wayang.

Di penghujung bual bicara dengan Ustaz Abid, beliau melahirkan rasa bimbang sekiranya penubuhan panggung wayang ini diteruskan akan merosakkan akhlak anak-anak penduduk dan remaja setempat dan dikhuatiri meningkatkan gejala sosial di sini.

Misteri kontena berat terungkai

22 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Toyota Hilux antara kenderaan yang banyak menjadi sasaran sindiket mencuri kenderaan antarabangsa untuk dieksport ke luar negara.

KUALA LUMPUR – Curiga dengan berat empat buah kontena yang diisytiharkan berisi peralatan pam air membawa kepada penemuan 12 buah trak pikap Toyota Hilux curi yang dalam proses dieksport ke luar negara.

Rahsia kegiatan jenayah itu terbongkar apabila polis membuat serbuan di Pelabuhan Klang di sini pada Isnin lalu.

Ketika ditemui, kesemua 12 buah kenderaan yang dianggarkan bernilai RM90,000 setiap sebuah itu dalam proses dieksport ke luar negara dipercayai untuk pasaran di Kingston, Jamaica.

Setiap sebuah kontena itu diisi dengan tiga buah kenderaan Toyota Hilux. Setiap kenderaan itu pula disusun atur dengan cara kenderaan itu digantung pada bumbung kontena.

Ia bertujuan menjimatkan ruang kontena bagi mengisi lebih banyak kenderaan curi untuk dieksport.

Difahamkan, perkara tersebut terbongkar selepas kakitangan yang bertugas di pelabuhan itu curiga dengan berat kandungan setiap kontena tersebut yang diisytihar berisi pam air.

Semua barangan itu disebut untuk dihantar ke Bangkok, Thailand.

Satu sumber berkata, polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pemilik setiap kenderaan tersebut tetapi tidak menolak kesemua kenderaan itu dicuri di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

“Sebelum dieksport setiap kenderaan itu dihantar ke sebuah gudang di Kampung Baru Subang untuk tujuan pembungkusan sebelum dimasukkan ke dalam kontena.

“Kita percaya kesemua Toyota Hilux itu akan diseludup ke negara-negara luar termasuk di Asia Barat,” kata sumber itu kepada Kosmo! di sini semalam.

Namun Bangkok dipercayai dijadikan sebagai negara transit sebelum semua kenderaan curi itu dihantar ke negara-negara di Asia Barat.

kosmo/-

Singapura teratas negara mesra perniagaan: Bank Dunia

22 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

WASHINGTON: Singapura kekal untuk tahun keenam berturut-turut sebagai negara paling mudah dan mesra menjalankan perniagaan, demikian laporan yang diterbitkan Bank Dunia hari ini.

Kajian "Menjalankan Perniagaan" 2011 membabitkan 183 negara di seluruh dunia mendapati Singapura mempunyai reformasi perundangan yang mampu meledakkan perniagaan dan menawarkan pertumbuhan pasaran yang pesat.

Selepas Singapura dalam kedudukan lima terbaik dunia ialah negara sama seperti tahun lalu iaitu Hong Kong, New Zealand, Amerika Syarikat dan Denmark.

Antara negara utama dunia yang mempunyai kepesatan ekonomi ialah China yang berkedudukan ke-91, mengatasi Russia (120), Brazil (126) dan India (132).

Kajian itu menggabungkan aspek perubahan dalam sistem perundangan, pentadbiran prosedur dan halangan teknikal dalam aspek memula atau membesarkan perniagaan. - AFP

Isu hudud dibangkitkan atas ketakutan Umno Isu hudud dibangkitkan atas ketakutan Umno

22 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

ALOR SETAR - DAP mendakwa isu hudud dibangkitkan atas rasa ketakutan pemimpin Umno terhadap pelaksanaannya, bukan disebabkan oleh penolakan parti itu.

Pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik berkata, DAP bukan menentang hudud, sebaliknya pada pandangannya, ia tidak sesuai dilaksanakan di negara berbilang kaum atas dasar keadilan.

“Sebenarnya yang takut pada hudud ialah ahli Umno. Pas ‘acah’ sahaja untuk lihat reaksi pemimpin Umno. Namun isu ini dijadikan umpan untuk mereka tarik pengundi sertai Umno, namun saya percaya cara ini tak berjaya alihkan pengundi, sebab rakyat bijak menilai,” katanya.

Menurutnya, pendirian DAP dalam isu ini jelas, selain ketiga-tiga sekutu Pakatan Rakyat (PR) memahami dasar masing-masing yang berbeza, di mana persefahaman yang menyatukan mereka dalam banyak perkara.

“Negara ini adalah sekular malah dalam perlembagaan pun tidak disebut. Termasuk polisi dalam PR yang langsung tidak menyentuh mengenai negara Islam. Bermakna isu ini tidak sepatutnya dibangkitkan menjadi isu politik,” katanya.

Guan Aik berkata, sekiranya terdapat dua undang-undang di negara ini, ianya tidak adil kepada dua individu berbeza agama yang dikenakan hukuman yang berbeza bagi kesalahan yang sama.

“Dari aspek keadilan tak sesuai dilaksana di negara masyarakat majmuk. Jika pada masa akan datang menyaksikan mendapat persetujuan 2/3 Parlimen untuk laksana hudud, kita tengok macam mana,” katanya.

Mengulas pendirian Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap mahu melaksanakan hudud di Kelantan, Guan Aik berkata, DAP percaya Nik Abdul Aziz mendapat tekanan daripada Umno, khususnya Tun Mahathir Mohamad yang membangkitkan isu ini.

“Ini cuma ketegasan Nik Abdul Aziz dalam isu ini untuk bidas Umno, sebab mereka yang banyak beri tekanan pada beliau supaya timbul pergeseran antara Pas dan DAP. Isu ini sengaja diapi-apikan untuk meretakkan hubungan dalam PR,” katanya.

Berikutan itu, pihaknya menggesa pemimpin PR supaya berhati-hati agar tidak terjebak dalam perangkap Umno, yang mahu melihat rakan sekutu PR bercakaran sesama sendiri.

“Apa jua isu selepas ini elok bincang secara tertutup. Saya percaya isu ini dibangkitkan ketika Umno bimbang undi orang Melayu kepada parti itu semakin hilang,” katanya. - SH Utara/ROSLINDA HASHIM

Jangan di Ambil Mudah Krisis Dalaman Parti Kompenan BN

22 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
PAS Miri.

Pertandingan merebut jawatan Presiden bagi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) memang sudah dijangka walaupun pada mulanya mereka menyatakan untuk memberi peluang kepada golongan muda memimpin parti tersebut. Sekarang ini Datuk Seri Peter Chin berjanji untuk memimpin parti itu selama tiga tahun bagi mengukuh dan mengembalikan sokongan kepada parti itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang. Ini menunjukan bahawa Datuk Seri Peter Chin akan terus terlibat dalam politik walaupun pada mula dia menyatakan hasratnya mahu bersara dari politik. Ini kemungkinan besar dia akan terus bertanding dalam pilihan raya umum nanti.

Ini memang peluang baik buat Pakatan Rakyat untuk terus menyingkir SUPP dalam arena politik di Sarawak kalau Pakatan Rakyat (PR) dapat merancang dengan baik serta bekerjasama untuk menumbangkan kerajaan BN Sarawak pada masa akan datang. Apa yang penting sekarang PR kena bersedia untuk memberi laluan serta kerjasama erat dalam parti gabungan agar tidak berlaku pertandingan 3 penjuru. Bertolak ansur serta memberi sokongan padu pada calon yang bertanding sangat diperlukan.
Harus diingat walaupun sekarang parti kompenan BN Sarawak menghadapi masalah dalaman, PR jangan ambil mudah serta leka dengan masalah yang dihadapi oleh parti kompenan BN Sarawak tersebut sebab rakyat di pendalaman tidak begitu kisah dengan krisis dan masalah dalam parti kompenan Sarawak seperti SUPP dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Rakyat Sarawak di dalam kawasan pendalaman tetap setia dengan BN sebab mereka yakin walaupun ada krisis kepimpinan dalam parti kompenan BN ini bukan bermakna mereka akan beralih kepada PR sekiranya PR gagal menunjukan perpaduan serta mampu memberi mereka keyakinan yang PR adalah terbaik buat Sarawak.
Mungkin dalam kawasan Bandar PR dapat memenangi hati rakyat tetapi dalam kawasan luar Bandar dan pendalaman BN masih diperlukan walaupun banyak kes tanah yang dirampas oleh syarikat-syarikat kroni belum dapat diselesaikan kerana penduduk di pendalaman kebanyakannya hidup dalam kesempitan dan kesusahan dan perlu bantuan dari seseorang untuk meneruskan kehidupan seharian mereka.

Apabila pemimpin BN datang dengan memberi sedikit habuan segala usaha PR selama ini akan jadi sia-sia disebab PR belum mampu lagi memberi kebendaan serta kewangan kepada penduduk terbabit. DIsebab politik wang BN terus menguasai penduduk di luar bandar.
Harapan PR agar rakyat Sarawak untuk berubah memang mengambil masa yang agak lama mungkin setelah generasi tua sudah tiada lagi dimana golongan muda terpelajar dapat mengambil alih kepemimpinan di masa hadapan maka berlakulah perubahan yang dinanti-nanti. Sampai bila kita terus dijajah oleh BN kalau kita tidak melakukan perubahan sekarang. PR harus memikirkan bagaimana mereka boleh mengantikan BN pada masa akan datang. Jangan suka berebut kerusi disaat-saat akhir seperti mana berlaku pada pilihan raya umum Sarawak yang lalu. Jadikan ini pengajaran buat PR Sarawak kalau mahu rakyat menyokong mereka.

Semoga Pakatan Rakyat dapat mengambilalih kuasa dari kerajaan Barisan Nasional pada pilihanraya umum akan datang dengan syarat mereka dapat bersatu dengan mengeratkan perhubungan antara parti serta kerjasama yang kukuh.

Jofri Jaraiee