03 November 2011

[Waspada] Kerana Mahu Badan Lansing, Gadis Dungun Menderita Kulit Melecur

6 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Sura Gate (Dungun): Impian seorang gadis sunti untuk memiliki badan langsing lebur apabila sebahagian daripada kulitnya hampir melecur dipercayai kesan penggunaan alat kosmetik selepas melalui beberapa siri rawatan di sebuah pusat kecantikan di sini.

Lebih mendukacitakan, wang untuk membiayai kos rawatan terbabit berjumlah RM1,030 turut hangus, biarpun dia dikatakan gagal mendapat faedah daripada rawatan diterima.

Menceritakan pengala­man­ pahit itu, mangsa, Noor Aishah Azmi, 22, berkata, dia terpedaya dengan iklan yang ditawarkan di pusat kecantikan itu, yang mendakwa dapat melangsingkan badan, sebelum mendaftar untuk mendapatkan rawatan di pusat kecantikan yang beroperasi di Pusat Niaga Sura Gate itu.

Aishah berkata, dia membuat pembayaran secara beransur-ansur dan selepas lima kali menerima rawatan, dia sudah menjelaskan wang RM1,030 seperti yang dipersetujui.

Namun selepas kali terakhir mengikuti rawatan itu, kulitnya menggelupas dan terasa pedih, sebelum melecur serta melekat pada seluar.

Aishah berkata, dia juga turut mengalami muntah-muntah, sengal badan selain bengkak pada paha.

“Apabila saya memaklumkan kejadian itu kepada pihak pengurusan pusat kecantikan tersebut dan memohon wang saya dikembalikan, mereka tidak mahu bertanggung jawab dengan pelbagai alasan tidak munasabah.

“Akhirnya saya membuat satu laporan polis di Balai Polis Dungun pada 17 Oktober lalu agar kes saya ini mendapat pembelaan daripada pihak berwajib,” katanya.
Menurut Aishah, dia juga sudah melantik peguam dan bercadang mengambil tindakan undang-undang ke atas pusat kecantikan itu, selain membuat tuntutan ganti rugi pelbagai. -SH


Operasi Syabas Diaudit

6 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM, 3 NOV : Dua firma perakaunan yang dilantik kerajaan Selangor akan menjalankan kajian terperinci ke atas akaun dan operasi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) minggu ini sebagai persediaan untuk mengelak berlakunya kekurangan bekalan air di negeri ini.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata hasil laporan berkenaan akan dikemukakan bagi memberi penjelasan berhubung dakwaannya bahawa loji pembersihan milik kerajaan negeri, yang diurus Syabas, tidak mengeluarkan air terawat mencukupi.

"Ini (dakwaan Syabas tidak keluar air terawat mencukupi) adalah soal teknikal.

"Kita akan terangkan selepas audit terhadap Syabas dibuat dan saya akan kemukakan apa yang audit buat nanti," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Shah Alam, semalam.

Sebelum ini, Abdul Khalid dilaporkan berkata kerajaan negeri Selangor melantik Tetuan Atkins dan Tetuan Halcrow untuk menjalankan kajian terperinci ke atas akaun dan operasi Syabas sebagai persediaan untuk mengelak berlakunya kekurangan bekalan air di negeri ini tanpa bergantung kepada projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2).

Beliau berkata kajian itu dijalankan terutama daripada segi penggunaan aset negeri termasuk loji pembersihan yang akan dipulihkan semula supaya Selangor mempunyai air terawat yang mencukupi.

Dalam perkembangan lain, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri akan mengadakan sesi penerangan kepada orang ramai mengenai skim premium tanah yang diperkenalkan pada Jun lalu.

"Skim ini adalah pilihan kerana pemilik tanah boleh memilih cara bayaran mengikut kadar pengiraan yang lama. Kita tidak memaksa pemilik tanah memilih skim baru ini sebaliknya terletak di tangan mereka mengikut tahap kemampuan," katanya dipetik daripada BERNAMA.

Beliau berkata kerajaan negeri turut bersedia untuk berdebat mengenai isu terbabit jika masih ada pihak yang tidak memahami polisi berkenaan walaupun setelah menghadiri sesi taklimat.

tv news/-

Banjir: Kedah buat persediaan awal

6 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 3 Nov: Kerajaan Negeri Kedah telah membuat persiapan awal menghadapi banjir di negeri itu yang dijangka berlaku pada musim tengkujung penghujung November ini.

Sehingga kini, kerajaan negeri telah membeli 16 buah bot sebagai tambahan kepada bot-bot dari Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Polis Diraja Malaysia.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, bot-bot tersebut akan diagihkan mengikut keutamaan kepada daerah yang mudah dinaiki air seperti Padang Terap, Kubang pasu, Pendang dan Pokok Sena.

“Jangan bimbang semua daerah akan mendapat bot dan keutamaan akan diberi kepada daerah-daerah yang sering dilanda banjir,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Aman, Alor Setar semalam.

Katanya, bot-bot jenis ini ringan kerana diperbuat daripada aluminium dan sesuai dengan suasana banjir yang kedalaman air berbeza mengikut tinggi rendah kawasan berkenaan.

Untuk berhadapan banjir tahun ini, kerajaan negeri juga ujarnya memperuntukan jumlah hampir sama dengan tahun lepas iaitu RM3 juta.

Bagaimanapun katanya, jumlah itu mungkin berubah bergantung kepada keadaan banjir itu sendiri.

“Tahun lepas kita peruntukan RM3 juta dan tahun ini mungkin sekitar jumlah itu tetapi terletak kepada banjir itu sekiranya sama dengan lepas ataupun lebih besar,” katanya bagi menjawab soalan media yang ingin tahu mengenai jumlah yang diperuntukan.

Selain itu, sebagai persiapan awal juga, setiap daerah telah diarah memberi taklimat kepada Penghulu, Majlis Komuniti Ketua Kampong (MKK) dan Jawatankuasa Keselamatan Kampung berhubung persedian menghadapi banjir.

harakahdaily/-

Kelantan buat persiapan awal hadapi kempen musim depan

6 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

JUARA Liga Super, Kelantan membuat persiapan awal bagi menghadapi kempen Liga M musim depan apabila barisan The Red Warriors mula menjadi latihan semalam.

Bagaimanapun, sesi latihan pertama itu tanpa kelibat beberapa pemain iaitu Khairul Fahmi Che Mat, Mohd. Izuan Solahuddin dan Mohamad Ab. Aziz Ismail yang kini bersama skuad Bawah 23 tahun negara bagi menghadapi Sukan SEA di Indonesia.
Penyerang berbisa, Norshahrul Idlan Talaha pula dikhabarkan menjalani rawatan di Kuala Lumpur.

Pengendali Kelantan, Peter James Butler berkata, meskipun tanpa beberapa tonggak utama, ia tidak menjejaskan sesi latihan tersebut yang turut melibatkan beberapa pemain skuad Piala Presiden.

“Ini merupakan latihan pertama bagi semua pemain. Bagi saya, ia lebih kepada latihan biasa sahaja dan saya tidak mahu mengejutkan pemain dengan corak latihan keras.

“Keadaan cuaca yang tidak menentu di sini (Kota Bharu) mengganggu sedikit latihan kerana padang menjadi becak.

“Begitupun, saya mahu semua pemain berlatih dalam suasana yang santai dan gembira,” katanya semalam.

Tambah Butler, beliau tidak terlalu menekankan soal kecergasan memandangkan pemain-pemainnya berehat terlalu lama.

Sesi latihan tersebut turut disertai empat pemain import iaitu Emmanuel Okine dan Denny Antwi dari Ghana, Chikondi Mpulula (Malawi) dan Jean Black (Belanda).

Difahamkan, Mpulula dan Black telah diarahkan untuk berkemas pulang setelah didapati tidak memenuhi kriteria ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Kosmo


Wanita lahir anak perempuan didenda

6 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Suami minta RM1,561 sebelum benar isteri pulang

PATNA: Tindakan seorang lelaki di Bihar kelmarin mengenakan denda kepada isterinya 25,000 rupee (RM1,561) kerana melahirkan bayi perempuan, memaksa pentadbiran tempatan campur tangan.

Nargis, bayi perempuan yang dilahirkan di kampung negeri jiran Uttar Pradesh adalah antara bayi yang diiktiraf sebagai penduduk dunia ke-7 bilion.
Pihak berkuasa campur tangan dalam isu itu selepas Mohammad Manzoor, dari daerah majoriti Islam di Purnea, Bihar menghalau isterinya, Shahnaz, 30, dari rumah mereka dan hanya membenarkan beliau kembali ke rumah itu selepas membayar denda yang dikenakan.

Menurut pegawai di kawasan itu, Manzoor turut mengisytiharkan denda akan berganda jika isterinya melahirkan bayi perempuan lagi, lapor Gulfnews.

“Saya tidak mahu anak perempuan, ini terlalu membebankan,” katanya.
Ditinggalkan tanpa pilihan, wanita itu mengemukakan aduan kepada pentadbiran daerah tempatan untuk mendapatkan bantuan.

“Saya dihormati keluarga mentua sebelum ini tetapi sebaik melahirkan anak perempuan, layanan mereka terhadap saya terus berubah. Jika melahirkan bayi perempuan adalah kesalahan yang perlu dihukum, saya sepatutnya diberi anugerah kerana melahirkan dua anak lelaki sebelum ini,” katanya.

Menyedari kes itu agak sensitif, pihak pentadbiran segera memindahkan kes itu kepada Jabatan Pertelingkahan Keluarga yang berkhidmat dengan mengemukakan notis kepada suami dan akhirnya menyelesaikan masalah itu.

“Kami benar-benar sukar meyakinkan Manzoor tetapi apa yang baik ialah berjaya menghalang keluarga itu bercerai berai,” kata anggota jabatan itu yang memberi kaunseling kepada lelaki itu, Dilip Kumar Deepak dan Swati Vaishnatri.

Selepas diyakinkan kaunselor, pasangan itu setuju tinggal bersama dan Shahnaz menggugurkan kes terhadap suaminya. – Agensi

Penunjuk perasaan sami Nepal protes anti-China

6 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Polis Nepal menahan penunjuk perasaan disertai sami semasa protes anti-China di Kathmandu, Nepal. kelmarin. Lebih 60 orang ditahan selepas upacara keagamaan bagi memperingati sami yang membakar diri bertukar ganas di kem pelarian Jwalakhel di daerah Lalitpur itu.

Pesawat Boeing 767 LOT selamat mendarat tanpa roda di Warsaw

6 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

DETIK-detik cemas semasa pesawat Boeing 767 milik Penerbangan LOT Poland melakukan pendaratan cemas tanpa roda di Lapangan Terbang Warsaw di Poland, kelmarin. - REUTERS

WARSAW 2 Nov. - Sebuah pesawat Boeing 767 membawa seramai 231 orang selamat mendarat selepas ia mengalami kegagalan peralatan pendaratan di Lapangan Terbang Warsaw, hari ini.

Jurucakap syarikat penerbangan LOT Polish Airlines di Poland berkata, anggota bomba dan ambulans dikerah ke tempat kejadian dan kesemua 220 orang penumpang serta 11 orang krew selamat dikeluarkan dari pesawat penumpang itu.

Menurut jurucakap LOT, Leszek Chorzewski, pesawat Boeing 767-300 itu yang dalam perjalanan dari Newark, Amerika Syarikat berjaya melakukan pendaratan kecemasan selepas mengalami kegagalan pada gear pendaratan.

"Pesawat tersebut selamat mendarat pada badannya di landasan itu yang telah disembur dengan bahan perencat api yang istimewa.

"Kesemua penumpang selamat diturunkan (dari pesawat) dan tiada sesiapa yang cedera," katanya.

Rakaman video pendaratan kecemasan yang disiarkan beberapa minit selepas kemalangan tersebut menerusi stesen televisyen tempatan, TVN24 menunjukkan badan pesawat tersebut tergelincir di landasan dan mengeluarkan asap putih.

Percikan api turut kelihatan di enjin jet yang terletak di kepaknya ketika pesawat itu tergelincir.

Penumpang kemudian keluar dari pesawat tersebut menggunakan gelongsor kecemasan dengan bantuan krew lapangan terbang. - AFP

Hendak beri markah pun pensyarah tidak bebas

6 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Dalam kita sibuk memperkatakan tentang kebebasan para akademik untuk bersuara, sedarkah kita bahawa kadangkala mereka tidak juga bebas dalam kerja-kerja seharian mereka seperti memberikan markah kepada pelajar-pelajar mereka? Kenapa saya mengatakan demikian? Untuk lebih memahami apa yang saya maksudkan, saya mempersembahkan beberapa scenario yang telah dan sedang berlaku di universiti-universiti kita.

Senario 1: Pihak Kementerian Pelajaran sedang dalam usaha menaik-tarafkan guru-guru yang tidak mempunyai ijazah dengan menganjurkan kursus-kursus PJJ di universiti-universiti tempatan. Kesemua pensyarah telah ‘diminta’ supaya tidak menggagalkan walau seorang pun pelajar walaupun ada sebahagian yang tidak melepasi tahap lulus. Ini adalah kerana Kementerian ‘amat bertimbang rasa’ terhadap guru-guru tersebut dan mahukan semua mereka berjaya mendapat ijazah.

Senario 2: Di kolej-kolej swasta para pelajar Muslim diwajibkan mengambil pelajaran Agama Islam sementara pelajar-pelajar bukan Islam pula diwajibkan mengambil pelajaran moral. Pensyarah-pensyarah yang mengajar subjek-subjek tersebut telah secara awal-awal lagi diberitahu supaya tidak menggagalkan mana-mana pelajar. Ini adalah supaya pelajar-pelajar kolej tersebut tidak dibebankan dengan mengulangi subjek ‘sampingan’ sekiranya gagal subjek tersebut.

Senario 3: Seorang pensyarah telah didapati mengeluarakan kenyataan yang bertentangan dengan pihak pengurusan tertinggi universiti. Dekan beliau telah diarahkan supaya tidak membenarkan beliau mengajar pada semester tersebut. (Dikhuatiri mempengaruhi pemikiran pelajar mungkin?)

Senario 4: Seorang pensyarah yang baru menamatkan ijazah kedoktorannya telah diambil mengajar oleh sebuah universiti kerana kepakarannya dalam bidang sains politik. Di antara subjek yang akan ditawrkan kepada pelajar-pelajar pada semester tersebut adalah berkenaan politik Malaysia. Memandangkan pensyarah tersebut diketahui mempunyai kecenderungan kepada pihak pembangkang, pensyarah tersebut tidak dibenarkan mengajar subjek tersebut. (Dr Syed Azman pasti tersenyum membaca tentang hal ini).

Cuba kita bayangkan yang kita berada dalam situasi-situasi di atas. Apakah yang akan kita lakukan? Bayangkan, untuk memberikan markah kepada para pelajar pun seseorang pensyarah itu tidak bebas. Bayangkan juga tentang kualiti para pelajar nanti. Apa yang berlaku pada Prof. Aziz Bari adalah sebahagian sahaja daripada kongkongan pihak atasan terhadap para pensyarah. Tidak mustahil perkara yang sama berlaku kepada guru-guru di sekolah (yang mungkin diminta untuk menaikkan markah-markah para pelajar demi mengejar ‘ranking’).

Adalah diharapkan senario ini tidak terus berlaku. Para pendidik, baik para guru atau pensyarah harus melakukan sesuatu untuk mendapatkan hak mereka daripada tidak terus ditekan oleh ‘tangan-tangan ghaib’ dari atas. Pihak masyarakat awam juga hendaklah memberi sokongan kepada para guru dan para pensyarah. Sekiranya campurtangan dari pihak atasan terus berlaku, nescaya kualiti pendidikan kita akan terus menjadi korban.

harakahdaily/-

Thailand pindah kereta kebal untuk bersih kesan banjir

6 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Anggota tentera Thailand memindahkan kereta kebal di 4th Cavalry Division King’s Guard di Bangkok, kelmarin. Media tempatan melaporkan usaha mengepam air banjir ke laut di sekitar utara. Bangkok mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya 10 hari.

sinar harian/-

Israel terus bina penempatan haram

6 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Israel mengikut jejak sekutu kuatnya, Amerika Syarikat (AS) yang berang dengan Pertubuhan Pen­didikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) kerana memberi keanggotaan penuh kepada Palestin dengan mengarahkan pembinaan segera 2,000 unit rumah lagi untuk penempatan haram golongan Yahudi di Baitulmaqdis Timur.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengeluarkan kenyataan itu semasa mempengerusikan mesyuarat lapan menteri kanan, kelmarin dan menganggap keputusan tersebut kononnya sebagai sebahagian daripada kandungan syarat rundingan damai antara Israel-Palestin pada masa hadapan.

Netanyahu turut memutuskan untuk membekukan pemindahan hasil cukai kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) kerana tidak berpuas hati dengan negara itu yang telah berjaya menganggotai badan pertama antarabangsa di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tersebut.
Assist children in accessing better residential care. Click here.

Sebanyak 1,650 unit rumah akan dibina di Baitulmaqdis Timur dan selebihnya di Tebing Barat.

Keputusan rejim Zionis itu turut mencetuskan kemarahan bekas ketua rundingan Palestin, Saeb Erakat, beliau menegaskan pembinaan pesat tersebut sebenarnya bermotifkan politik serta ia hanya memberi keuntungan kepada sebelah pihak.

“Tanah yang dijadikan tempat pembinaan penempatan haram itu sebenarnya milik Palestin. Israel juga dilihat sengaja membekukan hasil cukai yang sepatutnya menjadi hak kami,” menurutnya lagi.

Erakat turut mempertikaikan tindakan AS dan Israel yang dilihat seperti takut dengan bayang-bayang sendiri selepas Palestin menerima sokongan 107 negara bagi membolehkannya menjadi negara ke-195 untuk diiktiraf oleh badan antarabangsa itu.

Sinar

Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang Bayar Hutang BN

6 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

GEORGETOWN 2 NOV : Sejak mengambil alih Pulau Pinang pada Mac 2008, kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat berjaya melangsaikan sejumlah RM600.47 juta atau 95.29 peratus jumlah hutang kerajaan negeri terdahulu.
Kejayaan ini menjadikan baki hutang semasa kerajaan negeri sekarang ialah RM29.66 juta.

Perkara ini dinyatakan oleh Ketua Menteri pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam satu sidang media di sini baharu-baharu ini.

Guan Eng menjelaskan baki hutang semasa ini adalah meliputi RM27.51 juta untuk 11 Projek Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) dan RM2.15 juta bagi projek 'Indoor Arcade & Seafood Centre di Batu Kawan.

"Kita telah bayar hutang ini, tetapi kebanyakannya adalah kerana projek air yang mana telah diusahakan oleh kerajaan dulu (BN).

"kita merasakan ianya perlu dilangsaikan kerana kalau tidak ia akan menjadi beban kepada kerajaan Pulau Pinang,"jelasnya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan seorang Adun Barisan Nasional yang menuduh kerajaan negeri Pulau Pinang gagal menguruskan kewangan negeri sejak memerintah.

Mengulas lanjut, Guan Eng menjelaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2010 jelas menunjukkan kedudukan kewangan kerajaan negeri meningkat walaupun terpaksa melangsaikan hutang kerajaan terdahulu.

Laporan Audit berkenaan mendedahkan semua petunjuk kewangan di negeri yang diperintah oleh kerajaan Pakatan Rakyat itu, meningkat pada tahun lepas.

Sebagai makluman, Kumpulan Wang Disatukan Negeri telah meningkat RM29.28 juta atau 2.7% kepada RM1.13 bilion.

Manakala baki Akaun Hasil Disatukan telah juga meningkat RM33.54 juta atau 6.2% sehingga mencapai RM572.49 juta

Hasil yang dikutip pada tahun 2010 telah meningkat sebanyak RM34.19 juta atau 9.1% kepada RM410.70 berbanding dengan 2009, RM376.51 juta.

Aset negeri yang terdiri daripada wang tunai dan pelaburan meningkat RM29.28 juta atau 2.7% kepada RM1.13 bilion (RM1.10 bilion pada tahun 2009).

tv news/-

Kerja lain: Graduan ISMP bantah Muhyiddin

6 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 3 Nov: Kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) ‘cari kerja lain’ sebelum ini telah menimbulkan kemarahan sekaligus mengguris hati ribuan graduan dan bakal graduan ISMP di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan kampus-kampus lain.

Susulan dari ketidakpuashatian itu, hampir seribu mahasiswa UPSI telah mengadakan piket di perkarangan Sudut Pidato Universiti tersebut semalam sebagai tanda protes.

Setiausaha Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), Yuyu Luna ketika dihubungi Harakahdaily menjelaskan piket yang berlangsung selama empat jam itu telah menyaksikan ucapan-ucapan menuntut hak penempatan guru untuk graduan ISMP yang dikatakan telah dinafikan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

"Piket tengah hari semalam telah dianjurkan oleh Gabungan Bertindak Mahasiswa yang dicetus oleh wakil LMP sebuah 'front' Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Adam Adli dan wakil Gabungan Graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan, Wan Ahmad Fathi.

"Gabungan mahasiswa ini turut digerakkan bersama wakil Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS), dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), serta 'front' mahasiswa UPSI yg lain," jelasnya.

Tambah Yuyu lagi, piket itu kemudian diakhiri dengan penyerahan memorandum Tujuh Tuntutan Mahasiswa ISMP oleh YDP Majlis Perwakilan Pelajar UPSI kepada TNC Penyelidikan dan Inovasi, Datuk Noraini.

"Tujuh tuntutan itu termasuklah menuntut Timbalan Perdana Menteri menyediakan penempatan yang mencukupi kepada graduan ISMP, mengurangkan pengambilan Guru Sandaran Tidak Tetap serta Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah dan memperincikan bajet pendidikan yang lebih telus dalam menyediakan penempatan guru.

"Tuntutan lain termasuklah menuntut agar unjuran pengambilan guru yang tepat dan telus dikeluarkan agar universiti boleh membuat unjuran pengambilan pelajar yang tidak merugikan,” ujarnya lagi.

Yuyu juga memberitahu gabungan itu berhasrat untuk menyerahkan 10,000 tanda tangan mahasiswa kepada Timbalan Perdana Menteri dalam masa terdekat.

"Petisyen tersebut telah diedarkan disekitar kampus dan kolej-kolej kediaman dan sehingga kini tandatangan yang kita perolehi menjangkau angka sepuluh ribu.

"Ia bakal diserahkan sendiri oleh wakil-wakil mahasiswa kepada Timbalan Perdana Menteri pada masa dan tarikh yang akan ditetapkan nanti," tambahnya lagi.

Sebelum itu, Muhyiddin telah mengeluarkan kenyataan yang disiarkan Buletin Utama pada 30 Oktober lalu bahawa tiada lagi jaminan penempatan bagi graduan ISMP yang tidak ditaja KPM.

Selain itu, beliau turut menyebut bahawa graduan pendidikan perlu mencari kerja di tempat lain yang sesuai dengan ijazah mereka.

Muhyiddin turut menyifatkan keutamaan penempatan turut diberikan kepada Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) manakala penempatan graduan ISMP akan dibuat setelah selesai penempatan GSTT dan KPLI.

Yuyu berkata, Muhyiddin sekarang berdepan dengan kemarahan mahasiswa di UPSI jika isu tersebut tidak diselesai segera selain memenuhi tujuh tuntutan memorandum tersebut.

harakahdaily/-

50 maut kena renjatan elektrik

6 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

PENDUDUK terpaksa berdiri di tempat duduk ketika menunggu bas di daerah Phisi Charoen, Bangkok, semalam.

Penduduk Bangkok redah banjir hadapi risiko baru

BANGKOK: Banjir dilaporkan semakin buruk di ibu negara Thailand berikutan lebih banyak kawasan tenggelam manakala jalan raya tidak dapat dilalui.
Lebih 50 penduduk dilaporkan maut akibat terkena renjatan elektrik sewaktu memindahkan barangan mereka ketika meredah banjir.

Ketua Jabatan Kawalan Penyakit, Dr Pornthep Siriwanarangsan melahirkan kebimbangannya berikutan semakin ramai penduduk yang terbunuh terkena renjatan elektrik.

Beliau berkata, walaupun angka rasmi kematian akibat terkena renjatan elektrik ketika banjir masih lagi 17, lawatan beliau ke penempatan dan pertemuan dengan penduduk terjejas mendapati jumlahnya 50 kes.

Sementara itu, Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) mengarahkan penduduk berpindah dari kawasan Bang Phai, berikutan banjir semakin buruk. Bang Phai berada di daerah Bang Khae di Bangkok.

BMA menyenaraikan kawasan daerah Bang Chan di daerah Klong Sam Wa di Bangkok sebagai kawasan dalam pemerhatian.
Gabenor Bangkok, MR Sukhumbhand Paribatra turut bimbang mengenai zon barat di ibu negara itu.

“Sistem saliran air di sana tidak baik seperti di zon timur,” katanya.
Kawasan yang dilanda banjir, Bang Khae dan Thawee Watthana adalah antara daerah di zon barat.

“Paras banjir kini melebihi satu meter,” kata Samart Khemthong, seorang daripada mangsa di sana. Kampungnya, Sakunthip berada berhampiran dengan terusan Thawee Watthana.

Katanya 30 daripada 350 keluarga berkhemah di luar perkampungan mereka bagi menghalang harta benda mereka dicuri.

“Kami sangat memerlukan sebuah bot sekarang ini,” kata Samart.

Sanya Sheenimit, yang mengetuai Jabatan Saliran dan Pengairan BMA berkata bahawa pegawai BMA menggunakan bot di kawasan barat yang dilanda banjir.

“Kami sudah memasang lebih banyak pam dan meletakkan penghadang air,” katanya.

Sukhumbhand berkata, banjir menjadi ancaman di zon timur Bangkok selepas kerajaan mengarahkan pintu air di terusan Klong Sam Wa dialihkan.

“Lebih banyak tempat di zon timur termasuk kawasan perindustrian Bang Chan berisiko dilanda banjir,” katanya. – Agensi

Sijil halal cuka buatan Jepun

6 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

MELAKA sedia bekerjasama dengan Jepun mendapatkan status halal bagi pasaran cuka buatan ke negara-negara Islam. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Melaka sedia menjadi pihak tengah untuk membantu Jepun mendapatkan sijil halal bagi membolehkan cuka buatan yang dikeluarkan di negara itu memasuki pasaran Asia Barat dan negara-negara Islam.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, cuka itu yang dikenali sebagai kurozu popular di Jepun sebagai minuman kesihatan untuk penjagaan kulit dan awet muda, boleh turut dimanfaatkan umat Islam jika diproses mengikut syariat Islam.

"Oleh itu, sijil halal khasnya daripada Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) diperlukan bagi produk daripada beras dan ragi yang diperam ini untuk menarik minat pengguna Islam di merata dunia," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama dari Jepun semalam.

Proses pembuatan cuka itu, yang diperam dalam tempayan untuk tempoh tertentu, sama seperti proses pembuatan kicap yang menggunakan bahan asas kacang soya.

Mohd. Ali yang sedang dalam lawatan kerja empat hari ke Jepun, melontarkan idea itu pada jamuan malam bersama Persatuan Persahabatan Malaysia-Kagoshima (KMFA) yang dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia Osaka di sini malam tadi.

kosmo/-

Mat Sabu, integriti dan perisytiharan harta

6 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Memang agak pedih menerima kritikan pedas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu bahawa isu integriti dan akauntabiliti seakan-akan tidak diberi perhatian utama oleh sesetengah pemimpin Pakatan Rakyat yang diberi amanah untuk menerajui kuasa di negeri-negeri tertentu.

Malah beliau membandingkan, negara-negara Barat jauh lebih ke hadapan dalam hal ini, sambil merujuk beberapa indeks penting seperti berkaitan demokrasi, antirasuah, keselamatan dan kebebasan akhbar. Kecenderungan pemimpin parti Islam yang menang di Tunisia, An-Nahdah, Raschid Ghanoushi untuk meneladani model ekonomi Sweden -- bukannya negara Islam -- turut dibangkitkan Mat Sabu.

Selepas menyemak indeks berkenaan, saya dapati memang ada pertalian rapat di antara ranking demokrasi dan korupsi, kecuali untuk Singapura. Lima negara teratas demokrasi, seperti Denmark, Sweden, Finland, New Zealand dan Switzerland juga menduduki posisi lima negara terbaik dari segi ranking antirasuah. (Malang sekali apabila negara-negara Islam tercorot jauh ke belakang).

Program negara kebajikan mereka juga dikenali seluruh dunia. Memang peratus peruntukan kebajikan buat rakyatnya daripada KDNK begitu tinggi, dan cukai yang dikenakan ke atas rakyatnya juga besar, tetapi saya kira dengan pengurusan kewangannya yang telus dan berhemah, pembayar cukai akan berlapang dada. (Sebenarnya kadar cukai di Malaysia, sama ada cukai korporat mahupun individu, tidaklah jauh berbeda dengan cukai di negara berkenaan).

Sedangkan negara kita saban tahun menyaksikan pembaziran dan salahguna berleluasa, antaranya ditunjukkan dalam Laporan Ketua Audit Negara dan pendedahan berterusan mengenai ketirisan puluhan bilion ringgit, maka pembayar cukai sentiasa memprotes dalam diam (dan mutakhir ini berani meledakkannya di petak undi).

Lebih keras apabila Mat Sabu menujukan teguran langsung kepada sahabat-sahabatnya, dalam saf kepemimpinan Parti Islam, PAS sendiri. Beliau mahu teladan lebih unggul, terutama dalam urustadbir sumber negeri dan amalan integriti dizahirkan secara lebih meluas. Jangan sewenangnya ghairah menggunakan 'hak' untuk menikmati keistimewaan atas jawatan dalam kerajaan (yang digubal Umno-BN semasa mereka berkuasa); seharusnya budaya hidup sederhana dipraktikkan.

Sesungguhnya integriti tidak akan dicapai melalui undang-undang atau institusi formal semata-mata. Seseorang individu itu kekal mengamalkan prinsip dan nilai hidup unggul meskipun dihapuskan segala kekangan perundangan serta adat dan kebiasaan tertentu dalam masyarakat. Justeru, konsep ehsan dalam Islam merupakan jawapan terbaik. Cukup malang jika aktivis gerakan Islam boleh mengetepikan integriti selepas diuliti kekuasaan.

Kisah hidup Umar Abdul Aziz, seperti diungkapkan Dr Siddiq Fadzil, perlu ditelani pemimpin gerakan Islam: "Ditakdirkan Umar tampil pada zaman menggejalanya kehidupan materialistik. Beliau cukup menyedari gaya hidup bermewah-mewah adalah punca utama pelbagai kebejatan moral, sosial, politik dan ekonomi ... membuka ruang rasuah, penyalahgunaan harta awam.

"Untuk menutup ruang kebejatan itulah Umar berusaha mempromosikan gaya hidup sederhana dengan menampilkan diri dan keluarganya sebagai teladan yang hidup ... Memang tidak mudah melaksanakan langkah korektif apabila ia melibatkan kepentingan keluarga dan kerabatnya sendiri. ...

"Keadilan sosial tidak hanya dikhayalkan .... direalisasikannya menerusi agenda pemerataan keadilan dan kesejahteraan, termasuk perapatan jurang kaya miskin."

Meneliti realiti di negara kita, saya semakin sedih terutama selepas membaca prakata buku Reformasi Pembiayaan Politik di Malaysia, terbitan Transparency International Malaysia: "Masyarakat Malaysia sudah terlalu lama bertolak ansur dengan rasuah. Kita menerima adalah tidak menjadi kesalahan untuk terlibat dalam rasuah asalkan kita sendiri memperoleh sesuatu atau merasa selesa.

"Justeru, kita sering menutup mata terhadap perlakuan rasuah dalam semua bentuk, dan tidak mengendahkan soal kurangnya akauntabiliti dan urus tadbir dalam urusan menerajui sumber negara, asalkan pemimpin politik berupaya memberi manfaat ekonomi kepada masyarakat, meskipun tidak sebanyak mana atau tidak setimpal sekalipun berbanding dengan ketirisan yang berlaku."

Mungkin ada baiknya difirkan secara mendalam cadangan seorang rakan yang mahukan setiap calon PAS dalam PRU13 membuat pengisytiharan harta, iaitu salah satu elemen penting untuk mengekalkan integriti. "Kita sudah berkuasa di beberapa negeri, dan ramai pemimpin yang memegang jawatan kerajaan. Tanpa perlu diminta, biarlah kita menunjukkan teladan dengan secara sukarela membuat perisytiharan aset, agar nampak kita berpegang dengan ketelusan dan transparensi," hujahnya.

Di Amerika Syarikat, calon-calon yang bertanding akan meneliti borang perisytiharan sesama sendiri dan menjadikannya isu jika ada calon yang hidup mewah di luar kemampuannya. Borang yang menghendaki perisytiharan tentang sumbangan dan perbelanjaan kempen juga tidak terkecuali.

Jika ada calon mendakwa hanya menerima sumbangan sederhana tetapi menaiki jet sewa dan tinggal di hotel mewah, maka calon saingan akan menjadinya isu. Terdapat juga kumpulan masyarakat sivil yang memeriksa borang dan laporan tentang ahli politik yang membuat perisytiharan meragukan.

Wajar sekali pemimpin dan kerajaan Pakatan Rakyat sedaya mungkin membuktikan bahawa dengan keterbatasan ruang lingkup yang ada, mereka secara jujur mahu mempraktikkan segala amalan mulia yang dilaungkan. Akhlak, integriti dan etika menjadi budaya hidup dalam menerajui amanah rakyat.

Kelak akan tampil menyerlah perbedaan nyata sosok tubuh dan perwatakan seorang ahli politik Pakatan Rakyat (khususnya PAS) dengan Barisan Nasional, setelah terbukti berjaya melepasi godaan kuasa yang menggila itu.

harakahdaily/-