03 November 2011

Banjir: Kedah buat persediaan awal

6 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 3 Nov: Kerajaan Negeri Kedah telah membuat persiapan awal menghadapi banjir di negeri itu yang dijangka berlaku pada musim tengkujung penghujung November ini.

Sehingga kini, kerajaan negeri telah membeli 16 buah bot sebagai tambahan kepada bot-bot dari Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Polis Diraja Malaysia.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, bot-bot tersebut akan diagihkan mengikut keutamaan kepada daerah yang mudah dinaiki air seperti Padang Terap, Kubang pasu, Pendang dan Pokok Sena.

“Jangan bimbang semua daerah akan mendapat bot dan keutamaan akan diberi kepada daerah-daerah yang sering dilanda banjir,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Aman, Alor Setar semalam.

Katanya, bot-bot jenis ini ringan kerana diperbuat daripada aluminium dan sesuai dengan suasana banjir yang kedalaman air berbeza mengikut tinggi rendah kawasan berkenaan.

Untuk berhadapan banjir tahun ini, kerajaan negeri juga ujarnya memperuntukan jumlah hampir sama dengan tahun lepas iaitu RM3 juta.

Bagaimanapun katanya, jumlah itu mungkin berubah bergantung kepada keadaan banjir itu sendiri.

“Tahun lepas kita peruntukan RM3 juta dan tahun ini mungkin sekitar jumlah itu tetapi terletak kepada banjir itu sekiranya sama dengan lepas ataupun lebih besar,” katanya bagi menjawab soalan media yang ingin tahu mengenai jumlah yang diperuntukan.

Selain itu, sebagai persiapan awal juga, setiap daerah telah diarah memberi taklimat kepada Penghulu, Majlis Komuniti Ketua Kampong (MKK) dan Jawatankuasa Keselamatan Kampung berhubung persedian menghadapi banjir.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: