6 Zulhijjah 1432H. [MOD] -
Di kalangan Umno sendiri, mungkin ada yang terkejut dengan gaya mewah isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor. Tak kurang juga yang seronok melihat gelagat wanita nombor satu Malaysia itu bergaya. Umumnya, tidak siapa tahu daripada mana punca kewangannya untuk beliau berbelanja mewah.
Rosmah tentunya tidak sama dengan Tun Hasmah Mohd Ali atau pun Tun Jane Abdullah yang sebelum ini juga menjadi isteri kepada Perdana Menteri. Mereka tidaklah kontroversi, teruk dan buruk perangai apatah lagi boros dengan gaya hidup melampau.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Nazri Aziz hanya mengkelukan lidah daripada menjawab pertanyaan Pakatan Rakyat tentang gaya hidup mewah Rosmah di dalam Parlimen.
Soalan bertulis dari Ahli Parlimen DAP Serdang, Teo Nie Ching berkenaan pemilikan beg tangan jenama Birkin oleh Rosmah, diperap Nazri tanpa ada jawapan balas. Nazri enggan mengulas. Pada hemat saya, jika ada di lobi Parlimen, wartawan-wartawan 'nakal' bertanyakan hal itu dengan mana-mana menteri, atau ahli yang berhormat daripada BN, saya yakin ia tidak akan dijawab mereka.
Macam-macam alasan akan diberikan. Ini kerana mengulas hal-hal membabitkan Rosmah, ibarat mengisi pasir ke dalam periuk nasi mereka. Teo Nie Ching dan rakyat menyoal samada benar atau tidak Rosmah memiliki cincin berlian RM24.4 juta dan juga beberapa beg tangan yang berjenama, dengan harga terlalu mahal. Nazri dilihat mengelak untuk menjawab isu beg tangan mahal itu.
Tentunya dia bimbang, jika tersalah jawab, akan membinasakan dirinya. Maka lebih baik Nazri "buat-buat tak tahu" daripada menunjukkan hakikat sebenar yang "dia tahu". Sesiapa yang berada di tempat Nazri di dalam Umno-BN, pasti mengambil sikap yang serupa.
Namun, saya kurang pasti jika perkara ini berani diulas oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Saifuddin Abdullah yang dilihat berani, telus dan profesional dalam kerjaya politiknya. Jika ada wartawan yang berminat, boleh cuba-cuba ajukan soalan gaya hidup mewah Rosmah kepada beliau. Apa reaksi Saifuddin?
Gelagat Rosmah mengenakan beg tangan Birkin di khalayak mula diperhati. Barangan perhiasan yang dipakai akan diteliti dari jauh, dilihat dengan serius oleh rakyat. Bukan sekali dua, kini sudah menjadi trend sedondon dengan pakaiannya. Beg tangan Birkin ini berbeza-beza warna mengikut pakaian yang beliau sarung.
Berdasarkan gambar-gambar kreatif yang dibekalkan oleh 'netizens', jumlah beg tangan Birkin ini bukannya satu atau dua tetapi mencecah 11 buah yang berlainan. Ia digunakan Rosmah dalam majlis-majlis rasmi dan sewaktu bercuti.
Beg tangan edisi terhad yang dipakai Rosmah boleh mencecah harga sebuah beg RM28,000 (US$9,000) sehingga RM472,000 (US$150,000). Jenama beg tangan ini dinamakan sempena nama pelakon dan penyanyi tersohor Britain, Jane Birkin.
Ia dihasilkan oleh Hermes sejak tahun 1984 dan ia adalah lambang gaya mewah yang eksklusif dan hanya mampu dimiliki oleh golongan tertentu yang kaya raya secara luar biasa.
Jika beg tangan paling murah yang berharga RM28,000 dibeli Rosmah utnuk bergaya, ini bermakna 11 beg X RM28,000 telah mencecah angka RM308,000. Adakah watak seperti Rosmah akan memilih beg yang berharga RM28,000?
Andainya, kesemua 11 beg itu dibeli pada harga RM472,000, maka sudah tentulah nilaiannya jauh lebih besar mencecah RM5,192,000. Tidak mungkin Rosmah membeli semua beg pada kadar harga itu. Barangkali ada beberapa beg sahaja yang dibeli dengan harga RM472,000. Dan ada beg yang dibeli pada harga RM28,000.
Tetapi, berdasarkan keghairahannya untuk memiliki yang tercantik dan termahal, tidak mustahil Rosmah boleh membeli kesemua 11 beg Birkin pada harga RM472,000. Ini dibuktikan dengan "rahsia umum" dalam isu yang dikatakan Rosmah membeli seketul cincin permata yang mencecah harga sebuah sekolah RM24.458,400.
Apapun penafian Rosmah, dengan pelbagai jalan cerita diubah, namun hubungan akrab keghairahan isteri Najib Tun Razak itu dengan barangan mewah, cantik, unggul dan mahal membantu rakyat untuk menilai apakah benar atau tidak, cincin permata berkenaan bukan dibeli oleh Rosmah.
Julai lalu, jika orang Melayu masih tidak lupa, Badrul Hisham Saharin atau Cikgu Bard yang menjadi Pengerusi PKR Cabang Rembau, mendakwa cincin permata 'Natural Fancy Gray Cushion Cut Diamond' yang berharga RM24,458,400 telah diterbangkan ke negara ini melalui Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).
Beliau juga membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Pulau Pinang pada 13 Julai, mendakwa cincin tersebut dibeli oleh isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor. Dakwaannya jelas dan terang. Sebab itu beliau membuat laporan kepada SPRM agar menyiasat perkara tersebut.
Cikgu Bard mempunyai salinan cetakan dokumen itu dari skrin komputer bagi membuktikan pembelian cincin berharga RM24.4 juta itu bebas daripada dikenakan cukai import.
Namun begitu, setelah khabar angin bertiup kencang tentang pembelian cincin permata bernilai RM24 juta itu, Rosmah akhirnya bersuara dan menyifatkannya sebagai satu fitnah dan tidak ada masa mahu melayannya. Itulah hujah dan alasan Rosmah ketika menjawab soalan pemberita. Mudah dan selamba.
Soalnya, apakah Najib Tun Razak akan bakal menjadi Marcos tidak lama lagi? Ingatkah kita dengan sejarah Imelda Marcos, wanita nombor satu Filipina. Satu ketika dahulu, Filipina yang sama tarafnya dengan kebanyakan negara rantau ini termasuk Malaysia, khusus dalam bidang ekonomi akhirnya musnah ranap.
Filipina hancur kerana rasuah yang gagal dibendung. Keadaan makin parah, dan hancur kerana wujudnya wanita pertama dalam negara itu yang rakus seperti Imelda, dan akhirnya Filipina seperti tak upaya lagi nak bangkit sehingga kini. Rasuah bermaharajalela dalam semua sektor, telah melumpuhkan ekonomi negara berkenaan.
Ketika rakyat hidup 'melarat' Imelda berbelanja mewah. Namun apabila rakyat bangkit, marah dan berang, Imelda dan suaminya terpaksa hidup dalam buangan. Mungkinkah gaya mewah Rosmah boleh dijadikan senjata untuk menikam Umno-BN daripada dalam?
Atau rakyat terus "buat-buat tak tahu" dengan feel hodoh Rosmah dan terus mengukuhkan "kebobrokkan" beliau dengan mengundi BN dalam Pilihan Raya Umum ke-13 tidak lama lagi?
harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan