03 November 2011

Pemurnian sejarah lebih utama dari cerita hantu

6 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 3 Nov: PAS tetap berpendirian Jawatankuasa Khas Kabinet untuk mengkaji semula penulisan sejarah kemerdekaan negara perlu ditubuhkan sebagai usaha pemurnian sejarah khususnya fakta mengenai pejuang-pejuang kemerdekaan.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub (gambar) berkata, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan seharusnya mengutamakan usaha penulisan semula sejarah kerana terdapat percanggahan fakta yang dibuat Majlis Profesor Negara (MPN) sebelum ini.

"Kementerian seharusnya lebih mengutamakan usaha pemurnian sejarah berbanding membenarkan lebih banyak cerita hantu dan seram disiarkan di televiseyen.

"Lebih-lebih lagi apabila timbul kenyataan MPN bahawa Malaysia tidak pernah dijajah. Ini sangat mengelirukan dan perlu kepada jawatankuasa bertindak," kata beliau ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai membidas jawapan Timbalan Menteri, Datuk Maglin Dennis D'Cruz bahawa belum sampai masanya untuk kerajaan menubuhkan jawatankuasa tersebut.

Maglin dalam jawapannya memberi alasan Pakatan Rakyat akan menuduh terdapat campur tangan politik dalam penulisan sejarah jika jawatankuasa tersebut ditubuhkan.

Beliau sebaliknya berkata, seeloknya usaha itu dilakukan para sejarawan sendiri.

"Jawapan Timbalan Menteri itu tidak berapa inovatif...seharusnya kena ada pemikiran yang ke depan, bukan makin ke belakang," kata Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS.

Sebelum ini seorang lagi Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar pernah mengutarakan cadangan itu selepas kenyataan kontroversi

Pengerusi MPN, Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling bahawa Malaysia tidak pernah dijajah.

Namun tidak ada sebarang respons berhubung perkara itu.

HARAKAHDAILY/-

Tiada ulasan: