6 Zulhijjah 1432H. [MOD] -
Dalam kita sibuk memperkatakan tentang kebebasan para akademik untuk bersuara, sedarkah kita bahawa kadangkala mereka tidak juga bebas dalam kerja-kerja seharian mereka seperti memberikan markah kepada pelajar-pelajar mereka? Kenapa saya mengatakan demikian? Untuk lebih memahami apa yang saya maksudkan, saya mempersembahkan beberapa scenario yang telah dan sedang berlaku di universiti-universiti kita.
Senario 1: Pihak Kementerian Pelajaran sedang dalam usaha menaik-tarafkan guru-guru yang tidak mempunyai ijazah dengan menganjurkan kursus-kursus PJJ di universiti-universiti tempatan. Kesemua pensyarah telah ‘diminta’ supaya tidak menggagalkan walau seorang pun pelajar walaupun ada sebahagian yang tidak melepasi tahap lulus. Ini adalah kerana Kementerian ‘amat bertimbang rasa’ terhadap guru-guru tersebut dan mahukan semua mereka berjaya mendapat ijazah.
Senario 2: Di kolej-kolej swasta para pelajar Muslim diwajibkan mengambil pelajaran Agama Islam sementara pelajar-pelajar bukan Islam pula diwajibkan mengambil pelajaran moral. Pensyarah-pensyarah yang mengajar subjek-subjek tersebut telah secara awal-awal lagi diberitahu supaya tidak menggagalkan mana-mana pelajar. Ini adalah supaya pelajar-pelajar kolej tersebut tidak dibebankan dengan mengulangi subjek ‘sampingan’ sekiranya gagal subjek tersebut.
Senario 3: Seorang pensyarah telah didapati mengeluarakan kenyataan yang bertentangan dengan pihak pengurusan tertinggi universiti. Dekan beliau telah diarahkan supaya tidak membenarkan beliau mengajar pada semester tersebut. (Dikhuatiri mempengaruhi pemikiran pelajar mungkin?)
Senario 4: Seorang pensyarah yang baru menamatkan ijazah kedoktorannya telah diambil mengajar oleh sebuah universiti kerana kepakarannya dalam bidang sains politik. Di antara subjek yang akan ditawrkan kepada pelajar-pelajar pada semester tersebut adalah berkenaan politik Malaysia. Memandangkan pensyarah tersebut diketahui mempunyai kecenderungan kepada pihak pembangkang, pensyarah tersebut tidak dibenarkan mengajar subjek tersebut. (Dr Syed Azman pasti tersenyum membaca tentang hal ini).
Cuba kita bayangkan yang kita berada dalam situasi-situasi di atas. Apakah yang akan kita lakukan? Bayangkan, untuk memberikan markah kepada para pelajar pun seseorang pensyarah itu tidak bebas. Bayangkan juga tentang kualiti para pelajar nanti. Apa yang berlaku pada Prof. Aziz Bari adalah sebahagian sahaja daripada kongkongan pihak atasan terhadap para pensyarah. Tidak mustahil perkara yang sama berlaku kepada guru-guru di sekolah (yang mungkin diminta untuk menaikkan markah-markah para pelajar demi mengejar ‘ranking’).
Adalah diharapkan senario ini tidak terus berlaku. Para pendidik, baik para guru atau pensyarah harus melakukan sesuatu untuk mendapatkan hak mereka daripada tidak terus ditekan oleh ‘tangan-tangan ghaib’ dari atas. Pihak masyarakat awam juga hendaklah memberi sokongan kepada para guru dan para pensyarah. Sekiranya campurtangan dari pihak atasan terus berlaku, nescaya kualiti pendidikan kita akan terus menjadi korban.
harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan