6 Zulhijjah 1432H. [MOD] -
SHAH ALAM, 3 NOV: Golongan mahasiswa dan ahli akademik menyambut baik keputusan Mahkamah Rayuan berhubung Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Justeru menyeru kerajaan memansuhkan akta berkenaan dengan segera demi kebebasan mahasiswa dan ahli akademik.
Presiden Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis), Ahmad Syazwan Muhammad Hasan yang dihubungi Sela-ngor Kini berkata, golongan mahasiswa di negara ini telah berjuang sejak tahun 1970-an bagi mendesak akta ini dimansuhkan.
"Gamis berpandangan bahawa Auku ini perlu dimansuhkan segera oleh kerajaan dan perlu menggantikannya dengan satu akta baharu yang lebih mesra kepada mahasiswa dan akta baharu ini diharap mempunyai roh dan semangat perlembagaan dan menyunjung prinsip kebebasan bersuara dan berfikir mahasiswa.
"Jika ISA dihapuskan kerana desakan ramai dan tekanan awam, maka Auku juga sama. Sifat zalim dan menyekat Auku adalah serupa dan senada de-ngan apa yang ada dalam ISA," katanya.
Ahli Akademik dan Pakar Perlembagaan Profesor Dr Abdul Aziz Bari yang dihubungi pula berkata, keputusan Mahkamah Rayuan ini perlu diterjemahkan oleh kerajaan dengan memansuhkan akta tersebut yang bersifat zalim dan mengongkong sepertimana akta hasutan, akta mesin cetak dan ISA.
"Ia merupakan satu keputusan yang berani oleh para hakim. Saya melihat perlunya komitmen kerajaan sedia ada untuk memansuhkan Auku ini yang menghalang kebebasan mahasiswa untuk menyatakan pandangan dan dunia akademik itu sendiri.
"Saya juga melihat tidak perlu untuk kerajaan menggantikan Auku ini dengan akta yang baharu kerana seperti yang kita ketahui Auku ini wujud pada era tahun 1970 dan pada ketika itu universiti sudahpun wujud di Malaysia, " katanya.
Dr Aziz Bari juga berkata jika kerajaan membuat rayuan berhubung keputusan mahkamah tersebut menunjukkan bahawa kerajaan sedia ada tiada kesungguhan untuk mengembalikan hak kebebasan mahasiswa dan akademik di Malaysia.
Dalam pada itu golongan mahasiswa yang ditemuramah turut menyatakan sokongan agar Auku dimansuhkan supaya mahasiswa mempunyai ruang dan kebebasan bersuara.
tv news/-
1 ulasan:
siapa ahli akademik yang sokong ? ada senarai ?
Catat Ulasan