02 Disember 2011

Elak kecurian motosikal

6 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA BERANG – Kira-kira RM30,000 diperuntukkan untuk membina parkir motosikal berkunci bermula 2012 di dua bandar berasingan iaitu Bandar Kuala Berang dan juga Bandar Ajil.

Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT), Talaha Ali berkata, parkir yang bakal dilaksanakan tahun hadapan itu bertujuan mengurangkan masalah kecurian motosikal di kedua-dua bandar berkenaan yang terlalu berisiko.

“Ini adalah langkah atau usaha kerajaan yang dapat dilaksanakan bagi memberi keselesaan kepada rakyat terutama mereka yang tinggal di daerah Hulu Terengganu.

“Jika sebelum ini kita melihat banyak parkir motosikal yang tiada sistem keselamatan sistematik, tetapi bermula tahun hadapan, pengguna motosikal tidak lagi perlu risau keselamatan kenderaan mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, kawasan yang menjadi tumpuan dan bakal disediakan parkir motosikal berkunci ialah di kawasan perniagaan, perumahan dan juga lokasi tumpuan orang ramai.

Menurutnya, ia adalah sebagai salah satu langkah untuk mengurangkan kes kecurian motosikal kerana masalah itu juga dilihat begitu tinggi berlaku di daerah ini.

“Begitu juga dengan hasrat kerajaan yang mahu melihat penduduknya hidup dalam keadaan selamat dan selesa,” katanya.

Sinar Harian

NFC akan terus junamkan indeks rasuah, kata PAS

6 Muharram 1433H. [MOD] -

Siasatan awal polis yang merumuskan bahawa tiada unsur pecah amanah dalam isu projek lembu Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) akan terus menjunamkan indeks rasuah Malaysia di mata dunia, dakwa PAS.

Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Zulkefly Ahmad berkata, tindakan sebegitu bukan caranya untuk membaikpulih kedudukan berkenaan.

"Kalau begini caranya, kita akan terus merudum. Ketika kerajaan bercakap tentang demokrasi terbaik, masih ada yang dilindungi," katanya.

Bercakap pada sidang media di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini, beliau berkata pengumuman timbalan ketua polis negara tentang hasil siasatan projek sensasi itu memberikan kejutan besar kepada mereka.

Hadir sama dalam sidang media itu timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu.

Menurut laporan Tranparency International semalam, skor Malaysia jatuh lagi kepada 4.3 pada tahun ini.

Sementara itu, Mohamad ketika diajukan soalan yang sama, menyifatkan kenyataan yang dibuat Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar itu, sebagai "pelik".

"Ini kenyataan yang pelik. Saya hendak dengar SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) buat kenyataan yang sama," katanya ringkas.

Suruhanjaya itu sebelum ini dilaporkan mendapat aduan yang sama tetapi menyerahkannya kepada polis kerana mendapati kes itu bukan bawah bidangkuasanya.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata tiada unsur pecah amanah atau penyelewengan dalam isu dana NFC dengan pembelian kondominium mewah di ibu negara.

Khalid dilaporkan berkata siasatan polis setakat ini mendapati tiada elemen pecah amanah.

Namun, katanya, pihak polis masih menyiasat secara keseluruhannya kes ini termasuk ke mana wang atau dana NFC dibelanjakan.

Menurutnya, 74 individu telah sudah panggil untuk diambil keterangan setakat ini.

MALAYSIAKINI/-

Maut dirempuh bas

6 Muharram 1433H. [MOD] -

KULAIJAYA – Seorang pekerja warga Bangladesh maut dalam keadaan menyayat hati setelah tubuhnya terputus dua akibat dirempuh sebuah bas persiaran di KM 49.9
Lebuhraya Utara-Selatan di Sedenak, di sini kira-kira jam 8 pagi, semalam.

Kejadian itu menyebabkan bahagian pusat hingga kaki mangsa tercampak ke bahu jalan, manakala bahagian kepala hingga perutnya tersangkut pada bahagian hadapan bas yang sedang dalam perjalanan dari Pulau Pinang menuju ke Johor Bah­ru-Singapura.

Kemalangan ngeri itu turut menyebabkan dua rakan mangsa yang bersamanya ketika kejadian mengalami kecederaan parah dan sedang mendapatkan rawatan di hospital ber­­ham­­piran.

Salah seorang penumpang, Valambal, 60 berkata, ketika kejadian, dia terdengar bunyi dentuman yang kuat sebelum terjatuh dari tempat duduknya dan terhumban ke arah hadapan bas bersama beberapa penumpang lain.

“Dia (pemandu) tidak dapat mengelak pekerja berkenaan lalu melanggarnya sebelum memberhentikan bas dan ketika itu ramai penumpang yang terjatuh ke hadapan bas.

“Ketika kejadian saya duduk di barisan ketiga di belakang pemandu, yang lain-lain (penumpang) selamat dan hanya alami luka ringan,” katanya.

Sementara itu, pemandu bas yang dikenali sebagai Ahmad berkata, kejadian berlaku amat pantas menyebabkan dia tidak sempat mengelak dari melanggar mangsa, namun berjaya mengawal kenderaan daripada menyebabkan terbalik ke bahu jalan.

“Kejadian ini mengejutkan saya, namun saya berasa sedikit lega kerana selamat mengelak dari melanggar pembahagi jalan dan mengawal kenderaan supaya tidak terbalik,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, kemalangan berpunca daripada pemandu bas yang melanggar lori kenderaan pekerja yang sedang menjalankan kerja pembaikan pada bahu jalan terbabit.

Katanya, kesemua 20 penumpang dan pemandu terselamat.

Sinar Harian

RM25,000 lesap diragut

6 Muharram 1433H. [MOD] -

SUNGAI SIPUT (U) – Seorang pekerja kilang berputih mata apabila wang sebanyak RM25,000 yang baru sahaja dikeluarkan dari sebuah bank di pekan Sungai Siput, di sini, Selasa lalu, lesap setelah menjadi mangsa ragutdi sebuah restoran berdekatan.

Pada kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, seorang lelaki keluar daripada sebuah bank dan tiba-tiba diserang seorang lagi lelaki yang tidak dikenali.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superitendan Azman Salim, berkata, mangsa berusia 50 tahun itu adalah bekerja di sebuah kilang dan menjadi wakil untuk mengeluarkan duit untuk tujuan tertentu.

Menurutnya, setelah keluar dari bank berkenaan, mangsa tidak terus beredar kerana menuju ke sebuah kedai untuk mengambil makanan yang dipesan.

“Setelah mengeluarkan wang dari bank, mangsa memasukkan duit di dalam sampul dan membawanya ketika menunggu untuk mengambil makanan yang dipesan.

“Kedai makan berkenaan berada berhampiran bank dan ketika menunggu seorang lelaki memakai topi keledar menendangnya dari arah belakang,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Beliau berkata, selepas itu, lelaki berkenaan terus meragut sampul berisi duit yang dibawa mangsa dan lari menyeberangi jalan.

Jelasnya, seorang rakan peragut menunggu di seberang jalan menggunakan motosikal dan mereka terus memecut lari.

“Kami tidak menolak kemungkinan gerak-geri mangsa sudah diperhatikan penjenayah sebelum kejadian itu.

“Kemungkinan besar penjenayah sudah memerhatikan mangsa sebelum ini dan sudah menjadikannya sebagai sasaran kerana bukan kali pertama mangsa keluarkan wang di bank berkenaan,” katanya.

Azman berkata, sehingga kini, tiada kes ragut dilaporkan berlaku di kawasan itu dan pihaknya masih lagi menjalankan siasatan lanjut.

Katanya, saksi kejadian atau individu yang mempu­nyai maklumat suspek diminta tampil dengan menghubungi balai berhampiran.

Sinar Harian

Mangsa banjir di daerah Kerian Meningkat

6 Muharram 1433H. [MOD] -

IPOH: Jumlah mangsa banjir di daerah Kerian yang dipindahkan meningkat daripada 74 orang semalam kepada 97 orang hari ini berikutan kampung mereka masih dinaiki air.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Mat Fauzi Nayan berkata mangsa banjir terbaru yang dipindahkan malam tadi membabitkan 23 orang daripada enam keluarga.

Mangsa-mangsa terbaru itu membabitkan Kampung Perlis, Kampung Batu 38 Bukit Merah, Kampung Parit Ayer Hitam dan Kampung Padang Lalang, katanya ketika dihubungi hari ini.

Mat Fauzi berkata kesemua mangsa banjir itu dipindahkan di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Bukit Merah.

Semalam seramai 74 orang mangsa banjir dipindahkan dan ditempatkan di sekolah berkenaan membabitkan Kampung Batu 40 Bukit Merah, Kampung Perlis dan Ban Abu Hasan, katanya.

Katanya kampung-kampung terbabit masih dinaiki air berikutan limpahan kolam air Bukit Merah akibat hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Operasi pemindahan mangsa banjir dilakukan oleh Jabatan BOmba dan Penyelamat, Rela, Jabatan Pertahann Awam dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. - BERNAMA

Penerbangan terus ke Medan dari Ipoh

6 Muharram 1433H. [MOD] -

IPOH – Syarikat pengurusan penerbangan tempatan, Unimaju Fly Travel &Tours Sdn Bhd (Unimaju Fly) akan menawarkan pakej pelancongan kesihatan eksklusif kepada rakyat Indonesia yang ingin mendapatkan rawatan kesihatan di negeri ini.

Pengarah Urusan Unimaju Fly, Habidi Zain berkata, ia melibatkan penerbangan khas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Polonia di Medan, Indonesia ke Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTAS) di sini.

“Pusat-pusat perubatan di negeri ini menjadi pilihan kepada rakyat Indonesia terutama dari Medan bagi mendapatkan rawatan kesihatan mereka.

“Ini kerana pusat-pusat perubatan ini menawarkan perkhidmatan yang bermutu tinggi dengan kadar bayaran yang jauh lebih murah berbanding di negara lain,” katanya selepas majlis pelancaran penerbangan sulung melibatkan penerbangan tiga hala iaitu Subang-Ipoh-Medan yang disempurnakan Datuk Bandar, Datuk Roshidi Hashim di sini, semalam.

Menurutnya, pakej yang akan dilancarkan selewat-lewatnya Mac 2012 itu masih dalam peringkat perbincangan melibatkan sewaan pesawat khas dengan kadar berpatutan kepada pesakit dan keluarga.

Habidi berkata, pihaknya sedang berbincang bersama wakil-wakil pusat perubatan di bandar raya ini bagi mendapatkan terma dan peraturan untuk membawa pesakit dari republik itu.

“Secara purata, rakyat Indonesia membelanjakan jutaan ringgit untuk mendapatkan rawatan di sini setiap tahun.

“Dengan adanya penerbangan khas pada kadar berpatutan, secara tidak langsung meningkatkan kadar pelancongan selain membantu sektor perubatan di negeri ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Habidi berkata, penerbangan sulung menggunakan pesawat ATR72 itu menawarkan jadual penerbangan tiga kali seminggu iaitu Selasa, Khamis dan Ahad.

“Permintaan terhadap penerbangan terus Ipoh-Medan sangat menggalakkan dan Unimaju Fly berharap peluang ini direbut semua pihak sama ada untuk berkunjung ke
Medan atau rakyat republik itu melancong ke Perak.

“Caj yang dikenakan juga berpatutan malah, Unimaju Fly yakin semua golongan mampu menggunakan perkhidmatan yang disediakan ini kerana kadar yang dikenakan adalah termasuk surcaj bahan api,” katanya.

Sinar Harian

Satu lagi tahanan di lokap polis meninggal dunia

6 Muharram 1433H. [MOD] -

Seorang penghuni Pusat Tahanan Sementara Bukit Jalil ditemui meninggal dunia di dalam lokapnya tengah hari, semalam.

Menurut sumber polis lelaki berumur 50 tahun itu ditemui mati oleh rakan selokapnya kira-kira pukul 1.20 tengah hari.

"Rakan lokapnya ingin ajak si mati makan tengah hari namun dilihat sudah meninggal dunia," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas, semalam.

Mayat lelaki itu kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat, katanya.

Beliau berkata lelaki yang ditahan pada Isnin lalu dan direman keesokan harinya disiasat mengikut Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

- Bernama

RUU Perhimpunan Aman: PAS saman PM hari ini

6 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 2 Dis: Langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 pada persidangan Dewan Rakyat 24 November lalu memaksa PAS mengambil tindakan saman terhadap beliau dan Kerajaan Malaysia hari ini.

Saman tersebut difailkan bersama oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Ketua Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur jam 10.00 pagi tadi.

Menurut Mohamad Sabu, tindakan saman itu difailkan menerusi syarikat guaman Hanipa Maidin & Co dengan turut ditemani peguam terbabit, Mohd Hanipa Maidin yang juga peguam PAS, dengan menamakan Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, Pahang sebagai responden pertama dan Kerajaan Malaysia responden kedua.

Katanya, tujuan saman itu difailkan adalah untuk melakukan semakan kehakiman terhadap rang undang-undang tersebut dan bagi mendapatkan 3 perintah dari mahkamah.

"Pertama adalah perintah deklarasi bahawa responden-responden telah bertindak melebihi kuasa mereka dan telah menyalahgunakan kuasa mereka apabila memperkenalkan dan membentangkan rang undang itu di Parlimen bagi menjadikannya sebagai undang-undang atau akta, meskipun bercanggah dengan Perkara 10 (1) (b) dan 10 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.

Perintah kedua, menurut beliau, bagi melarang responden-responden daripada terus bertindak melebihi kuasa mereka dan menyalahgunakan kuasa mereka dengan melarang responden-responden meneruskan segala proses bagi menjadikan rang undang-undang itu sebagai akta yang boleh dikuatkuasakan.

"Ketiga, secara alternatif, perintah mandamus bagi memaksa responden-responden mengambil langkah-langkah yang perlu dan wajar untuk sama ada menarik balik semula rang undang-undang itu atau membuat pindaan-pindaan yang perlu agar selaras dengan peruntikan-peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Sementara itu, Mohd Hanipa Maidin berkata, meskipun rang undang-undang tersebut telah dipinda pada persidangan Dewan Rakyat, hakikatnya, Perdana Menteri dan Kerajaan malaysia tetap telah bertindak melampaui kuasanya kerana memperkenalkan rang undang-undang itu yang bercanggah dengan Perkara 10 (1) (b) yang dibaca bersama-sama Perkara 10 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan.

"Ini menjadikan rang undang-undang tersebut, sekiranya berjaya dijadikan Akta yang berkuatkuasa, adalah terbatal dan tidak saj di bawah Perkara 4 (1) Perlembagaan Persekutuan," jelasnya.

Responden-responden, katanya, hanya mempunyai kuasa untuk membentang rang undang-undang yang selaras dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan, tetapi responden-responden telah bertindak melebihi kuasanya kerana membentangkan rang undang-undang tersebut yang bercanggah dengan Perkara 10 (1) (b) yang dibaca bersama-sama Perkara 10 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan.


Harakah Daily

Jerman larang pelajar solat

6 Muharram 1433H. [MOD] -

BERLIN - Sebuah mahkamah di Jerman menghalang seorang pelajar beragama Islam daripada menunaikan solat di dalam kawasan sekolah, walaupun selepas waktu pembelajaran kerana menganggap perbuatan itu sebagai gangguan kepada sekolah.

Mahkamah persekutuan mendakwa perbuatan itu akan mencetuskan masalah di sekolah, walaupun mengakui hak untuk menunaikan solat di sekolah adalah kebebasan beragama yang dijamin perlembagaan negara.

Menurut mahkamah, sekolah tinggi di Berlin mengambil tindakan betul apabila menghalang Yunus Mitschele, 18, menunaikan solat secara terbuka di dalam kawasan sekolah kerana mendakwa ia akan mencetuskan konflik antara pelajar berlainan agama.

Selain menyokong lara-ngan pihak sekolah supaya pelajar tidak menunaikan solat, mahkamah turut memutuskan sekolah tersebut tidak perlu menyediakan bilik khas untuk pelajar Islam bersolat kerana ia di luar tanggungjawab pihak sekolah.

Perbicaraan kes selama lebih dua tahun itu bermula apabila Yunus dan beberapa rakannya menunaikan solat secara berjemaah di koridor sekolah semasa waktu rehat pada 2007.

Pengetua sekolah kemudian memberi amaran kepada remaja itu dan ibu bapanya bahawa menunaikan solat di sekolah tidak dibenarkan kerana didakwa akan menimbulkan masalah, menyebabkan Yunus membawa kes tersebut ke mahkamah.

Kes itu menerima perhatian meluas di Jerman, negara dengan hampir empat juta penduduk beragama Islam, apabila keputusan dua mahkamah daerah sebelum ini menyebelahi Yunus sebelum ia ditarik balik mahkamah persekutuan.

SINAR HARIAN/-

M'sia jangan ikut Amerika tak iktiraf Hamas

6 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR,: Tiga ahli Parlimen PAS yang menyertai konvoi delegasi Global March to Jerusalem (GMJ) minggu lalu mendesak kerajaan Malaysia meningkatkan kesedaran rakyat berhubung kezaliman Israel terhadap Palestin.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, kerajaan Malaysia juga harus mengiktiraf Kerajaan Hamas di Palestin dan tidak mengikut telunjuk Amerika Syarikat (AS) yang memusuhi Hamas.

"Kami sebagai Ahli Parlimen Malaysia mendesak kerajaan mengambil berat masalah kezaliman ke atas Palestin dan penderitaan yang dihadapi rakyatnya.

"Malaysia masih lagi tak iktiraf Hamas dan masih lagi iktiraf Fatah kerana ikut telunjuk Amerika Syarikat yang kata Hamas pengganas.

"Kerajaan lain sudah sanggup iktiraf Hamas kenapa Malaysia yang selalu bercakap ingin membela Palestin masih enggan iktiraf Hamas?" kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Tambah beliau, kerana tidak mengiktiraf Hamas itulah segala bantuan ke atas Palestin disekat oleh AS.

Khalid yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat juga menyampaikan harapan Kerajaan Hamas agar tekanan terhadap AS ditingkatkan agar nasib malang rakyat Paletin dapat diubah.

Beliau juga mengingatkan kerajaan Umno BN agar mengambil iktibar daripada penderitaan rakyat Palestin dan menghentikan segala pemborosan dalam perbelanjaan negara.

"Paling sedih betapa mereka hidup dalam kesempitan tapi di Malaysia, kerajaan begitu boros dari segi perbelanjaan, rasuah dan ketirisan sering berlaku.

"Sebagai contoh, untuk rawatan kumbahan mereka hanya perlu 1.5 bilion sahaja tapi kita guna 28 bilion sebagai ketirisan. Jadi jangan cakap soal nak tolong Palestin kalau tak ada keinsafan untuk ubah cara pemerintahan," katanya.

Dua lagi Ahli Parlimen yang turut serta dalam delegasi bersama 70 Ahli Parlimen dari 40 negara di Eropah, Amerika Latin dan beberapa negara Timur Tengah 16 November lalu itu ialah Siti Zailah Mohd Yusof (Rantau Panjang) dan Dr. Siti Mariah Mahmud (Kota Raja).

Sewaktu di sana, mereka dibawa bertemu Kerajaan Hamas untuk mendapat maklumat mengenai sekatan yang dilakukan oleh Israel ke atas mereka sejak memenangi pilihan raya pada 2006.

Delegasi bertemu dengan Kementerian Kesihatan, Pertanian, Pendidikan dan Tahanan dan mendengar laporan mereka mengenai apa yang berlaku di Gaza termasuk peristiwa pengeboman 22 hari berturut-turut oleh AS.

Pengeboman itu bukan sahaja menyebabkan kematian tapi trurut memberikan kesan jangka panjang termasuk kecacatan dan pencemaran air di negara yang dihuni 1.5 juta penduduk itu.

HARAKAHDAILY/-

Wujudkan undang-undang tangani YB lompat

6 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 2 Dis: PAS mencadangkan kepada kerajaan agar mewujudkan satu undang-undang baru bagi menangani permasalahan wakil rakyat lompat parti.
Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, ianya sangat perlu bagi menghalang ataupun menghukum wakil rakyat yang bertindak mengkhianati undi rakyat di kawasannya.

"Kita tidak mahu wakil rakyat mencabul hak rakyat sebagai pemilih.

"Jika seseorang wakil rakyat lompat, maka dia perlu dikenakan tindakan gugur jawatan sebagai wakil rakyat, sama ada ahli parlimen atau Adun," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau yang juga ahli parlimen Pokok Sena berkata demikian sebagai mengulangi pendiriannya di Dewan Rakyat semalam, yang mahu Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya turut mengesyorkan perkara tersebut kepada kerajaan.

Mengulas lanjut Mahfuz berkata, kerajaan telahpun mewujudkan undang-undang di mana jika seseorang wakil rakyat itu meletak jawatan, maka akan hilang kelayakan untuk bertanding kerana telah mengkhianati undi rakyat.

Maka katanya, atas semangat sama, undang-undang serupa perlu diwujudkan ke atas wakil rakyat lompat malah ianya harus lebih tegas dan drastik.
"Ini bukan soal PAS ke BN. Ini soal mengkhianati amanah rakyat.

"Tak kira dari Pakatan Rakyat ke dari BN ke, kalau lompat mesti digugurkan jawatan sebagai wakil rakyat," tegasnya.

Harakah Daily

Rakyat Perak bakal dapat MB baru?

6 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 2 Dis: Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir didakwa tidak lagi akan dipilih sebagai menteri besar Perak oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak jika BN kekal memerintah negeri itu selepas PRU-13.

Sebaliknya beberapa nama dikatakan bakal menggantikan Zambry termasuklah Bekas Menteri Besar, Tan Sri Tajol Rosli, Timbalan Pengerusi Umno Perak Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah, Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Umno Bahagian Bruas Datuk Manaf Hashim yang didakwa kini sangat rapat dengan perdana menteri.

Menurut sumber, desas-desus itu sangat kuat diperkatakan kakitangan kerajaan negeri malah usaha lobi-melobi juga jelas dapat dilihat blog-blog politik ahli Umno negeri itu.

Pada masa yang sama, Dewan Pemuda PAS Perak turut mendapat malumat berhubung pergolakan sedang berlaku itu.

Timbalan Ketuanya, Dr Raja Ahmad Al-Hiss dalam satu kenyataan hari ini mencabar Umno negeri itu menamakan calon menteri besar yang baru.

"Adakah Tan Sri Tajol Rosli akan kembali menerajui Umno BN Perak? Ataupun Timbalan Pengerusi Umno BN Perak kini, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah yang akan dinamakan bagi menggantikan Datuk Seri Zambry?

"Atau juga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dikatakan akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini? " soalnya
Beliau juga mendakwa, Najib sehingga kini belum memuktamadkan siapakan calon yang paling layak untuk kerusi ‘orang nombor satu’ di negeri itu.

"Marilah kita tunggu apa jawapan BN Perak dan kami telah pun mengisytiharkan Datuk Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai calon Menteri Besar untuk Pakatan Rakyat (PR) Perak kelak," katanya.

Harakah Daily

Himpunan UMNO , retorik dan lakonan untuk selamatkan kuasa menjelang pilihanraya.

6 Muharram 1433H. [MOD] -
KENYATAAN MEDIA

Semangat rasis yang disemarakkan oleh Umno di perhimpunan agungnya perlulah dibuang jauh-jauh kerana unsur ini tidak lebih dari mengundang kemusnahan terhadap negara.

Saya melihat kegelabahan pemimpin Umno yang dipamirkan serta mendapat liputan meluas dari media pengampu adalah tidak lebih dari retorik dan lakonan pemimpin Umno di pentas politik negara yang diulang bekali-kali untuk selamatkan kuasa menjelang pilihanraya.

Malah saya sangat terkejut dengan pemimpin wanitanya yang menyingsingkan lengan tangannya semasa berucap.

Dalam Perhimpunan Agung Umno, hakikatnya mereka sedang menanam kebencian terhadap orang Cina dan juga DAP selepas sokongan kaum itu jelas tidak memohak kepada BN dan MCA jelas telah ditolak oleh orang Cina.

Dalam masa yang sama sokongan orang India juga diharapkan kembali kepada BN dengan pelbagai cerita dan mengapi-apikan kononnya berlaku penghinaan kepada bangsa tersebut sedangkan siapakah yang sebenarnya yang menghina dan menkhianati orang India bila sekolah Tamil sudah hilang separuh jumlahnya selapas 54 tahun negara menyambut kemerdekaan.

Pada waktu sekarang, kegusaran Umno jelas menyerlah dan memuncak kerana mereka sudah hilang sokongan dari kaum cina dan India . Lalu gendang perkauman dipalu bagi mendapat sokongan orang Melayu.

Itupun saya beranggapan bahawa orang Melayu tidak semudahnya akan menyokong Umno kerana jasa dan pejalanan serta realiti apa yang berlaku di negara kita telah melakarkan bahawa Umnolah pengkhinat sebenar kepada agama , bangsa dan negara.

Melihat perkembangan tersebut diharapkan semoga parti umno cepat berkubur kerana mereka sudah tidak relevan lagi dipersada politik tanahair.

Jika kita boleh gambarkan di TV ,sebenarnya rancangan kartun upin ipinlah yang lebih relevan berbanding umno yang sudah ketandusan modal untuk berceloteh dengan kata-kata semangat mereka tidak lebih dari bahan yang berunsur mengarut.

Najib sudah palu gendang PRU13 dan menyatakan ia sudah semakin hampir, justeru ayuh pimpinan dan pendokong pakatan siap"tempur" untuk selamatkan negara dari pemimpin UMNO yang sedang belakon bagi meraih sokongan rakyat demi kuasa yang sudah berada di hujung usianya..

Putrajaya sudah pasti dalam gengaman PR jika usaha gigih secara berterusan dilakukan bagi menjatukan BN dan disulami dan disertakan bersama doa dan tawakkal kepada Allah SWT.

DRS. KHALIL IDHAM LIM
Parit Buntar, 2 Dis 2011

Sunnah dan adab hari jumaat

6 Muharram 1433H. [MOD] -

1. Hari Jumaat terdapat masa yang mustajab doa. Maka, perbanyaakkan doa

2. Bersedia menghadapi hari jumaat mulai dari hari khamis dengan (1) mencuci kain & baju (2) banyakkan mengucap tasbih & istighfar.

3. Sunat mandi apabila terbit fajar sehingga solat Jumaat didirikan. Yang lebih afdal; mandi ketika hendak pergi solat jumaat.

4. Sunat memakai pakaian putih.

5. Sunat memakai wangi-wangian seperti kasturi & makhruh memakai zabad (kerana menyerupai pakaian perempuan)

6. Sunat (1) menghilangkan bau busuk badan (2) mencukur bulu ari-ari (3) memotong misai (4) mengerat kuku (5) bersugi (6) mencabut bulu ketiak
*jangan mencukur janggut.

7. Sunat berpagi-pagi pergi ke masjid dengan (1) berjalan (2) hati sentiasa mengingati Allah (3) membaca quran (4) Selawat.

8. Apabila masuk ke masjid dituntut berada di saf pertama.

9. Jangan melangkah bahu orang lain.

10. Jangan duduk sehingga didikan solat tahiyat masjid & memadai sekadar 2 rakaat, jangan meninggalkan solat itu sekalipun ketika khatib membaca khutbah.

11. Sunat membaca surah al-Kahfi

12. Perbanyak membaca selawat kepada Rasulullah saw pada hari jumaat & malamnya.

13. Selepas imam naik ke atas mimbar jangan bersolat (kecuali solat tahiyat masjid yang ringkas). Makruh berkata-kata melainkan menjawab azan (ianya sunat)

14. Sunat mendengar khatib membaca khutbah (jangan menyibukkan diri dengan amalan yang lain seperti membaca al-Quran, berzikir atau berselawat)

15. Setelah selesai Solat Jumaat, sunat tidak berkata-kata sebelum membaca al-fatihah (7x), al-ikhlas (7x), al-Falaq (7x), an-Nas (7x).

16. Sunat bersolat 4 rakaat setelah solat Jumaat (2 rakaat pertama: sunat Muakkadah, 2 rakaat terakhir: tidak muakkadah)

17. Setelah selesai solat Jumaat, sunat duduk di masjid sehingga Asar atau Maghrib dengan niat iktikaf.

18. Perbanyakkan doa sepanjang hari Jumaat dengan khusyuk & tawadu’, kerana terdapat masa mustajab doa oleh Allah pada hari Jumaat.

19. Antara masa mustajab doa ialah (1) waktu terbit matahari (2) waktu gelincir matahari (3) ketika iqamat (4) ketika khatib naik ke mimbar (5) ketika berdiri untuk bersolat.

20. Sunat memperbanyak sedekah.

Wallahua’lam

Rujukan: Kitab Hidayatus Salikin (Syeikh Abus-Shamad Al-Falimbani)

Wanita Berusia 30 Tahun Umpama Bayi 9 Bulan

6 Muharram 1433H. [MOD] -

Siapa sangka ‘kanak-kanak’ ini sebenarnya telah berusia 30 tahun. Maria Audete do Nascimento berasal dari Brazil dilahirkan pada 7 Mei 1981. Wanita ini dilahirkan dalam sebuah keluarga yang miskin di Ceara, Brazil.

Wanita berusia 30 tahun ini dijaga oleh ayah dan ibu tirinya, selepas ibu kandungnya meninggal dunia ketika Maria berusia 17 tahun. Seperti mana bayi yang berusia 9 bulan, begitulah sifat yang dialami oleh Maria.

Dia tidak mampu untuk melakukan perkara seperti manusia normal yang berusia 30 tahun malah dia juga tidak mampu bertutur.

Atas sebab kemiskinan, keluarga Maria tidak mampu untuk memberikan rawatan yang sewajarnya ketika beliau masih kecil dan ketika ini semuanya seakan sudah terlambat untuk diubati.

Kemiskinan bukan bermakna tiada kasih sayang. Maria tetap dijaga oleh ayah dan ibu tirinya dengan baik. Bagi mereka Maria adalah kurniaan tuhan dan amanah tuhan kepada mereka.

Pakar di Fakulti Perubatan di Universiti Caera menyatakan yang punca perkara ini terjadi disebabkan Maria mengalami masalah kekurangan hormon tiroid yang teruk menyebabkan tumbersaranya terbantut.

Menurut pakar, masalah ini sebenarnya dapat diatasi dan Maria mampu untuk membesar secara normal jika dirujuk kepada pakar ketika dia masih kecil.

Namun segalanya sudah terlambat dan Maria tidak mampu membesar sehingga ke hari ini walaupun sudah berusia 30 tahun.

SUMBER