19 Disember 2011

Zoo Malam tarikan baru

23 Muharram 1433H. [MOD] -

KUANTAN - Zoo Malam di Mini Zoo Teruntum akan menjadi tarikan baru di bandar ini, selain memberi pilihan kepada pengunjung terutama pelancong luar.


Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Datuk Zulkifli Yaakob berkata, mini zoo itu merupakan lokasi ketiga yang melalui penjenamaan semula selepas Terminal Makmur dan Arked Sentral.

Menurutnya, bermula tahun depan, pihaknya akan menaik taraf mini zoo itu dengan beberapa kemudahan baru seperti gelanggang ‘go kart’, ‘flying fox’ dan persembahan binatang iaitu ular serta buaya dilakukan sendiri kakitangan MPK terlatih.

“Semua perubahan itu bertujuan menarik lebih ramai pengunjung ke bandar ini. Selain pengisian aktiviti, aspek keceriaan turut diberi tumpuan.

“Malah, usaha ini adalah sebahagian daripada persediaan Kuantan menjadi tuan rumah untuk Sukma tahun depan,” katanya pada Majlis Perasmian Zoo Malam di Mini Zoo Teruntum, di sini.

Majlis dirasmikan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail itu turut dihadiri seramai 1,000 pengunjung yang teruja melihat keunikan Zoo Malam berkenaan.

Pada majlis itu, persembahan ular dilakukan kakitangan MPK berjaya membuatkan pengunjung terpegun.

Pengunjung, Nor Hasila Ismail, 28, berkata, dia bersama keluarganya tidak melepaskan peluang untuk menikmati suasana Zoo Malam.

Katanya, aktiviti menarik yang disediakan di mini zoo itu mampu memberi pengalaman baru kepada pengunjung kerana mereka berpeluang melihat pelbagai haiwan terutama persembahan ular.

Sinar Harian

Bau busuk mengganggu

23 Muharram 1433H. [MOD] -

TAMBUN – Penduduk yang tinggal di Taman Rimba Tambun terpaksa menghidu bau busuk serta meloyakan sejak lapan bulan lalu apabila kerja pembersihan saliran dan tangki septik utama yang tidak dijalankan mengikut jadual ditetapkan.

Akibatnya, saliran selalu tersumbat sehingga menyebabkan tangki najis penuh dan penduduk terpaksa hidup dalam keadaan tidak selesa.

Seorang penduduk Norhasidah Hussein, 40, berkata tidak tahan dengan masalah dihadapi, beliau menghubungi pejabat Indah Water Konsortium (IWK) untuk melihat sendiri masalah berkenaan.

“Namun, IWK yang datang membuat pemeriksaan ke rumah saya mengatakan masalah itu berpunca daripada rumah yang didiami.

“Malah, syarikat berkenaan mendakwa moto kipas di loji kumbahan juga tidak berfungsi memandangkan ia dikatakan dicuri pihak tidak bertanggungjawab,” katanya ketika ditemui semalam.

Norhasidah turut mendakwa bahawa IWK meminta bayaran sebanyak RM180 bagi mengepam sisa kumbahan yang bertakung itu.

“Oleh sebab itu, saya terpaksa memanggil pihak persendirian mengorek saliran tersumbat namun perkara yang sama tetap berulang kembali.

“Selain itu, mereka (IWK) berkali-kali menyatakan segala kerja akan dijalankan selepas mereka mendapat peruntukan untuk membersihkan saliran dan tangki septik utama terbabit,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, apabila hujan lebat air daripada tangki itu akan melimpah sehingga menyebabkan bahagian belakang rumah dipenuhi air najis selain terpaksa kerap mencuci bahagian tersebut.

Chen Chee Keong, 50, berkata masalah ini adalah yang pertama berlaku sejak tinggal lebih 10 tahun di kawasan perumahan itu.

“Air di tangki belakang rumah hampir satu inci sudah mahu melimpah keluar. Jika dibiarkan, pasti masalah yang sama akan berlaku di rumah saya,” katanya.

Chee Keong juga pernah menghubungi IWK namun mendakwa pihak terbabit tidak berbuat apa-apa dan hanya menjalankan pemeriksaan sahaja.

Sementara itu, Ketua Urusetia Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak, Mohd Rawi Abdullah berkata beliau akan menemui IWK bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung masalah terbabit.

Menurutnya, ia tidak adil bagi penduduk untuk membayar bil pembentungan pada setiap bulan sedangkan perkhidmatan yang diberikan tidak memuaskan.

“Sehubungan itu, saya akan ke pejabat IWK dan mencari jalan penyelesaian supaya penduduk dapat hidup dengan selesa tanpa perlu menghidu bau busuk setiap hari,” katanya yang akan cuba menyelesaikan masalah berkenaan dalam tempoh seminggu.

Sinar Harian

Jauhi prasangka sesama Islam

23 Muharram 1433H. [MOD] -

Syak wasangka adalah penyakit yang sangat merbahaya di dalam kehidupan. Apatah lagi jika prasangka ini berlaku di kalangan Muslim yang sama-sama berusaha untuk membawa perubahan dan kebaikan di dalam masyarakat dan negara.

Hayatilah firman Allah swt yang bermaksud,

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.

Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” Al-Hujuraat ayat 12

Rasulullah saw juga telah bersabda yang bermaksud,

“Berhati-hatilah kamu dengan berprasangka kerana sesungguhnya berprasangka itu adalah sebohong-bohong ucapan” Hadith riwayat Bukhari dan Muslim

Sejarah perjuangan umat yang panjang telah menyaksikan bahawa siri kemenangan umat yang lampau hanya tercapai apabila kekuatan umat yang ada pada ketika itu digembelingkan bersama-bersama dan mereka telah menjadikan kekuatan aqidah dan keakraban ukhuwah sesama sendiri sebagai tunjang perjuangannya.

Cuba kita renungkan bersama :

Apa untungnya kita menghabiskan masa dan tenaga dengan berbuat sesuatu yang tidak menguntungkan sesiapa di kalangan kita dan tidak membekas apa-apa kepada pihak musuh?
Kenapa tidak kita kerahkan pemikiran dan tumpahkan keringat di atas agenda besar yang akan membawa perubahan yang positif di dalam masyarakat dan negara?

Jom, luaskan dada dan perkasakan amal…

islam itu indah/-

Perkelahan pertama jadi terakhir

23 Muharram 1433H. [MOD] -

KOTA TINGGI - Seorang ayah terpaksa menjadi saksi dua anak lelakinya yang lemas ditelan ombak ketika mandi di pantai awam Desaru, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian berkenaan, Mohd Fauzi Alauddin, 49, pada mulanya, cuba untuk menggadai nyawa bagi menyelamatkan kedua-dua anaknya.

Salah seorang daripadanya, Mohd Fazli, 22, berjaya diselamatkan, namun meninggal dunia, manakala adiknya, Zulhairi, 16, masih gagal dijumpai.

Ibu mangsa, Zuraini Adnan, 47, berkata, kehadiran ke Desaru untuk berkelah merupakan aktiviti perkelahan kali pertama mereka sekeluarga.

“Ketika kejadian ombak sangat kuat. Saya yang ketika itu sedang menikmati juadah bersama seorang lagi anak terkejut apabila melihat suami berlari mendapatkan anak yang sedang mandi di laut.

“Mulanya suami sempat mencapai tangan Fazli, akan tetapi Zulhairi pula ketika itu telah ditelan ombak. Oleh kerana pukulan ombak yang kuat, Zulhairi akhirnya terpisah dengan suami.

“Suami saya bernasib baik kerana orang awam berjaya menyelamatkannya daripada turut ditelan ombak,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Kota Tinggi, di sini, semalam.

Menurutnya, Zulhairi sempat bersembang bersama kakaknya tentang petanda-pertanda ajal pada malam sebelum kejadian berkenaan berlaku.

“Macam mana bila orang meninggal dunia? Itu antara soalan yang ditanyakan Zulhairi kepada kakaknya.

“Kami tidak menyangka itu adalah petanda bahawa dia akan terlibat dengan bencana ini. Malah pada malam sama, abangnya turut bersikap pelik apabila tiba-tiba enggan menikmati juadah hidangan makan malam.

“Walaupun berat untuk menerima ujian ini, namun kami tetap redha dan sentiasa berdoa agar Zulhairi ditemui,” katanya.

Sementara itu, rakan kepada Mohd Fazli, Mohd Ferdaus Nasir, 21, berkata, sehari sebelum kejadian berkenaan, mereka sempat meluangkan masa seharian secara bersama-sama pergi temuduga di sebuah kilang.

“Saya begitu terkejut apabila menerima panggilan daripada rakan yang menyatakan Fazli lemas. Padahal kami baru sahaja meluangkan masa bersama-sama semalam.

“Arwah merupakan seorang yang baik dan aktif bersukan. Dua minggu lalu, kami begitu gembira dan sempat meraikan kejayaan merangkul kedudukan naib johan ketika menyertai satu pertandingan futsal di bandar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik, ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

“Kejadian yang berlaku pada jam 1.30 petang itu telah menyebabkan seorang mangsa Mohd Fazli Mohd Fauzi, 22, meninggal dunia di tempat kejadian akibat lemas.

“Manakala usaha mengesan seorang lagi mangsa, Zulhairi Mohd Fauzi telah dijalankan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia Bandar Penawar, Rela, Pasukan gerakan Marin, serta polis,” katanya.

Sinar Harian

Dokumen Bank Dunia bukti Tun Mahathir ambil pinjaman

23 Muharram 1433H. [MOD] -
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 19 Dis: PKR hari ini menunjukkan tiga dokumen Bank Dunia bagi membukti Tun Dr Mahathir membuat pinjaman kepada Bank Dunia bagi menangani kemelut krisis kewangan 1997/1998.

Ketiga-tiga dokumen rasmi ini adalah bersabit dengan salah satu dari empat pinjaman dari Bank Dunia berjumlah US$704 juta yang diambil oleh Kerajaan Malaysia semasa menangani kemelut krisis tersebut.

PKR mengemukakan ketiga-tiga dokumen ini sebagai bukti bahawa Tun Mahathir telah berbohong apabila beliau mengaku “menolak tawaran bantuan dari Bank Dunia (ketika itu) kerana jika Malaysia berbuat demikian, ia akan menjadi hamba kepada Bank Dunia[1]”.

Bukti ini dikemukakan oleh PKR melalui kenyataan tiga pemimpin mereka iaitu Mohd Rafizi Ramli (Pengarah Strategik), Nik Nazmi Ahmad (Pengarah Komunikasi) dan Wong Chen (Biro Perdagangan PKR).

Bukti ini dikemukakan mereka ekoran cabaran Dr Mahathir agar Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan bukti dakwaannya.

Anwar, ketika bercakap dalam satu majlis di sebuah hotel baru-baru ini mendakwa, Dr Mahathir telah meminjam wang dari bank dunia ketika dia menuduh Anwar alat Amerika dan Bank Dunia serta IMF.

Ketiga-tiga bukti yang mereka kemukakan adalah:

PERTAMA: RUNDINGAN PINJAMAN BERLAKU SELEPAS DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM DIPENJARAKAN

Rujuk Kertas Maklumat Projek (Project Information Document) bernombor PID6999 yang bertarikh 23 Oktober 1998. Laporan ini disediakan sebagai laporan awal oleh Bank Dunia untuk menilai permohonan pinjaman sesebuah negara. Ia adalah dokumen pertama yang disediakan sebelum pun rundingan bermula.

Tarikh 23 Oktober 1998 membuktikan bahawa proses rundingan pinjaman tersebut bermula selepas Dato’ Seri Anwar Ibrahim dipecat dan dipenjarakan. Ia mustahil melibatkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim seperti yang selalu didakwa Tun Mahathir Mohamad dan UMNO.

KEDUA: TUN MAHATHIR MOHAMAD MENGARAHKAN KERAJAAN MEMOHON PINJAMAN BANK DUNIA

Rujuk Laporan Penilaian Permohonan Pinjaman (Project Appraisal Document) bernombor 18855-MA yang bertarikh 3 Mac 1999. Laporan ini disediakan untuk makluman pimpinan Bank Dunia dalam membuat keputusan sama ada mahu meluluskan permohonan pinjaman yang dibuat Kerajaan Malaysia.

Rujuk muka surat 29 (Lampiran 6) yang menunjukkan jadual kerja dan rundingan yang melibatkan Kerajaan Malaysia dan Bank Dunia. Ia secara jelas menunjukkan bahawa agensi bertanggungjawab yang berunding dengan Bank Dunia untuk mendapatkan pinjaman ini adalah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Permohonan pertama dibuat pada 26 Julai 1998. Laporan dan rundingan berikutnya (yang hanya bermula selepas Dato’ Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan) ditangani sepenuhnya oleh Unit Perancang Ekonomi, yang bertanggungjawab sepenuhnya kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Mahathir Mohamad.

Dokumen ini membuktikan bahawa permohonan untuk mendapatkan pinjaman dibuat oleh Tun Mahathir Mohamad melalui Unit Perancang Ekonomi.

KETIGA: PERJANJIAN DITANDANGANI PADA 31 MAC 1999 DIBAWAH PERSETUJUAN TUN MAHATHIR MOHAMAD

Rujuk Perjanjian Pinjaman antara Kerajaan Malaysia dan Bank Dunia (Loan Agreement) bernombor 4452-MA yang bertarikh 31 Mac 1999.

Perjanjian ini ditandatangani dibawah arahan dan persetujuan Tun Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan.

"Jelas sekali bahawa Tun Mahathir Mohamad telah berbohong apabila beliau mengaku tidak mahu menerima bantuan kewangan dari institusi antarabangsa seperti Bank Dunia.

"Malah, pentadbiran beliau dibawah arahan dan seliaan beliau bertanggungjawab membuat permohonan mendapatkan bantuan kewangan Bank Dunia," kata kenyatan tiga pemimpin PKR itu.

Sehubungan itu, mereka menegaskan bahawa fitnah beliau terhadap Anwar dalam hal ini tidak lebih dari usaha beliau memadamkan rekod pentadbiran kewangan yang baik dibawah Anwar.

Malaysia berjaya mencapai lebihan belanjawan ketika Anwar memegang portfolio Menteri Kewangan sehingga berjaya melangsaikan hutang dengan lebih awal dalam tahun-tahun 1993 hingga 1996, berbanding dengan defisit belanjawan yang berpanjangan sejak Tun Mahathir Mohamad mengambil alih jawatan itu dalam tahun 1998.

(Nik Nazmi, Rafizi dan Wong Cheng dalam sidang media mereka)

Menurut mereka, Anwar juga bertanggungjawab menubuhkan Kumpulan Wang Amanah Negara dan Kumpulan Wang Amanah Pencen, bertujuan menjaga kepentingan rakyat melalui dana amanah yang dikawal ketat dan bebas dari salahguna kerajaan.

"Malangnya, dana ini turut disalahgunakan dan menyimpang dari niat asal penubuhannya," kata pemimpin PKR itu.

Mereka juga mencadangkan, Tun Mahathir membersihkan imej beliau di mata rakyat dengan menjawab dua isu melibatkan keluarga beliau.

"Adalah lebih baik beliau menerangkan mengenai penglibatan beliau dalam urusan menyelamatkan perniagaan anak beliau, Mirzan Mahathir yang melibatkan wang rakyat berjumlah RM2 billion dalam tahun 1998 daripada cuba menegakkan benang basah bahawa beliau menolak bantuan kewangan Bank Dunia.

"Apatah lagi apabila Mirzan Mahathir mempunyai dana yang cukup besar kebelakangan ini untuk membeli konglomerat arak terbesar di Filipina iaitu San Miguel yang dilaporkan berharga sekitar RM2.9 bilion," dakwa mereka.


Dua pusat pemindahan banjir dibuka di Johor

23 Muharram 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHARU 19 Dis. — Dua buah pusat pemindahan banjir dibuka di Kluang malam semalam apabila 144 penduduk dipindahkan berikutan banjir di daerah tersebut.

Pusat tersebut ialah SK Kampung Mengkibol yang menempatkan 101 mangsa dan SJKC Ping Ming yang menempatkan 43 mangsa banjir.

"Seramai 350 penduduk di lima buah kampung Orang Asli di Kahang juga telah terputus hubungan apabila jalan ke kampung tersebut tidak dapat dilalui,” kata petugas di bilik gerakan banjir Kluang, Ishak Atan ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurut beliau bilik gerakan banjir daerah tersebut belum dibuka secara rasmi namun pihak berwajib sudah mulai menggerakkan jentera masing-masing bagi membantu mangsa yang terlibat.

Mangsa banjir mulai berpindah semalam apabila paras air Sungai Mengkibol naik ke tahap 25.99 meter berbanding tahap bahaya 25.46 meter berikutan hujan berterusan. — Bernama

Gempa bumi sederhana gegar Sulawesi

23 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi sederhana berukuran 5.6 pada skala Richter menggegarkan Sulawesi pada pukul 9.23 pagi ini.

Menurut satu kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, pusat gempa bumi itu berlaku di 311km timur laut Balikpapan, Indonesia dan 585km tenggara Sarikei, Sarawak.

Gempa bumi itu tidak membawa ancaman tsunami.

BERNAMA

Pelajar mati tergantung dalam asrama UNISEL

23 Muharram 1433H. [MOD] -

Unisel Kampus Bestari Jaya, Selangor tempat seorang pelajar ditemui mati dalam asramanya kelmarin.

KUALA SELANGOR – Sangkaan seorang pelajar bahawa bau busuk berpunca dari tandas rosak meleset apabila bau itu rupa-rupanya bau mayat seorang pelajar lelaki yang ditemui tergantung dari dalam sebuah asrama di Universiti Selangor (Unisel) di sini.

Mayat, V. Rammath Naidu, 19, yang hanya memakai tuala mandi ditemui tergantung menggunakan selimut di kipas siling asrama lelaki universiti itu pada pukul 11.20 malam kelmarin.

Mangsa dikatakan baru melaporkan diri di Unisel Kampus Bestari Jaya di sini pada Rabu lalu.

Dia sepatutnya mengikuti pengajian di Fakulti Pendidikan namun belum sempat Rammath mengikuti kuliah, pelajar yang tinggal bersendirian di bilik itu ditemui meninggal dunia.

Kosmo

Barangan rumah Jackson dilelong

23 Muharram 1433H. [MOD] -

GAMBAR fail pada 12 Disember lalu menunjukkan barangan di bilik tidur Michael Jackson yang akan dilelong oleh firma Julien’s.

BEVERLY HILLS, Amerika Syarikat (AS) - Kandungan sebuah kediaman yang pernah menjadi tempat tinggal Raja Pop, Michael Jackson (gambar kecil) bersama tiga anaknya menjana hampir AS$1 juta (RM3.1 juta) dalam satu lelongan di sini.

Dikendalikan oleh firma Lelongan Julien's kelmarin, perolehan tersebut jauh lebih besar berbanding anggaran prajualan cuma AS$400,000 (RM1.2 juta).

Antara barangan menarik termasuk sekeping papan hitam yang pernah digunakan oleh anak-anak Jackson untuk menulis ungkapan "Saya sayang ayah," yang dijual pada harga AS$5,000 (RM15,885) dalam lelongan tersebut.

Sebuah meja tulis yang digunakan oleh Jackson turut mencatat harga jualan tinggi iaitu AS$25,750 (RM81,807).

Lelongan tersebut menampilkan pelbagai barangan termasuk perabot, hasil seni dan kelengkapan rumah yang terdapat di sebuah rumah agam beralamat 100 North Carolwood Drive di sini.

Jackson menyewa kediaman itu semasa melakukan persediaan untuk siri konsert kemunculan semulanya di London sebelum dia meninggal dunia pada Jun, 2009. - Agensi

'Kita mahu ambil kuasa dari orang gila'

23 Muharram 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 19 Dis: "PAS tidak gila kuasa tetapi berusaha mengambil alih kuasa dari orang gila," kata Dr Dzulkefly Ahmad, anggota Parlimen Kuala Selangor.

Beliau yang juga AJK PAS Pusat berkata demikian dalam sessi khas dialog dengan beliau dan dua lagi rakannya di majlis "Bersama Dr Dzul, Malam Yang akan diingati" malam tadi.

Majlis diadakan di Kelab Shah Alam dekat sini. Turut serta dalam dialog khas itu adalah Nurul Izzah Anwar (Naib Presiden PKR) dan Tony Pua (Setiausaha Publisiti DAP).

Pengerusi dialog itu adalah Dr Abdul Aziz Bari, profesor undang-undang perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa.

Kenyataan Dr Dzulkefly ini dipercayai jawapan sinis kepada kenyataan-kenyataan pemimpin Umno yang sejak kebelakangan ini menuduh pemimpin Pakatan Rakyat gila kuasa apabila mahu berusaha merampas Putrajaya dari tangan BN.

Menurut Dr Dzulkefly, fokus utama dalam pilihan raya umum ini adalah untuk mempastikan pilihan raya ini berjalan dalam suasana pilihan raya yang 'mempunyai padang yang sama rata'.

Oleh itu, katanya, tidak berbangkit sangat bagi beliau Pakatan mempunyai peluang menang atau tidak dalam pilihan raya umum akan datang.

"Kita hanya berusaha yang terbaik...supaya kita sentiasa optimis, saya letak sasaran kita adalah untuk mendapatkan pilihan raya yang adil, bebas dan telus," kata Dr Dzulkefly yang menjadi tuan rumah malam tadi.

Dalam dialog itu, Nurul Izzah berkata, pihaknya meletakkan ada harapan untuk Pakatan merampas Putrajaya untuk pilihan raya umum ke 13 ini.

Namun pilihan raya hendaklah adil dan bebas.

"Kita tidak bimbang kepada sokongan rakyat tetapi yang kita bimbang adalah peti undi itu...adakah ia akan benar-benar adil atau tidak...khasnya senarai pemilih yang ada," kata Nurul Izzah.

Tony Pua pula lebih optimis Pakatan akan menang dan merampas Putrajaya dalam pilihan raya umum ke 14 nanti bukan yang ke 13 ini.

"Saya nampak dalam pilihan raya ini, orang Melayu tidak berapa bersedia lagi untuk berubah...mereka lebih yakin kepada Umno lagi walaupun sedar dari satu ringgit wang yang patut mereka terima, mereka hanya terima 20 sen sahaja, 80 sen lagi jatuh ke tangan pemimpin Umno.

"Jadi, mereka hanya akan sedar setelah kerajaan tiada duit lagi untuk membayar kroni mereka selepas serangan ekonomi dan duit sudah tidak ada lagi untuk dibahagikan....dan ia hanya bakal berlaku menjelang pilihan raya ke 14 nanti bukan pilihan raya ini," kata Tony yang juga anggota Parlimen Petaling jaya Utara.

Namun, Tony masih memberi harapan Pakatan masih boleh berjaya dalam pilihan raya umum ke 13 ini.

"Menjelas pilihan raya ke 12 lalu, ada orang bertanya, boleh ke kita dapat menafikan dua pertiga kuasa BN apabila kita giat kempen ke arah itu.

"Saya kata, saya tidak percaya kita boleh berbuat demikian. Tetapi apa yang berlaku, kita berjaya nafikan dua pertiga BN.

"Saya harap saya salah lagi dalam pilihan raya ini," kata Tony Pua dengan disambut tepukan gemuruh para tetamu malam tadi.

Harakah Daily

Mahasiswa sudah keluar dari pemikiran Umno

23 Muharram 1433H. [MOD] -

TASEK GELUGOR, 19 Dis: “Syabas kepada semua mahasiswa kerana anda sudah matang daripada pemikiran pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku)," kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (gambar).

Beliau menyatakan demikian ketika memulakan ucapan di perhimpunan Rapat Rakyat di Padang Awam, Taman Senangan, Butterworth semalam.

Beliau menggangap tindakan mahasiswa berkenaan menggambarkan mereka sudah berani ke hadapan memperjuangkan akta yang selama ini mencengkam perkembangan minda pelajar.

Katanya, selama ini pelajar tidak bebas bersuara sebaliknya dibekukan daripada memberikan pandangan dan kritikan yang membina kepada kerajaan yang memerintah.

Tindakan itu sambungnya, tidak melahirkan mahasiswa yang cerdik, progresif, matang, berdaya saing tetapi lebih menjurus kepada membentuk pelajar sebagai 'pak angguk' atau 'yes men' semata-mata.

Tambahnya, Pakatan Rakyat bangga dengan perkembangan terkini kebangkitan mahasiswa itu.

"Pakatan Rakyat rasa bangga tentang senario itu tetapi bagi Umno dan BN merupakan," jelasnya yang juga Setiausaha Agung DAP.

Kerajaan, ujarnya patut akur dengan memorandum yang dihantar oleh mahasiswa kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakama) yang meminta dimansuhkan Auku yang mencengkam pemikiran pelajar.

Lim yakin sekiranya mahasiswa diberikan kebebasan bersuara dan memberikan pandangan pasti Umno dan BN akan ketandusan sokongan khususnya daripada anak muda dalam pilihan raya umum nanti.

"Mungkin pilihan raya umum ke 13 ini petanda baik untuk Pakatan Rakyat menang besar. Kebangkitan mahasiswa adalah antara penyumbang yang tidak boleh dipandang enteng," tegasnya.

Harakah Daily

Mampukah buat 1000 kebajikan sehari ?

23 Muharram 1433H. [MOD] -

Rasulullah saw. pernah bersabda, "Sanggupkah kalian mengerjakan seribu kebajikan setiap hari ?" Maka bertanya salah seorang, "Bagaimana caranya kami mengerjakan seribu kebajikan setiap hari itu ?

" Baginda menjawab, "Bacalah tasbih (menyebut Subhanallah) seratus kali, nescaya Allah Taala mencatat bagi kamu seribu kebajikan atau dihapus daripadanya seribu kesalahan." (HR. Muslim)

Pemandangan kokpit kapal angkasa Shuttle Atlantis

23 Muharram 1433H. [MOD] -

DEK penerbangan kapal angkasa Shuttle Atlantis dipenuhi butang dan skrin.

WASHINGTON, Amerika Syarikat - Koleksi gambar kokpit kapal angkasa Shuttle Atlantis milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika (NASA) didedahkan buat pertama kali kepada umum, lapor akhbar MailOnline kelmarin.

Ia menunjukkan suasana kompleks di dalam kokpit tersebut yang dipenuhi susunan butang, tombol dan skrin.

Program kapal angkasa Shuttle NASA berakhir pada Julai lalu dengan Atlantis akan dipamerkan di Pusat Angkasa Kennedy, negeri Florida, bermula penghujung 2012.

Namun, para pengunjung tidak akan dibenarkan untuk masuk ke dalam kokpit tersebut. - Agensi

Isu gugur hudud tidak berbangkit

23 Muharram 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Isu Pas menggugurkan hudud dalam perjuangan seperti dakwaan Umno tidak pernah berbangkit kerana hukum itu sebahagian daripada undang-undang Islam dan melaksanakannya tetap menjadi dasar parti itu.


Ketua Penerangan Pas Kelantan, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, negara berkebajikan yang ditawarkan Pas kepada rakyat adalah program kebajikan dan tidak kesemua dasar-dasar dimasukkan ke dalamnya.

“Negara berkebajikan Pas akan menjadi dasar apabila kami memerintah negara kelak. Nama pun kebajikan. Oleh itu tidak semua dasar-dasar masuk di dalam sebab ia konsep kebajikan.

“Kenapa meletakkan tanggungjawab melaksanakan hukum hudud kepada Pas sahaja. Sepatutnya Umno sebagai Kerajaan Pusat yang melaksanakan dulu undang-undang Islam itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, perkara itu tidak sepatutnya menjadi ‘mainan’ Umno menjelang Pilihan Raya Umum sebagai modal untuk mengenakan Pas kerana rakyat sedia maklum dengan dasar-dasar yang diperjuangkan parti selama ini.

Baru-baru ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melancarkan buku Negara Berkebajikan: Tawaran Pas setebal 59 muka surat yang menggariskan konsep, polisi dan agenda yang akan ditawarkan parti itu bersama-sama pakatannya sekira diberi peluang mentadbir negara.

Dalam buku itu, Pas memperincikan 10 agenda iaitu mewujudkan kerajaan beramanah, masyarakat penyayang, ekonomi mampan, pendidikan berkualiti, perkhidmatan kesihatan cekap, kebajikan langsung, keluarga harmoni, pekerja produktif, kemudahan prasarana berkualiti dan pemeliharaan alam sekitar. Buku itu penjelasan kepada buku pertama yang ditulis Abdul Hadi bertajuk Konsep Asas Negara Berkebajikan.

Sinar Harian

Pertikai tindakan Imigresen

23 Muharram 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Sikap sebahagian besar pelajar warga asing yang memandang remeh kepentingan membawa dokumen pengenalan diri semasa berada di luar kawasan kolej di sini, membawa padah apabila mereka ditahan Jabatan Imigresen, semalam.

Mereka ditahan ketika sedang berada di sebuah pusat snuker di sini.

Bagaimanapun, berlaku sedikit kekecohan apabila beberapa pelajar warga Afrika yang ditahan mempertikaikan tindakan anggota penguat kuasa itu, walaupun sudah menunjukkan surat pengesahan dan kad pelajar kolej.

Selain itu, tiga pelajar warga Korea yang ditahan sebelum ini kerana tidak membawa dokumen pengenalan diri dilihat cuba memujuk anggota Imigresen supaya tidak ditangkap.

Namun, anggota penguat kuasa mengambil sikap timbang rasa apabila membenarkan mereka yang ditahan mengambil dokumen pengenalan diri masing-masing menerusi bantuan rakan mereka.

Pengarah Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman berkata, kesemua yang ditahan tidak membawa sebarang dokumen yang sah dan mendakwa dokumen mereka disimpan pengurusan kolej bagi memproses kad pelajar.

Menurutnya, pelajar asing yang ditahan mendakwa pengurusan kolej mereka memberitahu, mereka tidak akan ditahan pihak berkuasa jika menunjukkan surat pengesahan pelajar dikeluarkan kolej.

“Tindakan pengurusan institusi pengajian tinggi swasta itu memberi maklumat salah menyebabkan pelajar asing tidak bimbang berkeliaran di luar kolej tanpa membawa sebarang dokumen pengenalan diri.

“Kerana itu, masing-masing memandang remeh tentang kepentingan membawa dokumen pengenalan diri,” katanya ketika ditemui dalam Ops 6P membabitkan 20 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen, di sini semalam.

Menurut Faizal, Jabatan Imigresen akan menyiasat kolej terbabit menyimpan dokumen pelajar bagi memastikan status sebenar warga asing terbabit sebelum mengambil tindakan lanjut.

Menurutnya, surat yang dikeluarkan kolej berkenaan tidak diterima mana-mana agensi penguat kuasaan.

Katanya, pengurusan kolej sepatutnya meminta surat pengesahan daripada Jabatan Imigresen untuk diberikan kepada pelajar terbabit dan bukannya mengeluarkan surat sendiri.

“Kolej juga perlu berusaha memberi penjelasan kepada pelajar mengenai undang-undang imigresen di negara ini kerana ramai yang diperiksa tidak memahaminya.

“Sesetengah pelajar ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah mendakwa pasport mereka sedang diproses Jabatan Imigresen bagi permohonan serta pembaharuan pas pelajar,” katanya.

Sementara itu, operasi berlangsung kira-kira 8.30 malam sehingga 2 pagi itu, seramai 24 warga asing ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Dalam empat serbuan berasingan, kita menahan 20 lelaki dan empat wanita terdiri daripada warga Afrika, Myanmar, Mesir dan Nepal berusia lingkungan 18 hingga 35 tahun dan dipercayai menuntut di sebuah kolej di sini,” katanya.

Sinar Harian