16 Januari 2012

Pelajar USM didakwa mahu bom helikopter PM dibebas

22 Safar 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN - Polis melepaskan dengan jaminan seorang pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) yang membuat kenyataan berbaur ugutan
di laman sosialnya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

Ketua Polis Negeri Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob berkata polis membebaskan pelajar terbabit selama sebulan tetapi boleh memanggilnya pada bila-bila masa sekiranya perlu bagi membantu siasatan.

"Dia adalah pelajar tahun keempat jurusan kejuruteraan, dan sedang menduduki peperiksaan. Polis membebaskannya bagi membolehkan dia menduduki peperiksaan hari ini," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Polis Diraja Malaysia di sini hari ini.

Pelajar berusia 24 tahun itu dikatakan telah membuat kenyataan untuk meletakkan bom pada helikopter yang akan dinaiki Perdana Menteri dalam
lawatannya ke USM minggu depan.

Dia ditahan pada 1.30 petang semalam selepas polis mendapat maklumat mengenai kenyataannya itu. Siasatan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperutukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Ayub berkata berdasarkan siasatan yang dijalankan, pelajar itu mengakui kenyataan itu dibuat dengan kehendaknya sendiri dengan niat bergurau.

"Kita bukan hendak menyekat kebebasan bersuara tetapi sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab sepatutnya dia tidak menyalahgunakan kebebasan bersuara dan penggunaan internet sehingga boleh menimbulkan kekecohan dan kemarahan pihak lain.

"Perkara seperti ini sesuatu yang serius dan tidak boleh dianggap main-main, ia melibatkan keselamatan pemimpin negara dan secara tidak langsung orang awam yang lain juga," katanya.

Ayub berkata polis masih meneruskan siasatan mengenai latar belakang pelajar itu serta hubungannya kerana dikhuatiri mempunyai kaitan dengan
anasir-anasir subversif.

Setakat ini terdapat tiga laporan polis dibuat oleh pihak-pihak yang membantah tindakan pelajar itu.- Bernama

Bank susu ibu haram – Majlis Fatwa

22 Safar 1433H. [MOD] -

Majlis Fatwa memutuskan penubuhan membawa kemudaratan keturunan

PUTRAJAYA: Persoalan mengenai cadangan penubuhan bank susu ibu selesai apabila Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia memutuskan penubuhannya adalah haram kerana boleh mengakibatkan percampuran nasab dan membawa umat Islam terjebak dalam keraguan dan perkara yang haram.

Keputusan yang diambil pada persidangan muzakarah kali ke-97 pada hujung tahun lalu, melihat kepada keperluan penubuhannya yang tidak berada dalam keadaan darurat sehingga mengancam keselamatan umat.

Sebelum ini, Berita Harian pernah menyiarkan perdebatan mengenai kewujudan komuniti, Human Milk For Human Baby (HM4HB) iaitu rangkaian perkongsian susu ibu global yang mempunyai puluhan ribu penyokong di laman sosial Facebook dari lebih 54 negara dan kira-kira 900 daripadanya rakyat Malaysia.

Walaupun HM4HB bertujuan mencari ibu susuan bagi membantu bayi pra-matang dan ibu bermasalah untuk menyusui bayi mereka kerana menghidap pelbagai penyakit termasuk HIV, namun timbul kebimbangan umat Islam terutama hukum hakam berkaitan ibu susuan.

Berikutan itu, ada pihak mencadangkan ditubuhkan bank susu bagi membolehkan keluarga yang memerlukan susu badan memperoleh bantuan secara lebih mudah.

Dalam kenyataan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang disiarkan menerusi portal e-fatwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu semalam, perkara itu diputuskan selepas ahli panel muzakarah mendengar taklimat dan penjelasan pakar serta meneliti keterangan, hujah dan pandangan yang dikemukakan.

“Muzakarah berpandangan bahawa menjaga keturunan, termasuk dalam lima perkara yang wajib dipelihara dalam syariat Islam. Oleh itu, apa-apa tindakan atau perbuatan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada nasab atau keturunan perlu dielakkan.

“Muzakarah juga berpandangan bahawa hukum penubuhan bank susu amat berkait rapat dengan syarat pengharaman atas sebab susuan di mana bayi yang menyusu dengan seorang wanita atau lebih akan menjadi adik beradik susuan dan perkahwinan antara mereka adalah haram apabila memenuhi syarat ditetapkan,” katanya.

Bagi memenuhi keperluan bayi pra-matang yang memerlukan rawatan, manakala ibu mempunyai kekurangan susu atau mempunyai penyakit kronik/berjangkit dan tidak dapat menyusukan bayi, muzakarah memutuskan adalah harus bagi ibu menderma susu ibu secara sukarela kepada bayi yang memerlukan dan keluarga bayi serta penderma perlu saling mengenali.

Sementara itu, muzakarah berkenaan juga memutuskan amalan eutanasia atau mercy killing, iaitu menghentikan hayat hidup seseorang sebelum disahkan meninggal adalah haram dan dilarang Islam.

Menurut muzakarah itu, tugas seorang doktor ialah menolong pesakit dalam perkara kebaikan dan perbuatan membantu mempercepatkan kematian tidak termasuk dalam perkara kebaikan tetapi perkara yang dilarang dan berdosa.

“Bagaimanapun, dalam keadaan di mana pakar perubatan mengesahkan jantung dan/atau otak pesakit berhenti berfungsi secara hakiki dan pesakit disahkan tidak ada harapan untuk hidup dan hanya bergantung kepada bantuan sokongan pernafasan, muzakarah memutuskan tindakan memberhentikan alat bantuan sokongan pernafasan adalah dibenarkan.

“Begitu juga, dalam kes di mana pakar perubatan mengesahkan pesakit tiada harapan sembuh dan pesakit dibenar pulang, maka tindakan memberhentikan rawatan utama dan hanya rawatan sokongan diteruskan adalah dibenar Islam kerana keadaan seumpama ini tidak termasuk dalam amalan eutanasia atau mercy killing,” katanya.

Muzakarah juga memutuskan dalam kaedah perubatan, mati otak (brain death) adalah dianggap sebagai suatu kematian apabila disahkan pakar dan adalah harus memberhentikan rawatan bantuan sokongan (contohnya penggunaan mesin ventilator) dengan persetujuan waris terdekat.

Berita Harian

Cuti Tahun Baru PLKN lima hari

22 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di seluruh negara diberi cuti lima hari mulai Sabtu ini sempena perayaan Tahun Baru Cina.

Pelatih dibenarkan pulang pada petang Jumaat ini dan perlu kembali ke kem PLKN pada petang Rabu depan, demikian menurut Jabatan Latihan Khidmat Negara dalam satu kenyataan hari ini.

Pelatih dikehendaki mendapatkan surat kebenaran daripada waris atau penjaga untuk menjemput mereka dari kem-kem PLKN. - Bernama

Sinar Harian

Permaisuri menangis kerana projek udang

22 Safar 1433H. [MOD] -

(Penduduk Permaisuri menangis akibat banjir yang jarang mereka alami sebelum ini)

SETIU, 16 Jan: Projek udang di Kerpan, Kedah telah menyebabkan rakyatnya menangis. Kini projek yang sama telah menyebabkan beribu-ribu penduduk sekitar Permaisuri menangis kerana pelbagai masalah yang disebabkan projek ini.

Terbaru, beribu-ribu penduduk Permaisuri mengalami masalah yang tidak mereka alami selama ini apabila kampong mereka ditenggelami air banjir sejak beberapa hari lalu.

Bukan itu sahaja, jalan raya juga tiba-tiba mendap yang menyebabkan seorang imam yang menunggang motosikal jatuh ke dalam lubang yang tiba-tiba mendap.

Umur beliau masih panjang dan terselamat dari kecelakaan itu namun mengalami luka-luka termasuk pada mukanya.

Banjir ini adalah gemombang ketiga yang melanda Permaisuri.

Bagi Dr Azman Ibrahim, bekas calon PAS Dun Jabi, projek Taman Akuakultur Udang Bersepadu yang diusahakan oleh Syarikat Blue Archipelago Berhad adalah puncanya.

Walaupun pihak Kerajaan negeri kelihatan cuba memejamkan mata akan hakikat yang berlaku, tetapi bangkai gajah tidak lagi mampu ditutup dengan daun lalang.

Ibarat sudah terang lagi bersuluh kejadian banjir luar biasa ini memang berpunca dari kerja-kerja projek i-SHARP ini!

"Kita telah membangkitkan ketika peringkat awal perlaksanaan projek dahulu bahawa kawasan yang dibangunkan itu adalah kawasan paya bertanah rendah yang terdedah kepada kesan pasang surut Sungai Setiu dan dilimpahi air ketika musim banjir.

"Dari segi ekosistem, kawasan paya bertanah rendah dikategorikan sebagai kawasan takungan air," kata Dr Azman kepada Harakahdaily.

Kawasan Hutan Gelam Air Tawar di Kampung Nyatoh dan Banggol, Permaisuri Setiu Terengganu seluas 1200 hektar telah dikorbankan bagi memberi laluan kepada projek akaukultur berimpak besar ini yang menelan belanja sebanyak RM300 juta ini dan dijangka siap pada tahun 2012 ini.

Projek ini diusahakan oleh Syarikat Blue Archipelago Berhad yang juga menyelia projek akuakultur udang di Kerpan, Kedah.

Blue Archipelago Berhad merupakan anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Berhad, syarikat milik kerajaan persekutuan.

Hutan Gelam Air Tawar merupakan salah satu ekosistem yang terdiri dari pokok gelam di kawasan pinggir pantai yang sangat terancam dan ekosistem sebegini sangat kurang ditemui di semenanjung Malaysia kini.

Kawasan yang ditumbuhi pokok gelam ini memainkan peranan penting dalam ekologi kawasan sekitarnya termasuk menjadi habitat kepada hidupan liar terancam dan menjadi penampan di sepanjang Sungai Chalok.

Aktiviti akuakultur yang dicadangkan di kawasan ini akan berpotensi memusnahkan kawasan kepelbagaian hidupan yang penting dan bakal menganggu kepentingan sosioekonomi terutamanya nelayan di kawasan tersebut.

Menurut Dr Azman, Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS ini, untuk mengelakkan kawasan projek bernilai ratusan juta ringgit ini ditenggelami air banjir, kerja-kerja tebus guna tanah telah dan sedang dilakukan supaya kolam udang berada di aras yang lebih tinggi dari air banjir.

Keadaan ini akan menyebabkan aliran air itu beralih ke kawasan yang lebih rendah di sekitar tapak projek dan ini akan menyebabkan air membanjiri kawasan penempatan penduduk sekitar.

Tambakan tanah juga akan menghalang pengaliran air banjir ke Sungai Setiu.

Menurut Azman, tinjauan segera beliau bersama skuad Lujnah Alam sekitar PAS Terengganu ke lokasi mendapati, pembinaan jalan masuk ke dalam tapak projek sepanjang lebih kurang 2 km menjadi penghalang utama aliran air banjir ke Sungai Setiu.

Ia telah menyebabkan berlaku fenomena ‘air sebak’ mengikut istilah penduduk tempatan, walaupun paras air Sungai Setiu sebenarnya tidaklah terlalu tinggi.

"Dalam hal berkaitan, Lujnah Alam Sekitar PAS Terengganu menghargai Laporan TV Al Hijrah dan akhbar tempatan serta berterima kasih atas sikap professional dan bertanggungjawab mereka yang turun sendiri ke lapangan bagi mengesahkan situasi sebenar yang berlakum.

"Laporan mereka mengesahkan kebenaran fakta yang kami utarakan sejak lebih 2 tahun lalu," katanya.

Penduduk tempatan juga mengakui bahawa ketiga-tiga kejadian banjir sepanjang musim tengkujuh tahun ini adalah luar biasa dan tidak berpadanan dengan jumlah hujan yang turun.

Terutama sekali di sekitar Kampung Nyatoh, Kampong Bukit Kemudu dan Kampung Banggol di mana di Kampung Banggol, penduduknya menjadi mangsa berganda apabila tanah RTB pertanian yang menjadi sumber pencarian mereka turut dimangsakan demi projek udang ini.

Sebelum ini, kata Dr Azman, walaupun perlaksanaan projek telah berjalan dalam tempoh melebihi dua tahun dengan pelbagai impak sampingan mulai dirasai dan terdedah, kerajaan seolah-olah ingin menyembunyikan hakikat sebenar projek ini dari makluman umum.

Apabila didedahkan dengan fakta-fakta yang sukar disangkal barulah kerajaan berjanji akan memantau perlaksanaan projek yang dikatakan akan menjadi penanda aras bagi kerajaan negeri untuk menerima pelabur lain yang ingin melabur di dalam bidang yang sama di negeri ini.

"Betul atau tidak pemantauan dilakukan, masih menimbulkan kesangsian. Kalaulah betul kerajaan melakukan pemantauan terhadap projek ini, maka saya dengan segala hormatnya menyimpulkan bahawa jawatankuasa pemantauan ini memang tidak melaksanakan kerja yang diamanahkan.

"Kalau tidak, mana mungkin kerajaan boleh berlagak bodoh dengan satu demi satu impak negatif yang berlaku di depan mata," dakwa beliau.

Tuntutan Azman dan rakan-rakannya, bukannya supaya pihak kerajaan memberikan jawapan politik yang tak berkesudahan, tetapi tindakan tegas dan berkesan sebelum nasi menjadi bubur.

Ditambah lagi dengan cuaca yang belum lagi menentu dengan kemungkinan banjir gelombang seterusnya akan melanda sekali lagi. Kalau pun bukan ditahun ini, selagi ada bulan dan matahari, tengkujuh akan melanda lagi.

Ironinya, kata beliau, impak ini telah menjadi igauan penduduk sekitar disaat ketika perlaksanaan projek belum lagi siap sepenuhnya.

Lantas apa lagi mimpi ngeri akan mereka alami apabila projek ini telah siap dan beroperasi sepenuhnya, hujjah beliau.

Bagi Dr Azman dan rakan-rakannya, suatu perjudian yang besar apabila sebuah syarikat yang belum berjaya membuktikan hasil dan prestasi dalam industri berkaitan dianugerahkan 1,000 hektar tanah dengan taraf pajakan selama 30 tahun.

Projek ini juga turut mengorbankan hak dan mata pencarian rakyat kemudian menghasilkan pula impak negatif alam sekitar dan sosio ekonomi setempat sedangkan hasilnya masih terlalu samar, katanya.

harakahdaily/-

Amah akui sihir keluarga majikan

22 Safar 1433H. [MOD] -

AL-MUJAMA’A (Arab Saudi): Seorang lelaki menuduh pembantu rumah warga Indonesia yang bekerja dengannya membunuh anak perempuannya yang berusia lapan tahun melalui sihir, lapor al-Watan, semalam.

Pembantu rumah itu yang didisoalsiasat kemudian mengaku mengamalkan ilmu hitam terhadap keluarga majikannya.

Lelaki itu, Misaad Al-Rikhaimi berkata, dia sudah melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai perkara itu sebulan lalu. – AP

BR1M: Lebih 50 peratus sudah terima bayaran

22 Safar 1433H. [MOD] -

IPOH - Lebih 50 peratus daripada 4.1 juta borang pemohon skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diterima dari seluruh negara, mula menikmati pembayaran bantuan tersebut dalam bentuk baucar tunai semalam.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, pembayaran dibuat kepada kumpulan pertama ini walaupun tempoh permohonan skim itu dilanjutkan lagi sehingga 10 Februari ini.

"Kita masih lagi buka pendaftaran sehingga Februari depan. Ini kerana dalam mesyuarat kita bersama-sama timbalan menteri, setiausaha politik, anggota parlimen, setiausaha kerajaan negeri dan pegawai daerah, mereka menyatakan masih terdapat individu yang layak belum mendaftar," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan baucar tunai BR1M kepada 1,500 penerima dari kawasan Parlimen Tambun di sini.

Ahmad Husni yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, bagi negeri Perak sebanyak 237,000 penerima layak menerima BR1M yang mula diserahkan mulai semalam.

Konsep BR1M adalah berdasarkan kelayakan, di mana mereka yang layak akan menerima bantuan itu, jadi pihaknya melanjutkan lagi tempoh pendaftaran untuk bantuan berkenaan bagi memberi lebih masa kepada mereka yang layak untuk memohon, katanya.

Beliau berkata, tempoh pembayaran skim BR1M akan dilaksanakan selama dua bulan mulai hari ini hingga 15 Mac, bagi memastikan pembayaran dapat dilaksanakan secara tersusun dan lancar supaya tidak ada pemohon yang layak menerimanya tercicir.

Semua penerima yang layak akan dibayar dalam bentuk baucar tunai RM500 dan mereka boleh menunaikan baucar itu di kaunter-kaunter bank Bank Simpanan Nasional (BSN), CIMB Bank dan Maybank yang ditempatkan pada majlis penyerahan.

Selain itu, baucar tunai yang mempunyai tempoh sah laku sehingga 15 April depan juga boleh ditunaikan di mana-mana cawangan bank tersebut di seluruh negara.

Ahmad Husni berkata, dalam pembangunan ekonomi negara, kerajaan dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu semua rakyat menikmati pembangunan itu.

sinar harian/-

18 tahun kahwin menderita

22 Safar 1433H. [MOD] -

BAYAN BARU – Kehidupan sebagai ibu tunggal amat memeritkan, apatah lagi apabila diancam bekas suami yang sering memantau pergerakan Ros (bukan nama sebenar), 49, tahun melalui rondaan di sekitar kawasan rumahnya.

Dia yang sudah bercerai sejak empat tahun lalu kini dihimpit kesusahan apabila bekas suami yang berusia 48 tahun itu bukan sahaja enggan membayar nafkah, malah rumah yang diduduki kini terpaksa dikosongkan.

“Selepas bayaran ansuran bulanan gagal dijelaskan dalam tempoh masa yang ditetapkan, kami tiga beranak diarahkan untuk berpindah.

“Bekas suami yang sudah berkahwin lain bukan sahaja tidak peduli akan dua anaknya, malah bertekad memutuskan hubungan melalui nota amaran yang dihantar ke rumah,” katanya ketika ditemui di Persiaran Mahsuri.

Menurutnya, dirinya didera secara fizikal dan mental sepanjang 18 tahun perkahwinan yang dibina atas dasar cinta.

“Dia yang bekerja sebagai penyelia hotel akan memukul menggunakan objek keras seperti seterika sekiranya ada yang tidak kena.

“Keadaan berlarutan sehingga saya sendiri akhirnya ke pejabat agama untuk menyelesaikan kemelut yang dihadapi,” katanya.

Dia yang berasal dari Perlis mendakwa, bekas suami dan isteri barunya turut mengancam untuk menyimbah dengan asid sekiranya perihal mengenai nafkah dibangkitkan selepas proses penceraian selesai.

“Saya bimbang akan keselamatan kami sekeluarga memandangkan jiran sering memaklumkan bahawa mereka ternampak bekas suami berlegar–legar di sekitar taman perumahan.

“Saya akan terus bekerja untuk menyara kehidupan kami sekeluarga memandangkan anak sulung yang berusia 19 tahun berjaya melanjutkan pengajian ke Universiti Islam Antarabangsa, manakala anak bongsu pula berada di tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan (Agama) Al – Mashoor,” katanya.

Menurutnya, kata-kata perangsang yang diberikan rakan-rakan menguatkan semangatnya untuk meneruskan kehidupan.

“Saya pasti dugaan yang melanda ini ada hikmahnya dan semoga kami sekeluarga dapat memulakan hidup baru dengan tenang,” katanya.

Sinar Harian

Imam parah jatuh lubang

22 Safar 1433H. [MOD] -

BANDAR PERMAISURI – Ibarat mati hidup semula. Itulah gambaran yang dapat dibayangkan Ismail Mohd, 75, Imam Surau Pekan Sehari Bandar Permaisuri yang terjatuh ke dalam lubang sedalam 0.5 meter selepas selesai menunaikan solat Isyak malam, kelmarin.

Menurut anak Ismail, Maliki Ismail, 58, kejadian yang menimpa bapanya berlaku kira-kira jam 9.30 malam ketika mangsa sedang menunggang motosikal berseorangan untuk pulang ke rumah di Bukit Pelong.

“Saya difahamkan ketika ayah melalui kawasan itu, jalan yang dilalui itu mendap secara tiba-tiba sehingga motosikal yang ditunggangnya terjatuh ke dalam lubang sedalam hampir satu meter sehingga menyebabkan kecederaan parah.

“Akibat kemalangan itu, doktor mengesahkan hidung ayah patah, berlaku pendarahan pada bahagian mulut dan beberapa bahagian muka luka serta mata lebam,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Hospital Setiu, semalam.

Maliki berkata, mujurlah semasa kejadian itu berlaku, orang ramai berada berdekatan surau dan terus membantu mengangkat bapanya yang sudah tidak sedarkan diri akibat pendarahan terlalu banyak.

“Kebetulan pada masa itu, saya menghadiri kenduri tahlil dan diberitahu oleh isteri mengenai kemalangan yang menimpa ayah sebelum bergegas ke tempat kejadian,” katanya.

Selain itu, Maliki mengharapkan tindakan segera dapat diambil oleh pihak berkenaan untuk menutup lubang tersebut agar kejadian sama tidak berulang kepada orang ramai.

Tinjauan Sinar Harian ke tempat kejadian mendapati, lubang di kawasan itu telah diletakkan papan tanda amaran oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan lencongan sementara turut dibuat bagi mengelakkan kekeliruan kepada pengguna jalan raya.

Sementara itu, Jurutera Daerah, Jabatan Kerja Raya (JKR), Anuar Ngah berkata, pihak JKR telah membuat siasatan dan dipercayai mendapan yang berlaku itu akibat daripada sistem pembetung air bocor yang menghubungkan aliran air sungai dari Kampung Hulu Seladang ke Sungai Setiu.

“Bagaimanapun, kita akan menjalankan kerja baik pulih dalam masa terdekat selepas air sungai surut sebelum siasatan lanjut dapat dilakukan kerana sehingga kini air masih memenuhi lubang tersebut,” katanya.

Sinar Harian

Pecah rumah makin berleluasa

22 Safar 1433H. [MOD] -

GOMBAK – Kejadian pecah rumah pada waktu siang yang berlaku di Pangsapuri Laksamana semakin menjadi-jadi sejak kisah orang minyak tersebar di kawasan itu.

Pengerusinya Persatuan Penduduknya, Shafiq Abdul Aziz berkata, setakat ini sebanyak enam laporan diteri­manya berhubung kejadian pecah rumah di kawasan itu.

“Semua kejadian pecah rumah yang berlaku di pangsapuri ini melibatkan rumah yang ditinggalkan kosong kerana penghuninya keluar bekerja,” katanya ketika ditemui dekat sini.

Menurutnya, terbaru pencuri terbabit semakin berani apabila melarikan sebuah televisyen 42 inci dari sebuah rumah di situ.

“Lima kes berlaku menggunakan kaedah sama iaitu membuka mangga pintu rumah menggunakan asid dan melarikan barangan berharga seperti komputer riba, telefon bimbit dan barangan berharga dari rumah mangsa,” katanya.

Bagi mengatasi masalah itu menurutnya, badan pengurusan bersama (JMB) bercadang mengadakan pengawal keselamatan berbayar, memasang palang di pintu keluar masuk serta memasang kamera litar tertutup di setiap blok bangunan di situ dengan syarat penduduk dapat memberi komitmen dalam membayar wang penyelenggaraan bulanan.

Jelasnya lagi, kawasan itu dahulunya sering terjadi kes kehilangan motosikal namun semenjak rondaan dibuat penduduk dan tempat letak motosikal diterangi lampu, masalah itu mula berkurangan.

Sementara itu, mangsa pecah rumah, Noorfadzly Musiran, 29, berkata, dia hanya menyedari rumahnya di pecah masuk selepas pulang bekerja jam 10.30 malam.

“Pencuri terbabit menggeledah semua bilik dan almari di dalam rumah, mujur dia hanya sempat ambil barangan yang kecil sahaja,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Selayang, Bukit Idaman dekat sini.

Berhubung masalah itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi berkata, polis akan menyiasat laporan kes pecah di pangsapuri berkenaan.

Menurutnya, kerjasama penduduk untuk melaporkan perkara itu jika terserempak dengan orang yang dicurigai amat diperlukan bagi membolehkan suspek terlibat diberkas.

Sinar Harian

Pekerja kilang maut dirempuh

22 Safar 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM – Seorang pekerja kilang maut dirempuh sebuah kenderaan yang terbabas dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di kilometer 15.2, Lebuhraya Persekutuan berhampiran Tol Batu Tiga, pagi semalam.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Shah Alam, Deputi Superintendan Ruslan Abdullah berkata, kejadian jam 7.45 pagi itu membabitkan sebuah kenderaan terbabas merempuh besi pembahagi lebuh raya manakala sebuah lagi terbabas ke kiri lebuh raya.

Menurutnya, mangsa merupakan seorang wanita warga Indonesia yang berada di laluan pejalan kaki dirempuh kenderaan yang terbabas ke kiri lebuh raya.

“Kenderaan terbabit kemudian melanggar paip Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan pencawang telekomunikasi sebelum terhumban ke dalam parit.

“Mangsa yang cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) untuk bedah siasat. Bagaimanapun pemandunya terselamat dan mendapat rawatan di pusat perubatan swasta berhampiran,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam Syabas, Abdul Halem Mat Som berkata, rempuhan kenderaan terbabit menyebabkan injap paip syarikat bekalan air berukuran 42 inci itu patah dan pecah.

Bagaimanapun katanya, tiada gangguan air berlaku kerana kakitangan Syabas segera mengalihkan air tersebut ke paip Syabas yang berukuran 49 inci.

Sinar Harian

Padah halang tugas penjawat awam

22 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Tindakan melulu seorang lelaki membaling topi keledar terhadap seorang anggota polis mengundang padah apabila dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini semalam.

Tertuduh, Muhammad Abd Rahman Yusof didakwa menggunakan kekerasan terhadap Lans Koperal Kamaruddin Wahab dengan membaling topi keledar berwarna putih ketika anggota itu sedang menjalankan tugas.

Atas kesalahan itu dia dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama, iaitu penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mengikut pertuduhan, Muhammad didakwa bertindak demikian ketika Kamaruddin menyerbu sebuah rumah di Kampung Duyung Besar, Pulau Ketam, dekat sini kira-kira jam 7.45 malam, 11 Januari lalu.

Bagaimanapun, tertuduh berusia 40 tahun yang memakai pakaian lokap berwarna ungu itu mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan tersebut.

Majistret Abdul Hayyi Salim kemudiannya menetapkan 11 Mac ini sebagai tarikh sebutan dan serah dokumen kes selain membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan.

Sinar Harian

Buruh ditemui mati dalam bilik air

22 Safar 1433H. [MOD] -

KULIM - Seorang buruh lelaki, yang tinggal di Kampung Tengku Putra ditemui mati dalam keadaan tertiarap dan muka tersembam di dinding bilik air rumahnya kira-kira jam 7.30 petang, kelmarin.

Mangsa Tan Song Tee 51 yang mempunyai empat anak tinggal bersendirian setelah bercerai dengan isterinya beberapa tahun lalu dipercayai mati sejak awal pagi berdasarkan keadaan mayatnya yang sudah berbau.

Rakan mangsa yang hanya dikenali dengan nama Lau berkata, mangsa bersarapan bersamanya setiap hari di antara jam 7 hingga 7.45 pagi sebelum keluar bekerja tetapi pada hari kejadian, mangsa ke kedai berkenaan.

Kira-kira jam 12 tengah hari, Lau menghubungi mangsa melalui telefon untuk mengajak mangsa makan tengah hari bersamanya.

Namun, panggilan itu tidak dijawab. Bimbang akan keselamatan mangsa, Lau pergi ke rumah rakannya itu kira-kira jam 6 petang untuk berjumpanya.
“Dia (mangsa) sudah lama tinggal dikampung ini dan beberapa rakan selalu datang ke rumahnya untuk bersembahyang.

"Pada jam 6 petang saya singgah di rumah mangsa dan memanggilnya beberapa kali tetapi tidak berjawab. Saya kemudiannya membuka cermin tepi rumahnya yang rosak dan ternampak kunci rumah di atas meja.

Lau berkata, dia kemudianya mengambil dawai dan mencapai kunci itu sebelum membuka pintu rumah rakannya itu.

"Saya memanggilnya beberapa kali tetapi tidak berjawab. Saya ke dapur dan menemui Song Tee tertiarap di lantai bilik air dan saya terus menghubungi polis,” katanya.

Menurutnya, mangsa mengidap penyakit darah tinggi tetapi tidak serius.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat dan doktor mengesahkan mangsa mati kerana serangan jantung.

Disebabkan tiada sebarang unsur jenayah berlaku terhadap mayat mangsa, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

Sinar Harian

Lega jika tidak tercalon

22 Safar 1433H. [MOD] -

KUANTAN - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beserah, Syed Moham­med Tuan Lonnik mengakui pengundi di kawasan Beserah tegar memilih Pas, namun beliau lebih rela mengundur diri kerana tidak sanggup me­me­gang amanah sebagai ­wakil rakyat atas faktor usia.

Syed Mohammed juga mahu calon muda yang bersemangat untuk memastikan Beserah terus kekal menjadi milik Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

“Saya lega jika tidak tercalon pada pilihan raya akan datang kerana dalam usia sekarang, saya sudah tidak mampu untuk bergerak aktif.

“Saya tidak mahu kerana mengejar jawatan, saya gagal menyempurnakan amanah yang dipertanggungjawabkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, kelmarin.

Syed Mohammed berkata, walaupun Pas tidak memberikan kemudahan istimewa kepada penduduk, tetapi mereka tetap setia kerana kesedaran mengenai ketidaktelusan sesetengah pemimpin Barisan Nasional yang didakwa mementingkan kroni.

“Masyarakat sekarang tidak seperti dahulu yang hanya mengikut telunjuk pemimpin tanpa sebarang bantahan.

“Mereka sudah pandai berfikir dan membuat pilihan siapa yang lebih layak menjadi pemimpin mereka,” katanya.

Beliau turut menafikan Beserah tidak maju kerana berada di bawah pimpinan pembangkang kerana katanya, sepanjang menjadi wakil rakyat, banyak peniaga berminat untuk melabur di situ.

“Saya akui walaupun tidak dapat memberi bantuan semewah pihak kerajaan, namun kita tidak pernah melupakan golongan kurang berkemampuan.

“Kita akan membantu selagi termampu dan tiada istilah pilih bulu dalam menyalurkan bantuan,” katanya.

Menurutnya, dalam hal itu, bukan parti yang menjadi ukuran sebaliknya siapa pemimpinnya.

“Tidak kira siapa yang akan terpilih untuk menjadi wakil rakyat di kawasan ini pada PRU13 akan datang, jangan sesekali mempolitikkan ke­dudukan.

“Pikul amanah yang diberi sebaiknya dan tunjukkan komitmen kepada masyarakat seikhlasnya,” katanya.

Sinar Harian

Sultan Kedah puji pentadbiran Azizan

22 Safar 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR, 16 Jan: Pembaharuan dan kemajuan pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri Kedah yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak mendapat pujian Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Baginda bertitah, pelbagai program pembangunan yang sedang giat direncanakan oleh Kerajaan Negeri termasuk memajukan sektor pertanian untuk meningkatkan taraf hidup rakyat kini menampakkan hasil.

“Beta harap aktiviti pembuatan yang kini berkembang pesat dapat terus dimajukan sehingga menjadi tumpuan utama selain menarik pelabur asing dan tempatan untuk melabur dan mendirikan kilang perindustrian di Kulim Hi-tech Park, Sungai Petani, Kuala Ketil, Gurun, Yan dan Bukit Kayu Hitam", titah baginda semalam dipetik Sinar Harian.

Baginda bertitah pada istiadat menyembah tahniah dan penganugerahan darjah serta bintang kebesaran sempena ulang tahun keputeraannya ke-84, di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit, semalam.

Titah ucapan baginda dibacakan oleh Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Bendahara, Tunku Annuar Sultan Badlishah.

“Beta amat sukacita kerana Kedah sentiasa aman dan sejahtera setiap masa. Walaupun terdapat beberapa peristiwa hangat yang berlaku akhir-akhir ini, tetapi ia dapat dikawal hasil kerjasama Kerajaan Negeri dan rakyat,” titah baginda.

Baginda turut melahirkan kesyukuran kerana Kedah terhindar daripada keganasan dan ketegangan antara kaum yang kritikal seperti yang berlaku di beberapa negara lain, selain berpuas hati dengan corak pentadbiran Kerajaan Negeri yang mendokong prinsip keadilan tanpa mengira latar belakang.

“Tidak ada peristiwa yang tidak diingini berlaku dan rakyat yakin dengan kestabilan politik negeri ini. Beta harap semua pihak komited menjalankan tugas, ikhlas, amanah serta telus dalam mengendalikan urusan pentadbiran,” titah baginda.

Tuanku Abdul Halim bertitah, untuk memastikan dasar ini dapat dilaksana, seluruh kepimpinan kerajaan, anggota pentadbiran dan rakyat haruslah bertakwa kepada ALLAH SWT agar mendapat keberkatanNya.

“Jentera pentadbiran dan pengurusan negeri yang cekap amat penting untuk merancang dan melaksana dasar dan program Kerajaan Negeri. Oleh itu, anggota perkhidmatan awam perlu berpegang teguh pada konsep amanah dan kepimpinan berintegriti,” titah baginda.

Harakah Daily

Tekong, pembantu direman enam hari

22 Safar 1433H. [MOD] -

SENAI - Tekong bot pancung bersama pembantunya yang ditahan selepas melanggar bot milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) ketika cuba menyeludup pendatang tanpa izin (Pati) di perairan Tanjung Pengelih, Kota Tinggi, direman selama enam hari bermula 14 Januari lalu.

Ketua Penguat kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Adon Shalan berkata, tekong terbabit bersama pembantunya dan semua Pati yang ditahan sudah dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, kelmarin, untuk mendapatkan perintah reman.

“Siasatan berkaitan bot pancung yang melanggar bot Maritim sudah dijalankan. Dalam kejadian berkenaan, dua Pati maut, manakala 11 yang lain cedera.

“Ketika ini, tekong dan pembantu bot pancung terbabit ditahan reman enam hari. Seramai 54 Pati direman 14 hari dan seorang kanak-kanak 12 tahun masih disiasat warganegaranya.

“Tiga Pati cedera masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan seorang di Hospital Sultan Ismail. Mereka dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di hospital-hospital berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Menurutnya, tekong dan pembantu bot pancung terbabit disiasat di bawah Seksyen 304(a) Akta Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kematian yang memperuntukkan hukuman 30 tahun penjara dan denda jika sabit kesalahan.

“Kita juga menyiasat mereka di bawah seksyen 26D Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Pindaan 2010) kerana mendapatkan keuntungan komersial menerusi penyeludupan migran.

“Sementara 54 pati yang turut ditahan disiasat di bawah seksyen 5(2) Akta Imigresen 1957/63 kerana keluar masuk Malaysia tanpa melalui pintu yang diwartakan,” katanya.

Terdahulu, sebuah bot pancung cuba menyeludup keluar Pati warganegara Indonesia sebelum melanggar bot milik Maritim di perairan Tanjung Pengelih, 12 Januari lalu.

Sinar Harian