14 Februari 2012

Jentera hilang kawalan rempuh pagar rumah

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Seorang guru terkejut apabila terdengar dentuman kuat sebelum menyedari tembok dan pagar rumahnya di Taman Desa, Seksyen U12, di sini dirempuh sebuah forklift yang diubahsuai sebagai traktor.

Akibat rempuhan yang berlaku kira-kira jam 11.40 pagi, semalam kereta Nissan Grand Livina milik mangsa, Rozaidah Muhammad, 37, turut rosak.

Rozaidah berkata, ketika kejadian, dia sedang bersiap-siap untuk keluar mengajar di sekolah berhampiran.

“Ketika itu, saya bersama dua anak berada di rumah, sebaik terdengar dentuman kuat, saya tinjau ke luar tingkap dan mendapati jentera berkenaan telah merempuh pagar, tembok dan kereta saya.

“Jentera itu turut merempuh sebuah kereta Perodua Kancil dan pagar rumah jiran berhampiran,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Difahamkan, pemandu jentera berkenaan gagal mengawal kenderaan akibat masalah brek ketika menuruni kawasan bukit berhampiran kawasan perumahan itu.

Jentera berkenaan, sebelum itu dikatakan menjalankan kerja-kerja membaik pulih tangki air di kawasan perumahan yang kebetulan berada di atas bukit.

Walaupun mengalami kerugian besar, Rozaidah bersyukur kerana anak-anaknya tidak berada hampir dengan kawasan rempuhan itu.

Seorang lagi mangsa yang pagar rumahnya turut musnah, Azhar Mohd, 45, berkata, laporan polis telah dibuat oleh suami jirannya itu.

Setakat ini katanya, pemaju bersetuju untuk membiayai keseluruhan kos baik pulih kerosakan.

“Pemaju perumahan sudah datang dan melihat sendiri kerosakan malah bersetuju untuk menanggung kesemua kos kerugian yang dialami,” katanya.

Sementara itu, dimaklumkan pemandu jentera yang mengalami kecederaan parah dihantar ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut. - Bernama

Sinar Harian

Pemborong sorok minyak masak

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Johor merampas 71,160 kilogram minyak masak dari sebuah premis pemborong dan pembungkusan minyak masak di sini kelmarin.

Timbalan Pengarahnya, Abdul Hamid Abu Bakar berkata, bertindak atas maklumat orang awam dan risikan sehari, lapan anggota penguat kuasa telah menjalankan pemantauan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Skudai pada jam 4 petang, kelmarin.

“Hasil daripada pemantauan ini, kita mendapati syarikat yang mempunyai lesen selaku pembungkus minyak masak ini telah menyimpan bahan tersebut melebihi had simpanan yang dibenarkan oleh pegawai bekalan.

“Semasa serbuan, pemilik premis ini didapati menyimpan sebanyak 71,160 kilogram, di mana had yang dibenarkan hanya 40,000 kilogram,” katanya yang ditemui di sebuah stor penyimpanan, dekat sini, semalam.

Abdul Hamid berkata, pihaknya telah menyita minyak masak tersebut bersama Lesen Barang Kawalan dan Buku Stok pemborong yang dianggarkan nilai rampasan RM177,900.

Katanya, pemilik premis yang berusia 40 an itu telah diambil keterangan bagi tindakan selanjutnya.

Jelasnya, kes tersebut akan disiasat di bawah Peraturan 9(1) Kawalan Bekalan 1974 dan sekiranya bersalah boleh didenda RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi orang perseorangan manakala bagi syarikat perbadanan pula denda RM250,000.

“Kita akan meneruskan pemantauan di 35 kilang pembungkus minyak masak yang ada di negeri ini, dan setakat ini, hanya satu kes sahaja berjaya dikesan.

“Ini merupakan kes pertama dan terbesar bagi tahun ini atas kesalahan menyorok minyak masak,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata, bekalan minyak masak di negeri ini mencukupi dengan rekod simpanan minyak sebanyak 542 metrik tan.

“Negeri Johor dibekalkan sebanyak 6606 metrik tan minyak masak sebulan, dan ia memang mencukupi bagi keperluan penduduk di negeri ini.

“Orang ramai dinasihatkan agar membeli secara teratur, kerana bekalan minyak masak tidak mengalami pengurangan di pasaran,” katanya.

Sinar Harian

Remaja sedar jerat Hari Kekasih

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUANTAN – Golongan remaja antara kelompok yang sering dikatakan mudah terpengaruh dengan budaya barat seperti sambutan Hari Valentine ini.

Walaupun bukan majoritinya menyambut hari berkenaan, namun segelintirnya tetap cuba meniru budaya asing ini tanpa menyelidik dahulu keburukannya.

Sinar Harian temui beberapa remaja bagi berkongsi pendapat mereka mengenai sambutan hari Valentine yang disambut setiap tahun sempena mengingati Paderi Kristian yang meninggal sekitar 307 Masihi.

Ahmad Shaufi Mohd Latif, 21, berkata, Valentines tidak patut disambut umat Islam kerana bertentangan dengan ajaran agama.

Katanya, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk menyambut perayaan itu kerana pernah membaca laporan akhbar mengenai perayaan itu berkaitan dengan Kristian dan haram diraikan umat Islam.

Berlainan Nur Azreen Aziz, 21, remaja itu pernah menyimpan hasrat menyambut Valentine’s Day ketika di bangku sekolah menengah namun sedar perayaan itu haram bagi umat Islam .

“Memang manis sangat tengok bunga dan coklat yang digubah cantik untuk insan istimewa tapi sebagai umat Islam, saya tidak mahu meraikan Valentines,” katanya yang tidak pernah mendapat ucapan itu daripada pasangannya.

Rakannya, Maizatul Akmal Mazlan, 21, mengakui sedang bercinta tetapi tidak pernah meraikan hari Valentine kerana sedar sambutan itu haram dalam Islam.

Bagaimanapun, katanya, pernah terdetik di hatinya ketika kecil untuk meraikan hari yang dikatakan istimewa bagi pasangan kekasih tetapi tidak menjadikannya sebagai realiti kerana memang haram dalam agama.

Katanya, dia ada membelikan coklat atau bunga yang dihias cantik kerana murah tetapi hanya untuk simpanan sendiri.

“Sebenarnya, kalau tiada promosi dari peniaga, orang ramai tidak akan mengingati hari itu tetapi cara itu boleh melariskan perniagaan mereka,” katanya.

Fatin Syafinaz Md Yusof pula teruja melihat banyak perhiasan dijual termasuk bunga dan patung beruang sempena sambutan hari Valentines.

Bagaimanapun, dia tidak meraikan hari itu tetapi pernah membelikan hadiah yang dijual untuk ibunya kerana murah dan cantik.

Fatin juga bersetuju dengan saranan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya hari Valentines diganti dengan Hari Suami Isteri yang lebih mengeratkan hubungan kekeluargaan.

“Sebagai mahasiswa kolej, saya bersyukur kerana pihak kolej juga tidak menggalakkan penuntutnya meraikan hari kebesaran Kristian yang mungkin menjatuhkan akidah,” katanya.

Sinar Harian

Sambut Valentine boleh syirik

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUANTAN – Tiba sahaja 14 Februari, pastinya ramai pasangan muda yang sedang bercinta mengimpikan hadiah istimewa daripada pasangan mereka. Pelbagai aktiviti dirancang bagi menyemarakkan cinta antara mereka.

Tinjauan Sinar Harian mendapati peniaga bunga dan belon mula membuat persiapan dengan menghias kedai bagi menarik ramai pelanggan mendapatkan hadiah istimewa untuk pasangan.

Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Othman, umat Islam yang menyambut Hari Valentine boleh membawa kepada syirik dan Islam memang melarang umatnya meraikan hari berkenaan.

Beliau juga mengingatkan umat Islam terutama golongan belia dan remaja supaya tidak meraikan 14 Februari sama ada dengan pemberian bunga, hadiah atau sebarang bentuk tindakan yang boleh menjurus ke arah itu.

Menurutnya, Fatwa Kebangsaan sudah memaklumkan mengenai pengharaman sambutan Hari Valentine kerana mengikut sejarah, Valentines adalah Paderi yang mencabar agama Islam.

“Kita mahu menghidupkan syiar Islam dan baru sahaja meraikan sambutan Maulidur Rasul,” katanya ketika diminta mengulas mengenai remaja hari ini yang ghairah meraikan Hari Valentine.

Beliau berkata, amaran mengenai sambutan 14 Februari juga diberikan melalui penyampaian khutbah di masjid di negeri ini Jumaat lalu.

“Asasnya, kita menolak perayaan atau sambutan seperti ini. Jika nak bagi hadiah atau bunga, kenapa tidak lakukan ketika kita sambut Maulidur Rasul atau hari lain,” katanya.

Sinar Harian

Selangor terdesak buru kemenangan, Kijang idam tiga mata

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

MAMPUKAH anak didik Irfan Bakti bangkit dari kekalahan mengaibkan kepada pasukan bertaraf kelab, PKNS FC, Sabtu lalu.

Kini, tiba masanya pemain Merah Kuning menepis segala tohmahan liar mengenai pergolakan dalaman dengan mencatat kemenangan berdepan pasukan The Red Warriors di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Bagi Kelantan, tiga mata penuh menjadi sasaran mereka dalam usaha mengukuhkan cengkaman di persada Liga Super 2012.


Irfan mahu anak buah bangkit lawan Kelantan

SHAH ALAM – Selangor tidak gentar berdepan kuasa baru bola sepak negara, The Red Warriors di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini walaupun prestasi jaguh Lembah Klang itu berada dalam tidak konsisten.

Pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim berkata, kesempurnaan semua posisi kepada pendahulu liga itu tidak menggentarkannya memberikan saingan.

“Bagi kita tiada bezanya menentang Kelantan atau pasukan lain kerana semua pasukan bertanding mengharapkan tiga mata dan kita akan melaksanakan tugas sebagaimana dirancang, mungkin suasana akan lebih meriah bila menentang Kelantan.

“Pemain sudah diberikan tugas mencari mata penuh dan kita tetap percaya dalam bola sepak semua boleh berlaku kerana pasukan yang bijak memanfaatkan peluang akan mencapai kemenangan,” katanya.

Mengakui bakal berdepan saingan sengit malam ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, Irfan mahu anak didiknya melupakan kekalahan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) FC dengan memberi tumpuan menentang Kelantan.

“Kita akui perlawanan malam ini sengit kerana pastinya Kelantan mahu mengutip tiga mata penuh untuk menjarakkan kedudukan dengan pasukan lain.

“Saya harap pemain mengikut segala arahan diberikan serta menggunakan peluang terhidang menjaringkan gol,” katanya.

Kekalahan kepada PKNS FC, Sabtu lalu, meletakkan Gergasi Merah yang hanya mencatat dua kemenangan dalam tujuh perlawanan kini terperosok ke kelapan liga dengan sembilan mata berbanding Kelantan, 17.

Malah Irfan mengharapkan masalah sijil perpindahan antarabangsa (ITC) penyerang import dari Croatia, Bosko Balaban dapat diselesaikan sebelum tarikh akhir pendaftaran import bagi mengatasi masalah ketumpulan penyerang.


Apex janji tak bolos, mahu fokus perlawanan

KOTA BHARU – Penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat berjanji mahu memastikan gawang golnya tidak dibolosi ketika Kelantan bertemu musuh tradisinya, Selangor di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Khairul Fahmi atau dikenali Apex tidak melepaskan sebarang gol sepanjang aksi 270 minit dalam tiga perlawanan lalu. Namun beliau gagal mempertahankan rekod tersebut, apabila gawang golnya bolos menerusi jaringan Abdul Manaf Mamat pada masa tambahan ketika The Red Warriors menewaskan Terengganu 2-1 di Kota Bharu Sabtu lalu.

“Saya tahu pertemuan menentang Selangor sememangnya menjanjikan aksi sengit bagi kedua-dua pasukan dan saya sudah bersedia 100 peratus untuk memastikan pintu gol Kelantan tidak dibolosi malam ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Namun semua itu tidak dapat dilakukan sekiranya tanpa bantuan daripada rakan sepasukan yang lain. Jadi saya berharap rakan sepasukan terutamanya dibenteng pertahanan bekerja keras mengekang asakan pemain Selangor.

Penjaga gol utama kebangsaan berusia 23 tahun itu berkata, pasukan yang terkenal dengan jolokan Red Giants itu sudah pasti mahu bangkit daripada terus mempamerkan aksi hambar dan berazam menjadikan Kelantan sebagai mangsanya dalam pertemuan ini.

“Kita tahu Selangor dikalahkan oleh PKNS FC 2-0 dalam pertemuan terakhir tempohari. Sudah pasti mereka tidak mahu kecundang lagi dan kita kena berhati-hati serta tidak terperangkap dengan percaturan taktikal pasukan mereka.

“Kita tidak ada pilihan selain perlu menewaskan Selangor malam ini andai mahu terus mengukuhkan kedudukan di persada liga. Kita tidak boleh tercicir mata kerana dua pencabar terdekat iaitu Perak dan Terengganu sentiasa memberi tekanan kepada kita,” katanya.

Pada masa sama, Apex turut melaungkan keazaman untuk memberikan fokus sepenuhnya ketika turun beraksi malam ini meskipun dihimpit pelbagai kontroversi termasuk terbaru insiden simbahan cat hitam di pejabatnya, Khairul Fahmi Resources (KFR) Sdn Bhd di Jalan Sri Cemerlang, dekat sini semalam.

“Sama ada gosip atau apa-apa fitnah yang dilemparkan selama ini, semuanya saya tolak ke tepi. Semua perkara itu tidak ada dalam minda saya setiap kali beraksi di atas padang. Saya hanya mahu fokus mengenai kerjaya saya selaku penjaga gol Kelantan.

“Mengenai insiden simbahan cat hitam itu, saya sudah membuat laporan polis. Jadi saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Sinar Harian

Pemain T-Team pengsan ketika latihan

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU – Pemain tengah T-Team, Tengku Hasbullah Raja Hassan dimasukkan ke hospital selepas pengsan secara tiba-tiba ketika menjalani latihan di gimnasium Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) di sini, petang kelmarin.

Menurut pemain yang sudah dua musim bersama pasukan berstatus kelab itu, sebelum insiden itu, beliau terlebih dahulu berlari di atas kardio kira-kira 20 minit sebelum berendam di dalam ais, namun sebaik berjalan ke tempat kereta untuk menukar pakaian, beliau tiba-tiba terjatuh.

“Sebelum itu, saya sudah rasa macam tidak sihat, tetapi ia situasi biasa ketika menjalani latihan, malah saya tidak menyangka tiba-tiba terus pitam dan selepas itu tidak sedarkan diri sehingga dibawa ke hospital.

“Saya sendiri tidak menyangka akan mengalami situasi sebegini kerana ia merupakan kejadian pertama yang berlaku ke atas diri saya, apatah lagi ketika pasukan sedang berusaha untuk memperbaiki kedudukan dalam saingan Liga Super musim ini,” katanya ketika ditemui di Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS), di sini, semalam.

Bagaimanapun, Tengku Hasbullah bersyukur apabila doktor mengesahkan keadaan dirinya stabil dan hanya mengalami masalah kekurangan air dalam badan.

“Agak terkilan juga, dalam keadaan pasukan sedang bergelut untuk mencari kemenangan dalam permainan yang masih berbaki dua perlawanan lagi, saya pula terlantar di sini (hospital).

“Justeru, saya berharap rakan sepasukan mampu memberikan aksi terbaik dan mencipta kemenangan ke atas Felda United FC malam ini, agar mampu menghuni kedudukan lebih selesa dalam tangga liga,” katanya.


Percaya T-Team tetap bersemangat tinggi malam ini

Menurut pemain berusia 28 tahun itu lagi, meskipun agak terkilan kerana tidak mampu beraksi bersama pasukan dalam perlawanan genting malam ini, namun beliau percaya T-Team mampu menewaskan lawan berdasarkan semangat tinggi yang dimiliki pasukannya itu.

Pemain kelahiran Kelantan itu turut menyumbang kejayaan kepada pasukannya ketika aksi menentang Perak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, Sabtu lalu, dengan menyaksikan T-Team menang 2-0 ke atas pasukan Seladang itu.

Sementara itu, Penolong Pengurus Pasukan T-Team, Zainal Abidin Husssin berkata, pihaknya akan membantu sepenuhnya pemain berkenaan dan akan memantau tahap kesihatan sehingga pemain yang dikenali ‘rajin’ mengejar bola itu kembali pulih seperti sedia kala.

“Kita akan memastikan Tengku (Hasbullah) akan dijaga sebaiknya kerana beliau merupakan salah seorang pemain tonggak dalam pasukan,” katanya.

Menurut Zainal Abidin yang juga Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) , pihaknya sentiasa meletakkan kebajikan dan keperluan atlet dan juga pemain di bawah penyeliaan mereka sebagai keutamaan.

“Bukan sahaja pemain bola sepak (T-Team) yang kita ambil berat, sebaliknya semua atlet di bawah naungan MSNT sentiasa dijaga kerana mereka merupakan aset penting bagi Terengganu dan juga negara pada masa akan datang,” katanya.

Sinar Harian

Wanita ditumbuk lelaki angkara mulut celupar

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU - Gara-gara celupar seorang wanita menerima padah apabila hidungnya patah ditumbuk seorang lelaki di pekarangan Pasar Siti Khadijah di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, mangsa yang juga peniaga di pasar tersebut cedera parah dan sakit badan akibat pergaduhan terbabit.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Idris Abd Rafar, berkata, kejadian berlaku kerana sebelum ini terdapat pertengkaran mulut antara kedua-duanya apabila mangsa mengatakan suspek anak penagih dadah.

Idris berkata, sebelum kejadian mangsa berusia 20-an itu menuruni tangga di pasar berkenaan dan ketika itu lelaki terbabit tiba-tiba menahannya lalu menendang paha mangsa, menyebabkan wanita berkenaan terjatuh.

“Pada masa sama, mangsa melawan menyebabkan suspek membaling topi keledar ke arahnya. Berikutan itu, mangsa juga ditumbuk di bahagian mata dan sempat dileraikan orang awam yang berada di situ,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), dekat
Pengkalan Chepa, semalam.

Akibat kejadian itu, mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II dan keadaannya dilaporkan stabil.

Mangsa kemudian membuat laporan polis dan gerakan mengesan suspek yang berusia lingkungan 20-an dilakukan bagi membantu siasatan.

”Kes itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah,” katanya.

Sinar Harian

Kedutaan Israel di Georgia dan India jadi sasaran bom

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

NEW DELHI - Dua kejadian bom menyasarkan Kedutaan Israel di Georgia dan India semalam, sehari selepas hari ulang tahun peringatan pembunuhan Imad Mugniyeh, dari kumpulan Hezbollah pada tahun 2008.

Israel mendakwa serangan itu dilakukan oleh Iran.

"Ada satu usaha serangan dan satu berjaya," kata Paul Hirschson, jurucakap bagi Kementerian Luar Israel.

Dalam kedua-dua kes itu, pihak yang menjadi sasaran bekerja di Kedutaan Israel.

Di India, isteri seorang diplomat Israel cedera ringan, lapor Haaretz.

Tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas kejadian itu, tetapi Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dengan segera menuding jari ke arah Iran.

"Iran, yang merupakan (pihak) di belakang serangan-serangan ini, pengeksport terbesar pengganas di dunia," kata Netanyahu.

Bagaimanapun pegawai-pegawai Iran menafikan tuduhan dengan menyifatkannya sebagai satu pembohongan.

Menurut saksi, seorang penunggang motosikal meletakkan satu alat pada sebuah kenderaan di New Delhi, menyebabkan letupan yang mencederakan empat orang dengan salah seorang daripada mereka serius.

Satu bom yang turut diletakkan di bawah kereta di Tbilisi berjaya digagalkan.

Sinar Harian

Polis terima 8 jahitan, telinga digigit suspek

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Seorang anggota polis berpangkat konstabel nyaris putus telinga kiri setelah digigit oleh suspek kes jenayah yang ditangkapnya, lewat petang kelmarin.

Malah, anggota polis itu juga dicekik sehingga menyebabkannya terpaksa melepaskan tembakan bagi mengelakkan serangan suspek itu selepas dibawa ke Balai Polis Gong Badak.

Ketua Jabatan Siasatan Janayah Terengganu, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, sebelum kejadian itu, mangsa yang juga anggota MPV dari Balai Polis Gong Badak bersama seorang lagi rakannya sedang membuat rondaan.

Sekitar jam 7 malam, mereka menerima maklumat dari Pejabat Pertanyaan Balai Polis tentang tangkapan oleh orang awam di sebuah kedai serbaneka di Kampung Gong Pak Jin, Gong Badak.

“Anggota polis itu sampai dan membuat tangkapan terhadap suspek yang berumur 34 tahun kerana dikatakan menipu, lalu dibawa ke Balai Polis Gong Badak. Semasa dia sedang membuat laporan polis, suspek itu telah memberitahu ingin muntah.

“Suspek itu kemudiannya dibawa keluar dan digari di bahagian hadapan. Bagaimanapun, suspek tersebut tiba-tiba melarikan diri dengan keluar dari kawasan balai dan masuk ke dalam semak, namun berjaya ditahan semula,” katanya.

Sebaik ditahan, suspek bertindak ganas dengan menggigit telinga kiri anggota polis itu dan mencekiknya.

Konstabel tersebut cuba untuk melepaskan diri, tapi tidak berjaya.

Disebabkan tiada pilihan bagi meleraikan pergelutan itu, anggota polis terbabit melepaskan dua tembakan dengan salah satu daripadanya mengenai betis kiri suspek.

“Selepas itu, suspek meleraikan tangan daripada mencekik mangsa. Anggota lain yang menyedari akan kejadian itu, kemudiannya datang memberikan bantuan,” katanya ketika ditemui dipejabatnya di sini, semalam.

Akibat kejadian itu, kedua-duanya kini dimasukkan ke hospital. Anggota polis itu menerima lapan jahitan dan mengalami luka di lengan kanan dan ibu jari kiri.

Suspek yang merupakan penagih dadah, mempunyai kes lampau kerana mencuri itu.

Menurutnya lagi, suspek yang juga seorang penganggur dan berasal dari Batu Rakit itu kini disiasat dibawah Seksyen 333 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah dalam menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Sinar Harian

ATM terus terajui Liga Perdana

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus menerajui persada Liga Perdana apabila mencipta kemenangan keenam dalam liga setelah mengalahkan Johor 4-1 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang malam tadi.

ATM kini mengumpul 18 mata iaitu dengan kelebihan dua mata di hadapan pencabar terdekat Pahang selepas tujuh perlawanan.

Hairuddin Omar sekali lagi menjadi wira ATM apabila melakukan jaringan hatrik pada minit ke-33, 61 dan 74 manakala pemain import dari Argentina, Bruno Sebastian Marteloto kemudianya melengkap gol keempat pada minit ke-90.

Gol saguhati Johor disumbangkan oleh Mohd Hamzani Omar pada minit ke-48.

Pahang pula terus mengekori rapat apabila mengumpul 16 mata hasil kemenangan 1-0 ke atas USM FC di Stadium Olahraga Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Kockin Boris menjadi wira Pahang apabila menjaringkan gol tunggal pada minit ke-72.

Pasukan tercorot Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB) pula melakukan kejutan apabila mengatasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) 5-3 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Lima gol MBJB disumbangkan oleh Azmi Sarmin pada minit ke-23 dan 40, Dalibor Dragic (minit ke-62), Romdhizat Jamian (minit ke-72) dan Fokim Fon Fondo pada minit ke-82.

Gol PDRM dijaringkan oleh Mohd Afif Amiruddin (minit ke-23 dan 49) dan Fazli Azrin pada minit ke-70.

Di Stadium Sultan Ibrahim, Muar, pasukan MP Muar terpaksa akur dengan keputusan seri 0-0 kepada Sime Darby.

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Pos Malaysia pula mengalahkan Harimau Muda B 2-1.

Di Stadium hang Tuah, Melaka, pasukan kelab Negeri Sembilan Betaria mengalahkan Perlis 2-1. - Bernama

Sinar Harian

Pejabat Apek disimbah cat hitam

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Setelah berdepan tohmahan yang menjadi punca putusnya pertunangan seorang gadis, penjaga gawang nombor satu negara, Khairul Fahmi Che Mat (gambar kecil), 23, atau Apek dilanda dugaan lagi apabila pejabatnya, Khairul Fahmi Resources (KFR) Sdn. Bhd., di Jalan Seri Cemerlang di sini disimbah cat hitam.

Perbuatan khianat yang dipercayai dilakukan individu tidak bertanggungjawab itu merupakan yang ketiga sejak 5 Februari lalu sehingga mendorong Apek dan pihak pengurusannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu di sini kelmarin.

Tindakan itu terpaksa diambil kerana mereka bimbangkan keselamatan diri masing-masing setelah keadaan sama berulang dua hari berturut-turut.

Menurut pengurus syarikat itu, Seiyed Ahmad Mohamad Yusoff, dalam kejadian pertama 5 Februari lalu, pintu depan pejabat itu disimbah cat hitam dan diikuti kejadian kedua pada Sabtu lalu yang menjadikan papan tanda dan pagar tempat simbahan cat tersebut, manakala dalam kejadian ketiga kelmarin bahagian lantai dan dinding luar pejabat sehingga ke bumbung pula menjadi ‘mangsa’.

“Ketika kejadian pertama berlaku, Apek dan kami cuba berfikiran positif dengan menjangkakan ia cuma perbuatan nakal budak-budak tetapi apabila berlaku kejadian kedua dan ketiga, kami mula mengesyaki sesuatu yang tidak baik,” katanya ketika ditemui di pejabat KFR di sini semalam.

Kosmo

Menang RM17j nyawa terancam

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dia mungkin seorang pakar permainan judi komputer apabila menang pertaruhan RM17 juta, namun kemenangan itu bukan saja gagal menjadikannya jutawan, malah nyawanya terancam sehingga memaksa dia mendapatkan perlindungan.

Itu nasib lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Alwi, 35, apabila dia kini diburu serta diancam bunuh anggota kumpulan kongsi gelap selepas tauke pusat siber tempat dia bermain berang dengan tindakannya menuntut wang kemenangan RM17 juta itu.

Alwi berkata, segala-galanya bermula apabila dia bermain satu permainan judi komputer dikenali sebagai ‘Football Fever’ dengan nilai pertaruhan RM50 di sebuah pusat siber di Taiping, hujung bulan lalu.

“Hasil pertaruhan RM50 itu, saya menang RM1,400 dan menggunakan semua wang itu sebagai pertaruhan untuk terus bermain sehingga mengumpulkan RM140, 000 dalam masa kurang setengah jam.

“Walaupun jumlah wang kemenangan itu sudah banyak, tapi saya tak mengambilnya atau istilah yang sering digunakan ‘cuci duit’. Sebaliknya saya gunakan sebagai pertaruhan hingga menang lebih RM17 juta,” katanya.

metro/-

13 Februari 2012

Hadapilah Dengan Senyuman!

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Hadapilah dengan senyuman! Ketika datang rasa sakit yang mendera kita hanya bisa menangis, memohon dan berdoa pada Allah, kekuatan dan mustajabnya doa ditengah sakit hanya akan dipercaya oleh mereka yang pernah mengalami sakit dan putus asa, Itulah yang dirasakan seorang ibu separoh baya yang bertutur di Rumah Amalia. Dokter memvonis bahwa cairan diparu-paru harus dibuang! Paru-paru sebelah kiri terlihat tiga jari tetapi kemudian menjadi enam jari, disaat dirinya terserang flu, flunya sembuh namun batuknya masih.

Bila sedang berbaring menjadi terbatuk-batuk. Tidur harus miring bila terlentang seperti ada yang menekan, hal itu membuatnya terbatuk-batuk. Perkiraan dokter umurnya tinggal tujuh bulan lagi. Suaminya menangis melihat batuknya yang berkepanjangan dan paru-parunya semakin terendam. Suami dan anak-anaknya seolah berpikir inilah akhir dari hidupnya.

Proses penyedotan cairan di Rumah Sakit dilaluinya. Beliau merasakan sakit yang luar biasa, selang yang dimasukkan ternyata lebih besar dari yang dibayangkan dan lebih kaku. Kalau salurannya dibuka untuk membuang cairan membuat dirinya terlonjak bangun dan terbatuk-batuk, bagian dada atas sampai perut bagian kanan sakit sekali. Tidak tergambar rasa sakitnya. Penuh rasa syukur,

doa dan harapan selalu dipanjatkan untuk kesembuhan dan kasih sayang dari suami, anak-anak dan saudara juga teman-temannya. Apalagi ketika penyakitnya bertambah, maagnya kambuh karena tidak tahan dengan obat penahan nyeri yang diberikan dokter. Bahkan beliau menolak diinfus karena susah mencari vena yang telah rusak kemoterapi yang pernah dilakukan. Menolak ditusuk-tusuk, tidak mau tangannya dipasang selang infus. cairan yang dikeluarkan dari paru-parunya lebih dari tiga liter.

Alhamdulillah, selesai mengeluarkan cairan dari paru-paru, kondisi tubuhnya lebih cepat pulih dan dokter memperkenan pulang. Disaat Suami mengurus administrasi bertanya kepada perawat mengenai hasil laboratorium cairan itu. Perawat mengatakan, "Hasilnya bersih Pak.." Suaminya tidak percaya itu, "Yang benar sus, karena dulu ada sel ganas." Perawat itu menjawab dan menunjukkan,

"Bapak, silahkan baca sendiri aja.." Begitu suaminya membaca, air matanya menetes, memanjatkan puji syukur kepada Allah, ia berlari menuju kamar istrinya mengabarkan berita bahagia, mereka berdua menangis, bersyukur atas kasih sayang Allah yang telah disembuhkan dari penyakitnya, sel ganas telah hilang. Subhnallah..!

"Yaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram." (QS. ar-Raad : 28).

posted by :agussyafii

Perbicaraan Suspek Utama Pengeboman Bali 2002 Bermula

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

JAKARTA: Perbicaraan terhadap suspek utama pengeboman Bali 2002 oleh militan Islam yang dikenali sebagai "Demolition Man" yang terkenal dengan kepakaran bahan letupan, bermula Isnin, di ibu kota Indonesia.

Umar Patek dibicarakan kerana didakwa terlibat dalam pengeboman kelab malam di Bali dan lain-lain perbuatan berkaitan keganasan disusuli sembilan tahun tuntutan keadilan beliau dari Indonesia ke Filipina dan Pakistan, yang mendakwa beliau dengan peluang keganasan.

Beliau ditangkap pada Januari 2011 di bandar yang sama di Pakistan di mana tentera Amerika Syarikat (AS) membunuh Osama bin Laden hanya selepas beberapa bulan kemudian.

Beliau dituduh membuat bahan letupan yang digunakan dalam letupan di Bali yang mengorbankan 202 orang dan kebanyakannya pelancong asing.

Patek, yang dikawal ketat ketika beliau memasuki Mahkamah Daerah Jakarta Barat pada hari Isnin, tersenyum kepada pemberita dan jurugambar tetapi tidak bertindak balas terhadap soalan-soalan yang dilaungkan oleh wartawan.

Memakai jubah putih dan berketayap putih, Patek, 45, duduk berdiam diri ketika dakwaan dibaca oleh pendakwa raya negeri, yang diketuai oleh Bambang Suharijadi.

Patek, atau nama sebenarnya Hisyam Bin Alizein dan mempunyai beberapa nama samaran, boleh dijatuhkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan terhadap pelbagai tuduhan berkaitan keganasan dan pembunuhan dirancang terlebih dahulu.

mstar/-

Anak aktivis didakwa hina raja Thai nekad mogok lapar

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

BANGKOK - Anak kepada aktivis yang ditahan selama 10 bulan atas kesalahan menghina sistem pemerintahan beraja Thailand nekad mogok lapar sebagai membantah undang-undang kontroversi yang dikenakan terhadap bapanya.

Pelajar perundangan, Panitan, 20, memulakan mogok lapar, kelmarin di hadapan Mahkamah Jenayah Bangkok dan berhasrat untuk meneruskan tindakan itu untuk tempoh 112 jam.

Bekas editor majalah Baju Merah yang telah dihentikan terbitannya, Somyot Pruaksakasemsuk, ditahan April lalu dan didakwa di bawah Seksyen 112 Tatacara Jenayah atau undang-undang lese majeste (menghina institusi beraja Thai) berhubung dua artikel yang dianggap mengkritik kuasa Raja Bhumibol Adulyadej.

Penipu jual boneka Sesame Street berkuasa ‘ajaib’ ditahan

TAIPEI - Penjaga kuil di utara Taoyuan, Taiwan, yang didakwa menipu seorang ahli perniagaan dengan menjual boneka Sesame Street, kononnya berkuasa ajaib telah ditahan, menurut polis, Jumaat lalu.

Suspek yang dikenali sebagai Lin dituduh menjual patung Elmo dan boneka Sesame Street yang lain dengan harga kira-kira NT$3 juta (RM307,000) selepas mendakwa patung itu ‘suci’ dan membawa tuah.

Selain menawarkan pemilikan harta alam ghaib kepada mangsa, Lin turut meneruskan kegiatan menipunya dengan menjual barangan palsu tersebut kepada beberapa individu lain dengan nilai melebihi NT$1 juta (RM102,000) dan mendakwa kononnya ia dapat menyembuhkan penyakit.

sinar harian/-