14 Februari 2012

Selangor terdesak buru kemenangan, Kijang idam tiga mata

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

MAMPUKAH anak didik Irfan Bakti bangkit dari kekalahan mengaibkan kepada pasukan bertaraf kelab, PKNS FC, Sabtu lalu.

Kini, tiba masanya pemain Merah Kuning menepis segala tohmahan liar mengenai pergolakan dalaman dengan mencatat kemenangan berdepan pasukan The Red Warriors di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Bagi Kelantan, tiga mata penuh menjadi sasaran mereka dalam usaha mengukuhkan cengkaman di persada Liga Super 2012.


Irfan mahu anak buah bangkit lawan Kelantan

SHAH ALAM – Selangor tidak gentar berdepan kuasa baru bola sepak negara, The Red Warriors di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini walaupun prestasi jaguh Lembah Klang itu berada dalam tidak konsisten.

Pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim berkata, kesempurnaan semua posisi kepada pendahulu liga itu tidak menggentarkannya memberikan saingan.

“Bagi kita tiada bezanya menentang Kelantan atau pasukan lain kerana semua pasukan bertanding mengharapkan tiga mata dan kita akan melaksanakan tugas sebagaimana dirancang, mungkin suasana akan lebih meriah bila menentang Kelantan.

“Pemain sudah diberikan tugas mencari mata penuh dan kita tetap percaya dalam bola sepak semua boleh berlaku kerana pasukan yang bijak memanfaatkan peluang akan mencapai kemenangan,” katanya.

Mengakui bakal berdepan saingan sengit malam ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, Irfan mahu anak didiknya melupakan kekalahan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) FC dengan memberi tumpuan menentang Kelantan.

“Kita akui perlawanan malam ini sengit kerana pastinya Kelantan mahu mengutip tiga mata penuh untuk menjarakkan kedudukan dengan pasukan lain.

“Saya harap pemain mengikut segala arahan diberikan serta menggunakan peluang terhidang menjaringkan gol,” katanya.

Kekalahan kepada PKNS FC, Sabtu lalu, meletakkan Gergasi Merah yang hanya mencatat dua kemenangan dalam tujuh perlawanan kini terperosok ke kelapan liga dengan sembilan mata berbanding Kelantan, 17.

Malah Irfan mengharapkan masalah sijil perpindahan antarabangsa (ITC) penyerang import dari Croatia, Bosko Balaban dapat diselesaikan sebelum tarikh akhir pendaftaran import bagi mengatasi masalah ketumpulan penyerang.


Apex janji tak bolos, mahu fokus perlawanan

KOTA BHARU – Penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat berjanji mahu memastikan gawang golnya tidak dibolosi ketika Kelantan bertemu musuh tradisinya, Selangor di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Khairul Fahmi atau dikenali Apex tidak melepaskan sebarang gol sepanjang aksi 270 minit dalam tiga perlawanan lalu. Namun beliau gagal mempertahankan rekod tersebut, apabila gawang golnya bolos menerusi jaringan Abdul Manaf Mamat pada masa tambahan ketika The Red Warriors menewaskan Terengganu 2-1 di Kota Bharu Sabtu lalu.

“Saya tahu pertemuan menentang Selangor sememangnya menjanjikan aksi sengit bagi kedua-dua pasukan dan saya sudah bersedia 100 peratus untuk memastikan pintu gol Kelantan tidak dibolosi malam ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Namun semua itu tidak dapat dilakukan sekiranya tanpa bantuan daripada rakan sepasukan yang lain. Jadi saya berharap rakan sepasukan terutamanya dibenteng pertahanan bekerja keras mengekang asakan pemain Selangor.

Penjaga gol utama kebangsaan berusia 23 tahun itu berkata, pasukan yang terkenal dengan jolokan Red Giants itu sudah pasti mahu bangkit daripada terus mempamerkan aksi hambar dan berazam menjadikan Kelantan sebagai mangsanya dalam pertemuan ini.

“Kita tahu Selangor dikalahkan oleh PKNS FC 2-0 dalam pertemuan terakhir tempohari. Sudah pasti mereka tidak mahu kecundang lagi dan kita kena berhati-hati serta tidak terperangkap dengan percaturan taktikal pasukan mereka.

“Kita tidak ada pilihan selain perlu menewaskan Selangor malam ini andai mahu terus mengukuhkan kedudukan di persada liga. Kita tidak boleh tercicir mata kerana dua pencabar terdekat iaitu Perak dan Terengganu sentiasa memberi tekanan kepada kita,” katanya.

Pada masa sama, Apex turut melaungkan keazaman untuk memberikan fokus sepenuhnya ketika turun beraksi malam ini meskipun dihimpit pelbagai kontroversi termasuk terbaru insiden simbahan cat hitam di pejabatnya, Khairul Fahmi Resources (KFR) Sdn Bhd di Jalan Sri Cemerlang, dekat sini semalam.

“Sama ada gosip atau apa-apa fitnah yang dilemparkan selama ini, semuanya saya tolak ke tepi. Semua perkara itu tidak ada dalam minda saya setiap kali beraksi di atas padang. Saya hanya mahu fokus mengenai kerjaya saya selaku penjaga gol Kelantan.

“Mengenai insiden simbahan cat hitam itu, saya sudah membuat laporan polis. Jadi saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: