14 Februari 2012

Elak kecurian kayu karas semakin berleluasa

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN - Jabatan Perhutanan digesa meningkatkan rondaan dalam kawasan hutan bagi mengelakkan kecurian kayu karas yang semakin berleluasa di hutan simpan kekal di negeri ini.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, pihaknya menerima laporan berlaku beberapa kes kecurian kayu karas sejak November lalu menyebabkan lebih 200 pokok kayu karas musnah.

Beliau berkata, antara kawasan yang didapati menjadi sasaran ialah hutan taman botani, hutan kekal Cherok Tok Kun dan hutan kekal Bukit Panchor di Nibong Tebal.

“Mengikut laporan yang diterima, modus operandi kumpulan ini adalah mereka akan membuat pemantauan dengan menanda pokok yang bakal ditebang pada siang hari dan disusuli dengan aktiviti mengambil kayu pada sebelah malam sehingga awal pagi.

“Pokok karas mendapat permintaan tinggi di pasaran. Nama saintifiknya ‘Aquilaria’ boleh diproses menjadi gaharu dan dikomersialkan sebagai bahan pewangi dan kosmetik,” katanya kepada media selepas membuat tinjauan di hutan taman botani di sini kelmarin.

Turut hadir, Exco Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh dan pemangku Pengarah Jabatan Perhutanan Pulau Pinang, Azahar Ahmad.

Guan Eng berkata, kegiatan itu menyebabkan kerugian terhadap hasil hutan dan memusnahkan alam semula jadi.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan satu jawatankuasa tindakan operasi bersepadu diadakan yang dianggotai Jabatan Perhutanan, Polis Diraja Malaysia, Taman Botani, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Angkatan Tentera Malaysia dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela).

Guan Eng berharap orang ramai terutama pencinta alam sekitar dan pendaki bukit segera melaporkan kepada Jabatan Perhutanan sekiranya terlihat sebarang aktiviti yang mencurigakan di dalam hutan dengan menelefon 04-6505250.

Sinar Harian

Tiada ulasan: