14 Februari 2012

Subahat proses dadah

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Perkenalan tiga lelaki warga Iran dengan seorang lelaki tempatan membawa kepada penubuhan sindiket memproses dan mengedar dadah dalam negara serta di Indonesia, hujung tahun lalu.

Warga asing itu sebelum ini ditahan di sebuah pusat akhlak di Muar, Johor dua tahun lalu, di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1983.

Dalam tempoh tahanan, mereka dipercayai mengatur strategi bersama lelaki tempatan itu yang ditahan di tempat sama di bawah Ordinan Darurat.

Selepas dibebaskan, kumpulan ini menyewa sebuah rumah mewah di Changkat Kiara Bayu, Jalan Dutamas dan menjadikan kediaman itu sebagai makmal memproses syabu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, bagaimanapun riwayat kumpulan tersebut berakhir selepas polis melakukan serbuan di rumah tersebut, kira-kira jam 5 petang, Sabtu lalu.

Difahamkan, kumpulan itu dalam perancangan berpindah ke sebuah rumah banglo di Bukit Tunku, dengan bayaran sewa sebanyak RM5,000 sebulan.

Noor Rashid berkata, susulan itu, seorang lagi lelaki warga Iran dan dua lelaki tempatan ditahan di ibu negara. Semua berumur lingkungan 22 hingga 51 tahun.

Beliau berkata, polis merampas tujuh kilogram (kg) syabu berbentuk kristal, 25kg prekursor ephedrine iaitu bahan utama memproses syabu, pelbagai bahan kimia lain dan peralatan memproses.

“Suspek warga Iran bertindak memproses dadah dan suspek tempatan pula akan mengedarkannya. Siasatan kita mendapati dadah bernilai hampir RM4 juta itu akan di pa­sarkan di negara ini dan negara jiran,” katanya di Pusat Media, Bukit Aman, semalam.

Beliau berkata, polis percaya terdapat penglibatan warga Indonesia dalam sindiket dadah ini kerana harga pasaran dadah di negara berkenaan jauh lebih tinggi.

Menurutnya, polis kini sedang menyiasat dalang kegiatan ini dan semua suspek ditahan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sinar Harian

Tiada ulasan: