14 Februari 2012

'Terpulang kepada PAS nak letak saya di mana'

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 14 Feb: Ahli Parlimen Kubang Kerian Salahudin Ayub yang didakwa akan balik bertanding di negeri kelahirannya di Johor berkata, dakwaan itu hanya sekadar khabar angin.

Menurutnya, PAS sendiri pun belum membuat sebarang keputusan berhubung kerusi yang bakal ditandingi calon-calon mereka apatah lagi terhadap dirinya.

"Itu rumours yang kata saya akan balik ke Johor.

"Parti pun belum putuskan di mana saya akan bertanding," katanya ketika ditemui Harakahdaily semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desas desus bahawa beliau akan meninggalkan Kelantan dan bertanding di Johor sebagai persediaan Pakatan Rakyat menawan negeri itu.

Salahudin juga sebelum ini disebut-sebut sebagai calon menteri besar Johor jika Pakatan Rakyat dapat menguasai negeri itu pada PRU-13 nanti.

Mengulas lanjut Salahudin yang juga Naib Presiden PAS berkata, beliau tidak ambil pusing soal kerusi mana yang akan ditentukan PAS terhadapnya, sebaliknya beliau mahu memberi fokus kepada usaha memenangkan Pakatan Rakyat untuk mengambil alih Putrajaya.

"Setakat ini saya mainkan peranan sebagai naib presiden parti.

"Lebih penting bagi saya mahu melihat PAS dan Pakatan Rakyat menang dengan cemerlang pada PRU-13 akan datang," katanya lagi.

Soal kerusi mana untuk beliau bertanding pula, beliau sekali lagi mengulangi pendiriannya sebelum ini bahawa terpulang kepada pimpinan dan akan akur dengan segala ketetapan parti kelak.

"Saya akan buat keputusan ikut kehendak parti di mana nak letak saya bertanding.

"Kalau parti rasa saya boleh membantu kemenangan parti, saya bersedia di mana-mana sahaja," katanya.

Salahudin telah menjadi Ahli Parlimen Kubang Kerian, Kelantan selama dua penggal sejak menang dalam PRU 2004.

Pada PRU 2008, beliau berjaya pertahankan kerusi sama dengan majoriti 10,642 undi.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika diminta mengulas hasrat Pesuruhjaya PAS Johor Datuk Dr Mahfodz Mohamed mahu menarik Salahuddin bertanding di negeri itu juga membayangkan bersedia melepaskan Salahudin.

Apa-apa pun kata Nik Aziz, terserah kepada PAS Johor berbincang dahulu dan menentukannya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: