14 Februari 2012

Suhakam kecewa Malaysia usir pulang Kashgari

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 14 Feb: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) amat kecewa dengan pengusiran pulang secara terburu-buru kolumnis akhbar Arab Saudi, Hamza Kashgari, yang telah ditahan di bawah Polis Malaysia pada 9 Februari, dilaporkan atas permintaan pihak berkuasa Arab Saudi.

“Pengusiran beliau menjadi satu kejutan walau selepas rayuan bertulis dibuat oleh Suruhanjaya kepada Menteri Dalam Negeri untuk mempertimbangkan kesnya agar selaras dengan prinsip hak asasi manusia dan khususnya prinsip bukan-refoulment di mana seseorang yang menghadapi penganiyaan di negara beliau tidak perlu dikembalikan ke negara tersebut,” Naib Pengerusi Suhakam, Datuk Dr Khaw Lake Tee dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pengusiran pulang Kashgari akan mempunyai kesan negatif kepada negara kerana telah melanggar undang-undang dan instrumen hak asasi manusia antarabangsa terutama sekali yang termaktub dalam Perkara 3, 10 dan 11 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat, di mana menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menjamin bahawa setiap orang mempunyai hak kepada nyawa, kebebasan dan keselamatan; bahawa setiap orang adalah berhak secara sama rata kepada perbicaraan yang adil dan terbuka; dan bahawa setiap orang mempunyai hak untuk dianggap tidak bersalah sehingga terbukti bersalah mengikut undang-undang di dalam perbicaraan terbuka.

Katanya, Kashgari telahpun dinafikan hak-hak tersebut di mana kes beliau telah menarik tajuk-tajuk utama media antarabangsa.

“Dalam hal ini, Suruhanjaya mengulangi seruannya kepada kerajaan, sebagai ahli Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu agar menunjukkan komitmen untuk mendukung standard tertinggi dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia di negara ini,” ujarnya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: