14 Februari 2012

Ikan kering Mariam laris

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

RHU DUA – Selain keropok lekor dan keropok keping, ikan kering merupakan makanan sampingan yang dijadikan sebagai bahan pembuka selera dan merupakan antara makanan paling popular di daerah berdekatan pantai termasuk di daerah ini.

Pembuat ikan kering tempatan yang mengorak langkah dalam perniagaan tersebut di daerah ini ialah Mariam Awang, 67, dari Kampung Rhu Dua di sini.

Warga emas lapan anak ini telah memulakan perniagaannya lebih 40 tahun lalu.

“Pada awal penglibatan saya, idea untuk membuat ikan kering ini timbul apabila melihat banyak ikan-ikan kecil pelbagai jenis dibazirkan begitu sahaja sewaktu nelayan mendaratkan hasil tangkapan mereka di pantai kawasan itu.

“Melihat kepada keadaan itu timbul idea untuk memulakan perniagaan ini. Keadaan jauh berubah ketika ini. Kini bekalan amat sukar tidak seperti mana dahulu namun permintaannya tidak pernah putus, lebih-lebih lagi selepas tengkujuh,” katanya.

Menyedari ikan kering mempunyai potensi untuk dijual Mariam yang dibantu empat pekerjanya sehingga kini terus menghasilkan pelbagai jenis ikan kering yang semuanya dijual secara borong walaupun bekalan ikan dikatakan semakin sukar diperoleh.

Mariam mampu menghasilkan lebih 100 kilogram ikan kering sehari manakala pemborong dari dalam dan luar daerah berkenaan akan datang mendapatkan bekalan di rumahnya.

Ikan kering yang dijemur itu juga diasingkan mengikut saiz dan jenis kerana harga bagi setiap jenis ikan adalah berbeza seperti lolong dijual pada harga RM8 sekilogram, selayang pada harga RM12 sekilogram dan cencaru pada harga RM10 sekilogram.

Menurut Mariam, walaupun usianya semakin lanjut dia tetap meneruskan perniagaan kerana baginya, pendapatan diperoleh dapat juga menampung keperluan suaminya, Abdul Rahman Kadir, 73, yang ketika ini uzur dan hanya mampu berehat di rumah.

Sinar Harian

Tiada ulasan: