14 Februari 2012

Pemain T-Team pengsan ketika latihan

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU – Pemain tengah T-Team, Tengku Hasbullah Raja Hassan dimasukkan ke hospital selepas pengsan secara tiba-tiba ketika menjalani latihan di gimnasium Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) di sini, petang kelmarin.

Menurut pemain yang sudah dua musim bersama pasukan berstatus kelab itu, sebelum insiden itu, beliau terlebih dahulu berlari di atas kardio kira-kira 20 minit sebelum berendam di dalam ais, namun sebaik berjalan ke tempat kereta untuk menukar pakaian, beliau tiba-tiba terjatuh.

“Sebelum itu, saya sudah rasa macam tidak sihat, tetapi ia situasi biasa ketika menjalani latihan, malah saya tidak menyangka tiba-tiba terus pitam dan selepas itu tidak sedarkan diri sehingga dibawa ke hospital.

“Saya sendiri tidak menyangka akan mengalami situasi sebegini kerana ia merupakan kejadian pertama yang berlaku ke atas diri saya, apatah lagi ketika pasukan sedang berusaha untuk memperbaiki kedudukan dalam saingan Liga Super musim ini,” katanya ketika ditemui di Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS), di sini, semalam.

Bagaimanapun, Tengku Hasbullah bersyukur apabila doktor mengesahkan keadaan dirinya stabil dan hanya mengalami masalah kekurangan air dalam badan.

“Agak terkilan juga, dalam keadaan pasukan sedang bergelut untuk mencari kemenangan dalam permainan yang masih berbaki dua perlawanan lagi, saya pula terlantar di sini (hospital).

“Justeru, saya berharap rakan sepasukan mampu memberikan aksi terbaik dan mencipta kemenangan ke atas Felda United FC malam ini, agar mampu menghuni kedudukan lebih selesa dalam tangga liga,” katanya.


Percaya T-Team tetap bersemangat tinggi malam ini

Menurut pemain berusia 28 tahun itu lagi, meskipun agak terkilan kerana tidak mampu beraksi bersama pasukan dalam perlawanan genting malam ini, namun beliau percaya T-Team mampu menewaskan lawan berdasarkan semangat tinggi yang dimiliki pasukannya itu.

Pemain kelahiran Kelantan itu turut menyumbang kejayaan kepada pasukannya ketika aksi menentang Perak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, Sabtu lalu, dengan menyaksikan T-Team menang 2-0 ke atas pasukan Seladang itu.

Sementara itu, Penolong Pengurus Pasukan T-Team, Zainal Abidin Husssin berkata, pihaknya akan membantu sepenuhnya pemain berkenaan dan akan memantau tahap kesihatan sehingga pemain yang dikenali ‘rajin’ mengejar bola itu kembali pulih seperti sedia kala.

“Kita akan memastikan Tengku (Hasbullah) akan dijaga sebaiknya kerana beliau merupakan salah seorang pemain tonggak dalam pasukan,” katanya.

Menurut Zainal Abidin yang juga Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) , pihaknya sentiasa meletakkan kebajikan dan keperluan atlet dan juga pemain di bawah penyeliaan mereka sebagai keutamaan.

“Bukan sahaja pemain bola sepak (T-Team) yang kita ambil berat, sebaliknya semua atlet di bawah naungan MSNT sentiasa dijaga kerana mereka merupakan aset penting bagi Terengganu dan juga negara pada masa akan datang,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: