14 Februari 2012

Ibu tunggal dicekup berkhalwat dengan suami orang

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KULIM - Tindakan seorang lelaki yang menyorokkan kereta miliknya di bahagian tepi rumah keluarga seorang ibu tunggal di sini memakan diri apabila mereka ditangkap kerana dipercayai berkhalwat.

Bertindak atas maklumat orang awam, Pejabat Agama Islam Daerah Kulim Kedah (PADK) bersama lima penguat kuasa berjaya menahan seorang lelaki berusia 45 tahun dan seorang wanita berusia 40 tahun di sebuah rumah di Karangan kira-kira jam 2.30 pagi semalam.

Dari pemeriksaan dijalankan mendapati seorang wanita hanya memakai baju tanpa lengan dan berkain batik manakala pasangan lelaki hanya memakai kain pelekat tanpa pakaian.

Suspek kemudiannya memaklumkan kepada PADK, dia bersama teman lelakinya itu terpaksa tidur di rumah ibunya kerana hendak menjamin seorang ahli keluarga yang ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim pada keesokan harinya.

Ketua Penguat kuasa PADK, Azmi Rejab berkata, pihaknya dimaklumkan, ketika serbuan dibuat, PADK turut menemui seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun sedang tidur di bahagian belakang rumah suspek.

“PADK menerima maklumat tentang pasangan itu dan pergi ke lokasi kejadian. Apabila tiba di sana, PADK mendapati seorang lelaki dan perempuan yang tidak mempunyai sebarang hubungan mahram tinggal bersama dalam rumah itu. Dari siasatan awal mendapati kedua-dua
suspek tinggal di Kuala Lumpur tetapi sering balik ke rumah wanita itu bersama. Wanita berkenaan merupakan seorang ibu tunggal dan mempunyai anak manakala pasangan lelaki merupakan bekas kakitangan sektor awam dan sudah beristeri serta mempunyai anak.

“Penguat kuasa PADK kemudiannya membuat pemeriksaan di dalam rumah itu dan mendapati hanya mereka berdua dan seorang kanak-kanak berada dalam rumah itu. Mereka kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kulim untuk membuat laporan tangkapan terhadap mereka,” katanya.

Menurutnya, selepas membuat laporan polis, PADK telah mengeluarkan notis hadir ke pejabat PADK untuk memberi keterangan. Kedua-dua suspek kemudiannya dibebaskan setelah membayar wang jaminan diri RM1,000 setiap seorang.

Azmi berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 9 (1) (2) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kedah 1988, jika sabit kesalahan kedua-dua suspek boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Sinar Harian

Tiada ulasan: