14 Februari 2012

Lembah Sireh: Bukti kemampuan PAS mentadbir

21 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU, 14 Feb: Biar pun seringkali dipertikai pemimpin Umno, namun pembangunan bandar metropolitan di Lembah Sireh yang tersergam indah di tebing Sungai Kelantan tetap berjalan lancar.

Hari ini di kawasan itu boleh dilihat Pasaraya Besar Tesco, lot-lot kedai, Kolej Poly-Tech Mara, Kolej Masterskill, pejabat, terminal bas, riverfront dan restoran terapung.

Berbeza berbanding sebelum ini lokasi itu merupakan kawasan pertanian yang di kelilingi semak dan samun. Ketika itu seramai 130 penduduk pernah mengusahakan aktiviti pertanian di kawasan berkenaan.

Namun sekarang hampir 1,500 penduduk mencari rezeki di Lembah Sireh.

Tanpa mengeluarkan sebarang modal kerajaan Kelantan berjaya membangun Lembah Sireh dan sehingga sekarang pemaju, Liziz Standaco Sdn Bhd menyumbang berjumlah RM46 juta bagi pembangunan perumahan kos rendah (RM3 juta), sumbangan kepada petani (RM2 juta) dan penyerahan tanah bagi pembinaan tapak istana (RM41 juta).

Kejayaan itu menggambarkan keupayaan ulama mentadbir sehingga berjaya membangunkan bandar baru yang kini merubah wajah Bandar Kota Bharu.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, seramai 130 petani dipindahkan ke lokasi baru di Kampung Tikat dan kini menjadi pusat pertanian komersial.

Selain itu kerajaan negeri juga menerima hasil daripada premium tanah hampir RM1.2 juta, hasil tanah (RM230,000 setahun), cukai bandar bagi kompenan yang telah disiapkan (RM720,000 setahun), terminal bas dan ruang niaga (RM50,000 sebulan).

“Kalau dahulu sebelum ada projek pembangunan hanya seramai 130 penduduk yang bekerja sebagai petani di kawasan itu.

“Namun sehingga kini hampir 1500 penduduk tempatan dapat mencari rezeki melalui pelbagai peluang pekerjaan yang disediakan,” katanya di sini.

Baru-baru ini sebuah badan bukan kerajaan tajaan Umno yang dikenali sebagai Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (Ombak) diketuai bekas pemimpin Angkatan Muda KeADILan, Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad menyifatkan projek terbabit gagal dan kemungkinan syarat perjanjian tidak dipatuhi pemaju, Liziz Standaco Sdn Bhd.

Pemimpin berkenaan juga sebelum ini terbabit demontrasi di hadapan Kota Darulnaim tahun lepas, mendakwa kerajaan negeri merampas tanah rakyat.

(Ikuti berita lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)

Harakah Daily

Tiada ulasan: