27 Februari 2012

Najib mengaku silap hanya taktik tawan Selangor

5 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 27 Feb: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan membuat apa sahaja, asalkan menang pilihan raya.

“Terbaru beliau mengaku Umno melakukan kesilapan sewaktu memerintah Selangor selama 51 tahun sebagai usaha untuk menarik simpati rakyat supaya memilih BN untuk memerintah Selangor,” kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Rakyat Selangor pula, katanya mengatakan nasi sudah menjadi bubur.

“Nampaknya apa sahaja rakyat minta kepada Datuk Seri Najib beliau akan beri, termasuklah bulan atau matahari kalau beliau boleh beri,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Justeru, ujarnya tidak ada alasan untuk rakyat Selangor memilih BN memerintah semula negeri itu.

Beliau berkata, rekod buruk dan pengkhianatan Umno BN terhadap rakyat Selangor masih tidak dapat diubati.

Katanya, selama setengah abad mereka memerintah sebelum ini, bukan satu masa yang singkat dan berapa banyak sistem pengurusan yang rosak sebelum Pakatan Rakyat memerintah Selangor.

“Bukan senang kerajaan PR hendak membersih karat tebal yang melekat di semua sudut,” ujarnya lagi.

Namun, jelasnya dengan usaha gigih pemimpin PR telah berjaya menunjukkan prestasi terbaik sama ada dari segi pentadbiran dan mengagihkan kekayaan kepada rakyat yang tidak pernah dilakukan oleh kerajaan BN sebelumnya.

Baginya, lebih baik Najib mengambil cermin untuk menyuluh muka dan kemudian melihat data perkembangan ekonomi di bawah seliaan BN yang jauh ketinggalan dalam semua segi.

“Jangan beliau bercakap tanpa berbekalkan data seperti beliau mengatakan Sabah lebih maju daripada Kelantan.

“Saya sebagai rakyat Malaysia malu jikalau Perdana Menteri bercakap seperti ketua cawangan Umno sahaja,” katanya.

Hatta, kata beliau kawasan Parlimen Pekan yang diwakili Najib jauh ketinggalan dari aspek pembangunan.

“Majukan Pekan dahulu sebelum hendak merampas Selangor,” katanya.

Sebelum ini, kata Idris, masalah bekalan air di Universiti Malaysia Pahang kampus Pekan tidak dapat diatasi oleh Najib.

harakahdaily/-

3 maut serangan bom di lapangan terbang Afghan

5 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

AFGHANISTAN - Sekurang-kurangnya tiga orang awam terbunuh dalam serangan bom kereta di kawasan lapangan terbang Jalalabad, timur Afghanistan.

Menurut pihak berkuasa, letupan itu turut menyebabkan beberapa orang tercedera dan kerosakan pada bahagian pintu pagar lapangan terbang.

Menurut jurucakap wilayah Jalalabad, Ahmad Zia Abdul Zai, tentera Nato telah pun dikerah untuk menutup kawasan itu.

Afghanistan telah menyaksikan beberapa kematian berikutan protes membantah al-Quran di Pangkalan Tentera Amerika Syarikat (AS).

Menurut pegawai polis wilayah Obaidullah Talwar, semua mangsa pengeboman terdiri daripada orang awam.

Lapangan terbang itu telah dijadikan sasaran bom kerana ia menyediakan perkhidmatan untuk orang awam dan juga menjadi pangkalan pesawat tentera antarabangsa.

Dalam pada itu, pihak berkuasa Afghanistan sedang giat memburu seorang anggota polis berusia 25 tahun yang dipercayai telah menembak mati dua pegawai kanan NATO di Kementerian Dalam Negeri di Kabul kelmarin.

Semalam, Perancis dan Jerman diikuti Amerika Syarikat dan Britain telah mengeluarkan kakitangan awam mereka daripada institusi-institusi kerajaan Afghanistan kerana bimbang dengan keselamatan rakyat mereka.

sianr harian/-

Anuar Tan saman Ng Yen Yen RM5 juta

5 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU, 27 Feb: Pengerusi Perhubungan MCA Kelantan, Datuk Sri Dr Ng Yen Yen dituntut membayar ganti rugi RM5 juta ekoran mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Anuar Tan Abdullah.

Notis saman tersebut difailkan Anuar yang juga Adun Kota Lama melalui peguam Hisham Fauzi dari Tetuan Hisham Fauzi & Associates baru-baru ini.

Sehubungan itu pengurusan kes berkenaan ditetapkan pada 4 Mac ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Malaya di sini.

Ng Yen Yen yang juga Menteri Pelancongan pada 29 April tahun lepas mengeluarkan kenyataan media dengan mengggambarkan Anuar Tan berdolak dalik dalam isu Bazar Tok Guru.

Kenyataan itu disiarkan akhbar Sin Chew Jit Poh pada 29 April 2011 yang bertajuk “MCA Kelantan: Isu Bazar Tok Guru “Anuar Tan terus berdolak-dalik”.

Kenyataan serupa juga disiar akhbar Nanyang Siang Pau pada tarikh sama, “Menangani Isu Bazar Tok Guru MCA Kelantan: Anuar Tan berdolak-dalik”.

Dalam kenyataan tersebut pemimpin MCA terbabit mendakwa Anuar Tan pernah menabur janji kepada peniaga dengan memberi jaminan setiap lot gerai di Bazar Tok Guru mempunyai keluasan 120 kaki persegi.

Bagaimanapun katanya, selepas siap saiznya menjadi 48 kaki persegi, di mana Anuar Tan berusaha mencari akal menolak tanggungjawabnya.

Ekoran itu plaintif melalui peguamcaranya mengemukakan notis tuntutan kepada defendan menuntut memohon maaf secara terbuka dan membayar gantirugi yang minimal.

Bagaimanapun defendan gagal serta tidak mahu memohon maaf secara terbuka dan membayar gantirugi tersebut.

Sedangkan kata Anuar kedua-dua artikel tersebut secara jelas menyebut berita yang tidak benar dikaitkan dengannya, di mana digambarkan seorang pakar berdolak-dalik dan tidak bertanggungjawab.

Menurutnya penyiaran artikel tersebut menjejaskan imej plaintif di mata masyarakat.

Selain itu plaintif juga menuntut defendan memohon maaf secara bertulis, membuat permohonan maaf secara terbuka dalam akhbar Sin Chew Jit Poh dan Nanyang Siang Pau, membayar ganti rugi teladan, ganti rugi melampau dan ganti rugi punitif.

harakahdaily/-

FGVH: Anak akan terus dedah ‘lakonan’ Najib, Isa

5 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Kenyataan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad bahawa penyenaraian Felda Global Venture Holding (FGVH) akan diteruskan sesuatu yang sangat dikesali. Keputusan Lembaga Pengarah Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd (KPF) yang membatalkan EGM pada 22 Februari lalu berikutan perintah Mahkamah Tinggi Kuantan adalah sangat tepat dan wajar.

Namun keangkuhan Isa Samad merangka pelan baru dengan menubuhkan Syarikat Tujuan Khas (SPV) yang kononnya 112,635 orang peneroka akan mendapat faedah langsung daripada penyenaraian FGVH akan terus mengundang kontroversi dan bantahan seluruh negara.

Tanpa perlu menghuraikan semula sebab penentangan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) dan warga Felda; Kerajaan BN mestilah bersedia dengan isyarat jelas penolakan dasar separuh masak penyenaraian FGVH yang diketuai Isa Samad.

Daripada awal pendirian Anak, suatu transformasi ke arah penambahbaikan Felda boleh di bincang dan ditangani tanpa perlu kepada penyenaraian di Bursa Malaysia. Adalah dicadangkan diadakan suatu Konvensyen Halatuju Felda dengan menemukan semua pihak yang berkaitan bagi merumuskan mekanisme strategik bagaimana usaha-usaha boleh digerakkan untuk terus membangunkan Felda ke tahap yang di sasarkan.

Kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib Razak mesti mengimbas kembali matlamat Felda di wujudkan oleh bapa beliau, Allahyarham Tun Abd Razak tahun 1956. Jangan dikhianati perjuangan dan pengorbanan bapa beliau dan pemimpin terdahulu.

Mengapa kerajaan pimpinan beliau beria-ria sangat dengan pelan penyenaraian FGVH seolah-olah esok lusa peneroka akan merempat dan rugi besar jika menolak cadangan tersebut?

Gelojoh benar nampaknya PM dan Isa Samad dengan menidakkan peneroka selaku tuan tanah yang bersusah payah puluhan tahun selama ini.

Tidak perlu bersandiwara mahu menolong peneroka. Anak tahu agenda Kerajaan BN dan motif sebenar penyenaraian. Anak simpati dengan nasib peneroka Felda yang diperdaya hingga menyerahkan salinan Kad Pengenalan, Salinan Geran HakMilik dan dokumen peribadi ahli keluarga serta kesukaran menyediakan buku akaun bank seperti diminta baru-baru ini, kononnya akan dapat durian runtuh ribuan ringgit.

Ketika ini lakonan PM dan Isa Samad kita sudah mula dedahkan secara bersiri. Lebih banyak pendedahan dan penyelewengan akan dilakukan selepas ini dengan bukti-bukti yang sangat kukuh. Meskipun penentangan kita berjaya hingga EGM dibatalkan, perjuangan tidak terhenti setakat ini.

Anak akan bersama Gerakan Selamatkan Felda (GSF) akan berusaha mengadap Duli Tuanku Sultan Negeri-negeri mulai Mac ini memohon perkenan Tuanku Sultan agar campur tangan supaya Tanah Felda Plantation di negeri masing-masing tidak dipajak kepada FGVH.

Bahkan Anak akan menyerahkan memorandum suatu cadangan bagaimana tanah seluas 360,000 hektar boleh dimanfaatkan untuk rakyat dan menjana perolehan baru kepada kerajaan negeri.

Langkah Kerajaan Negeri Kelantan yang bercadang memajukan tanah Felda Plantation seluas 55 ribu hektar dengan memasukkan 8,000 peneroka baru terdiri daripada anak Kelantan sangat relevan, sesuai dengan saranan Anak selama ini.

Anak menyokong penuh usaha Biro Felda dan Orang Asal PKR mengutip 100,000 tandatangan bantahan penyenaraian FGVH yang bakal diserah kepada Perdana Menteri pada 30 Mac 2012 di Putrajaya.

Bahkan, jika ianya gagal melunakkan pendirian PM untuk terus menyenaraikan FGVH pada 10 Mei ini seperti disebut Datuk Ahmad Maslan; suatu HIMPUNAN RAKYAT PERDANA dijangka akan diadakan pada April ini. Puluhan ribu warga Felda akan menyerlahkan keberanian mereka untuk turun berarak bersama rakyat lainnya menyerahkan memo kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Ingat, nasib Kerajaan BN akan ditentukan melalui undi 55 kawasan Parlimen dan 92 Dun yang ada pengundi Felda pada PRU13 nanti.

Mazlan Aliman adalah Presiden Anak.


Mapim gesa seragam undang-undang murtad

5 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 27 Feb: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) memohon Majlis Raja-Raja Melayu mengadakan sidang khas agar undang-undang murtad yang seragam di seluruh negara diwujudkan untuk membendung gejala itu.

“Undang-undang tersebut hendaklah boleh dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa agama dan dibicarakan di Mahkamah Syariah,” kata Setiausaha Agung Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar).

Katanya, kesalahan menjalankan kegiatan cuba memurtadkan orang Islam selama ini sepatutnya boleh didakwa di mahkamah sivil tetapi sehingga ini penguatkuasaannya masih menjadi tanda tanya.

Sementara itu, ujarnya wujud enakmen negeri-negeri mengenai murtad kecuali beberapa negeri yang masih belum mewujudkan undang-undang tersebut, Mapim berpendapat sebuah akta yang khusus dan seragam perlu digubal untuk memastikan permohonan pertukaran agama daripada Islam kepada agama lain dapat dihalang.

“Kami mendapati kini wujud undang-undang yang tidak selaras antara negeri-neger dan ini telah menyebabkan berlakunya beberapa peruntukan yang longgar mengenai isu murtad,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Oleh itu, tegasnya tindakan perlu diambil untuk memperkemaskan peruntukan dalam undang-undang tersebut demi mengekang gejala murtad.

Di samping itu, kata beliau Mapim juga berpendapat akibat kelemahan dalam penguatkuasaan undang-undang telah menyebabkan umat Islam terdedah kepada agenda pihak tetentu yang mahu mencari peluang untuk menggugat aqidah umat Islam.

Katanya lagi, kelemahan penguatkuasaan adalah punca undang-undang murtad tidak dapat dilaksanakan secara berkesan.

Justeru, ujarnya lagi, Mapim merayu Majlis Raja-Raja Melayu memberi perhatian yang serius kepada masalah pegangan aqidah umat Islam yang perlu dilindungi bukan sahaja dengan pendidikan dan kesedaran, namun juga hendaklah diperkukuhkan melalui perundangan kerana murtad adalah termasuk dalam bidang jenayah Islam.

“Penyelarasan undang-undang murtad perlu dilakukan bagi memastikan agar tidak ada negeri di negara ini yang membolehkan seseorang itu mengisytiharkan dirinya keluar daripada agama Islam,” katanya.

HARAKAHDAILY/-

Khalwat: Badrulamin Dakwa Didalangi Umno

5 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA: Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Badrulamin Bahron mendakwa insiden beliau ditangkap khalwat dengan seorang wanita bersuami pada Sabtu lalu merupakan perangkap terancang yang didalangi Umno.

Malah menurut beliau, suami wanita berkenaan yang dikenali sebagai Faizal turut terlibat dalam usaha menganiaya dan menghancurkan karier politiknya.

"Faizal yang merupakan suami kepada wanita berkenaan dipercayai terlibat dalam rancangan untuk memerangkap saya.

"Malah saya diberitahu oleh bapa wanita itu bahawa seorang pemimpin Umno menghubungi dia bagi mendapatkan nombor telefon bimbit Faizal. Jadi saya percaya semua ini ada pertalian dan hubung kait bagi memerangkap saya," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Isnin.

Pada Ahad Badrulamin tampil menafikan bahawa beliau ditangkap khalwat bersama seorang wanita berstatus isteri orang oleh Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) pada awal pagi Sabtu di sebuah hotel di Balok..

Malah Badrulamin mendakwa kejadian berkenaan merupakan tindakan terancang pihak tertentu untuk memerangkap dan mengaibkan beliau.

Dalam pada itu ditanya kemungkinan peragkap yang dimaksudnya itu didalangi oleh ahli PKR dan penyokong pembangkang sendiri, Badrulamin menolak perkara berkenaan.

"Saya tak fikir rakan-rakan saya terlibat. Saya yakin dalam perjuangan kami bersama, mereka tidak akan khinati saya," katanya.

Pada pukul 3 petang ini Badrulamin akan hadir ke pejabat Jaip ditemani peguamnya, Ahmad Nizam Hamid bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

mstar/-

Mayat Lelaki Ditemui Dalam Longkang Besar Bersama Motosikal

5 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

GURUN: Mayat seorang lelaki yang dilapor hilang oleh keluarganya Rabu lepas, ditemui dalam longkang besar bersama sebuah motosikal di Jalan Sungai Petani-Alor Setar berhadapan kilang Perwaja Steel Sdn Bhd di sini malam Sabtu.

Mayat Song Lai Kim, 72, ditemui lengkap berpakaian oleh anggota Pasukan Ronda Sukarela Gurun (GST) pada pukul 11.45 malam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hashim Ali ketika dihubungi Bernama berkata mangsa dipercayai meninggal dunia dalam tempoh lebih 24 jam akibat motosikal ditunggangya terbabas sebelum terhumban ke dalam longkang besar itu.

"Ini kes kemalangan...mangsa terbabas sehingga termasuk ke dalam longkang itu. Laporan forensik kata mangsa cedera pada bahagian tulang pinggang belakang," katanya.

Difahamkan longkang besar itu sedalam 2.1 meter.

Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani untuk bedah siasat.

Sementara itu, anak lelaki mangsa Song Hooi Hong, 43, berkata ayahnya telah keluar dari rumah di Taman Suria di sini kira-kira pukul 9 malam pada 22 Feb lepas.

"Saya ingat seperti kebiasaan bapa saya keluar jumpa kawan-kawan dan saya tunggu sampai pagi bapa tidak balik. Buat panggilan telefon pun tidak angkat dan cari pun tak jumpa," katanya.

Song berkata beliau membuat laporan polis berhubung kehilangan bapanya itu.

"Saya mendapat tahu tentang penemuan mayat ayah saya itu daripada anggota GST yang telah menjalankan gerakan mencari," katanya. - BERNAMA

RM2.71b Akan Jadikan Umno/BN Lebih Bergolak

5 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 27 FEB: Peruntukan RM2,710,000,000 kerajaan Pusat kepada Umno selangor akan menjadikan Umno dan komponen BN diseluruh negara berada dalam keadaan lebih berpecah dan huru hara.

Pesuruhjaya PAS, Selangor, Dr Rani Osman wang yang sebegitu besar akan menjadi rebutan dan ramai yang tidak akan berpuas hati diatas agihan yang diberikan.

"Wang tersebut akan menjadi rebutan dikalangan pemimpin-pemimpin Umno Selangor yang akhirnya akan membawa perpecahan dan pergaduhan diantara mereka.

"Nanti yang dapat sikit akan marah dan kecil hati, yang dapat banyak masih rasa tak cukup.

"Budaya sogokan, rasuah dan ugutan dalam Umno juga akan menjadikan wujud puak-puak yang saling bertelagah dalam Umno selain rasa tidak senang dikalangan parti-perti komponen BN lain.

"Begitu juga pemimpin Umno dari negeri-negeri lain juga akan berkecil hati dengan sikap pilih kasih perdana menteri yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Selangor kerana memberikan peruntukan yang amat besar kepada Selangor tetapi tidak kepada negeri-negeri lain." ujar Dr Rani.

Jelasnya, Umno Selangor sedang berada dalam keadaan amat terdesak sehingga sanggup menggunakan wang rakyat negara ini untuk kepentingan pemimpin-pemimpin parti bagi memastikan usaha menawan Selangor dilaksanakan.

Katanya 'rasuah politik' seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) yang bukan merupakan pemberian ikhlas tetapi usaha terdesak untuk memancing undi.

"Dah 54 tahun Umno perintah negara cuma RM500 disuap kepada rakyat. Jumlah ini bersamaan RM0.75 sen sebulan. Tetapi nilai pemberian air percuma yang disediakan oleh Selangor benilai RM11.30 sebulan yang diberikan sejak PR memerintah Selangor." kata beliau yang juga Adun Meru.

Katanya pemberian RM500 tersebut merupakan wang rakyat yang dipergunakan oleh Umno untuk keperntingan sogokan kepada rakyat disaat menjelang PRU13.

"Saya harap rakyat beramai-ramai datang untuk mengambil wang tersebut kerana wang pemberian tersebut bukan milik Umno tetapi wang milik seluruh rakyat Malaysia.

"Kalau boleh minta lebih dari apa yang diberikan kerana kalau tidak wang tersebut akan masuk ke kocek pemimpin-pemimpin yang sanggup merompak wang rakyat." tambah beliau.

Menurut Dr Rani, rakyat selangor adalah rakyat yang bijak serta pengundi separa bandar yang mampu menilai kebertanggungjawaban sesebuah kerajaan.

"Saya pasti rakyat Selangor merupakan rakyat dari masyarakat pertengahan dan tinggi yang boleh menilai sesebuah kerajaan.

"Sebab itu Umno terpaksa menggunakan wang rakyat yang banyak untuk membuat sogokan dan rasuah politik, tapi saya yakin rakyat Selangor tidak akan tertipu." kata beliau ketika di hubungi.

tv news/-

Badrulamin Di arah Bercuti Sebulan

5 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM 27 FEB : Ketua Penerangan Negeri Selangor, Dr Badrulamin Bahrom dinasihatkan supaya mengambil cuti selama sebulan sehingga beliau dibersihkan dari tuduhan yang dikatakan berkhalwat pada Sabtu lalu.

Kerajaan Negeri telah menerima penjelasan Dr Badrulamin berhubung kejadian itu dan mendesak pihak Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) melakukan siasatan secara telus, adil dan professional demi menjaga maruah beliau sebagai muslim sebagaimana yang dituntut dalam ajaran Islam.

Kerajaan Negeri berharap cuti rehat yang diberikan ini dapat digunakan untuk menumpukan perhatian kepada musibah yang sedang ditanggung oleh beliau dan melakukan usaha-usaha bagi membersihkan nama beliau.

"Sepanjang tempoh bercuti ini, tugas-tugas beliau sebagai Ketua Penerangan Kerajaan Negeri Selangor akan diambil alih sementara waktu oleh Sekretariat akhbar Pejabat Dato' Menteri Besar yang diketuai oleh Setiausaha Akhbar Dato' Menteri Besar,"jelas kenyataan media yang dikeluarkan oleh Sekreteriat Akhbar Pejabat Menteri Besar Selangor hari ini.

Dalam reaksi Dr Badrulamin semalam, beliau menafian laporan media yang mendakwa beliau ditangkap khalwat oleh pegawai Jaip di sebuah hotel di Kuantan, Pahang.

Dr Badrulamin yang juga Ketua Cabang PKR Sabak Bernam menjelaskan beliau berada di hotel berkenaan kerana menghadiri temurapat pemimpin PKR.

"Akhir sekali Kerajaan Negeri Selangor menyeru semua pihak supaya tidak membuat andaian-andaian negatif dan menyerahkan hal ini kepada pihak berwajib melakukan penyiasatan,"jelas kenyataan itu lagi.

tv news/-

Brunei negara ke-5 terkaya dunia

5 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

BRUNEI: Forbes meletakkan Brunei Darussalam sebagai negara ke-lima terkaya daripada 182 negara, kerana pengeluaran petrol dan gas asli menyumbang AS$48,000 (RM144,721) perkapita untuk pemerintahnya.

Dalam laporannya, Forbes menerangkan untuk mendapat ranking negara kaya, ia melihat kepada perkapita Keluaran Dalam Negeri Kasar (GDP) yang diselaraskan dengan kuasa membeli.

Ia menggunakan data yang dikumpulkan daripada IMF dari 2010, iaitu set angka terkini yang diperoleh.

Dalam kenyataan Forbes, “Pariti kuasa beli diselaraskan dengan GDP, adalah satu cara yang digemari oleh pakar ekonomi ketika membuat perbandingan antarabangsa, mengambil kira kos sara hidup relatif dan kadar inflasi, bukan sekadar kadar pertukaran, yang mungkin tidak memberikan perbezaan nilai yang sebenar.”

Awal tahun ini, Jabatan Pembangunan dan Perancang Ekonomi (JPKE) melaporkan indeks harga pengguna Brunei meningkat 1.8 peratus dari 2010 ke 2011. - Brunei Times

Konflik gajah-manusia di Pahang meruncing

5 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUANTAN – Konflik gajah dan manusia di negeri ini dilihat semakin meruncing apabila tahun lepas sahaja tiga haiwan itu mati akibat pertembungan dengan manusia.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Khairiah Mohd Shariff berkata, walaupun angka itu dilihat rendah, keadaan adalah membimbangkan kerana dianggar hanya terdapat 190 ekor gajah liar di negeri ini.

"Gajah berhadapan ancaman daripada manusia apabila mereka mula memasuki kawasan penempatan untuk mencari makanan, selepas kawasan habitat mereka di hutan dimusnahkan untuk pembangunan.

"Tahun lepas sahaja sebanyak 229 aduan diterima mengenai perkara itu," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata dalam kebanyakan kes, penduduk atau pemilik ladang bertindak menembak haiwan terbabit menyebabkan ada yang tercedera dan akhirnya mati akibat kecederaan itu.

Khairiah menyangkal dakwaan penduduk bahawa jabatan itu tidak mengambil tindakan terhadap aduan mereka.

"Setiap aduan yang diterima Perhilitan akan disusuli dengan tindakan tetapi kebanyakan laporan yang diterima lambat sampai dan menyukarkan Perhilitan untuk membuat tindakan," katanya. – BERNAMA

Himpunan Hijau 2.0 paku terakhir Umno BN Pahang

5 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 27 Feb: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada segenap lapisan masyarakat yang turut hadir dalam Himpunan Hijau 2.0 yang diadakan pada hari Ahad di Kuantan.

Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor (gambar) berkata, Himpunan Hijau 2.0 merupakan suatu petunjuk bahawa rakyat bersatu dan bersepakat untuk tidak mengizinkan walau seinci pun bumi di Pahang, bahkan di mana-mana tempat di negara ini dari dicemari dengan aktiviti yang boleh merosakkan alam sekitar.

Tambahnya, Himpunan Hijau 2.0 juga memberi isyarat kepada pemerintahan Umno BN supaya mendengar pandangan rakyat dalam apa juga isu yang membabitkan mereka.

“Zaman pemimpin negara memerintah secara diktator dengan sombong dan angkuh sudah berlalu, dan kini adalah masa untuk pemimpin dan rakyat saling bekerjasama dalam menangani sesuatu isu yang timbul,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Pastinya, ujar beliau Himpunan Hijau 2.0 adalah menifestasi kebangkitan rakyat setelah pelbagai usaha dilakukan bagi memastikan ianya selesai di meja rundingan gagal.

Menurutnya lagi, meskipun Perdana Menteri menyatakan bahawa loji pembersihan nadir bumi bernilai RM700 juta di Kuantan adalah selamat dari segi ‘fakta dan saintifik’, namun demikian rakyat tidak peduli dengan kenyataan beliau.

Ini, ujarnya menunjukkan bahawa PM sendiri gagal meyakinkan rakyat supaya mendengar penjelasan beliau terhadap isu itu.

Bagi rakyat, tambahnya mereka lebih peka terhadap alam sekitar kawasan mereka memandangkan mereka sendiri yang merasainya.

Beliau berkata, rakyat tidak melihat PM dan anggota kabinet merasai denyut nadi kehidupan rakyat di bawah kerana mereka dipisahkan oleh kehidupan pemimpin negara yang begitu eksklusif dan elit.

Tambahnya lagi, Himpunan Hijau 2.0 menyaksikan bumi Pahang yang selama ini menjadi benteng kukuh dan ampuh buat Umno BN bukan lagi menjadi kubu yang selamat kepada mereka.

“Mereka tidak lagi boleh mendabik dada mendakwa negeri dan kawasan tertentu sebagai fixed deposit kepada mereka.

“Bahkan, ramai berandaian Pahang bukan lagi kawasan subur buat Umno BN memerintah. Segalanya boleh berlaku sekiranya pemimpin Umno silap percaturan,” ujarnya.

Justeru, katanya DPPM beranggapan, apa pun alasannya, kerajaan perlu segera menghentikan operasi Lynas demi kemaslahatan rakyat.

“Jika tidak bersedialah menghadapi hukuman rakyat dalam PRU ke 13 nanti. Pahang mungkin akan menjadi paku terakhir buat keranda Umno di negara ini,” ujarnya lagi.

harakahdaily/-

Banjir Kilat Di Tangse, Aceh: Seorang Hilang, 18 Rumah Hanyut

5 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

JAKARTA: Hujan lebat yang turun di daerah kecil Tangse, dalam daerah Pidie, Aceh petang Sabtu mengakibatkan beberapa kawasan penempatan dilanda banjir kilat, hingga menyebabkan seorang penduduk dilapor hilang dan 18 rumah dihanyut arus air.

Penduduk yang hilang dikenalpasti sebagai Tengku Idris, 55, manakala kampung yang terkena banjir kilat itu ialah Desa Kebun Nilam, Desa Blang Maloe dan Desa Pulo Mesjid, kata Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia dalam kenyataan pada Ahad.

Data yang dikeluarkan BNPB menyebut buah rumah hilang di Desa Kebun Nilam manakala di Desa Blang Maloe, empat rumah hilang dan sebuah rumah rosak teruk.

BNPB peringkat daerah dan provinsi serta semua agensi bantuan yang berkaitan telah berada di kawasan bencana sejak semalam untuk menangani kejadian itu serta memindahkan mangsa ke kawasan selamat.

Banjir kilat itu turut mengakibatkan jambatan Kuala Panteue terputus dan menyebabkan perhubungan lalu lintas terganggu. Pihak berkuasa belum menaksirkan kerugian yang dialami dalam kejadian itu.

Ini adalah kali kedua banjir kilat melanda kawasan itu sejak bulan Mac tahun lepas di mana 24 penduduk dilaporkan mati manakala 102 rumah hancur atau rosak.

Kejadian pada 10 Mac tahun lepas itu dipercayai berlaku kerana kegiatan pembalakan liar di kawasan Hutan Tangse, dan curahan hujan selama empat hari sebelumnya. - BERNAMA

Gadis diganggu kiriman aneh

5 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

INILAH tiga ekor ayam yang dimasukkan dalam beg dan digantung di pintu pagar rumah mangsa di Wangsa Maju, Kuala Lumpur kelmarin.

KUALA LUMPUR - Hidup seorang setiausaha sebuah syarikat Teknologi Maklumat di sini menjadi tidak keruan apabila dalam tempoh dua minggu lalu, gadis itu menerima empat kiriman aneh termasuk sebuah beg berisi tiga ekor ayam hidup yang dihantar ke rumahnya di Jalan Rejang 8, Wangsa Maju dekat sini.

Mangsa berusia 20-an yang enggan dikenali berkata, penerimaan aneh itu bermula dengan kiriman sepucuk surat yang berbentuk hati tertera ayat, 'Diana Danielle - peminat misteri.'

Surat yang diterima pada dua minggu lalu dipercayai dihantar oleh pengirim sendiri kerana tidak ada setem diletakkan pada sampul surat tersebut.

"Saya ketika itu tidak curiga apa-apa kerana memikirkan sama ada surat itu sebagai gurauan pihak tertentu yang mungkin tersalah alamat," kata gadis itu ketika ditemui di Balai Polis Wangsa Maju di sini malam kelmarin.

Namun, cerita mangsa, fikirannya mula terganggu selepas menerima bungkusan kedua yang turut disertakan dengan sehelai seluar dalam dan sepucuk nota bertulis ayat-ayat cinta juga ditujukan kepada Diana pada 21 Februari.

"Saya yang terkejut terus membuang seluar dalam yang dipercayai sudah dipakai tersebut ke dalam longkang tidak jauh dari rumah saya," kata gadis itu yang kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju di sini kelmarin.

Terbaharu pada pukul 11.30 pagi kelmarin, gadis itu yang memeriksa peti surat di rumahnya terus dikejutkan dengan penerimaan satu lagi sampul surat dan sebuah bekas cermin mata dalam peti surat di rumahnya itu.

"Surat itu bertulis 'I Love You' dan ditujukan kepada penyampai berita TV3, Pang Chinn Fei manakala dalam bekas cermin mata itu pula mengandungi sebentuk cincin, gelang dan dua keping gambar dipercayai gambar seorang lelaki Melayu," kata gadis itu yang bertambah terganggu dengan kiriman itu.

kosmo/-

Piala Liga: The Kop akhiri kemarau kejuaraan enam tahun

5 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Pemain Liverpool, Steven Gerrard (kanan) dihalang pemain Cardiff City, Aron Gunnarsson pada saingan Piala Liga di Stadium Wembley di London. Liverpool menang melalui penentuan sepakan penalti 3-2. 27 Februari 2012. - REUTERS

WEMBLEY 27 Feb. - Liverpool mengakhiri kemarau kejuaraan selama enam tahun dengan menjulang Piala Liga selepas menewaskan Cardiff City 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti.

Kedua-dua pasukan sebelum itu terikat 2-2 selepas mengharungi 120 minit perlawanan.

Cardiff berada di depan seawal minit ke-19 menerusi jaringan Joe Mason, sebelum kedudukan disamakan Martin Skrtel pada minit ke-60 untuk mengheret permainan ke masa tambahan.

Dirk Kuyt menceriakan penyokong Liverpool apabila menjadikan kedudukan 2-1pada minit ke-108, namun kegembiraan itu tidak bertahan sehingga wisel penamat dengan pemain pertahanan, Ben Turner muncul hero Cardiff dua minit sebelum masa tambahan tamat dan memastikan pertarungan dramatik itu ditentukan dengan sepakan penalti.

Kemenangan Liverpool diperolehi apabila pemain gantian Cardiff, Anthony Gerrard, adik sepupu kepada kapten Kop, Steven Gerrard, yang mengambil sepakan kelima yang juga terakhir, tersasar. - AFP