09 Mac 2012

Bumbung rosak tunggu mangsa

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUANTAN – Keadaan bumbung salah satu bangunan sebuah sekolah kebangsaan di sini yang hampir tercabut menjadikan ibu bapa tidak senang duduk selepas menghantar anak-anak ke sekolah.

Lebih membimbangkan, bahagian bawah bumbung yang rosak itu menjadi tempat permainan pelajar-pelajar ketika waktu rehat atau waktu pulang sekolah.

Seorang penjaga, Abdul Majid Ahmad, 63, berkata, dia yang setiap menghantar dan mengambil cucunya, Noor Aina Shafiqah Mohamad Shukri, 9, di sekolah berkenaan tidak mahu ada murid yang tercedera akibat kecuaian orang lain.

“Saya bimbang jika dibiarkan, satu hari nanti ada yang tercedera kerana saya lihat semakin hari bumbung itu sudah semakin jatuh,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, kawasan bahagian bawah bumbung itu juga tidak diletakkan tanda amaran supaya pelajar tidak menghampiri tempat itu.

Abdul Majid berkata, sebelum ini, ibu bapa pernah membuat aduan berkaitan masalah itu ketika mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Pun begitu katanya, sehingga kini masih tiada tindakan yang diambil oleh pihak bertanggungjawab.

“Saya kesal, kerana hingga kini keadaan bumbung masih tidak dibaiki sedangkan aduan sudah dibuat tahun lepas.

“Takkanlah mahu tunggu sampai ada yang cedera baru nak ambil tindakan. Masa itu, semuanya sudah terlambat,” katanya.

Selain itu katanya, pelajar sekolah berkenaan turut berdepan dengan bahaya kerana longkang di hadapan sekolah yang tidak mempunyai pengadang.

“Saya minta pihak bertanggungjawab supaya lebih peka dengan keselamatan pelajar sekolah supaya ibu bapa rasa senang hati bila hantar anak ke sekolah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Pahang, Yahya Zainal Abidin berkata, pihaknya sudah menyemak senarai nama sekolah yang memerlukan penambahbaikan bangunan sekolah dan mengakui menerima aduan berkaitan sekolah SK Pandan.

“Kita akan menjalankan kerja-kerja membaiki bangunan sekolah secara berperingkat-peringkat.

“Insya-Allah, masalah di sekolah ini akan selesai setelah tamat cuti persekolahan ini kerana kita akan membaiki kerosakan tersebut sepanjang tempoh penutupan sekolah,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sinar Harian

Syukuri nikmat Allah, tanda iman

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Bersyukur terhadap kurniaan ALLAH SWT tidak hanya terbatas pada ucapan syukur mahupun kenduri kesyukuran yang pengisiannya bacaan zikir dan bersedekah makanan. Malah bukan sekadar ucapan syukur apabila mendengar berita gembira atau terlepas daripada musibah. Lihat bagaimana idola utama umat Islam iaitu Rasulullah SAW yang sentiasa menunjukkan rasa kesyukuran.

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa Baginda bangun solat malam hingga kedua kaki baginda bengkak. Lalu isteri baginda iaitu Aisyah r.a bertanya, “Mengapa anda melakukan ini, padahal ALLAH telah mengampuni dosa anda yang dahulu mahupun yang akan datang?” Baginda SAW menjawab, “Tidak bolehkahkah jika aku menjadi hamba yang bersyukur?” (Al-Bukhari, no. 4837 dan Muslim, no. 2820).

Golongan rasul dan nabi sentiasa dalam pemeliharaan ALLAH SWT daripada segi tingkah-laku agar menjadi teladan bagi umatnya. Mereka ada insan yang paling banyak bersyukur, paling tinggi amal kebajikannya. Sifat sentiasa bersyukur terhadap nikmat yang ALLAH limpahkan adalah antara sikap terpuji yang menonjol kalangan rasul dan nabi.

ALLAH SWT memuji Nabi Nuh as. dengan firman-Nya yang bermaksud, “Sesungguhnya dia adalah hamba (Allah) yang banyak bersyukur.” (Surah Al-Isra’ : 3)

Alangkah sombongnya golongan yang merungut akan nikmat ALLAH. Rasa tidak puas hati apabila mengalami perubahan cuaca seperti sejuk, panas, angin kencang atau hujan; mendapati makanan tidak sesuai dengan selera; pakaian tidak cocok dengan pilihan hati; gaji kecil, rumah sempit atau kereta lama.

Walaupun pun cuaca berubah-ubah, cuaca itu ialah nikmat. Makanan, pakaian, rumah, gaji dan kenderaan ialah nikmat. Setiap satu berbeza dari segi paras atau ukuran relatif.


Ujian ALLAH

Sesungguhnya itu semua ujian dari ALLAH. Kebaikan seperti rezeki termasuk harta, anak, pangkat adalah ujian dari ALLAH. Begitu juga lawan kepada kebaikan iaitu keburukan. Perubahan relatif cuaca atau paras relatif rezeki semuanya ujian dari ALLAH.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Tiap-tiap yang berjiwa pasti akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kami-lah kamu dikembalikan.” (Surah Al-Anbiya:35)

Iman bukan sekadar meyakini Rukun Iman. Seorang yang mengaku beragama Islam dan beriman, wajib mempertingkat mutu iman agar seluruh kehidupan mereka benar-benar bermanifestasi kehidupan Islamik. Rukun Iman paling atas ialah percaya kepada Allah dan diikuti dengan percaya kepada Rasul.

Seseorang yang lahir sebagai seorang Islam atau menganut agama Islam wajib mendalami, mempraktikkan dan mempertingkat nilai keimanan seperti ditunjukkan ALLAH SWT dalam al-Quran dan Rasulullah SAW melalui hadisnya.

Sebagai rasa kesyukuran dengan cara yang benar di sisi Islam merupakan sebahagian ciri orang beriman. Apabila dalam kesusahan mereka bersabar. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin, semua urusannya adalah baik baginya. Hal ini tidak didapati kecuali pada diri seorang mukmin.

Apabila mengalami kesenangan, dia bersyukur maka yang demikian itu merupakan kebaikan baginya. Sebaliknya apabila tertimpa kesusahan dia pun bersabar, maka yang demikian itu merupakan kebaikan baginya.” (Riwayat Muslim, no. 2999 daripada Abu Yahya Shuhaib bin Sinan r.a)


Tingkatkan iman

Betapa kadang-kadang manusia leka dengan kehidupan dunia yang sementara. Sesungguhnya ALLAH SWT melimpahkan segala nikmat dalam kehidupan di dunia ini. ALLAH SWT berfirman yang bermaksud, “Dan apa saja nikmat yang ada pada kamu, maka daripada Allah lah (datangnya)…” (Surah An-Nahl: 53).

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menentukan jumlahnya.” (Surah An-Nahl: 18) Bagaimanakah cara mudah walaupun bertatih untuk mensyukuri pelbagai nikmat kurniaan-Nya yang tidak terhingga ini? Jawapannya ialah menjalani kehidupan dengan mempertingkat iman. Iman yang mempunyai pelbagai tingkatan merupakan antaranikmat kurniaan ALLAH SWT yang tidak ternilai.

Nikmat iman hanya dapat difahami orang yang benar-benar menjalankan kehidupannya menggunakan petunjuk ALLAH SWT dan mencontohi Rasul-Nya. Ia menghasilkan kehidupan yang murni. Dengan peningkatan iman, maka diri seseorang sentiasa terperlihara daripada pelbagai segi termasuk perjalanan kehidupan secara keseluruhan.

Memanjatkan rasa syukur dengan cara yang dibenarkan Islam adalah berterima kasih kepada ALLAH akan kelahiran anda ke dunia. Antara cara utama menunjukkan rasa kesyukuran ialah menghindari kemungkaran dan maksiat.

Bercakap kosong dan membazir masa dengan melakukan perkara tidak berfaedah juga adalah maksiat. Sebenarnya tidak solat lima waktu dan tidak puasa Ramadan juga ialah maksiat kerana secara umum tidak mengerjakan suruhan-Nya ialah maksiat.

Lawan kepada maksiat ialah ibadah iaitu dengan melakukan amal kebajikan. Jadi meningkatkan takwa yang dilaksanakan seiring dengan peningkan iman ialah cara kita menunjukkan rasa kesyukuran terhadap limpahan nikmat ALLAH yang meliputi seluruh kehidupan kita.

Takwa merujuk kepada rasa takut akan seksaan ALLAH dengan mengelakkan perbuatan larangan-Nya dan meningkatkan amal soleh suruhan-Nya. Apalah erti kenduri kesyukuran jika solat lima waktu yang menjadi penentu diterima sesuatu amal ibadah tidak dilaksanakan? Apalah erti bersyukur jika meremehkan nasihat berguna berlandaskan agama?

Sinar Harian

‘Dia sempat berpaut pada saya’

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

TELOK MAS – Pengala­-man melihat rakannya hanyut selepas perahu dinaiki mereka karam, malam kelmarin mungkin menjadi pengala­-man tidak akan dilupakan oleh seorang nelayan di sini.

Kejadian berlaku kira-kira 10.30 malam di Tanjung Nibong, dekat sini, apabila perahu dinaiki Mohd Noor Saimin, 53, dan rakannya, Mahmod Abu Samah, 64, dipukul gelombang menyebabkan kedua-duanya tercampak ke tengah laut.

Kejadian mencemaskan itu menyebabkan Mahmod yang juga seorang penoreh getah lemas sebelum mayatnya ditemui kira-kira 12 jam selepas itu menerusi operasi mencari dan menyelamat, semalam.

Mohd Noor yang terselamat dalam kejadian itu berkata, mereka berdua turun ke laut untuk memancing di Pulau Hanyut, di sini, kira-kira 6.30 petang kelmarin.

“Kami mengambil keputusan untuk pulang apabila melihat cuaca buruk dan ada tanda ribut akan melanda.

“Bagaimanapun, hujan mulai lebat menyebabkan kami menghalakan perahu ke Pulau Lalang, berhampiran Pulau Besar untuk berteduh. Kami singgah di sana kira-kira 45 minit dan sempat memancing sekejap,” katanya.

Menurutnya, mereka bergerak semula selepas menyedari hujan reda, namun ketika tiba di kawasan Umbai, ombak mulai tinggi.

“Kami kemudian ke Pulau Menatang yang terletak kira-kira setengah kilometer dari pantai untuk berlindung di pulau kecil. Kami berusaha ke muara, tetapi perahu kami mulai karam dipukul ribut,” katanya.

Mohd Noor berkata, mereka berdua berpaut di bawah perahu yang terlangkup dan sempat melihat Mahmod di belakangnya.

“Saya cuba memanggil Mahmod dan menyahut. Masa itu, saya rasakan dia berpaut memegang baju saya. Saya pula berpaut pada lunas perahu sambil memegang kolar baju Mahmod,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, rakannya itu kelihatan semakin lemah sebelum tiba-tiba hanyut dibawa gelombang.

“Dalam keadaan lemah saya berenang perlahan-lahan ke arah panggar kupang yang terletak berhampiran dan berpaut pada panggar kira-kira setengah jam.

“Selepas itu, saya ternampak kawasan berbatu dan menjerit meminta pertolo­-ngan sebelum disedari kira-kira lima lelaki di situ. Namun, mereka juga tidak dapat berbuat apa-apa kerana gelombang masih kuat.

“Saya kemudian berenang ke arah kawasan berbatu itu dengan kedalaman paras leher sebelum mereka membantu mengangkat saya dan membawa saya naik ke darat kira-kira 12.25 pagi, sebelum dibawa ke Hospital Melaka,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Sementara itu, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kubu melakukan operasi mencari dan menyelamat sebelum menemui mayat mangsa kira-kira 11.45 pagi semalam.

Ketua BBP Jalan Kubu, Yazid Mohd Tahir berkata, seramai 18 anggota bomba termasuk dua pegawai dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dibantu beberapa orang kampung berpecah kepada dua kumpulan memulakan pencarian sehingga ke kawasan panggar, dengan berjalan di air laut yang sudah surut.

“Operasi dihentikan 4.15 pagi sebelum disambung semula 8.30 pagi dengan bantuan anggota agensi lain iaitu polis, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Agensi Penguat kuasaan Maritim Malaysia (APMM),” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa ditemui oleh lima anggota bomba di kawasan berhampiran perahu mangsa karam dalam keadaan tertiarap dan luka di kepala dipercayai terkena batu.

Sinar Harian

Waspada helah pasukan underdog

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Skuad hoki negara diberi peri­ngatan supaya tidak memandang rendah pasukan underdog dalam pusingan kelayakan Olimpik London 2012 di Dublin, Ireland yang membuka tirai esok hingga 18 Mac ini.

Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, mes­kipun diletakkan sebagai pasukan bukan pilihan, tetapi mereka mempunyai semangat tinggi untuk menewaskan pasukan lebih baik.

“Kita mahu pemain mengekalkan kecergasan dan mengelak sebarang masalah kecederaan kerana saya tahu keadaan cuaca di Dublin yang sejuk boleh memberi kesan terhadap pemain dan pasukan.

“Saya yakin mereka sudah banyak belajar daripada kegagalan ketika final Sukan Asia di Guangzhou, China yang. Mereka sudah mempelajari pahit maung sebagai pasukan kedua terbaik pada kejohanan itu kerana jika tidak, sudah tentu kita dapat layak secara automatik tetapi mereka memilih kelayakan kedua untuk beraksi di London,” katanya.

Sinar Harian

NS Betaria enggan menyerah

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

BERSEDIA untuk memberikan saingan kepada Lions XII esok, NS Betaria FC enggan menyerah kalah meskipun ada yang menganggap skuad kendalian Azuan Zain itu hanya sekadar pasukan belasahan.

Mengakui berdepan masalah menyesuaikan diri de­ngan keadaan padang di Stadium Jalan Besar, Singapura berikutan pertama kali beraksi di negara jiran itu nanti, Azuan bagaimanapun tetap memberikan kepercayaan penuh kepada anak didiknya.

“Masalah keadaan rumput tiruan bukan lagi alasan utama memandangkan sudah ada pasukan yang berjaya menewaskan tuan rumah di padang sama, meskipun menghadapi kesukaran.

“Kalah atau menang bukan perkara utama, sebaliknya apa yang penting sekarang, pemain perlu memberikan aksi terbaik. Biar kalah dalam keadaan bermaruah dan jangan terlalu menghormati pihak lawan,” katanya yang melihat sikap terlalu menghormati boleh menjadikan pasukannya lemah semangat, sekali gus menjejaskan persembahan serta taktikal yang diatur.

Dalam masa sama, berpuas hati dengan persembahan pemain termasuk dua tonggak pemain importnya yang menunjukkan perkembangan positif, jurulatih berpengalaman yang mengendalikan skuad Johor FC musim lalu ini tetap berharap kejayaan memihak kepada pasukannya.

Sinar Harian

Percaturan kaki judi tidak menjadi

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

BANDA HILIR - Tindakan pengusaha pusat judi berkomputer melanjutkan aktiviti selepas tengah malam kerana beranggapan polis tidak akan membuat serbuan pada masa itu, akhirnya memakan diri mereka sendiri.

Semalam, polis membuat serbuan ke atas 28 pusat perjudian berkomputer secara serentak di beberapa lokasi di negeri ini.

Dalam operasi bermula 12 tengah malam itu, seramai 80 kaki judi yang sedang leka bermain permainan judi berkomputer di 18 premis tergamam melihat anggota polis menyerbu premis berkenaan.

Hasil perancangan rapi polis, kesemua suspek, termasuk tiga warga Indonesia langsung tidak menyedari kehadiran polis.

Antara ditahan dalam operasi yang berakhir kira-kira jam 3 pagi itu adalah lima kakitangan awam peringkat pertengahan yang turut didapati leka berjudi apabila diserbu.

Turut ditahan, 18 penjaga premis, termasuk dua lelaki warga Myanmar dan seorang wanita Indonesia.

Kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, di sini untuk siasatan lanjut.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Persekutuan Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, polis turut merampas 260 unit komputer dengan anggaran nilai kira-kira RM520,000 dalam operasi berkenaan.

Selain itu, katanya, turut dirampas wang tunai berjumlah lebih RM10,000.

“Operasi membabitkan kerjasama polis daerah Mela­ka Tengah dan Bukit Aman, dengan dibantu lima kontinjen lain iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Pahang.

Operasi khas ini, dikenali Ops Dadu Khas, bertujuan membanteras aktiviti perjudian terutama di Bandaraya Melaka sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri membebaskan Melaka daripada aktiviti tidak sihat, terutama perjudian.

Kita menjalankan operasi ini selepas tengah malam kerana daripada risikan, kita dapati ramai penganjur dan pemain beranggapan polis tidak akan membuat operasi selepas masa itu,” katanya.

Sinar Harian

Palestin kemuka 20 tapak warisan untuk disenarai UNESCO

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

RAMALLAH 9 Mac - Palestin bersedia untuk mengemukakan senarai 20 tapak warisan di Baitulmaqdis, Tebing Barat dan Gaza untuk disenaraikan dalam tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), kata pegawai semalam.

Pengarah Jabatan PBB di Kementerian Luar Palestin, Omar Awadallah berkata, senarai tersebut akan dihantar dalam tempoh beberapa hari lagi.

Palestin diterima menjadi anggota penuh UNESCO pada tahun lalu walaupun mendapat bantahan daripada Israel dan Amerika Syarikat. - AFP

Berkat adab membaca al-Quran

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

UNTUK membaca al-Quran, terdapat adab yang perlu diikuti agar bacaan lebih tertib dan tersusun di samping dengan bacaan itu dapat meresap ke dalam diri. Firman ALLAH yang bermaksud: “Orang-orang yang Kami turunkan Kitab kepadanya, mereka membacanya dengan sebenar-benarnya membaca, mereka itu beriman kepada kitab itu; dan siapa yang ingkar akan dia, mereka itulah orang merugi.” (Surah A-Baqarah: 121)

Firman ALLAH yang bermaksud: “Atau lebih daripadanya dan bacalah al-Quran dengan perlahan-lahan (terang huruf-hurufnya).” (Surah Al-Muzammil:4)

ALLAH SWT melarang mempercepatkan, melajukan bacaan, hendak cepat-cepat menghabiskan hafazan dan penguasaan ke atas satu-satu ayat, kerana semua ini hanya akan menyebabkan kebinasaan ke atas bacaan sama ada tajwid dan hafazan serta penguasaan. Justeru, sikap hendak cepat sama sekali bukan suatu sikap yang baik.

Pengetua, Pusat Pengajian Al-Quran Al-Itqaan, Dr Sahril Sartu berkata, membaca al-Quran bukanlah seperti membaca buku biasa. Ia adalah mukjizat ALLAH kepada Rasulullah SAW yang banyak kebaikannya. Justeru perlulah dibaca dengan penuh adab bagi memperoleh ganjarannya.

Menurutnya, antara adab sebelum membaca al-Quran adalah berwuduk, membersihkan mulut dengan bersiwak, menghadap kiblat, istighfar, luruskan niat, membaca doa, mohon perlindungan ALLAH, dan membaca bismillah.

“Adab ketika membaca al-Quran pula ialah suara tidak terlalu keras dan tidak terlalu perlahan, memperhatikan bacaan (yang panjang dipanjangkan, yang pendek dipendekkan), berhenti untuk berdoa ketika membaca ayat rahmat dan ayat azab, menangis sedih dan terharu ketika membaca al-Quran.

“Selain itu, jangan terlalu perlahan dan tergesa-gesa ketika membaca al-Quran, ALLAH menyukai orang yang membaca dengan membaguskan suaranya, sujud tilawah, apabila bertemu ayat Sajdah dan mentadabburnya. ALLAH berfirman yang bermaksud: “Tiadakah mereka memerhatikan al-Quran? Bahkah adakah kunci atas hati (mereka)?” (Surah Muhammad : 24)


Waktu sesuai

Sahril berkata, secara umum, membaca al-Quran tidak terikat dengan tempat dan waktu. Bila-bila masa sahaja boleh membacanya, lebih-lebih lagi bagi menghindar diri daripada mengatakan sesuatu yang tidak bermanfaat atau berbual kosong.

“Oleh itu, lazimkanlah lidah ini sentiasa basah dengan zikir al-Rahman. Jalannya adalah dengan menghafalnya. Hafallah ia walau beberapa ayat daripada kitab ALLAH itu dan diulang-ulang dengan kerap. Kalau mampu keseluruhannya lebih bagus.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya orang yang dalam hatinya tidak ada sesuatu apa pun daripada al-Quran, yakni tidak ada sedikit pun daripada ayat al-Quran yang dihafalnya, maka ia adalah sebagai rumah yang musnah – sunyi dari perkakas.” (Riwayat At-Tarmidzi, katanya Hadis Hasan Sahih)

Soalnya, ketika bila boleh membaca al-Quran? ALLAH menyebut dalam setiap keadaan kecuali di dalam tandas dan menghindari daripada menyebabkan syaitan mendekati manusia.

“Manakala masa yang sesuai (bukan semestinya) untuk membaca al-Quran dan lebih terkesan kepada jantung hati untuk bertadabbur adalah pada waktu tengah malam. Mengapa? Kerana pada waktu siang hari kebiasaannya manusia sibuk dengan urusan dunianya,” jelasnya.


Golongan dikutuk

Kata Sahril, perlu diketahui dengan jelas bahawa tujuan penurunan al-Quran adalah untuk diikuti. Ia menjadi petunjuk. Bagaimana kita ingin menjadikan al-Quran sebagai petunjuk jika kita tidak membaca dan memahaminya?

“Maka membaca dan memahami merupakan proses dan misi dalam mencapai tujuan. Oleh itu, sudah tentu tidak cukup bagi seseorang itu berhenti sekadar pandai membaca sahaja.

"Wajib ke atasnya berusaha dengan belajar memahami seterusnya mengamalkan kerana akan menjadi daripada golongan yang dikutuk ALLAH iaitu mengetahui tanpa mengamalkan. Juga terdapat langkah berikutnya iaitu mengajak orang lain turut sama kembali dekat dengan al-Quran,” katanya.

Beliau berkata, penghayatan membaca al-Quran timbulnya daripada iman, dan iman pula datangnya daripada bacaan dan pemahaman. Namun jalan permohonannya adalah dengan doa dan usaha.

“Bagaimana untuk berusaha? Usaha adalah dengan memaksakan diri mengamalkan apa yang telah diketahui daripada ilmu ALLAH itu meskipun pada mulanya kamu melakukan tanpa ikhlas dan terpaksa.

Berkata Imam Ghazali: “Jika kamu nakkan keikhlasan dalam melakukan sesuatu amalan itu, paksakan diri melakukannya walaupun pada mulanya kamu melakukan dalam keadaan terpaksa, tetapi lama kelamaan ALLAH akan campakkan rasa ikhlas itu dalam hati. Dan apabila ALLAH telah mencampakkan rasa ikhlas itu, maka kamu akan merasa ringan melakukannya”.

Ini kerana hidayah, taufiq, ikhlas semuanya adalah milik ALLAH dan Dia yang memegang jantung hati manusia.

Sinar Harian

Usaha selamatkan ikan paus

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

CONCEPCION, Chile - Beberapa anggota penyelamat dan orang ramai berusaha untuk menyelamatkan seekor ikan paus yang terdampar di pantai Colcura di sini kelmarin daripada mati.

Ikan paus itu ditarik ke laut dengan sebuah bot nelayan selepas beberapa orang mencurahkan air ke atas badan haiwan tersebut di pantai.

Operasi menyelamatkan itu turut melibatkan beberapa anggota bomba. - AGENSI

Ramai Tentera AS bunuh diri selepas balik dari Iraq

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Penelitian para doktor tentera Amerika Syarikat (AS) berkata, jumlah kes bunuh diri di Angkatan Darat AS melonjak 80 peratus setelah pencerobohan Iraq.

Menurut Jurnal Britain ‘Injury Prevention’ yang diterbitkan pada Khamis, (8/3) sebelum 2003 peratusan kes bunuh diri Angkatan Darat (AD) AS jauh di bawah masyarakat awam. Namun pada 2004 setahun selepas pencerobohan AS ke Iraq, angka bunuh diri itu terus naik tajam.

Pada 2008, lebih kurang 140 perajurit AD bunuh diri. Angka 2008 ini menunjukkan peningkatan 80 peratus dari tahun 2004, catat artikel dalam jurnal tersebut. Laporan lain jurnal itu juga mencatat peningkatan angka bunuh diri yang dilakukan oleh masyarakat awam.

Menurut jurnal tersebut, angka ini terus meningkat, belum pernah terjadi sebelumnya, selama 30 tahun catatan AD AS.

“Kenaikan 30 peratus kes bunuh diri tentera AS pada 2008, dijangka berkaitan dengan paska pencerobohan AS ke Iraq pada tahun 2003, di tambah operasi yang terus berlaku di Afghanistan,” kata Jurnal itu.

Tentera yang melakukan bunuh diri, lebih dari satu perlima daripada mereka adalah mereka yang masih aktif berkhidmat. Mereka kemudian menderita beberapa jenis ganguan mental berat.

Apa yang disampaikan oleh jurnal ‘Injury Prevention’ ini ternyata terbukti dengan tiga kajian berbeza yang diterbitkan dalam American Journal of Public Health pada bulan Januari lalu. Menurut kajian tersebut, banyak anggota tentera AS dan veteran yang bertugas mengalami kemurungan atau post-traumatic stress disorder (PTSD), akibat situasi di zon perang.

Kajian ini mendedahkan hampir 600 veteran AS yang kembali dari Iraq atau Afghanistan, 14 peratus daripada mereka menderita PTSD dan 39 peratus menjadi bergantung pada minuman beralkohol.

harian metro/-

Pemuda PAS sasar RM20,000 bantu 'imam BERSIH'

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Pemuda PAS mensasarkan RM20,000 kutipan derma bagi tabung membantu keluarga Hoslan Hussin, imam yang dihukum penjara setahun atas kesalahan menghina mahkamah berikutan tindakannya melemparkan selipar ke arah panel hakim.

Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, tabung bertujuan meringankan beban anggota keluarganya itu juga akan diedarkan ke seluruh negara.

riduan mohd nor"Sumbangan itu akan dibuat berterusan sehingga Hoslan dikeluarkan daripada penjara. Kita beri bantuan ini bukan kerana dia imam tetapi atas dasar kemanusiaan.

"Bantuan ini bagi menjaga kebajikan anak-anaknya. Dia mempunyai anak-anak yang ramai, masih kecil dan bersekolah," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Riduan turut menyeru kepada semua Pemuda PAS agar dapat bersama membantu keluarga Hoslan bagi meringankan beban isterinya.

Semalam, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman penjara setahun ke atas Hoslan. Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin ketika menyampaikan hukuman berkata,
penjara setahun adalah hukuman setimpal bagi kes berkenaan.

Beliau sebelum itu berkata, tindakan membaling alas kaki itu boleh menggugat kuasa mahkamah dan menjatuhkan maruah mahkamah sekiranya tiada tindakan dilakukan untuk kesalahan seperti itu.

Hoslan diberi julukan 'iman BERSIH kerana mengangkat jubah dan menunjukkan baju-T BERSIH yang dipakainya ketika khutbah Jumaat melarang orang ramai turut serta dalam perhimpunan itu.

malaysiakini/-

Askar PBB bawa taun ke Haiti

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PORT-AU-PRINCE - Bekas timbalan presiden Amerika Syarikat (AS), Bill Clinton, kelmarin mendakwa misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mungkin bertanggungjawab menyebarkan taun di Haiti.

Hasil kajian mendapati pasukan pengaman dari Nepal dipercayai menjadi penyebar pertama wabak itu, beberapa bulan selepas Haiti dilanda gempa bumi pada Januari 2010.

Clinton turut menyatakan antara faktor lain wabak tersebut cepat merebak kerana tiada kelengkapan sanitasi yang sempurna.

Difahamkan, lebih 7,000 orang telah terkorban manakala kira-kira 526,000 lagi jatuh sakit akibat dijangkiti taun sejak ia mula menular kira-kira dua tahun lalu.

sinar harian/-

Carlos Slim paling kaya di dunia

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

NEW YORK – Bilionair dari Mexico, Carlos Slim mengekalkan kedudukan tempat teratas sebagai individu terkaya di dunia buat kali ketiga berturut-turut dalam senarai majalah Forbes kelmarin.

Beliau memiliki anggaran kekayaan berjumlah AS$69 bilion (RM207 bilion).

Pengasas Microsoft Corporation, Bill Gates menduduki tempat kedua dengan anggaran kekayaan sebanyak AS$61 bilion (RM183 bilion).

Ahli perniagaan dari Amerika Syarikat (AS), Warren Buffett berada di tempat ketiga dengan anggaran kekayaan berjumlah AS$44 bilion (RM132 bilion).

Peniaga barang-barang mewah yang memiliki syarikat LVMH dari Perancis, Bernard Arnault masih kekal di tempat keempat dengan anggaran kekayaan berjumlah AS$41 bilion (RM123.41 bilion).

Empat individu teratas itu masih kekal sama seperti senarai Forbes pada tahun lepas.

Wanita paling muda dalam senarai itu ialah pengasas syarikat Spanx, Sara Blakely yang mempunyai anggaran aset berjumlah AS$1 bilion (RM3 bilion) hasil perniagaan pakaian pelangsing badan dan berada pada kedudukan 1,153.

Beliau merupakan antara 104 wanita dalam senarai itu.

Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg, 27, berada di tempat ke-35 dengan anggaran kekayaan berjumlah AS$17.5 bilion (RM52.67 bilion).

Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg berada pada tangga ke-20 dengan anggaran kekayaan sebanyak AS$22 bilion (RM66.2 bilion).

Seorang kerabat diraja Arab Saudi, Putera Alwaleed Talal al-Saud memiliki anggaran kekayaan berjumlah AS$18 bilion (RM54.18 bilion) berada pada tangga ke-29.

Menurut perangkaan Forbes, terdapat seramai 1,226 bilionair di dunia.

Sementara itu, Robert Kuok menduduki tangga ke-64 dengan anggaran kekayaan AS$12.4 bilion (RM37.32 bilion) diikuti Ananda Krishnan di tangga ke-93 yang dianggarkan mempunyai kekayaan berjumlah AS$9.9 bilion (RM29.79 bilion).

Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary menduduki tangga ke-344 dengan anggaran kekayaan sebanyak AS$3.3 bilion (RM9.93 bilion). – AGENSI

Angau sampai kebas duit atuk

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LIPIS: Hanya kerana ingin memiliki sebuah kereta serta berkahwin dengan wanita pujaan, seorang penganggur berusia 40-an sanggup mengeluarkan wang milik datuknya berjumlah RM21,760 menerusi 19 pengeluaran bemenggunakan kad ATM di sekitar bandar ini tanpa pengetahuan warga emas yang juga pesara polis itu.

Kejadian terbabit disedari pesara berusia 74 tahun berasal dari Kampung Kuala Kechau, di sini, pada 1 Februari lalu ketika dia mahu mengeluarkan wang apabila mendapati jumlah simpanannya berkurangan.

Hairan dengan kekurangan jumlah wang simpanannya hasil daripada penjualan tanah, mangsa meminta kakitangan bank membuat semakan sebelum dimaklumkan terdapat 19 kali pengeluaran wang menerusi kad ATM sejak Januari lalu.

Difahamkan, pada 12 Januari lalu, mangsa pernah didesak cucunya membuat kad ATM dengan alasan kasihan melihat datuknya itu menunggu lama setiap kali mahu mengeluarkan wang menggunakan buku simpanan.

Mangsa bersetuju membuat kad ATM itu dan tidak sedar nombor identiti peribadi (PIN) yang sepatutnya menjadi rahsia sudah ditukar cucunya yang memegang kad berkenaan.

Selepas menghantar mangsa pulang ke rumah, lelaki berkenaan membuat pengeluaran wang sedikit demi sedikit di beberapa buah bank sehingga mencecah jumlah RM21,760 sebelum melarikan diri dan gagal dihubungi datuknya.

Mangsa kebingungan selepas wang itu hilang, mengambil masa hampir seminggu mengesan suspek, namun gagal menemui cucunya itu yang dipercayai sudah melarikan diri.

Berikutan itu, warga emas berkenaan membuat laporan di Balai Polis Lipis, kira-kira jam 11 pagi, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan yang mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit berkata, sehingga kini, suspek masih gagal dikesan, namun polis percaya penganggur terbabit masih berada di daerah ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa mula mengetahui kehilangan wang berkenaan ketika mahu membuat pengeluaran wang sebanyak RM500 di bank untuk kegunaan keluarga.

Katanya, mangsa terpaksa mengeluarkan wang menggunakan buku simpanan kerana cucunya tidak menyerahkan kad ATM sebelum mendapati baki akaun tidak sampai RM200.

“Bagaimanapun, pada masa sama kami percaya lelaki terbabit bertindak demikian kerana tidak bekerja dan memerlukan wang. Siasatan awal mendapati lelaki itu ada membeli Perodua Myvi terpakai serta berkahwin dengan teman wanitanya, baru-baru ini.

“Mangsa turut mengesahkan dia tidak pernah mengeluarkan wang sebelum ini dan polis masih meneruskan gerakan memburu penganggur terbabit yang dikatakan sudah melarikan diri,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, polis masih meneruskan siasatan kejadian terbabit dan mengklasifikasikan kes berkenaan mengikut Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997.

METRO/-

Bil air penduduk melambung

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

TEDONG - Penduduk di Jalan Masjid di sini, mendakwa berlaku kejadian curi air di kawasan kediaman mereka yang dilakukan individu tidak bertanggungjawab.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Mawar berkata, masalah itu hanya diketahui selepas salah seorang jirannya mengadu mengenai bil air mereka lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Menurutnya, pada mulanya, dia kurang yakin dengan aduan­ itu, namun akhirnya percaya setelah berjaya merakamkan aksi individu yang mencuri air melalui video miliknya.

“Individu terbabit dipercayai mencuri air dengan menyambung saluran air pada paip getah lain untuk membersihkan kandang lembu yang dibina berdekatan kawasan berkenaan. Saya sempat merakam aksi individu terbabit ketika mencuri air dan selalunya dilakukan selepas jam 6 petang,” katanya.

Mawar berkata, selain itu, mereka juga berhadapan dengan masalah ternakan yang lepaskan tanpa pengawasan.

“Lembu individu terbabit pernah menceroboh ke tanah bersebelahan sehingga memusnahkan tanaman dan menyebabkan kerugian beribu ringgit. Sebelum ini, ada pokok langsat, tebu, nenas dan lain-lain lagi ditanam, namun sudah mati kerana dimakan serta­ dipijak ternakan terbabit,” katanya.

Katanya, dia sudah memanjangkan masalah itu kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar termasuk Jawatan­kuasa Kemajuan dan Ke­selamatan Kampung untuk diambil tindakan.

“Pihak berkenaan­ ada turun padang, namun jawapan yang diterima kurang memuaskan,” katanya.

SINAR HARIAN/-