09 Mac 2012

Palestin kemuka 20 tapak warisan untuk disenarai UNESCO

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

RAMALLAH 9 Mac - Palestin bersedia untuk mengemukakan senarai 20 tapak warisan di Baitulmaqdis, Tebing Barat dan Gaza untuk disenaraikan dalam tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), kata pegawai semalam.

Pengarah Jabatan PBB di Kementerian Luar Palestin, Omar Awadallah berkata, senarai tersebut akan dihantar dalam tempoh beberapa hari lagi.

Palestin diterima menjadi anggota penuh UNESCO pada tahun lalu walaupun mendapat bantahan daripada Israel dan Amerika Syarikat. - AFP

Berkat adab membaca al-Quran

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

UNTUK membaca al-Quran, terdapat adab yang perlu diikuti agar bacaan lebih tertib dan tersusun di samping dengan bacaan itu dapat meresap ke dalam diri. Firman ALLAH yang bermaksud: “Orang-orang yang Kami turunkan Kitab kepadanya, mereka membacanya dengan sebenar-benarnya membaca, mereka itu beriman kepada kitab itu; dan siapa yang ingkar akan dia, mereka itulah orang merugi.” (Surah A-Baqarah: 121)

Firman ALLAH yang bermaksud: “Atau lebih daripadanya dan bacalah al-Quran dengan perlahan-lahan (terang huruf-hurufnya).” (Surah Al-Muzammil:4)

ALLAH SWT melarang mempercepatkan, melajukan bacaan, hendak cepat-cepat menghabiskan hafazan dan penguasaan ke atas satu-satu ayat, kerana semua ini hanya akan menyebabkan kebinasaan ke atas bacaan sama ada tajwid dan hafazan serta penguasaan. Justeru, sikap hendak cepat sama sekali bukan suatu sikap yang baik.

Pengetua, Pusat Pengajian Al-Quran Al-Itqaan, Dr Sahril Sartu berkata, membaca al-Quran bukanlah seperti membaca buku biasa. Ia adalah mukjizat ALLAH kepada Rasulullah SAW yang banyak kebaikannya. Justeru perlulah dibaca dengan penuh adab bagi memperoleh ganjarannya.

Menurutnya, antara adab sebelum membaca al-Quran adalah berwuduk, membersihkan mulut dengan bersiwak, menghadap kiblat, istighfar, luruskan niat, membaca doa, mohon perlindungan ALLAH, dan membaca bismillah.

“Adab ketika membaca al-Quran pula ialah suara tidak terlalu keras dan tidak terlalu perlahan, memperhatikan bacaan (yang panjang dipanjangkan, yang pendek dipendekkan), berhenti untuk berdoa ketika membaca ayat rahmat dan ayat azab, menangis sedih dan terharu ketika membaca al-Quran.

“Selain itu, jangan terlalu perlahan dan tergesa-gesa ketika membaca al-Quran, ALLAH menyukai orang yang membaca dengan membaguskan suaranya, sujud tilawah, apabila bertemu ayat Sajdah dan mentadabburnya. ALLAH berfirman yang bermaksud: “Tiadakah mereka memerhatikan al-Quran? Bahkah adakah kunci atas hati (mereka)?” (Surah Muhammad : 24)


Waktu sesuai

Sahril berkata, secara umum, membaca al-Quran tidak terikat dengan tempat dan waktu. Bila-bila masa sahaja boleh membacanya, lebih-lebih lagi bagi menghindar diri daripada mengatakan sesuatu yang tidak bermanfaat atau berbual kosong.

“Oleh itu, lazimkanlah lidah ini sentiasa basah dengan zikir al-Rahman. Jalannya adalah dengan menghafalnya. Hafallah ia walau beberapa ayat daripada kitab ALLAH itu dan diulang-ulang dengan kerap. Kalau mampu keseluruhannya lebih bagus.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya orang yang dalam hatinya tidak ada sesuatu apa pun daripada al-Quran, yakni tidak ada sedikit pun daripada ayat al-Quran yang dihafalnya, maka ia adalah sebagai rumah yang musnah – sunyi dari perkakas.” (Riwayat At-Tarmidzi, katanya Hadis Hasan Sahih)

Soalnya, ketika bila boleh membaca al-Quran? ALLAH menyebut dalam setiap keadaan kecuali di dalam tandas dan menghindari daripada menyebabkan syaitan mendekati manusia.

“Manakala masa yang sesuai (bukan semestinya) untuk membaca al-Quran dan lebih terkesan kepada jantung hati untuk bertadabbur adalah pada waktu tengah malam. Mengapa? Kerana pada waktu siang hari kebiasaannya manusia sibuk dengan urusan dunianya,” jelasnya.


Golongan dikutuk

Kata Sahril, perlu diketahui dengan jelas bahawa tujuan penurunan al-Quran adalah untuk diikuti. Ia menjadi petunjuk. Bagaimana kita ingin menjadikan al-Quran sebagai petunjuk jika kita tidak membaca dan memahaminya?

“Maka membaca dan memahami merupakan proses dan misi dalam mencapai tujuan. Oleh itu, sudah tentu tidak cukup bagi seseorang itu berhenti sekadar pandai membaca sahaja.

"Wajib ke atasnya berusaha dengan belajar memahami seterusnya mengamalkan kerana akan menjadi daripada golongan yang dikutuk ALLAH iaitu mengetahui tanpa mengamalkan. Juga terdapat langkah berikutnya iaitu mengajak orang lain turut sama kembali dekat dengan al-Quran,” katanya.

Beliau berkata, penghayatan membaca al-Quran timbulnya daripada iman, dan iman pula datangnya daripada bacaan dan pemahaman. Namun jalan permohonannya adalah dengan doa dan usaha.

“Bagaimana untuk berusaha? Usaha adalah dengan memaksakan diri mengamalkan apa yang telah diketahui daripada ilmu ALLAH itu meskipun pada mulanya kamu melakukan tanpa ikhlas dan terpaksa.

Berkata Imam Ghazali: “Jika kamu nakkan keikhlasan dalam melakukan sesuatu amalan itu, paksakan diri melakukannya walaupun pada mulanya kamu melakukan dalam keadaan terpaksa, tetapi lama kelamaan ALLAH akan campakkan rasa ikhlas itu dalam hati. Dan apabila ALLAH telah mencampakkan rasa ikhlas itu, maka kamu akan merasa ringan melakukannya”.

Ini kerana hidayah, taufiq, ikhlas semuanya adalah milik ALLAH dan Dia yang memegang jantung hati manusia.

Sinar Harian

Usaha selamatkan ikan paus

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

CONCEPCION, Chile - Beberapa anggota penyelamat dan orang ramai berusaha untuk menyelamatkan seekor ikan paus yang terdampar di pantai Colcura di sini kelmarin daripada mati.

Ikan paus itu ditarik ke laut dengan sebuah bot nelayan selepas beberapa orang mencurahkan air ke atas badan haiwan tersebut di pantai.

Operasi menyelamatkan itu turut melibatkan beberapa anggota bomba. - AGENSI

Ramai Tentera AS bunuh diri selepas balik dari Iraq

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Penelitian para doktor tentera Amerika Syarikat (AS) berkata, jumlah kes bunuh diri di Angkatan Darat AS melonjak 80 peratus setelah pencerobohan Iraq.

Menurut Jurnal Britain ‘Injury Prevention’ yang diterbitkan pada Khamis, (8/3) sebelum 2003 peratusan kes bunuh diri Angkatan Darat (AD) AS jauh di bawah masyarakat awam. Namun pada 2004 setahun selepas pencerobohan AS ke Iraq, angka bunuh diri itu terus naik tajam.

Pada 2008, lebih kurang 140 perajurit AD bunuh diri. Angka 2008 ini menunjukkan peningkatan 80 peratus dari tahun 2004, catat artikel dalam jurnal tersebut. Laporan lain jurnal itu juga mencatat peningkatan angka bunuh diri yang dilakukan oleh masyarakat awam.

Menurut jurnal tersebut, angka ini terus meningkat, belum pernah terjadi sebelumnya, selama 30 tahun catatan AD AS.

“Kenaikan 30 peratus kes bunuh diri tentera AS pada 2008, dijangka berkaitan dengan paska pencerobohan AS ke Iraq pada tahun 2003, di tambah operasi yang terus berlaku di Afghanistan,” kata Jurnal itu.

Tentera yang melakukan bunuh diri, lebih dari satu perlima daripada mereka adalah mereka yang masih aktif berkhidmat. Mereka kemudian menderita beberapa jenis ganguan mental berat.

Apa yang disampaikan oleh jurnal ‘Injury Prevention’ ini ternyata terbukti dengan tiga kajian berbeza yang diterbitkan dalam American Journal of Public Health pada bulan Januari lalu. Menurut kajian tersebut, banyak anggota tentera AS dan veteran yang bertugas mengalami kemurungan atau post-traumatic stress disorder (PTSD), akibat situasi di zon perang.

Kajian ini mendedahkan hampir 600 veteran AS yang kembali dari Iraq atau Afghanistan, 14 peratus daripada mereka menderita PTSD dan 39 peratus menjadi bergantung pada minuman beralkohol.

harian metro/-

Pemuda PAS sasar RM20,000 bantu 'imam BERSIH'

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Pemuda PAS mensasarkan RM20,000 kutipan derma bagi tabung membantu keluarga Hoslan Hussin, imam yang dihukum penjara setahun atas kesalahan menghina mahkamah berikutan tindakannya melemparkan selipar ke arah panel hakim.

Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, tabung bertujuan meringankan beban anggota keluarganya itu juga akan diedarkan ke seluruh negara.

riduan mohd nor"Sumbangan itu akan dibuat berterusan sehingga Hoslan dikeluarkan daripada penjara. Kita beri bantuan ini bukan kerana dia imam tetapi atas dasar kemanusiaan.

"Bantuan ini bagi menjaga kebajikan anak-anaknya. Dia mempunyai anak-anak yang ramai, masih kecil dan bersekolah," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Riduan turut menyeru kepada semua Pemuda PAS agar dapat bersama membantu keluarga Hoslan bagi meringankan beban isterinya.

Semalam, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman penjara setahun ke atas Hoslan. Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin ketika menyampaikan hukuman berkata,
penjara setahun adalah hukuman setimpal bagi kes berkenaan.

Beliau sebelum itu berkata, tindakan membaling alas kaki itu boleh menggugat kuasa mahkamah dan menjatuhkan maruah mahkamah sekiranya tiada tindakan dilakukan untuk kesalahan seperti itu.

Hoslan diberi julukan 'iman BERSIH kerana mengangkat jubah dan menunjukkan baju-T BERSIH yang dipakainya ketika khutbah Jumaat melarang orang ramai turut serta dalam perhimpunan itu.

malaysiakini/-

Askar PBB bawa taun ke Haiti

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PORT-AU-PRINCE - Bekas timbalan presiden Amerika Syarikat (AS), Bill Clinton, kelmarin mendakwa misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mungkin bertanggungjawab menyebarkan taun di Haiti.

Hasil kajian mendapati pasukan pengaman dari Nepal dipercayai menjadi penyebar pertama wabak itu, beberapa bulan selepas Haiti dilanda gempa bumi pada Januari 2010.

Clinton turut menyatakan antara faktor lain wabak tersebut cepat merebak kerana tiada kelengkapan sanitasi yang sempurna.

Difahamkan, lebih 7,000 orang telah terkorban manakala kira-kira 526,000 lagi jatuh sakit akibat dijangkiti taun sejak ia mula menular kira-kira dua tahun lalu.

sinar harian/-

Carlos Slim paling kaya di dunia

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

NEW YORK – Bilionair dari Mexico, Carlos Slim mengekalkan kedudukan tempat teratas sebagai individu terkaya di dunia buat kali ketiga berturut-turut dalam senarai majalah Forbes kelmarin.

Beliau memiliki anggaran kekayaan berjumlah AS$69 bilion (RM207 bilion).

Pengasas Microsoft Corporation, Bill Gates menduduki tempat kedua dengan anggaran kekayaan sebanyak AS$61 bilion (RM183 bilion).

Ahli perniagaan dari Amerika Syarikat (AS), Warren Buffett berada di tempat ketiga dengan anggaran kekayaan berjumlah AS$44 bilion (RM132 bilion).

Peniaga barang-barang mewah yang memiliki syarikat LVMH dari Perancis, Bernard Arnault masih kekal di tempat keempat dengan anggaran kekayaan berjumlah AS$41 bilion (RM123.41 bilion).

Empat individu teratas itu masih kekal sama seperti senarai Forbes pada tahun lepas.

Wanita paling muda dalam senarai itu ialah pengasas syarikat Spanx, Sara Blakely yang mempunyai anggaran aset berjumlah AS$1 bilion (RM3 bilion) hasil perniagaan pakaian pelangsing badan dan berada pada kedudukan 1,153.

Beliau merupakan antara 104 wanita dalam senarai itu.

Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg, 27, berada di tempat ke-35 dengan anggaran kekayaan berjumlah AS$17.5 bilion (RM52.67 bilion).

Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg berada pada tangga ke-20 dengan anggaran kekayaan sebanyak AS$22 bilion (RM66.2 bilion).

Seorang kerabat diraja Arab Saudi, Putera Alwaleed Talal al-Saud memiliki anggaran kekayaan berjumlah AS$18 bilion (RM54.18 bilion) berada pada tangga ke-29.

Menurut perangkaan Forbes, terdapat seramai 1,226 bilionair di dunia.

Sementara itu, Robert Kuok menduduki tangga ke-64 dengan anggaran kekayaan AS$12.4 bilion (RM37.32 bilion) diikuti Ananda Krishnan di tangga ke-93 yang dianggarkan mempunyai kekayaan berjumlah AS$9.9 bilion (RM29.79 bilion).

Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary menduduki tangga ke-344 dengan anggaran kekayaan sebanyak AS$3.3 bilion (RM9.93 bilion). – AGENSI

Angau sampai kebas duit atuk

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LIPIS: Hanya kerana ingin memiliki sebuah kereta serta berkahwin dengan wanita pujaan, seorang penganggur berusia 40-an sanggup mengeluarkan wang milik datuknya berjumlah RM21,760 menerusi 19 pengeluaran bemenggunakan kad ATM di sekitar bandar ini tanpa pengetahuan warga emas yang juga pesara polis itu.

Kejadian terbabit disedari pesara berusia 74 tahun berasal dari Kampung Kuala Kechau, di sini, pada 1 Februari lalu ketika dia mahu mengeluarkan wang apabila mendapati jumlah simpanannya berkurangan.

Hairan dengan kekurangan jumlah wang simpanannya hasil daripada penjualan tanah, mangsa meminta kakitangan bank membuat semakan sebelum dimaklumkan terdapat 19 kali pengeluaran wang menerusi kad ATM sejak Januari lalu.

Difahamkan, pada 12 Januari lalu, mangsa pernah didesak cucunya membuat kad ATM dengan alasan kasihan melihat datuknya itu menunggu lama setiap kali mahu mengeluarkan wang menggunakan buku simpanan.

Mangsa bersetuju membuat kad ATM itu dan tidak sedar nombor identiti peribadi (PIN) yang sepatutnya menjadi rahsia sudah ditukar cucunya yang memegang kad berkenaan.

Selepas menghantar mangsa pulang ke rumah, lelaki berkenaan membuat pengeluaran wang sedikit demi sedikit di beberapa buah bank sehingga mencecah jumlah RM21,760 sebelum melarikan diri dan gagal dihubungi datuknya.

Mangsa kebingungan selepas wang itu hilang, mengambil masa hampir seminggu mengesan suspek, namun gagal menemui cucunya itu yang dipercayai sudah melarikan diri.

Berikutan itu, warga emas berkenaan membuat laporan di Balai Polis Lipis, kira-kira jam 11 pagi, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan yang mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit berkata, sehingga kini, suspek masih gagal dikesan, namun polis percaya penganggur terbabit masih berada di daerah ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa mula mengetahui kehilangan wang berkenaan ketika mahu membuat pengeluaran wang sebanyak RM500 di bank untuk kegunaan keluarga.

Katanya, mangsa terpaksa mengeluarkan wang menggunakan buku simpanan kerana cucunya tidak menyerahkan kad ATM sebelum mendapati baki akaun tidak sampai RM200.

“Bagaimanapun, pada masa sama kami percaya lelaki terbabit bertindak demikian kerana tidak bekerja dan memerlukan wang. Siasatan awal mendapati lelaki itu ada membeli Perodua Myvi terpakai serta berkahwin dengan teman wanitanya, baru-baru ini.

“Mangsa turut mengesahkan dia tidak pernah mengeluarkan wang sebelum ini dan polis masih meneruskan gerakan memburu penganggur terbabit yang dikatakan sudah melarikan diri,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, polis masih meneruskan siasatan kejadian terbabit dan mengklasifikasikan kes berkenaan mengikut Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997.

METRO/-

Bil air penduduk melambung

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

TEDONG - Penduduk di Jalan Masjid di sini, mendakwa berlaku kejadian curi air di kawasan kediaman mereka yang dilakukan individu tidak bertanggungjawab.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Mawar berkata, masalah itu hanya diketahui selepas salah seorang jirannya mengadu mengenai bil air mereka lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Menurutnya, pada mulanya, dia kurang yakin dengan aduan­ itu, namun akhirnya percaya setelah berjaya merakamkan aksi individu yang mencuri air melalui video miliknya.

“Individu terbabit dipercayai mencuri air dengan menyambung saluran air pada paip getah lain untuk membersihkan kandang lembu yang dibina berdekatan kawasan berkenaan. Saya sempat merakam aksi individu terbabit ketika mencuri air dan selalunya dilakukan selepas jam 6 petang,” katanya.

Mawar berkata, selain itu, mereka juga berhadapan dengan masalah ternakan yang lepaskan tanpa pengawasan.

“Lembu individu terbabit pernah menceroboh ke tanah bersebelahan sehingga memusnahkan tanaman dan menyebabkan kerugian beribu ringgit. Sebelum ini, ada pokok langsat, tebu, nenas dan lain-lain lagi ditanam, namun sudah mati kerana dimakan serta­ dipijak ternakan terbabit,” katanya.

Katanya, dia sudah memanjangkan masalah itu kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar termasuk Jawatan­kuasa Kemajuan dan Ke­selamatan Kampung untuk diambil tindakan.

“Pihak berkenaan­ ada turun padang, namun jawapan yang diterima kurang memuaskan,” katanya.

SINAR HARIAN/-

Senjata baru AS untuk Zionis

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

BAITULMAQDIS: Ame - rika Syarikat menawarkan Israel senjata canggih sebagai balasan kepada rejim Zionis itu kerana tidak menyerang kemudahan nuklear Iran tahun ini.

Akhbar Israel, Maariv yang memetik sumber diplomat dan perisikan melaporkan, pentadbiran Amerika Syarikat menawar untuk membekalkan Israel dengan bom pemusnah kubu dan pesawat mengisi minyak jarak jauh ketika lawatan Perdana Menteri rejim itu, Benjamin Netanyahu ke Washington baru-baru ini.

Sebagai balasan, Israel akan bersetuju untuk menangguhkan kemungkinan menyerang Iran sehingga 2013, selepas pilihan raya Presiden Amerika Syarikat pada November.

Israel dan Barat mendakwa Iran berhasrat menghasilkan senjata atom menerusi program nuklearnya, tuduhan yang disangkal oleh Teheran.

Ia menjadi agenda utama dalam rundingan antara Netanyahu dengan Presiden Barack Obama awal minggu ini.

Amerika Syarikat dan Israel bercanggah pendapat mengenai ancaman Iran.

Pemimpin Zionis itu berkata Isnin lalu, usaha diplomasi untuk menyekat program nuklear Iran gagal dan ‘tidak seorang daripada kami sanggup menunggu lebih lama.’ Perbezaan utama antara Washington dan Israel ialah mengenai garis masa untuk menyerang Iran. Negara Yahudi itu menimbang kemungkinan untuk menyerang Teheran dalam masa terdekat ini. Menurut laporan itu, pentadbiran Amerika menawarkan Israel senjata canggih untuk mempengaruhi rejim berkenaan supaya menangguhkan hasratnya.

Antara yang ditawarkan ialah bom pemusnah kubu yang lebih kuat berbanding yang dimiliki rejim Zionis itu ketika ini. Ia akan membolehkan Israel menyasarkan kemudahan nuklear Iran walaupun di bawah tanah.

Laporan itu disiarkan sejurus selepas kuasa dunia yang dikenali sebagai P5+1, lima negara anggota tetap Majlis Keselamatan dan Jerman, menawar untuk menyambung rundingan mengenai program nuklear Iran yang sudah sekian lama tertangguh. - Agensi

Optimis sekat kemaraan Gergasi Merah

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

TIDAK resah meskipun kehilangan enam tonggak utama, pengendali Johor FC, K Devan sebaliknya segera memastikan persiapan rapi terutama apabila menanti kunjungan Selangor pada pusi­ngan kedua Piala FA malam esok.

Mengakui pemain prolifiknya, Khairi Kiman, Shafizan Hashim, Shahrizal Saad, Mohd Zambri Chin, Ismail Suboh dan Eddy Helmi Abdul Manan masih belum cergas sepe­nuhnya untuk bersama pasukan, Devan tetap yakin dengan barisan pemain simpanannya dan percaya mereka mampu memberi tentangan sengit kepada anak buah Irfan Bakti Abu Salim.

“Persiapan berdepan Selangor telah dilaksanakan lebih awal. Malah kehilangan beberapa pemain bukanlah alasan untuk kami menyerah sebelum berjuang.

“Saya mahu mereka manfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri dengan memastikan kemenangan kerana pasukan lawan pastinya tidak akan memberi laluan mudah,” katanya.

Turut memuji peningkatan yang dilakukan oleh pasukan Selangor, bekas pengendali Gergasi Merah ini juga mengakui banyak transformasi dilakukan, lebih-lebih lagi dengan memiliki barisan pemain terbaik peringkat kebangsaan serta import berbisa seperti K Gurusamy, Norazlan Razali dan Bosko Balaban.

“Mereka bukan lagi pasukan yang mudah untuk dijinakkan memandangkan Selangor kini lebih baik berbanding tahun lalu,” katanya.

Sinar Harian

Kijang tagih penyudah Mat Yo

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

DERETAN peluang terhidang di depan gawang pasukan kelab Vietnam, Navibank Saigon yang gagal disempurnakan penyerang trio import membuktikan Kelantan sememangnya menagih bisa penyerang prolifiknya, Norshahrul Idlan Talaha.

Ketiadaan penjaring terbanyak Kelantan musim lalu itu, sememangnya dirasai peminat setia The Red Warriors (TRW) yang seolah-olah kecewa dengan persembahan trio import, Mohamad Ghaddar, Nwoha Onyekachi dan Dennis Antwi.

Norshahrul yang mengalami kecederaan dan terpaksa dikeluarkan ketika beraksi menentang Sarawak dalam perlawanan pusingan pertama di Kota Bharu tempoh hari sememangnya tidak pernah menghampakan peminat apabila tidak pernah mensiakan peluang terhidang.

Dalam aksi sulung kumpulan H bertemu kelab Vietnam, Navibank Saigon 2012 malam kelmarin, Kelantan yang menurunkan semua empat importnya sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan.

Hujan semakin lebat pada penghujung separuh masa pertama menyebabkan aksi babak kedua berlangsung dalam keadaan kurang lancar apabila hampir separuh bahagian padang ditakungi air.

Menyedari jentera sera­ngan perlu diperkuat, Bojan mengeluarkan Antwi dan memasukan S Chanturu pada minit ke-72 serta Nor Farhan Muhammad menggantikan Nurul Azwan Roya minit ke-80, namun segala usaha tetap gagal menembusi kekebalan penjaga dari Brazil, Phan Van Santos.

Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak berkata, pemain gementar pada 15 hingga 20 minit pertama, tetapi selepas rehat mereka lebih yakin apabila menguasai permainan.

Sinar Harian

Gara-gara panik, tiga lelaki nekad terjun sungai

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA PERLIS – Gara-gara panik, tiga lelaki melompat dari sebuah rumah ke dalam sungai kerana digemparkan mengenai operasi narkotik di Kampung Baru Tandiap, petang kelmarin.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 5.10 petang itu bertambah cemas apabila seorang daripada mereka, Mat Yunus Mohamad, 32, gagal naik ke daratan semula.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, pihaknya sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat pada petang kelmarin sehingga semalam setelah mangsa gagal dikesan.

“Ketiga-tiga lelaki terbabit telah digemparkan rakanya yang memaklumkan polis mengadakan operasi narkotik di kawasan berhampiran.

“Mungkin kerana panik, mereka mengambil keputusan untuk terjun sungai tanpa memastikan kesahihan khabar itu sehingga salah seorang daripada mereka tenggelam,” katanya.

Abdul Rahman berkata, Mat Yunus dipercayai gagal ke daratan kerana kakinya pernah dimasukkan besi setelah mengalami kemalangan beberapa tahun lalu.

Operasi mencari dan menyelamat melibatkan polis, bomba dan Jabatan Pertahanan Awam bermula jam 7 malam selepas menerima aduan orang kampung dan keluarga Mat Yunus yang membuat laporan mengenai kehilangannya.

“Operasi masih diteruskan sehingga tengah hari ini dan kami percaya Mat Yunus mungkin dibawa arus deras sehingga ke laut,” katanya.

Menurutnya, beliau menolak dakwaan operasi narkotik menyebabkan tiga lelaki berkenaan bertindak terjun sungai, kerana operasi hanya dilakukan dua kilometer dari tempat kejadian.

Sementara itu, saksi kejadian Abidin Othman, 55, berkata, dia melihat ketiga-tiga lelaki terbabit melompat dari rumah yang berada bertentangan dengan rumahnya ke dalam sungai sebelum salah seorang daripada mereka tenggelam timbul.

“Ketiga-tiga mereka ketika itu seolah-olah cuba melarikan diri daripada sesuatu dan terus melompat ke dalam sungai, salah seorang daripada mereka tenggelam timbul dan dua lagi rakannya berjaya naik ke daratan,” katanya.

Abidin berkata, dia kemudiannya menelefon polis untuk memaklumkan kejadian itu di samping memanggil orang yang berada di sekitar kawasan itu untuk menyelamatkannya.

Dalam perkembangan yang sama, bapa mangsa Mohamad Hamzah, 67, berkata, kali terakhir dia berjumpa anaknya selepas Asar sebelum Mat Yunus keluar dari rumah dengan motosikalnya.

“Selepas itu, sehingga ke hari ini saya tidak berjumpanya, saya berharap dia selamat,” katanya.

Difahamkan, mangsa adalah anak keempat daripada lima adik beradik dan kerja sambilan sebagai nelayan serta menetap bersama orang tuanya di Penempatan Sementara Bukit Tok Poh, di sini, yang jarak kira-kira satu kilometer dari lokasi tempat kejadian.

Sinar Harian

Kaki ajaib!

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

MENJARINGKAN lima daripada tujuh gol buat pasukannya, Lionel Messi mencipta rekod sebagai pemain pertama berjaya melakukannya ketika perlawanan Liga Juara-Juara selepas menewaskan Bayer Leverkusen, 7-1 di Stadium Nou Camp, kelmarin.

Berada sebaris dengan lagenda Real Madrid, Alfredo Di Stefano dalam senarai penjaring terbanyak dengan 49 jaringan, Messi turut memperbaiki rekod empat gol yang dicatatnya ketika menentang Arsenal, tahun lalu.

Pemain terbaik dunia tiga tahun berturut-turut itu berjaya meledak dua gol pada separuh masa pertama dengan melakukan hatrik pada separuh masa kedua dan turut dibantu rakan sepasukannya, Cristian Tello yang menghadiahkan dua gol buat Barca.

Meskipun tidak berjaya meletakkan pasukannya di tangga teratas La Liga apabila ketinggalan 10 mata di belakang Real Madrid, kehebatan Messi menjadikan pasukannya sebagai pasukan terbaik dunia wajar diiktiraf setiap pemain dan peminat bola sepak dunia.

Selain menerima pujian daripada pengurus Bayern Leverkusen, Rudi Voller dan pemain Manchester United, Wayne Rooney, Messi turut menjadi kebanggaan rakan sepasukan yang menganggapnya sebagai pemain terbaik dalam sejarah bola sepak dunia.

Sinar Harian

Padah keluar secara melulu

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SENALING – Tindakan seorang penunggang motosikal yang keluar secara melulu di kawasan simpang mengundang padah apabila bertembung dengan sebuah kereta Proton Saga BLM di Jalan Senaling-Tampin, semalam.

Kejadian berlaku jam 9 pagi itu menyebabkan lelaki berusia 40-an tercampak ke bahu jalan sehingga menyebabkan kaki kirinya patah dan tulang buku lali tersembul keluar manakala pemandu kereta berkenaan yang juga seorang wanita­ tidak cedera.

Petugas Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Majeran Lon berkata, pihak JPAM menerima panggilan kira-kira 9.03 minit dan bergegas ke tempat kejadian.

“Ketika tiba di tempat kejadian, kami melihat seorang lelaki sedang mengerang kesakitan berikutan kakinya patah hingga menyebabkan tulang buku lali terkeluar. Dia masih dalam keadaan sedar dan berada di tepi jalan,” katanya.

Majeran berkata, kejadian itu berlaku apabila­ lelaki tersebut keluar dari simpang Bemban arah ke Senaling secara melulu.

“Dipercayai kereta tersebut dari arah Melaka menuju ke Kuala Pilah. Namun apabila tiba di simpang Bemban–Senaling, sebuah motosikal keluar secara mengejut menyebabkan pemandunya tidak dapat mengelak lalu merempuh lelaki berkenaan. Akibat rempuhan itu, lelaki berkenaan tercampak dan kepala terhantuk di atas jalan. Dia cedera di kepala, dahi dan kaki,” katanya.

Katanya, pihaknya yang tiba awal di tempat kejadian menghulurkan bantuan kecemasan sebelum menunggu ketibaan ambulans dari Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN).

“Saya bersama kakitangan hospital memberi­ rawatan awal sebelum mangsa dibawa untuk rawatan susulan. Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu turut memberikan bantuan dengan mengangkat mangsa ke tempat selamat,” katanya.

Sementara itu, difahamkan, bahagian sisi motosikal mangsa remuk dan lampu depan pecah manakala kereta berkenaan rosak sedikit di bahagian depan.

Sinar Harian