12 Mac 2012

Shahrizat: Parti reput tiada tempat di sisi rakyat

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 12 Mac: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat tindakan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang melepaskan jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkuatkuasa 8 April nanti sebagai suatu kemenangan rakyat yang cintakan keadilan dan kebenaran tertegak di negara ini.

Bagi DPPM, tindakan Shahrizat mengumumkan peletakan jawatan beliau adalah hasil daripada tekanan pemimpin Pakatan Rakyat yang berterusan mendedahkan penyelewengan beliau.

“Ia juga menunjukkan bahawa Perdana Menteri telah tertekan untuk menghadapi pilihanraya umum ke 13 sehingga terpaksa tunduk kepada desakan pelbagai pihak,” kata Naib Ketuanya, Dr Raja Ahmad al-Hiss (gambar).

Sememangnya, kata beliau kes skandal NFC mempunyai asas yang begitu kukuh berlakunya penyelewengan sehingga sukar bagi Shahrizat menepis dan sukar pula Perdana Menteri menjawab dengan rakyat.

Menurutnya, meskipun Shahrizat akan melepaskan jawatannya, ini tidak bermaksud penyiasatan dan pendakwaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhenti setakat itu sahaja.

Sebaliknya, ujar beliau SPRM perlu meneruskan tugasnya menyiasat penglibatan suami Shahrizat dalam Pusat Feedlot Kebangsaan (NFC) serta pengaruh Shahrizat sebagai Menteri Kabinet sehingga suaminya mendapat projek tersebut.

Tambahnya, rakyat masih menunggu dengan penuh sabar apakah kesudahan kes itu sehinggalah kebenaran tersingkap dan mereka yang bersalah dihadapkan ke muka pengadilan.

DPPM juga, katanya mendesak SPRM bersikap telus dengan mengheret sama pemimpin lain yang terlibat dalam meluluskan projek ini.

“Jangan hanya ‘mengkambing hitamkan’ seorang pemimpin dengan membiarkan ramai pemimpin lain terlepas.

“Semua pemimpin lain yang terbabit dalam projek ini mesti disiasat dan diambil tindakan sama,” katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, apa yang terjadi kepada Shahrizat menjadi bukti bahawa Umno adalah sebuah parti yang korup.

Bahkan, tambah beliau pengekalan Shahrizat sebagai Ketua Wanita Umno menunjukkan bahawa mereka masih pelihara pemimpin yang korup.

Sebelum ini, katanya bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Khir Toyo telah dijatuhkan hukuman atas kesalahan rasuah.

Malah sehingga kini, ujarnya masih banyak lagi kes pemimpin-pemimpin Umno menanti masa akan didedahkan penyelewengan mereka satu persatu.

“Sudah tidak ada tempat lagi buat parti yang reput dan bergelumang dengan skandal yang memalukan, juga tidak ada nilainya permohonan maaf dan rayuan Perdana Menteri terhadap rakyat,” ujarnya lagi.

Undur kerana Umno, bukan rakyat

Keputusan Shahrizat tidak menyambung khidmatnya sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada bulan hadapan demi kepentingan Umno dan bukan kerana rakyat Malaysia.

Demikian persoalan yang dibangkitkan oleh Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nazmi Nik Din ketika mengulas laporan salah sebuah akhbar media perdana hari ini yang di antaranya bertajuk ‘Keputusan Demi Kepentingan Umno, BN’.

“Nampaknya kepentingan Umno, BN diutamakan dan kepentingan rakyat dikemudiankan,” tegas beliau.

Menurut beliau lagi, laporan media perdana tersebut menyerlahkan lagi warna sebenar Umno BN dalam menangani isu-isu yang berkaitan kepentingan rakyat.

Katanya, bagi mereka rakyat bukan keutamaan, yang penting Umno BN terus berkuasa walaupun terpaksa berdiri dan berpijak diatas keringat rakyat.

“Kalau beginilah sikap Umno yang hanya meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan rakyat, maka tidak ada guna bagi rakyat Malaysia untuk terus memberikan undi kepada Umno BN dalam pilihan raya umum yang akan datang,” ujarnya.

Ini, katanya adalah kerana apa sahaja isu yang berkaitan dengan rakyat hanya dilihat melalui kacamata kepentingan Umno BN dan bukan untuk kepentingan agama dan negara.

HARAKAHDAILY/-

Mayat ditemui di Sungai Kinta

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

BATU GAJAH : “Dia sangat manja dengan saya dan rapat dengan adiknya,” kata Mazlinah Rintan, 30, ibu kepada Yushahiriezal Jidun, 9, yang mayatnya ditemui di Sungai Kinta di sini, kelmarin, 40 kilometer dari tempat dia terjatuh ke dalam longkang di kuarters Kem Syed Putra, Jalan Tambun, Ipoh, Rabu lalu.

Murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Wira Jaya itu dihanyutkan ke sungai ketika bermain berhampiran longkang berkenaan.

“Saya reda dengan apa yang berlaku,” kata Mazlinah ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Batu Gajah (HBG). Lebih menyedihkan apabila adiknya, Yusaidatul Adawiyah Jidun, 4, sering bertanya di mana abangnya.

Mazlinah terkilan kerana tidak dapat menunaikan hasrat anaknya itu untuk belajar ilmu mempertahankan diri di sekolah. “Sebelum kejadian, dia memaklumkan hasratnya menyertai kelab tae kwondo di sekolah, tetapi saya minta dia tangguhkan dulu,” kata Mazlinah sebak. Sementara itu, Kapten Mohamad Anas Emran dari Kem Syed Putra yang menyelaras operasi mencari dan menyelamat berkata, pihaknya mendapat maklumat berhubung penemuan mayat mangsa oleh orang awam pada jam 11.30 pagi.

Menurut Anas, seorang penduduk kampung memaklumkan mengenai mayat budak lelaki terapung berhampiran pokok di tebing kiri Sungai Kinta antara sempadan Malim Nawar dan Tanjung Tualang. Mayat Yushahiriezal dimandi dan dikapankan di HBG sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun.

METRO/-

Lebih 20,000 Wanita, Kanak-Kanak Diculik Di China Berjaya Diselamatkan

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

BEIJING: Polis China telah menyelamatkan lebih 20,000 wanita dan kanak-kanak yang diculik di seluruh negara pada tahun lalu.

Satu laporan daripada Kementerian Keselamatan Awam pada Ahad berkata, polis menyelamatkan seramai 8,660 kanak-kanak dan 15,458 wanita yang diculik pada tahun 2011 di mana melibatkan hampir 3,200 kumpulan penyuludupan manusia.

Pemerdagangan ke atas wanita dan kanak-kanak merupakan masalah besar di China di mana secara tradisinya, waris lelaki diperlukan dan polisi seorang anak telah menyebabkan harga kanak-kanak lelaki jauh lebih tinggi berbanding perempuan.

Gadis dan wanita juga diculik untuk digunakan sebagai buruh atau pengantin perempuan bagi anak luar nikah.

Tiada perangkaan diberikan bagi jumlah penculikan pada tahun lalu. China adalah sebuah negara dengan jumlah populasi 1.3 bilion ornag menyebabkan kes-kes berkenaan tidak dilaporkan. - AP

Cemas lori terbakar

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PERAI – Tindakan pantas seorang pemandu lori kontena yang memberhentikan kenderaan di tepi jalan menyelamatkan nyawanya, selepas lori itu tiba-tiba terbakar dalam satu kejadian berhampiran Bulatan Perusahaan Perai, kira-kira jam 2.45 petang kelmarin.
Zainol Omar, 43, berkata, dia terlebih dahulu mendengar bunyi pelik ketika memandu lori berkenaan.

Menurutnya, tidak sedap hati dengan bunyi itu, dia kemudiannya memberhentikan kenderaan ketika menghampiri bulatan dan belum pun sempat mematikan enjin, lorinya itu sudah terbakar.

“Saya dalam perjalanan pulang ke depot kontena syarikat selepas menghantar barangan alat ganti kenderaan di sebuah kilang di Kulim, Kedah.

“Saya kemudiannya melompat keluar dari lori bagi menyelamatkan diri kerana bimbang sesuatu yang buruk berlaku. Lima minit kemudian, kepala lori terbakar.

“Mujur sempat keluar, jika tidak tak tahu apa yang akan jadi,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan Dua Balai Bomba dan Penyelamat Perai, Mohd Asri Abdul Wahab, berkata, sebuah jentera dengan kekuatan lima anggota bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan.

Menurutnya, masa selama 10 minit diambil untuk memadam kebakaran dari terus merebak ke bahagian lain kenderaan.

Begitupun katanya, punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Tarik diri: Chong Wei gagal pertahan kejuaraan

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan utama negara, Datuk Lee Chong Wei gagal mempertahankan kejuaraan All England apabila terpaksa menarik diri dari meneruskan set kedua perlawanan akhir perseorangan lelaki di National Indoor Arena, Birmingham semalam.

Pemain nombor satu dunia itu mengalami kecederaan di bahu kanannya ketika menentang musuh tradisinya dari China, Lin Dan pada kedudukan 2-6.

Walaupun agak terganggu dengan kesakitan di bahunya, Chong Wei tetap memberikan tentangan sengit sebelum memberi laluan kepada Lin Dan untuk memenangi set pertama 21-19.

Penonton yang berada di National Indoor Arena itu nyata tidak putus-putus memberi sokongan padu dan sorakan semangat kepada pemain negara itu sehingga Chong Wei terpaksa akur dengan kecederaan yang dialaminya.

"Saya rasa kami bermain baik dan dia (Chong Wei) juga bermain baik. Tetapi dia tidak mahu kecederaannya menjejaskannya kerana saya tahu dia mahu bermain dan kami akan bertemu lagi di Sukan Olimpik,” kata Lin Dan ketika ditemu bual selepas perlawanan itu. – BERNAMA

Palestin kemuka 20 tapak warisan

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

RAMALLAH - Palestin, kelmarin berhasrat untuk mengemukakan senarai 20 lokasi di Baitulmaqdis, Tebing Barat dan Gaza yang mungkin boleh diisytiharkan sebagai tapak warisan dunia kepada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Ketua jabatan PBB di Kementerian Luar Palestin, Omar Awadallah berkata, dalam tempoh beberapa hari mereka akan menghantar senarai kepada Jawatankuasa Tapak Warisan Dunia mengikut undang-undang konvensyen.

Langkah itu diambil selepas badan PBB tersebut mengiktiraf keanggotaan Palestin pada akhir Oktober lalu walaupun mendapat bantahan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Lokasi yang dipilih termasuk tempat kelahiran Nabi Isa AS dan beberapa lokasi bersejarah di Baitulmaqdis.

“Senarai akhir akan dibentangkan semasa mesyuarat tahunan jawatankuasa tersebut pada Jun depan dan kami berharap struktur bersejarah di Palestin akan diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia,” menurutnya.

SINAR HARIAN/-

Askar Amerika tembak mati 16 rakyat Afghan

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KABUL - Seorang askar Amerika Syarikat (AS) melepaskan tembakan ke arah orang awam di sebuah kampung di Kandahar semalam, menyebabkan 16 orang termasuk sembilan kanak-kanak terbunuh.

Ini kejadian pertama ketika rakyat Afghanistan masih marah dengan insiden membakar al-Quran di pangkalan tentera di Bagram lebih dua minggu lalu.

Ekoran kejadian itu, Presiden Barack Obama menghubungi rakan sejawatannya dari Afghanistan, Hamid Karzai untuk menyampaikan takziah dan menjanjikan satu siasatan.

Hanya seorang askar didakwa melepaskan tembakan.

Obama berkata, individu yang melakukan perbuatan yang tragis dan mengejutkan itu akan dipertanggungjawabkan.

Hamid mengecam tindakan itu dan menuntut penjelasan.

Suspek, dipercayai seorang sarjan, dilaporkan keluar dari pangkalan tentera sekitar 3 pagi waktu tempatan (6.30 pagi waktu Malaysia) semalam, dan melepaskan tembakan sembarangan di kawasan perkampungan Alkozai dan Najeeban.

Kedua-dua kampung itu terletak 500 meter dari pangkalan tentera. Dia dilaporkan menjadikan tiga buah rumah sebagai sasaran.

Di sebuah rumah di Najeeban, 11 orang ditemui mati dengan beberapa mangsa dibakar.

Seorang saksi wanita di Najeeban memberitahu BBC bahawa dia kedengaran bunyi tembakan kira-kira jam 2 pagi.

Seekor anjing yang menyalak juga ditembak.

Menurutnya, puak Taliban tidak dilihat berada di kawasan sejak beberapa bulan.

Sekurang-kurangnya tiga kanak-kanak terbunuh dalam satu tembakan.

Lima mangsa yang cedera telah dibawa ke pusat perubatan Nato, lapor AP.

Ini adalah kali pertama seorang askar melepaskan tembakan dalam cara seperti ini ke atas orang awam di Afganistan oleh anggota tentera asing.

SINAR HARIAN/-

Pesara, pensyarah ditemui mati

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Anggota polis mengusung mayat dua beranak ayah dan anak yang dipercayai telah dibunuh di Taman Kinrara 1, Puchong.

Anggota polis melakukan siasat ditempat kejadian.
Anggota polis melakukan siasat ditempat kejadian.

PUCHONG: Seorang wanita yang datang dari Segamat, Johor bagi mencari suaminya mendapat berita paling mengejutkan apabila mendapati suami dan anak perempuan tunggalnya mati dipercayai dibunuh di Taman Kinrara 1 di sini, malam tadi.

Mayat dua beranak itu ditemui di dalam dua bilik berasingan selepas sepasukan polis memecah pintu rumah teres setingkat itu, kira-kira jam 10 malam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias, berkata mangsa yang berketurunan Portugis itu dikatakan berkunjung ke rumah anak perempuan dan bekerja sebagai pensyarah kolej swasta kira-kira empat hari lalu untuk membawanya pulang ke Segamat.

Katanya, isteri mangsa yang berketurunan Melayu dan berusia dalam lingkungan 50-an itu tidak ikut ke Puchong. Bagaimanapun, dia ada cuba menghubungi lelaki itu dan anaknya sejak beberapa hari lalu tetapi gagal.

“Berikutan gagal menghubungi suami dan anak perempuannya, wanita terbabit membuat laporan kehilangan mereka di balai polis di Segamat sebelum datang ke Puchong.

“Apabila sampai ke rumah anaknya, dia cuba memanggil suami dan anaknya tetapi tiada yang menyahut manakala pintu berkunci menyebabkan dia pergi ke balai polis berdekatan kira-kira jam 9.45 malam tadi untuk meminta bantuan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, malam tadi.

Beliau berkata, sepasukan anggota polis membawa isteri mangsa ke tempat kejadian sebelum memecah pintu rumah teres berkenaan.

“Sebaik masuk ke dalam rumah yang tidak ditutup lampu itu, anggota kami menemui mayat lelaki terbabit di atas katil di dalam sebuah bilik manakala mayat anak perempuannya ditemui di atas lantai di bilik lain,” katanya.

Menurutnya, mayat anak perempuan mangsa yang ditemui dalam keadaan terlentang itu masih lengkap bertudung.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, tidak ditemui sebarang kesan kecederaan fizikal pada kedua-dua mangsa dan mayat dua beranak terbabit dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

Abd Razak berkata, siasatan juga mendapati tiada kesan geledah di rumah berkenaan tetapi dua telefon bimbit milik mangsa dan anak perempuannya hilang.

“Kereta Perodua Kenari milik anak perempuan mangsa juga dipercayai hilang manakala kereta Toyota Camry milik mangsa ditemui diletakkan di luar pagar di depan rumah,” katanya.

Difahamkan, kereta mangsa berada di kawasan rumah itu manakala kereta Perodua Kenari milik anak perempuannya tiada di situ.

Abd Razak berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh yang mana sabit kesalahan, seseorang itu boleh dihukum mati mandatori.

METRO/-

Dia bukan berundur la… pasai dah tamat tempoh

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Dia nak undur dari jawatan menteri dia 8 April nanti teman rasa idak le pelik bebenor..sebab tarikh yang dia pilih tu adalah tarikh tamat tempoh dia jadi senator..maka otomatik le dia punya jawatan kena ditinggalkan..pasai dia bukan ahli mana2 parlimen pon..jadi pasai apa nak beria-ia buat sidang media bagai..
ingatkan dia ada rasa bersalah kepada rakyat Malaysia dek sebab kes lembu2 dia..rope-ropenya dia berundur pasai tempoh senator dia udah nak habis..citt akai filem bollywood dia pakai..mokcik bollywood oh mokcik bollywood..

bukan saja mokcik ni bawa rentak bollywood..dengan pok Najib..Sapie Apdal pon ngikut juga..udah-udah le nak buat drama pon..kalau nak bagi hebat undur sekali la jadi Ketua Wanita Umnuu..lepas tu buat la adegan nangis-nangis sampai keluar hingus..ayat kena power.."dah lama dah saya pikir nak mengundurkan diri..sob..sob..lama dah tapi tunggu dulu tamat tempoh noo..sob..sob" baru la gempak nampak keplastikkannya..

maka moral of the story mokcik ni..bukan le dia letak jawatan ke..lepaskan jawatan ke..yang jelas lagi soheh adalah dia udah tamat tempoh pegang jawatan..ceh lakonan semata-mata..sedikit pun dia tidak berasa bersalah dan berdosa sebab perabihkan duit rakyat untuk memewahkan diri..ramai lagi rakyat yang harus dibantu..yang berhak untuk untuk dibantu..tetapi lain yang diamanahkan..lain yang dibuat..

kalau nak letak jawatan..sekarang la beb..apa tunggu-tunggu lagi..!!

250 juta jangan buat-buat lupa pulak..UMNUU memang mudah lupa tapi rakyat TIDAK LUPA..!! - http://haninasution.blogspot.com

Mesin pengundian elektronik timbulkan keraguan

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SEORANG wanita mengundi menggunakan sebuah mesin pengundian di Sandy Springs, Georgia AS. Keyakinan orang ramai terhadap mesin itu semakin terhakis kerana ia boleh digodam dengan mudah.

WASHINGTON - Masalah-masalah yang dialami oleh mesin pengundian elektronik menimbulkan persoalan baharu berkaitan teknologi pilihan raya ketika sistem komputer itu bakal digunakan pada pilihan raya Amerika Syarikat (AS) pada November depan.

Sebanyak 25 peratus rakyat AS dijangka menggunakan mesin-mesin pengundian tersebut. Namun, keyakinan terhadapnya dilihat semakin terhakis, jelas Yayasan Pengundian yang Disahkan (VVF).

Yayasan itu yang mahukan sistem pilihan raya lebih bagus menyatakan mesin pengundian di 11 buah negeri adalah elektronik sepenuhnya. Ia juga tidak mempunyai sistem kertas bagi tujuan kiraan semula.

Tahun lalu, pihak Microsoft Research menerbitkan satu laporan yang menjelaskan tentang pelbagai kelemahan sistem Rakaman Elektronik Lanngsung (Direct Recording Electronic, DRE) yang membolehkan penggodam mengubah bilangan undi dalam jumlah besar tanpa boleh dikesan.

Aspek keselamatan dan teknologi pilihan raya telah menjadi isu di AS sejak pilihan raya presiden pada tahun 2000 yang dicemar oleh 'undi hantu' di negeri Florida yang membuatkan keputusan bercelaru.

"Masih terdapat beberapa buah negeri yang tidak memiliki sistem kiraan semula yang meyakinkan. Sekiranya berdepan masalah, mereka tidak mampu menanganinya," kata Pamela Smith daripada VVF.

Pada September tahun lalu, sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh Roger Johnston daripada Argonne Lab membuktikan bahawa undian di sebuah mesin pengundian dapat diubah. Dengan hanya menggunakan satu peranti berharga AS$25 (RM75) ia mampu memanipulasi skrin sentuh mesin pengundian dan boleh dikawal dari jarak jauh. - AFP

Pendidik punya jawapan kepada masalah negara

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Saya menyambut baik hasrat YAB TPM dalam usaha jelajah seluruh negara untuk mengumpul pandangan yang bernas dalam menaik taraf pendidikan. Pendidikan adalah asas kepada pembangunan negara. Kementerian sepatutnya membawa halatuju pendidikan kita ke arah yang memberi manfaat kepada semua pihak. Pendidikan yang murah daripada pra-sekolah sehingga menara gading adalah ciri utama sebuah sistem pendidikan yang merakyat. Kementerian perlu adil dalam pengagihan bantuan kepada sekolah-sekolah samada di bandar atau luar bandar. Bukan sekadar membantu sekolah yang sudah cemerlang tetapi juga berpandangan positif kepada sekolah yang punya rekod buruk. Guru yang mengajar di sekolah juga perlu dianggap sebagai individu yang sangat penting di sekolah, bukan sekadar kakitangan kerajaan. Taraf guru sepatutnya diangkat tinggi dan menjadi inspirasi kepada semua penggerak masyarakat. Kebajikan guru sepatutnya menjadi keutamaan, bukan mengejar bilangan A yang belum tentu menjamin kecemerlangan yang berkekalan. Guru yang tidak stabil emosinya akan memberi natijah yang buruk kepada perkembangan anak murid.

Selain itu, institusi pendidikan sepatutnya dipimpin oleh individu yang dihormati oleh semua guru. Jawatan guru, pengetua malah naib canselor adalah ketua kepada semua pendidik, bukan CEO kepada sesebuah syarikat. Untuk menjadi ketua pendidik, seseorang mesti sudah membuktikan kepakarannya dalam bidang kependidikan. Sukar untuk pelajar menghormati pengetua sekiranya pengetua itu sendiri tidak dihormati para guru. Urusan birokrasi pula sepatutnya dilaksanakan oleh kakitangan bukan akademik, bukan dibebankan kepada para pendidik. Akibat buruk daripada gejala ini akan menyebabkan pendidik melupakan tugas mereka yang hakiki iaitu mendidik anak murid menjadi manusia.

Silibus pelajaran kita juga sepatutnya dirombak supaya pelajar yang keluar daripada institusi pendidikan akan menjadi manusia yang berkhidmat kepada masyarakat, bukan sekadar pekerja kepada industri. Fenomena pengindustrian pendidikan hanya memberi industri lebih kata putus dalam membentuk halatuju sesebuah institusi dan menyebabkan pandangan pendidik tidak diambil kira. Pendidik yang telah berkhidmat berpuluh tahun tentulah lebih arif tentang bidang masing-masing. Malah krisis kewangan yang dihadapi dunia hari ini membuktikan bahawa industri itu sendiri telah tersilap percaturan. Mengapa perlu mendengar kata mereka? Mungkinkah para pendidik kita punya penyelesaian yang lebih tuntas?

Sebagai penutup, kementerian perlu mendengar luahan hati daripada para pendidik. Malah tidak perlu jelajah seluruh negara. Yang penting hala tuju kementerian jelas dan menghormati status pendidik sebagai obor penerang bangsa.

Mohammad Syazwannuddin Shaharuddin ialah Exco Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Perkasa takut dengan kekuatan Nik Aziz

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Permintaan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang menggesa supaya Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz mengundur diri daripada menjadi Menteri Besar Kelantan adalah tidak masuk akal.

Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd Taufek Abd Ghani berkata, kenyataan itu menunjukkan Perkasa mahupun Barisan Nasional (BN) takut dengan kekuatan yang ada pada Nik Aziz.

Katanya, Nik Aziz mempunyai kekuatan yang tidak dapat disangkal oleh sesiapa, malah rakyat di Kelantan sendiri mahukan beliau terus mentadbir di negeri itu.

“Pihak lain tidak perlu masuk campur dan menyuruh beliau (Nik Aziz) undur daripada menjadi Menteri Besar Kelantan, sedangkan itu adalah keputusan rakyat.

“Rakyat yang memilih dan memberi hak kepadanya mentadbir, orang lain tidak perlu bersusah payah memikir menjatuhkannya,” katanya.

Menurutnya, beliau yakin Ibrahim membuat kenyataan itu kerana bimbang kedudukannya dan takut dengan kelebihan yang dimiliki Nik Aziz bagi memastikan Pas menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

“Sepanjang Nik Aziz memerintah di Kelantan, banyak kemajuan dan pembangunan di lakukan.

“Malah banyak material pembangunan, hotel besar, pasar raya besar mula membangun di negeri tersebut.

“Kita perlu hormati keputusan rakyat, kerana rakyatlah yang akan menentukan masa depan negeri mereka sendiri, bukannya Ibrahim, mahu pun pihak lain,” katanya.

sinar harian/-

Kes pelik bekas IGP, AG dan ketua kongsi gelap

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Maklumat baru kini diperolehi bagi memperjelaskan kes luar biasa yang didakwa membabitkan bekas polis paling berkuasa di negara ini, seorang peguam negara dan juga tokoh kongsi gelap lima tahun lalu.

Dokumen yang mendedahkan bagaimana maklumat yang dibekalkan oleh beberapa pemberi maklumat sehingga tertangkapnya ‘ketua’ kongsi gelap Johor Goh Cheng Poh atau juga dikenali sebagai Tengku Goh pada 2007 kini dimiliki oleh Malaysiakini.

NONEDokumen yang sama itu digunakan bagi memalitkan enam pegawai polis yang menyiasat kes itu.

Pemberi maklumat itu kemudiannya membuat kenyataan bersumpah bahawa mereka dipksa menukar maklumat asal oleh pasukan Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang kemudiannya dinaikkan taraf menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2009.

Sebaliknya, enam pegawai polis dijadikan mangsa dan didakwa memalsukan bukti terhadap Tengku Goh yang didakwa terbabit dalam perjudian dan pengubahan wang haram. Mereka bagaimanapun akhirnya dibebaskan, yang terakhir adalah pada pertengahan 2011.

Mimpi ngeri pegawai polis selama empat tahun itu bermula apabila mereka atas arahan Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu Datuk Seri Johari Baharum, mula menyiasat Tengku Goh (Untuk peranannya dalam skandal ini, Johari sendiri pernah dituduh mengamalkan rasuah dan juga disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah.)

johari baharumJohari (kanan) kemudian mengarahakan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Ramli Yusuff, yang sebelum ini adalah Ketua Polis Pahang untuk menjalankan siasatan dan bertindak.

Ramli kemudian mengumpulkan lebih kurang enam pegawainya untuk menyiasat dan semasa menjalankan tugas, mereka mendapati ketua mereka, Tan Sri Musa Hassan, bekas Ketua Polis Johor yang kemudiannya dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada 2006 juga ada kaitan dan terbabit dengan kes berkenaaan.

Siasatan JSJK mendapati bahawa meskipun Musa ketika berkhidmat di Johor - telah menututp pusat perjudian haram dan melumpuhkan sindiket pinjaman wang haram di selatan negeri itu, beliau pada masa yang sama membantu "menyusunkan semula" beberapa sindiket berkenaan yang beroperasi di bawah “sistem payung" dikawal oleh Tengku Goh.

Berbekalkan maklumat daripada pemberi maklumat, JSJK telah menangkap Tengku Goh dan beliau dihantar ke Jeli, Kelantan dan diletakkan di bawah tahanan kediaman terhad.

Bagaimanapun kes semakin pelik.

ghani patail gani 060409Peguam Negara Tan Sri Tan Sri Abdul Gani Patail (kiri) campur tangan dan beliau didakwa menggunakan BPR untuk mengakses fail sulit (digelar "Cicero") dalam kes itu.

Adalah difahamkan bahawa tiada sesiapa, termasuk Ketua Polis Negara mahupun Peguam Negara dibenarkan untuk mempunyai akses kepada fail 'Cicero' apabila seorang pegawai telah diamanahkan mengendalikan kes berkenaan.

Tindakan menggunakan BPR untuk campur tangan dalam kes itu mencetuskan rasa tidak puas hati di JSJK kerana ini adalah campur tangan terang-terangan dalam kerja-kerja polis.

Namun, JSJK tetap diarahkan supaya menyerahkan fail sulit berkenaan kepada Jabatan Peguam Negara, dan hasilnya kertas Cicero berada di tangan BPR.

Berdasarkan maklumat dari fail sulit itu, BPR memburu pemberi maklumat yang maklumatnya digunakan sehingga tertangkapnya Tengku Goh.

BPR kemudiannya menggunakan ugutan, taktik menakut-nakutkan dan menuoal-siasat pemberi maklumat itu berhari-hari sehingga mereka menukar kenyataan sebelum ini.

malaysiakini/-

Letupan Gereja Di Nigeria, Empat Terbunuh

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

NIGERIA: Sebuah kereta yang sarat dengan bahan letupan, pada Ahad diletupkan di luar gereja Katolik di bandar bergolak di tengah Nigeria, membunuh sekurang-kurangnya empat orang dan mencederakan yang lain, kata seorang jurucakap yayasan.

Letupan itu berlaku pada pagi Ahad di luar Gereja Katolik St Sinba di bandar Jos. Empat orang terbunuh kata Mark Lipdo, penganjur untuk sebuah pertubuhan Kristian di Jos yang dikenali sebagai Yayasan Stefanos.

Pengebom itu dilihat memberhentikan kereta sebelum memasuki perkarangan gereja, kata seorang pegawai penyelamat.

Tidak dapat dipastikan sama ada gereja mempunyai aktiviti pada masa serangan itu. Pegawai penyelamat rasmi bercakap tanpa mahu dikenali kerana beliau tidak dibenarkan untuk mengumumkan angka mangsa kepada wartawan.

mstar/-

Adakah wanita penentu generasi hari esok?

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Galuran susur sambutan Hari Wanita Antarabangsa (HWA)

Wanita merupakan lebih separuh daripada jumlah penduduk negara ini yang kini telahpun mencecah lebih kurang 28 juta orang. Demikian pula, wanita juga merupakan separuh daripada populasi dan penghuni bumi. Pengiktirafan ke atas wanita telah mendorong persetujuan PBB pada tahun 1975 untuk menetapkan bahawa tanggal 8 Mac setiap tahun itu sebagai tarikh rasmi bagi sambutan Hari Wanita Antarabangsa (HWA), iaitu setelah HWA disambut buat kali yang ke-64!

Barangkali tidak ramai yang tahu bahawa tanggal 8 Mac 2012 baru-baru ini merupakan sambutan HWA untuk kali yang ke 101 tahun. Sekaligus membawa maksud usaha pemberdayaan wanita dari kacamata Barat (termasuk wilayah pengaruh jajahannya) telah dilipatkaligandakan secara terancang lebih kurang satu abad yang lalu, sekalipun kelihatannya agak terkemudian berbanding pengiktirafan ke atas wanita yang telah diberikan Islam, iaitu lebih kurang 1400 tahun yang silam.

Kali pertama HWA ini disambut ialah pada 19 Mac 1911 oleh Austria, Denmark, German dan Switzerland. Terdahulu, ideanya bermula pada tahun 1910 dalam satu Mesyuarat Pertubuhan Sosial Antarabangsa yang kemudiannya menyaksikan sambutan pada tahun berikutnya melibatkan lebih kurang 1 juta orang wanita, dengan dijayakan bersama-sama dengan kaum lelaki.

Di peringkat negara kita sendiri, HWA telah disambut kali pertamanya pada tahun 1975 dan sebagai rakaman sejarah, negara pada 8 Mac 1975 telah melancarkan Setem Kenang-Kenangan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa. Ironinya, pada masa yang sama terdapat satu lagi tarikh untuk Sambutan Hari Wanita di peringkat Malaysia (dalam negara) iaitu pada tanggal 25 Ogos setiap tahun. Malangnya, tarikh ini adalah hanya mewakili kepentingan segelintir iaitu sempena sejarah penubuhan Ibu Umno yang sekaligus tidak zahir daripada pertimbangan yang barangkali adil untuk semua wanita yang realitinya terdiri daripada pelbagai latarbelakang sosial dan ideologi perjuangan serta ideologi politik masing-masing.

Nah, ini antara cabaran kita dalam menyatukan kepelbagaian wanita itu agar upaya duduk semeja bagi membincangkan perihal paling butuh dan paling perlu demi kelangsungan Generasi Hari Esok, yang nantinya bisa belajar bagaimana untuk terus memacu kebangkitan dan kemajuan meski dalam wadah yang cukup berbeda! Iyya, perbedaan itu sesungguhnya tidak wajar merencat apa jua usaha ke arah yang lebih baik, apatah lagi jika kita meletakkan kepentingan kelangsungan warga manusia dan martabat kemuliaan wanita itu sendiri di neraca kewajarannya.

Siapa wanita hari ini dan apa cabarannya?

Bila kita bercakap tentang siapakah wanita itu pada hari ini, maka kita mesti jujur dalam menyatakan siapakah sebenarnya wanita itu. Kita tidak boleh bersikap, bila bicara sahaja soal wanita maka kita terperangkap dalam fahaman wanita itu adalah kita semata-mata. Jika dengan andaian itu, maka tentulah kita sebenarnya gagal untuk sejujurnya memahami, mengenali dan menyantuni segala persoalan yang berhubungkait langsung dengan kehidupan realitas para wanita, sekaligus segala yang berimpak daripada kewujudannya.

Hakikatnya, wanita pada hari ini merupakan entiti rasmi negara yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang sosial, ekonomi dan politik. Ada yang berpendidikan rendah, menengah, tinggi hatta masih ada juga yang buta huruf khususnya di kawasan kampung, desa dan pedalaman terpencil. Ada yang suri rumah, petani, nelayan, peneroka, peniaga hatta mereka yang berkerjaya dengan profesion-profesion tertentu seperti peguam, doktor, jurutera, ahli politik, aktivis Sosial dan seumpamanya.

Ada juga yang akibat desakan hidup mereka terpaksa menjadi pelacur, GRO dan menjual maruah samada untuk meneruskan hidup, tidak kurang juga bagi mengejar status dan hidup mewah. Ada yang merupakan penagih dadah, penghidap HIV, mangsa dera, mangsa keganasan, mangsa perceraian, gantung tidak bertali, ditinggalkan suami tanpa nafkah (di mana 3.4 juta wanita kita merupakan ibu tunggal), dirogol, dibunuh, dijual dan dilacur oleh sindiket pemerdagangan manusia yang kita difahamkan Malaysia merupakan salah sebuah negara paling berisiko dengan masalah ini.

Ada yang hidup bebas merdeka, ada juga yang hidup “terpenjara”, terpaksa menjadi “hamba” khususnya kepada sebilangan lelaki tidak bertanggungjawab. Ada yang terperangkap dengan “cinta nafsu”, akhirnya kecundang di bawah sinaran neon kota kosmopolitan lantas terpalit zina yang kemudiannya pula menjadi pembunuh bayi-bayi mereka yang tidak berdosa.

Wajar juga kita menginsafi dapatan daripada statistik rasmi negara bahawa setiap 17 minit akan lahir seorang anak luar nikah, setiap 15 minit sebuah institusi rumah tangga akan runtuh (berlaku perceraian), setiap hari lebih kurang 10 orang wanita menjadi mangsa rogol, setiap hari 4 orang kanak-kanak akan hilang, setiap 3 orang daripada 6 orang remaja wanita mengaku pernah melakukan hubungan seks haram dan pelbagai data dan statistik yang cukup menggerunkan kita semua!

Nah, rencam bukan? Inilah realiti wanita kita pada hari ini. Justeru, kita semua kaum wanita seharusnya sedar yang pelbagai cabaran besar sedang menunggu kita baik pada masa kini hatta pada masa akan datang. Bahkan sepanjang tarikan dan hembusan nafas kita, juga pada setiap derap dan langkah kita adalah perjuangan untuk sebuah kehidupan yang lebih bermakna di dunia dan juga di akhirat kelak.

Apatah lagi tanggungjawab kita bagi memastikan kelangsungan Generasi Hari Esok, maka mahu tidak mahu, suka tidak suka - WAJIB untuk kita berubah dan berusaha sedaya mungkin memperbaiki dan memperelokkannya ; bukan hanya dengan perasaan, bukan lagi hanya dengan perkataan, tetapi kini WAJIB BANGKIT merubahnya dengan TANGAN dan perbuatan! 18 Mac 2012 insya Allah pastikan kita semua menjadi penyumbang kepada suatu Kebangkitan Baru: WANITA SUARA PERUBAHAN!

Keyakinan kita, insya Allah, setiap perjuangan yang benar itu betapa ditekan tetap ia menjalar. Tanpa dibaja kan tetap ia mekar. Tanpa udara sekalipun kan tetap ianya segar. Medium dan seni perjuangan itu luas dakwahnya. Jangan sama sekali disempitkan sesempit aqal yang tumbesarannya bonsai dalam asuhan Regim!

Rumusan saya, cabaran yang menunggu golongan wanita sekarang terlalu banyak. Maka adunan kecekapan, kemahiran, kebijaksanaan, kesabaran dan kekentalan semangat hatta seni dalam kepimpinan itu kini suatu yang wajib dimiliki oleh setiap diri di kalangan kita para pejuang wanita yang insya Allah nantinya akan memastikan kita berjaya mengatasi setiap dugaan, ujian dan rintangan.

Tanpa segala keinsafan, kesedaran dan sifat-sifat ini, kita tidak mungkin upaya menjadi pencorak dan penentu Generasi yang lebih baik untuk negara serta masyarakat kita pada hari esok.

Bangkitlah Wahai Adik-Adikku Wanita-Wanita Muda.

Bangkitlah Wahai Seluruh Denyut Nadi Dan Srikandi Negara.

Jangan Biarkan Langkahmu Hanya Terhenti Di Rumah! Sungguh, Ummah Sedang Menanti Senimu Dalam Berdakwah. Segala Derita Dan Sengsara Mereka Mesti Disembuh, Mesti Dirawat Dengan Segala Hikmah Dan Fatanah. HIDUP KEBANGKITAN BARU!

Penulis ialah Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat.