11 Mei 2012

Kutip kaki, cebisan daging

19 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

PASIR MAS - Seorang adik sanggup mengutip cebisan daging dan kaki abangnya yang maut dalam kemalangan awal pagi kelmarin.

Kejadian di Kilometer 7, Taman Tengku Anis kira-kira jam 2 pagi itu menyebabkan mangsa, Mohammed Fahrizal Zulkifli, 19, maut di tempat kejadian sementara pemandu kereta, Azzman Mohamad, 38, mengalami kecederaan.

Adik mangsa, Mohd Farizman, 16, berkata, ketika kejadian, dia minum bersama rakannya di sebuah kedai tidak jauh dari tempat kejadian.

Menurutnya, sebaik menyedari berlakunya kemalangan, dia segera ke tempat kejadian dan tidak menyangka abangnya terlibat.

“Saya tidak tahu abang kemalangan, setelah melihat nombor pendaftaran motor baru yakin abang kemalangan. “Kaki abang putus, saya ambil kakinya yang berada tidak jauh dari badannya dan meletakkannya di situ dan turut mengutip cebisan daging di atas jalan,” katanya yang masih trauma dengan kejadian menimpa abangnya.

Mohd Farizman berkata, tindakan mengutip daging dan kakinya dilakukannya seolah-olah di luar sedar.

Menurutnya, selepas itu dia menjadi lemah.

Sementara itu, ibu mangsa, Norasyikin Mat Yaakob, 39, yang mengandungkan anak kelapan, tidak menyangka perubahan perangai arwah menjadi rapat dengan kesemua adik-adiknya merupakan petanda mereka sekeluarga akan kehilangannya.

Norasyikin berkata, anak sulung dari tujuh beradik itu selalunya rapat dengan anak kedua dan ketiganya sahaja.

“Kebiasaannya arwah tidak begitu, dia agak garang, tetapi menjadi mudah mesra dengan adik-adiknya,” katanya.

Norasyikin berkata, arwah juga turut menyuarakan hasrat mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihannya tetapi tidak memaklumkan namanya.
Menurutnya, dia yang merasakan arwah masih muda menasihatkannya supaya menangguhkan hasratnya itu|.

“Arwah juga memberitahu ayahnya supaya membelikan lori kerana dia hendak bekerja di rumah dan tidak mahu ke Kuala Lumpur, ”katanya.

Sementara itu, bapa mangsa Zulkifli Zakaria, 42, berkata, dua minggu sebelum meninggal dia melihat wajah anak sulungnya itu berseri-seri.

Menurutnya dia pasrah dengan ujian Allah yang mengambil anaknya dalam usia muda.

“Saya mewakili keluarga memohon maaf sekiranya arwah ada melakukan sebarang salah dan silap dan mohon dihalalkan segala-galanya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediaman orang tuanya di Serungga.

Mereka sekeluarga tidak pulang ke kediaman di PPRT berhampiran Taman Tengku Anis kerana banyak kenangan bersama arwah di rumah itu.

Jenazah selamat dikebumikan kira-kira jam 12 tengah hari di Tanah Perkuburan Islam Pulai, Repek, Pasir Mas.

Sinar Harian

Sindiket tiga serangkai tumpas

19 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SEPANG - Sindiket tiga serangkai, curi kenderaan, jual komponen dan dadah, yang berselindung di sebalik kuil di Jalan Meranti 9, Pulau Meranti, Putra Perdana di sini tumpas dalam serbuan, semalam.

Kumpulan ini menggunakan bangsal sebagai bengkel dan dibina antara dua kuil bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Dalam serbuan jam 12.30 tengah malam itu, tiga lelaki termasuk ketuanya, berumur lingkungan 30-an, diberkas ketika sedang berehat dalam bengkel tersebut.

Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Imran Abdul Rahman berkata, semasa serbuan, polis menemui 11 kenderaan disyaki curi antaranya, Kia Spectra, Naza Citra, Nissan Sunny, Mercedes Benz, Honda Accord dan Proton Wira.

Katanya, lima kenderaan itu didapati dicuri di Kajang, Sungai Way, Sunway dan Cheras.

“Sindiket menjadikan kawasan ini sebagai tempat menyembunyikan kenderaan curi dan kita percaya bengkel ini digunakan untuk meleraikan komponen kenderaan.

“Kumpulan ini juga disyaki terlibat sindiket dadah berdasarkan penemuan pil kuda, eramin-5, syabu dan alat penimbang,” katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas parang, kerambit, serangkai anak kunci, telefon bimbit, walkie-talkie, komputer riba dan topeng kulit.

Katanya, semakan mendapati, salah seorang suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau dan baru dibebaskan daripada tindakan Ordinan Darurat 1969 di Simpang Renggam, Johor.

Imran berkata, kumpulan­ ini dipercayai mempunyai hubungan dengan sindiket lain.

Menurutnya, suspek ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Sinar Harian

Pecah rumah: 4 warga Amerika Latin ditahan

19 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

LEDANG – Empat warga Amerika Latin ditahan polis di dua lokasi berbeza pada 14 April lalu, dipercayai terbabit dalam melakukan jenayah di beberapa lokasi di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, mereka terdiri daripada tiga warga Costa Rica dan seorang warga El Savador yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pecah rumah dan curi motosikal pada 13 April lalu.

Menurutnya, dua lelaki berusia 31 dan 26 tahun ditahan kira-kira jam 11.45 malam oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Pedas, Negeri Sembilan.

“Penahanan mereka ekoran menerima laporan berkaitan kehilangan sebuah motosikal jenis Modenas Kriss milik seorang wanita di rumahnya di Kampung Sialang, Tangkak.

“Dua lagi rakan mereka iaitu berusia 36 dan 46 tahun warga Costa Rica dan El Savador turut ditahan menerusi sekatan jalan raya dekat Jasin, Melaka, pada hari yang sama kerana terbabit dalam kegiatan pecah rumah di Taman Seri Tangkak, Tangkak pada 13 April lalu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, semalam.

Harun berkata, siasatan awal mendapati kesemua suspek menyewa rumah dan kereta di Kuala Lumpur, sebelum bergerak secara berasingan untuk melakukan jenayah di daerah ini.

“Ketika tangkapan, pihak polis berjaya menemui sebuah telefon bimbit berharga kira-kira RM1,500 yang disyaki dicuri daripada rumah mangsa," katanya.

Beliau berkata, pihaknya meminta kerjasama daripada orang awam supaya dapat menghubungi pihak polis sekiranya terlihat warga Amerika Latin dalam keadaan mencurigakan berada di kawasan kampung atau perumahan mereka.

Sementara itu, Harun meminta kerjasama orang ramai untuk memberikan maklumat mengenai seorang lelaki iaitu Shafri Abd Rahman yang memiliki kad pengenalan bernombor 801222-04-5459 dan beralamat di Paya Rambai, Melaka.

Shafri dikehendaki hadir ke Mahkamah Sesyen, Muar pada 14 Mei ini untuk menjadi saksi bagi satu kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sinar Harian

Suspek ragut telefon ditahan bersama teman wanita

19 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU - Pihak polis berjaya menahan seorang lelaki kerana disyaki meragut beg, di Kota Bharu, malam kelmarin.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaludin Abd Rahman berkata, suspek yang berusia 23 ditahan bersama teman wanitanya, yang berusia 18 tahun, di kedai makan, dekat Berek 12, Kota Bharu.

Menurutnya, mangsa ragut tidak mengalami sebarang kecederaan namun kerugian RM6,000 dan telefon bimbit pintar, Galaxy Note.“

Selepas disiasat, kita mendapati telefon bimbit berkenaan, berada di samping suspek, ketika ditahan.

“Suspek merupakan salah seorang ahli kumpulan Melek yang dibebaskan bulan lalu,” katanya, selepas Majlis Penutupan Latihan Tahunan Kor Kadet Polis Diraja Malaysia, peringkat Negeri di Kem Desa Mahmood, semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintendan Tengku Azman Tengku Abdullah; Penolong Pegawai Kokurikulum Jabatan Pelajaran Negeri, Ahmad Razukee Zulkifli dan Penolong Pegawai Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Pejabat Pelajaran Daerah Pasir Mas, Muhammad Afandi Yahya.

Pertandingan peringkat Negeri ini, dirangkul oleh ahli Kadet Polis Derah Pasir Mas, mengalahkan 9 pasukan daerah lain.

Pasukan yang terlibat adalah dari daerah Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Pasir Puteh, Machang, Bachok, Kuala Krai, Tumpat dan Gua Musang.

Pasukan kadet lelaki dan wanita masing-masing dianggotai oleh 20 ahli, dari seluruh PPD Pasir Mas, menjuarai pertandingan keseluruhan, mengalahkan pasukan dari sembilan daerah lain.

Pasukan Pasir Mas berjaya mengekalkan kejuaraan, selepas menang berjaya pada tahun lepas.

Sinar Harian

Rampas komputer bernilai RM350,000

19 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

LEDANG – Sepasukan polis di Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang berjaya melumpuhkan aktiviti perjudian yang melibatkan penggunaan komputer permainan video di sekitar daerah ini menerusi operasi bersepadu bersama Majlis Daerah Tangkak (MDT).

Operasi tiga hari yang berakhir pada 2 Mei lalu berjaya merampas kira-kira 170 komputer bernilai kira-kira RM350,000.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, rampasan itu hasil serbuan di lima premis kafe siber di lokasi yang berbeza setelah mendapati beroperasi tanpa lesen.

Menurutnya, kesemua komputer itu telah diubah suai kepada permainan berbentuk perjudian dan menawarkan perkhidmatan tersebut kepada pelanggan termasuk murid sekolah.

“Serbuan pertama dilakukan pada 30 April lalu, di sebuah premis dekat sini pada kira-kira jam 9.15 malam dan polis merampas 48 unit komputer dan peralatan lain, selain menahan penjaga premis berkenaan yang berusia 47 tahun.

“Serbuan kedua pada hari yang sama pada jam 11.15 malam di sebuah premis di Jalan Paya Mas, dekat sini, dan polis merampas 23 unit pemprosesan pusat (CPU), 23 konsol permainan video serta 21 monitor komputer,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, semalam.

Beliau berkata, dalam serbuan tersebut, pihaknya turut menahan seorang penjaga premis berkenaan berusia 25 tahun yang berasal dari Labis, Segamat untuk membantu siasatan.

“Kita meneruskan lagi operasi berkenaan pada 1 Mei lalu dengan melakukan pemeriksaan di sebuah kafe siber di Jalan Muar pada kira-kira jam 8 malam.

“Ia diikuti dua lagi premis pada 2 Mei lalu iaitu di Tangkak dan Sungai Mati, di sini,” katanya.

Sementara itu katanya, dua lelaki berusia 25 dan 26 tahun ditahan untuk membantu siasatan lanjut.

“Kami akan giat membuat pemeriksaan di setiap premis kafe siber di daerah ini untuk memastikan tiada premis yang menyediakan perkhidmatan perjudian kepada murid sekolah.

“Saya ingin menasihati pemilik premis supaya mendapatkan lesen perniagaan yang sah dan mematuhi peratusan sebelum menjalankan perniagaan kafe siber,” katanya.

Sinar Harian

Asrama sekolah terbakar

19 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

MATANG – Tiga murid nyaris maut apabila asrama yang mereka diami di Madrasah Tarbiah Islamiah, di sini terbakar, awal pagi semalam.

Pada kejadian kira-kira jam 1.50 pagi itu, tiga murid yang berumur 11 hingga 8 tahun dikatakan sedang tidur di tingkat dua bangunan asrama madrasah berkenaan.

Bagaimanapun, bencana tersebut disedari ketiga-tiga mereka apabila merasai bahang api sebelum bertindak menyelamatkan diri.

Guru besar madrasah berkenaan, Hafizul Azizi Abdul Rashid berkata, meskipun agak terkejut dengan insiden itu, pihaknya bersyukur kerana semua mangsa terselamat.

Menurutnya, bangunan asrama yang bernilai hampir RM50,000 itu siap dibina pada November 2010 untuk menempatkan murid lelaki.

“Bagaimanapun, hanya tiga murid berkenaan sahaja tinggal di asrama sementara 67 murid lagi termasuk perempuan yang belajar di madrasah itu tinggal di rumah masing-masing.

“Dua daripada murid berkenaan berusia 11 tahun dan seorang lagi 8 tahun, buat masa ini kita dimaklumkan mereka masih lagi trauma.

“Kini semua mangsa sudahpun dibawa pulang ke rumah keluarga masing-masing iaitu di Ipoh dan Bukit Gantang,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan penempatan baru bagi murid yang tinggal di asrama berkenaan.

Jelasnya, beliau harap selepas ini, semua kembali kepada keadaan asal dan murid berkenaan dapat belajar seperti biasa tanpa dihantui kejadian kebakaran itu.

Difahamkan, insiden itu adalah yang pertama kali berlaku sejak madrasah tersebut ditubuhkan iaitu 25 tahun lalu.

Sinar Harian juga dimaklumkan, ada individu terlihat api mula marak di bahagian dinding bangunan berkenaan sebelum menjerit meminta penghuni asrama keluar.


80 peratus bangunan terbakar

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Penolong Kanan Penguasa Bomba Hasna Rashid berkata, mereka menerima panggilan kecemasan pada jam 1.52 pagi dan sampai ke lokasi kejadian 15 minit kemudian.

Menurutnya, sebanyak tiga jentera dengan kekuatan 11 anggota bomba dikejarkan ke lokasi kebakaran.

“Api berjaya dikawal dalam masa tujuh minit, bagaimanapun kebakaran tersebut memusnahkan hampir 80 peratus bangunan asrama,” katanya.

Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan, manakala punca kejadian dan kerugian yang dialami masih lagi dalam siasatan.

Kepada sesiapa yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan kepada madrasah tersebut dengan menyalurkannya ke akaun Bank Islam 08040010007671 atas nama Madrasah Tarbiah Islamiah.

Sinar Harian

Tamparan hebat buat pengerusi SPR, timbalan

19 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

Penarikan balik Rang Undang-Undang Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2012 adalah bukti kukuh bahawa Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR tidak layak memegang jawatan masing-masing.

Rang undang-undang tersebut telah dibuat secara membuta-tuli. Jika tidak pasti ia akan disokong oleh ahli-ahli parlimen BN, juga secara membuta-tuli. Pengerusi dan timbalannya telah ‘buta dan tuli’. Ini adalah alasan kukuh untuk mereka melepaskan jawatan.

Saya benar-benar kagum dengan sikap Timbalan Pengerusi SPR. Dalam respons segera melalui media, dia berkata bahawa rang undang-undang itu telah dicadangkan dengan niat untuk memperbaiki sistem pilihan raya.

“SPR faham masalah-masalah yang dihadapi kerana kakitangan SPR tahu apa yang berlaku dan bagaimana untuk melaksanakan tugas. Jika tidak, pasti SPR tidak akan mencadangkan sesuatu yang boleh membawa kepada lebih masalah,” katanya, menegakkan benang basah. Beliau begitu kental dengan keegoannya.

Wahai pengerusi SPR dan timbalan, jika tidak mahu melepaskan jawatan, tolonglah transformasikan diri sendiri dan organisasi. Libatkanlah pihak-pihak yang berkepentingan apabila perlu.

Harakah Daily

Rakyat tidak akan memaafkan individu seperti Wan Ahmad.

19 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -
KENYATAAN MEDIA

Saya amat terkejut dengan kenyataan terkini Timbalan Pengerusi Pesuruhjaya Pilihanraya(SPR) , Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang dipetik berkata Pakatan Rakyat (PR) cuma berminat untuk mengutarakan isu yang berkepentingan politik, PR juga didakwanya tidak berminat untuk mendengar penjelasan SPR berkenaan isu pengurusan pilihanraya.

SPR sepatutnya berlaku adil dengan 'pelanggan' nya, bukannya menjaga kelangsungan nyawa BN sahaja, dakwaan ini sangat tidak berasas dan tidak benar kerana realitinya tuntutan-tuntutan yang telah dikemukakan adalah isu utama negara, tugas SPR yang dibayar gaji melalui cukai atau wang rakyat Malaysia adalah untuk memperbetulkan segala kepincangan yang ada dalam pengurusan sistem pilihanraya bukannya terus menerus menyalah Pakatan.

BERSIH memfokuskan isu 8 tuntutan kerana itulah induk ke arah pengurusan pilihanraya yang adil dan saksama, tiada kepentingan yang berunsur politik seperti yang didakwa SPR (Wan Ahmad).

SPR juga memberi respon yang tidak menggambarkan sikap profesional mereka sepertimana yang dipaparkan di laman sesawang JASA, ulasan di laman cuma menjelaskan empat dari lapan isu tuntutan BERSIH, empat perkara itu pun kita lihat telah dijawab dengan resolusi tidak 'selesai' dan berat sebelah.

Empat isu yang dijawab secara 'tidak selesai' tersebut adalah senarai pengundi berdaftar, undi pos, penggunaan dakwat hitam dan 21 hari berkempen, lebih mendukacitakan apabila empat isu lain yang dituntut SPR mengatakan ia cuma tuduhan politik semata.

Persoalannya tuduhan tersebut ditujukan kepada siapa? mengapa SPR yang beria-ia menjawab tuduhan seperti yang didakwa tersebut? kita boleh umpamakan respon ini seperti pengadil bola sepak yang memberikan sepakan penalti kepada pasukan pemain yang mengsari sepatutnya yang dikasari.

Rakyat pasti tidak akan memaafkan Bn dan SPR serta individu seperti Wan Ahmad yang bertindak secara aktif menjaga kepentingan demi kemenangan BN pada PRU kali ini yang disifatkan paling kotor dalam sejarah pilihanraya.

11 Mei 2012

Drs. Khalil Idham Lim
ADUN Titi Serong. Perak

Fatwa Bersih: PAS Pahang akan temui Mufti

19 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

TEMERLOH: PAS Pahang mengambil inisiatif akan bertemu dengan Mufti Pahang bagi berbincang tentang beberapa isu berikutan kenyataan Majlis Fatwa Kebangsaan baru-baru ini yang memutuskan perhimpunan Bersih 3.0 yang lalu sebagai haram.

Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata, pertemuan tersebut adalah ekoran saranan Mufti Pahang Datuk Abdul Rahman Osman yang mengeluarkan kenyataan bersedia berbincang dengan mana-mana pihak dalam soal fatwa.

Tuan Ibrahim yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat berkata, serentak dengan itu surat rasmi akan dihantar secepat mungkin bagi menemui Abdul Rahman yang juga merupakan Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan.

“PAS Pahang alu-alukan kesediaan mufti untuk berbincang dan cadangkan tarikh 21 Mei ini untuk pertemuan tersebut bagi menyahut saranan tuan mufti sendiri,” katanya selepas mesyuarat AJK Harian PAS Pahang di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Abdul Rahman yang disiarkan sebuah akhbar harian semalam yang menyarankan pembangkang datang berbincang jika tidak bersetuju dengan fatwa yang dikeluarkan jika tidak berpuas hati.

Menurutnya, setiap fatwa yang dikeluarkan berserta dengan dalil dan pihaknya bersedia berbincang dengan pembangkang mengenai fatwa demonstrasi membawa kepada kerosakan harta benda, kekecohan lebih-lebih lagi ia seolahj-olah mahu menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Dalam pada itu Tuan Ibrahim mengingatkan bahawa fatwa ialah bagi sesuatu yang belum ada hukum.

“Sedangkan pemimpin Islam sedunia Dr Yusuf Al-Qardhawi sudah ada fatwa tentang perhimpunan untuk menuntut keadilan diharuskan dalam Islam.

“Jadi saya fikir tidak perlu ada fatwa lain, sebab setiap fatwa mestilah selaras. Kalau begitu kenapa tidak dikeluarkan fatwa tentang rampasan kuasa di Perak dulu yang melibatkan taktik yang begitu keji sekali?,” soalnya.

Bagaimanapun Tuan Ibrahim tetap mengalu-alukan kesediaan Mufti Pahang untuk berbincang kerana Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini tidak langsung membuka ruang perbincangan sebelum mengeluarkan fatwa.

Pada 6 Mei lalu Muzakarah ke-99 Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia memutuskan haram untuk umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetuskan huru hara dan kekacauan dalam negara.

Pengerusinya Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata jawatankuasa memandang serius isu itu di mana sebahagian umat Islam telah bertindak sebagai perusuh jalanan dalam banyak perhimpunan atau demonstrasi termasuk seperti yang berlaku pada perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara 28 April lepas.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berharap Majlis Fatwa melihat apakah hukumnya dan tindakan yang perlu diambil terhadap orang yang menghukum seorang Islam keluar daripada agamanya.

Beliau merujuk kepada isu bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Noor yang menuduh Mursyirul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Azizi Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan, sebagai ‘bapa segala kafir’.

Harakah Daily

Umno "father of all evils'

19 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

POLITIK Malaysia semakin ganas dan kasar. Ayat-ayat lucah dan kurang ajar sentiasa dicanang media arus perdana, sama ada dalam bentuk cetak dan elektronik, termasuk laman facebook milik anggota Umno-Barisan Nasional.

Kata-kata nista dilemparkan terhadap pemimpin-pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat dengan sehodoh-hodoh ayat, antaranya 'father of kafir,' syaitan, iblis, anjing dan sebagainya.

Itu tidak termasuk dengan menyiarkan gambar-gambar lucah, menggunakan ibu kepada pemimpin Pakatan Rakyat untuk mencerca anak kandungnya sendiri menerusi tv dan akhbar, dengan niat dan tujuan yang amat jahat.

Apa sebab dan apa tujuannya, Umno dan media kawalannya begitu gemar memainkan politik kotor dengan kata-kata jijik sebegini rupa? Apa hasilnya yang mereka perolehi dengan membuat serangan yang bersifat terlalu peribadi kepada individu tertentu seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Anwar Ibrahim, Azmin Ali dan sebagainya?

Sebab yang utama ialah, mereka sudah termasuk dalam golongan bangsat politik, haprak dan tidak berani berhadapan dengan Pakatan Rakyat secara hujah akademik atau intelektual.

Kerja orang Umno, pemimpin Umno, NGO tajaan Umno, terutamanya media yang menjadi barua Umno, yang mereka tahu hanyalah memaki hamun dan melemparkan kata nista kepada pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat.

Isu kafir mengkafir bukan perkara baru. Sekarang mereka tuduh Tuan Guru Nik Aziz. Di Terengganu mereka memainkan polemik 'Amanat Haji Hadi', ucapan Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Banggol Peradong yang dibuat lebih 25 tahun yang lalu.

Kita ajak mereka dengan baik. Jomlah kita berdebat dalam isu kafir mengkafir ini. Mereka (Umno) takut. Okay, tidak perlu debat, kita ajak muzakarah isu kafir mengkafir, juga Umno mengelak.

Kalau pemimpin Umno takut, kita jemput mana-mana mufti, alim ulama yang pro-kerajaan, mari sama-sama kita bermuzakarah dalam isu ini dengan semangat Islam, berlandaskan panduan al-Quran dan hadis, juga mereka tidak berani. Sudah berpuluh tahun kita menunggu Umno, berdebat atau bermuzakarah atau berbincang dalam isu kafir mengkafir, malangnya tiada 'seekor' pun yang berani menjadi 'anak jantan'.

Malah dalam isu kenegaraan, politik dan ekonomi, Ketua Pembangkang berkali-kali mengajak Perdana Menteri berdebat, juga dia tidak berani dengan macam-macam alasan.

Yang mereka berani hanyalah memaki hamun dan mencerca dalam media, laman sesawang dan sebagainya. Yang mereka guna untuk memaki hamun, adalah golongan 'parashit' bekas-bekas pemimpin KeADILan serta mantan PM yang di bawah kepimpinannya, Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor membelasah Anwar dalam keadaan bergari dalam sel polis.

Selepas tersiar gambar Anwar lebam mata, mantan PM yang tidak sedar diri itu mengeluarkan kenyataan, yang disiarkan, diulangi dalam media pencacai Umno-BN, bahawa Anwar mencederakan dirinya sendiri kerana hendak mencari simpati politik.

Bila dibuat inkuiri dan jelas didapati Rahim Noor bersalah memukul Anwar, mantan PM dan media yang celupar itu, tidak sesekali mahu memohon maaf, malah membebaskan samseng yang berjawatan Ketua Polis Negara dari sebarang pertuduhan.

Ini sebahagian daripada bukti bahawa mereka tiada hujah. Mereka dangkal dan tidak rasional sama sekali. Rasional atau tidak sesuatu isu, bukan menjadi kepedulian mereka. Yang penting bagi Umno, mereka berasa amat puas dengan terhamburnya kata-kata nista dan cercaan dari mulut mereka.

Tidak cukup dengan mendedahkan keburukan individu, media pro Umno menggunakan ibu Azmin iaitu Che Tom Yahaya, dengan linangan air mata mencerca anak sendiri dengan mendakwa anaknya itu sudah derhaka.

Pada saya bukan soal membela Azmin atau sesiapa di sini. Isunya, jika kita letak diri kita sebagai ibu bapa, sejahat mana atau senakal mana, anak kita pun, adakah kita sebagai ibu, tergamak untuk memaki anak kita di hadapan orang ramai?

Jika kita letak pula kedudukan kita dalam kedudukan Azmin pula. Anak manalah yang tidak terasa, tidak kecewa dengan ibunya, apabila sejak tahun 1999, ketika beliau bertanding di dalam kerusi Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang, ibunya sudah digunakan di pentas ceramah BN untuk menyerang beliau.

Isu yang dibawa Umi Hafilda, menyerang abangnya bermula sejak Anwar dijatuhkan pada 1998. Ini bukan isu baru. Ia sudah berlalu 14 tahun yang lampau. Jika isu hubungan Anwar-Azmin-Shamsidar Taharin (isteri Azmin) ini benar dan diterima rakyat, sudah nama Anwar dan Azmin pupus dalam politik negara.

Nasihat kita, jika Umi Hafida dan Che Tom atau anak-beranak mereka pandai menjaga maruah, mereka tidak harus sesekali mendedahkan apa jua yang perkara yang disifatkan sebagai aib keluarga, kepada seluruh dunia. Malulah sikit.

Malah, tidak perlu juga penubuhan pelbagai NGO cabuk, yang kemudian ini dinamakan Kelab TIBAI (Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim) yang ditaja bekas-bekas KeADILan.

Dengan perasaan tidak tahu malu, mereka menamakan pemimpin mereka sebagai Mursyidul Am. Suatu jawatan mulia yang digunakan dalam gerakan Islam dari Semenanjung Arab sehingga seluruh dunia.

Layakkah Zahid Mat Arip yang bacaan al-fatihahnya tidak berapa kemas, menjawat jawatan Mursyidul Am? Usahlah Zahid, buat malu pada Pak Lang Tamrin Ghafar sahaja.

Mereka tidak ada kerja selain memaki Anwar, KeADILan dan Pakatan Rakyat. Mereka buat pelbagai gimik, dengan tampungan dana daripada Umno, dengan sokongan media pro Umno, semata-mata untuk menyuburkan politik kebencian terhadap seorang individu atau organisasi.

NGO cabuk ini hanya 'serve to the only one evil master'. NGO dan segala politik cabuk tajaan Umno ini tidak harus dibalas dengan kata-kata yang baik. Hari ini mereka membuat pelbagai onar, malangnya hanya menjadi bahan gelak ketawa rakyat.

Rakyat ketawa kepada mereka kerana mereka memang grup cibai. Cibai bukan kata mencarut. Cibai diguna untuk membalas kumpulan Tibai. Mereka yang menamakan diri sebagai Kelab TIBAI ini hanya layak digelar CIBAI (Cemburu Individu Bernama Anwar Ibrahim). Hahaha...

Harakah Daily

Kajian BN menang di Perak: PAS ambil sikap positif

19 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PAS Perak mengambil pendekatan positif terhadap hasil kajian yang dibuat oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) yang menyebut BN akan menang di negeri itu dalam pilihan raya umum ke 13 nanti.

Pesuruhjaya PAS Perak, Abu Bakar Hussin berkata, beliau menghormati kajian yang dibuat oleh UMCEDEL walaupun ia memberi hasil negatif kepada Pakatan Rakyat Perak.

"Banyak kajian yang dibuat baik Merdeka Centre atau UMCEDEL dan sebagainya malah hasil kajian itu ada positif dan negatif terhadap Pakatan Perak.

"Apa yang harus kita buat dalam keadaan genting ini, dari semasa ke semasa kita menyusun strategi untuk mencapai kemenangan," katanya kepada Harakadaily.

Apa yang lebih penting, katanya buat persiapan dalam semua keadaan tanpa dipengaruhi oleh sentimen kajian walaupun dalam masa yang sama kajian juga boleh membantu.

"Saya nasihatkan teruskan bertugas untuk perkasakan jentera parti, turun padang, susun strategi, beri kefahaman kepada rakyat.

"Sekarang ini kita sedang berusaha untuk menangkis semula fitnah Umno yang tidak masuk akal, kalau tidak dijelaskan nanti rakyat percaya," katanya.

Beliau yakin Pakatan rakyat Perak akan memberi perkhidmatan yang terbaik dengan menterjemahkan Buku Jingga yang yang ditawarkan jika diberi mandat dalam pilihan raya nanti.

UMCEDEL mendapati, BN mendahului PAS dalam perebutan kepercayaan rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

Dalam kajian itu, UMCEDEL mendapati, 36 peratus Melayu menyokong BN dan 34 hanya 30 peratus Melayu yang menyokong Pakatan dan 34 peratus lagi tidak pasti.

Untuk orang Cina pula, kajian itu mendapati 35 peratus menyokong BN, Pakatan Rakyat (30 peratus) dan tidak pasti (35 peratus).

67 peratus India pula menyokong BN, hanya lima peratus menyokong Pakatan dan 28 peratus tidak pasti.

Bagi Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin kajian itu tidak berpijak dibumi nyata.

Malah katanya, daripada kajian dalaman yang dijalankan Pakatan Rakyat Perak sendiri menunjukkan keputusan yang diperolehi memihak kepada Pakatan Rakyat.

"Saya tidak hirau apa yang dibuat oleh UM, sebab kajian yang kita buat sendiri memihak kepada Pakatan Rakyat, kajian UM ini bagi saya adalah tidak berpijak di bumi yang nyata," katanya.

Bagaimanapun katanya, Pakatan Rakyat Perak sentiasa mengambil langkah bersiap sedia dan memperkemaskinikan jentera pilihan raya dengan program yang berlipat kali ganda lebih-lebih lagi waktu ini.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Perak Asmuni Awi berpendapat kajian yang dibuat perlu merangkumi pelbagai aspek dari sudut faktor ekonomi, latar belakang responden, lokaliti, dan banyak lagi.

"Faktor-faktor itu memainkan peranan dalam satu-satu kajian barulah boleh buat keputusan,"katanya.

Malah katanya, akhir-akhir ini sokongan bangsa Cina kepada Pakatan Rakyat amat ketara apatah lagi selepas berlakunya Bersih 3.0, tetapi beliau akui kemerosotan sokongan India tetapi tidak ketara.

Bagaimanapun, katanya, minimum 40 peratus sokongan India kepada Pakatan Rakyat Perak sudah memadai untuk mendapat balik kerajaan.

"Begitu juga undi Melayu, 45 peratus sudah cukup memadai untuk kita menang," katanya.

Namun, katanya jentera pilihan raya yang kuat adalah senjata utama bagi sesebuah parti untuk menang dalam pilihan raya.

"Dari semasa ke semasa kita sentiasa memberi semangat dan memperkuatkan jentera pilihan raya kita, agar ia memberi kemenangan kepada Pakatan Rakyat dalam PRU nanti," katanya.

Harakah Daily

Harakah tidak sebut Umno Selangor

19 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Mahkamah diberitahu, berita yang dilaporkan Harakah berhubung siasatan Jais ke atas gereja DUMC bukan dinyatakan Umno Selangor.

Namun begitu persoalan timbul kenapa Umno Selangor terasa berita itu ditujukan kepada mereka sehingga menyebabkan Umno Selangor menyaman pemimpin PAS dan Harakah.

Perkara ini dibangkitkan oleh peguam Mohamed Hanipa Maidin ketika menyoalbalas saksi pihak plaintif iaitu Setiausaha Perhubungan Umno Selangor, Datuk Datuk Seri Mohd Zin Mohamed.

Umno Selangor menyaman Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Harakah ekoran laporan yang mendakwa Umno di belakang siasatan Jais ke atas gereja itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Ahmad Zaki Husin bertindak sebagai hakim.

Mahkamah Tinggi yang bersambung semula perbicaraan pada jam 3.45 petang tadi mendengar keterangan plantif, Setiausaha Perhubungan Umno Selangor, Ir Datuk Seri Mohd Zin Mohamed.

Ketika sesi soal jawab, peguam Mohamed Hanipa Maidin memulakan pertanyaan dengan menyoal Mohd Zin bahawa di dalam artikel yang dikeluarkan Harakah itu tidak menyebut langsung perkataan Umno Selangor.

Mohd Zin yang bersetuju dengan apa yang ditanyakan itu namun tetap berkeras untuk menerangkan maksud perkataan 'Umno' di dalam artikel tersebut merujuk kepada Umno Selangor.

Tambah Hanipa lagi, dalam artikel tersebut secara jelas hanya menyebut Umno sahaja tanpa melibatkan perkataan Umno Selangor, beliau sendiri tidak pasti atas dasar apakah plantif merujuk perkataan tersebut ditujukan kepada Umno Selangor.

Dalam pertanyaan yang lain, Hanipa turut menimbulkan persoalan bagaimana plantif, Mohd Zin boleh mengemukakan saman tersebut sedangkan pada masa pendaftaran pertubuhan Umno dibuat telah diletakkan nama seorang individu yang merupakan kakitangan awam yang boleh menyaman.

Jelasnya, sepatutnya saman itu dikemukakan oleh individu tersebut.

Selain pertanyaan tersebut, beberapa perkara dibangkitkan termasuk juga dengan pertubuhan Umno yang pernah diharamkan sebelum ini.

Hakim menetapkan perbicaraan kes saman RM10juta yang difailkan oleh Umno Selangor terhadap beberapa pemimpin tertinggi dan Harakah disambung esok 11 Mei jam 10 pagi.

Mahkamah akan menampilkan beberapa saksi dari pihak plantif termasuk dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan juga pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Pagi tadi, wartawan Harakah dari Terengganu, Khairul Azlam Mohamad dipanggil sebagai saksi.

Harakah Daily

‘Pembunuh gergasi’ ikrar perang!

19 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

PERTEMBUNGAN panas hari ini di antara Sime Darby menentang Pahang pasti dinantikan peminat bola sepak tanah air yang bersaing hebat dalam Liga Perdana.

Bagaikan perlawanan kalah mati, Sime Darby enggan keciciran mata dan mahu memanfaatkan setiap genap peluang untuk mengubah nasib pasukan yang kini menduduki tangga ketiga Liga Perdana di belakang anak buah kendalian Dollah Salleh.

Bukan mahu mendabik dada, jurulatih Ismail Zakaria menyifatkan perlawanan tersebut sebagai turning point untuk pasukan sama ada berpeluang bergelar juara atau tempat kedua bagi memastikan misi ke Liga Super musim depan tercapai.

“Pemain perlu berjuang habis-habisan dan memastikan kemenangan kerana dua pasukan teratas liga termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah penghalang utama kami di liga,” katanya yang mengakui persiapan rapi dilakukan untuk perlawanan hari ini dan bertemu ATM pada 14 Mei ini.

Mengakui tertekan dengan gelaran ‘pembunuh gergasi’, beliau mahu pemain melupakan seketika saingan akhir Piala FA dan menumpukan fokus terhadap Liga Perdana bagi memburu tempat ke lebih tinggi.

“Bebanan makin dirasai apabila ramai pihak mula menaruh kepercayaan dan mengharapkan kemenangan, sebab itu kami lebih selesa dengan status pasukan underdog,” katanya.

Bakal menurunkan Patrick Ronaldinho untuk mengetuai jentera serangan yang bergandingan dengan Yusof Zainal Abidin, beliau yakin barisan penyudahnya mampu kembali ke landasan sebenar untuk mengggugat benteng pertahanan Pahang.

Sinar Harian

Loji meletup, seorang maut

19 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KEMAMAN – Seorang pekerja kontrak maut dan sembilan cedera dalam letupan di pusat pemprosesan gas di Loji Pemprosesan Gas (GPP) dalam kawasan Kompleks A milik Petronas di sini, semalam.

Pekerja itu, Rosli Mansor, 31, asal Dungun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat melecur hampir separuh badan dalam kejadian­ kira-kira jam 3 petang itu.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat.

Sinar Harian difahamkan, semasa letupan pekerja terbabit tercampak terkena saluran paip gas menyebabkan kecederaan teruk dan badan terbakar.

Sementara dua mangsa yang cedera, Mohd Zamri Mohd Nor, 24, dan Khairul Amir Mohd Sidi, 23, dari Dungun dihantar untuk mendapatkan rawatan lanjut masing-masing di Hospital Dungun dan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Tujuh lagi pekerja, identitinya masih tidak dikenal pasti, dikejar ke Klinik Kompleks Industri Petroliam Kerteh untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, kesemua mangsa cedera ringan dibenarkan pulang.

Pelantar setinggi 5 meter runtuh

Sejurus kejadian berlaku, pelantar berketinggian kira-kira lima meter tempat pekerja terbabit melakukan kerja-kerja penyelenggaraan­ runtuh.

Adun Kemasik, Ir Rosli Othman melawat mangsa di Klinik Kompleks Industri Petroliam Kerteh jam 6.45 petang. Namun usaha wakil media masuk ke pekarangan klinik gagal.

Rosli yang ditemui di luar klinik kesal dengan kejadian berkenaan berharap Petronas lebih hati-hati dalam memilih sub kontraktor yang mahu diserahkan projek.

“Petronas patut memilih syarikat sub kontraktor yang benar-benar layak kerana kita tidak mahu kejadian seperti ini berulang,” katanya.

Lihat mangsa ‘terbang’

Letupan kuat menggemparkan 2,000 pekerja yang berada di lokasi ketika kejadian berlaku.

Salah seorang saksi kejadian, Demi Ismail, 50, berkata, dia terdengar satu letupan kuat diikuti asap tebal dan kelihatan api menjulang setinggi kira-kira 6 meter.

“Selepas itu saya melihat, salah seorang pekerja ‘terbang’ lalu tercampak ke dalam longkang berhampiran, saya dan beberapa rakan bergegas ke longkang itu serta cuba menyelamatkannya.

“Saya dapati muka dan tangannya melecur,” katanya.

Demi berkata, dia turut mendapati beberapa rakannya cedera dan tidak lama kemudian sekumpulan­ anggota unit penyelamat serta pegawai perubatan syarikat tiba di tempat kejadian.

“Kami diarah berkumpul di kawasan lapang manakala mangsa cedera diberi rawatan serta-merta. Beberapa rakan saya yang cedera dihantar ke Klinik Kesihatan Paka, Klinik Kesihatan Kerteh, Hospital Dungun untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

“Khairul Amir dimasukkan ke Hospital Dungun kerana mengalami sesak nafas. Mohd Zamri Fithri, melecur di bahagian tangan dan kaki manakala, Ahmad Qamarul Mat Yusof, 22, dari Taman Murni Perdana, Paka hanya cedera ringan di kaki dan dibenarkan keluar hospital selepas menerima rawatan,” katanya.

Saya sesak nafas

“Ketika sedang bekerja, tiba-tiba saya terdengar letupan kuat diikuti dengan asap tebal dan api yang menjulang tinggi,” kata Khairul Amir Mohd Sidi, salah seorang mangsa yang terselamat.

Khairul yang bekerja sebagai sebagai pembantu instrumen di syarikat kontraktor di kawasan pemprosesan gas sejak dua bulan lalu berkata, kejadian letupan itu berlaku pada jarak 200 meter dari tempatnya bekerja.

Menurutnya, selepas letupan, dia menyedari ada sesuatu tidak kena di lokasi terbabit lalu bergegas ke kawasan perhimpunan bersama rakan sekerja yang lain.

“Saya cuba menyelamatkan diri dengan berlari ke kawasan lapang kerana bimbang mungkin ada lagi kejadian sama seperti itu.

“Tidak lama kemudian saya rasa sesak nafas. Saya diberi rawatan kecemasan sebelum dibawa ke hospital,” kata Khairul.

Khairul dipercayai terhidu asap kini dirawat di Hospital Dungun dan keadaannya dilaporkan stabil.

Pada 6 April lalu, Sinar Harian menyiarkan kejadian gas bocor dipercayai ammonia di loji memproses gas Petronas di Kerteh, Kemaman.

Kejadian yang berlaku pada jam 8.30 malam itu mengakibatkan 22 pekerja mengalami sesak nafas teruk dan dihantar ke Hospital Dungun manakala seorang lagi dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan­ lanjut.

Sinar Harian

Tamparan hebat buat pengerusi SPR, timbalan

19 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

Penarikan balik Rang Undang-Undang Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2012 adalah bukti kukuh bahawa Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR tidak layak memegang jawatan masing-masing.

Rang undang-undang tersebut telah dibuat secara membuta-tuli. Jika tidak pasti ia akan disokong oleh ahli-ahli parlimen BN, juga secara membuta-tuli. Pengerusi dan timbalannya telah ‘buta dan tuli’. Ini adalah alasan kukuh untuk mereka melepaskan jawatan.

Saya benar-benar kagum dengan sikap Timbalan Pengerusi SPR. Dalam respons segera melalui media, dia berkata bahawa rang undang-undang itu telah dicadangkan dengan niat untuk memperbaiki sistem pilihan raya.

“SPR faham masalah-masalah yang dihadapi kerana kakitangan SPR tahu apa yang berlaku dan bagaimana untuk melaksanakan tugas. Jika tidak, pasti SPR tidak akan mencadangkan sesuatu yang boleh membawa kepada lebih masalah,” katanya, menegakkan benang basah. Beliau begitu kental dengan keegoannya.

Wahai pengerusi SPR dan timbalan, jika tidak mahu melepaskan jawatan, tolonglah transformasikan diri sendiri dan organisasi. Libatkanlah pihak-pihak yang berkepentingan apabila perlu.

harakahdaily/-