11 Mei 2012

Rampas komputer bernilai RM350,000

19 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

LEDANG – Sepasukan polis di Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang berjaya melumpuhkan aktiviti perjudian yang melibatkan penggunaan komputer permainan video di sekitar daerah ini menerusi operasi bersepadu bersama Majlis Daerah Tangkak (MDT).

Operasi tiga hari yang berakhir pada 2 Mei lalu berjaya merampas kira-kira 170 komputer bernilai kira-kira RM350,000.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, rampasan itu hasil serbuan di lima premis kafe siber di lokasi yang berbeza setelah mendapati beroperasi tanpa lesen.

Menurutnya, kesemua komputer itu telah diubah suai kepada permainan berbentuk perjudian dan menawarkan perkhidmatan tersebut kepada pelanggan termasuk murid sekolah.

“Serbuan pertama dilakukan pada 30 April lalu, di sebuah premis dekat sini pada kira-kira jam 9.15 malam dan polis merampas 48 unit komputer dan peralatan lain, selain menahan penjaga premis berkenaan yang berusia 47 tahun.

“Serbuan kedua pada hari yang sama pada jam 11.15 malam di sebuah premis di Jalan Paya Mas, dekat sini, dan polis merampas 23 unit pemprosesan pusat (CPU), 23 konsol permainan video serta 21 monitor komputer,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, semalam.

Beliau berkata, dalam serbuan tersebut, pihaknya turut menahan seorang penjaga premis berkenaan berusia 25 tahun yang berasal dari Labis, Segamat untuk membantu siasatan.

“Kita meneruskan lagi operasi berkenaan pada 1 Mei lalu dengan melakukan pemeriksaan di sebuah kafe siber di Jalan Muar pada kira-kira jam 8 malam.

“Ia diikuti dua lagi premis pada 2 Mei lalu iaitu di Tangkak dan Sungai Mati, di sini,” katanya.

Sementara itu katanya, dua lelaki berusia 25 dan 26 tahun ditahan untuk membantu siasatan lanjut.

“Kami akan giat membuat pemeriksaan di setiap premis kafe siber di daerah ini untuk memastikan tiada premis yang menyediakan perkhidmatan perjudian kepada murid sekolah.

“Saya ingin menasihati pemilik premis supaya mendapatkan lesen perniagaan yang sah dan mematuhi peratusan sebelum menjalankan perniagaan kafe siber,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: