11 Mei 2012

Bersih 3.0: Biar Suhakam siasat keganasan polis

19 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 11 Mei: Siasatan keganasan polis pada himpunan Bersih 3.0 perlu disegerakan untuk memberikan gambaran sebenar kepada masyarakat yang keliru dengan laporan yang disiarkan oleh media arus perdana dan media alternatif di alam maya.

Justeru, Intelek Malaysia (IM) mengalu-alukan tindakan kerajaan yang proaktif untuk menubuhkan satu panel bebas untuk menyiasat tindakan ganas pihak polis dalam satu himpunan awam yang dikendalikan oleh jawatankuasa Bersih 3.0 yang bertujuan untuk memperjuangkan pilihan raya yang bebas dan adil.

“Sudah pasti ia dapat memberikan ruang yang lebih adil kepada semua pihak yang terlibat dalam perhimpunan ini untuk disiasat kerana setiap hari media berterusan memberikan laporan satu hala sahaja,” kata presidennya, Khairul Faizi Ahmad Kamil dalam satu kenyataan.

Namun, ujarnya IM merasa sangsi dengan penubuhan badan bebas tersebut yang bakal dilihat 'tidak bebas' di atas perlantikan bekas ketua polis negara Tun Haniff Omar untuk mengetuai panel bebas tersebut dan menidakkan peranan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Ia, jelasnya berpandukan kepada beberapa perkara, antaranya Hanif telah memberikan signal awal terhadap perhimpunan itu dengan meletakkan syak wasangka bahawa golongan pro-komunis yang terbabit dalam demonstrasi pada tahun 1970-an dilihat dalam perhimpunan Bersih 3.0.

“Beliau yang mungkin mempunyai daya ingatan yang tajam dapat mengecam golongan pro-komunis ini daripada gambar-gambar dan imej yang disiarkan dalam media massa.

Tambahnya, Hanif adalah bekas Ketua Polis negara yang mana insiden yang ingin disiasat adalah berkaitan dengan keganasan polis yang akan memberikan ruang tidak seimbang untuk beliau menentukan keputusan yang melibatkan kelompok pegawai polis tersebut.

Justeru, ujar beliau IM mencadangkan beberapa perkara untuk dipertimbangkan iaitu memberikan amanah itu kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang berkemampuan untuk mengendalikan kes tersebut.

Menurutnya, Suhakam mempunyai kepakaran dalam bidang yang melibatkan hak asasi manusia yang diperakui 'track record' Suhakam yang bertindak secara telus dan adil.

“Siasatan tersebut diadakan secara terbuka dengan melibatkan semua pihak termasuk wakil daripada penggerak Bersih, Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan mereka yang disebut sebagai mangsa keganasan polis dalam himpunan tersebut,” ujarnya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: