06 Jun 2012

Tradisi bunuh ikan paus

16 Rejab 1433H. [MOD] -

BEBERAPA penduduk menangkap sebelum membunuh ikan paus pilot dekat Sandur semalam.

SANDUR, Pulau Sandoy - Penduduk di Kepulauan Faroe, Denmark menangkap dan membunuh sejumlah ikan paus pilot dekat sini semalam.

Memakan daging ikan itu merupakan warisan penduduk di pulau ini yang merupakan keturunan pelaut Viking.

Namun, setiap daging haiwan itu tidak dibenarkan dijual dan ia hanya diedarkan dalam kalangan penduduk tempatan. - REUTERS

Operasi kafe siber kaburi kegiatan judi haram

16 Rejab 1433H. [MOD] -

KUANTAN – Pelbagai langkah diambil pihak berkuasa untuk membanteras kegiatan judi haram yang kebanyakannya berselindung di sebalik pusat kafe siber.

Bukan sahaja sukar dibendung, malah ada pusat judi tidak pernah serik untuk meneruskan kegiatan mereka dengan mengaburi mata umum serta pihak berkuasa menggunakan taktik tersendiri.

Kegiatan judi menyebabkan pelbagai masalah termasuk pergolakan rumah tangga seperti dihadapi seorang wanita yang membuat aduan kepada Sinar Harian mengenai sifat suaminya yang ketagih judi.

Sehubungan itu, Sinar Harian cuba menjejaki kewujudan pusat judi dimaksudkan di Jalan Air Putih, di sini.

Pemerhatian di sekitar bangunan dimaksudkan mendapati kafe siber itu berada di lokasi strategik dan terbuka, namun menimbulkan tanda-tanya berikutan masih lengang pada jam 10 pagi.

Berdasarkan tinjauan, seorang pekerja yang bertugas berhampiran kafe siber itu menyatakan ia dijadikan premis perjudian dan hanya beroperasi pada sebelah petang.

Menurutnya, walaupun bangunan itu seolah-olah tutup, tetapi sebenarnya pelanggan hanya dibenarkan masuk menggunakan pintu belakang premis.

“Bangunan itu menjadi tempat perjudian, tetapi cuba berselindung di sebalik kafe siber. Bermula jam 4 petang, bangunan itu mula aktif. Tetapi agak mencurigakan kerana pelanggan masuk secara sembunyi melalui pintu belakang,” katanya kepada Sinar Harian.

Dia berkata, pusat judi itu bukan hanya satu bangunan kerana terdapat sebuah lagi premis turut menjalankan operasi sama.

“Banyak kali pusat judi ini diserbu, tetapi mereka tidak takut dan tetap beroperasi semula. Tidak jauh dari bangunan itu, terdapat satu lagi tempat perjudian. Masalah ini bukan perkara baru,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, polis memandang serius mengenai kegiatan itu yang menjadi penyumbang kepada peningkatan kes jenayah termasuk pecah rumah dan sebagainya.

Menurutnya, dalam tempoh Mac hingga Mei tahun ini, sebanyak 113 serbuan dilakukan ke atas pusat siber berlesen dan haram sekitar bandar ini, manakala sebanyak 1,191 set komputer dianggarkan bernilai RM1.1 juta berjaya dirampas.

“Polis kesal kerana kebanyakan premis lakukan kesalahan berulang kali, malah pernah juga dikenakan tindakan sebelum ini," katanya.

Menurutnya, dalang kegiatan itu agak licik apabila menggunakan pelbagai taktik untuk melindungi operasi mereka termasuk penggunaan khidmat tonto, pengawasan kamera litar tertutup dan sebagainya.

Mohd Jasmani berkata, semua premis terbabit dikenakan pelbagai tindakan termasuk rampasan komputer, pembatalan lesen, pemotongan bekalan elektrik dan air, manakala penjaga pula dikenakan tindakan di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi terbuka 1960.

Sinar Harian

Euro 2012: Situasi Itali kritikal

16 Rejab 1433H. [MOD] -

ITALI mungkin terpaksa melupakan khidmat Andrea Barzagli pada perlawanan pertama peringkat kumpulan selepas doktor pasukan mendedahkan pemain itu memerlukan lebih banyak masa untuk pulih.

Jika situasinya bertambah buruk impian pertahanan Juventus itu beraksi di Euro, musnah sama sekali.

Barzagli mengalami ketegangan otot ketika diturunkan pada perlawanan persahabatan menentang Rusia minggu lalu yang berkesudahan Itali tewas 0-3.

Pada masa sama, pasukan perubatan Itali memberitahu Mario Balotelli turut cedera, namun enggan mendedahkan keadaan sebenar penyerang itu.

Balotelli gagal melengkapkan sesi latihannya kelmarin dan khabar angin mengatakan bintang Manchester City itu mengalami kecederaan lutut atau betis.

"Kami akan cuba sedaya upaya untuk memastikan Barzagli cergas. Kami optimis dia mampu beraksi sekurang-kurangnya pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan," kata doktor pasukan, Enrico Castellacci.

Itali diundi dalam Kumpulan B akan menentang juara bertahan Sepanyol 10 Jun ini disusuli Croatia (14 Jun) dan Republik Ireland (19 Jun).

Sinar Harian

Rajagobal mahu tebus kecewa Jumaat ini

16 Rejab 1433H. [MOD] -

PENGENDALI skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal dan Kapten Safiq Rahim optimis dengan prestasi Harimau Malaya dan mahu melancarkan misi menebus kekecewaan apabila bertemu Singapura pada perlawanan persahabatan antarabangsa kedua di Stadium Jalan Besar Jumaat ini.

"Kita kena turun bermain dengan mentaliti untuk menang," kata beliau.

Tambah beliau, "apabila kita bermain dengan Singapura kali ini adalah berbeza dari segi tradisinya dikatakan perlawanan 'derby' dan boleh dikatakan satu permainan yang menarik."

Sehubungan itu katanya, para penyokong mungkin tidak sabar untuk melihat perlawanan ini.

"Kita akan pergi ke Singapura untuk mendapat keputusan yang baik," jelas beliau sambil menambah, "ia pasti menjadi satu suasana yang berbeza," katanya lagi.

Beliau mengakui bahawa moral pemain setakat ini berada dalam keadaan baik selepas perlawanan dengan Filipina di Shah Alam Jumaat lepas.

Beliau ditemui pada sesi latihan skuad Harimau Malaya di Kelana Jaya semalam.

Pasukan Malaysia gagal layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2014. Ia tewas 5-3 di Stadium Jalan Besar, Singapura manakala seri 1-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil menyaksikan Singapura layak dengan agregat 6-4.

Beliau juga tidak risau dengan prestasi Safee Sali kerana masih belum menjaringkan gol setakat ini.

"Saya tidak risau dengan prestasi Safee. Dia adalah seorang pemain profesional untuk menghadapi situasi sedemikian.

"Bagi seorang pemain dan penyerang, dia akan melalui proses itu. Saya fikir dia akan bersedia apabila bermain dalam Piala AFF Suzuki nanti. Itulah yang amat penting untuk saya sebagai jurulatih," katanya lagi.

Bagaimanapun Rajagobal mengakui bahawa beliau mahu Safee kembali ke tahap di mana bermain dengan baik pada perlawanan persahabatan dan menjaringkan gol dalam setiap perlawanan.

"Biar dia melalui proses ini untuk dia sedar, marah kepada diri sendiri untuk menjadi pemain lebih baik.

"Kita tahu mentaliti dan karakter Safee dan saya tidak risau. Bukan sahaja Safee malah pemain lain. Saya kenal pemain ini kerana dalam situasi yang lebih teruk daripada ini dalam Sukan Sea 2009 dan Piala Suzuki AFF dia telah menunjukkan komitmen dan karakter," jelas beliau.

Sementara itu, Safiq menggesa rakan-rakan sepasukan supaya menghasilkan keputusan yang positif.

"Saya dan rakan sepasukan berjanji akan menampilkan persembahan terbaik menentang Singapura pada 8 dan 12 Jun ini. Kami mahu menebus kekecewaan lalu dan tidak akan mengulangi kesilapan itu lagi,'' jelasnya kepada pemberita.

Harimau Malaya akan berlepas ke Singapura hari ini.

Sinar Harian

Himpunan Bersih haram, Himpunan Belia bagaimana

16 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyokong keputusan Majlis Syura Ulamak PAS yang menolak pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan yang berpandangan negatif pada perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

“Bagi DPPM, pendirian Majlis Syura Ulamak PAS adalah jelas iaitu perhimpunan ini adalah sebahagian daripada usaha mencegah kemungkaran dan kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah dalam negara ini,” kata Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor (gambar).

Tambahan lagi, ujarnya tidak ada insiden pelanggaran syariat dalam perhimpunan yang dianjurkan itu.

Katanya, peserta perhimpunan yang hadir tempoh hari amat beradab dan menjaga tatasusila semasa majlis perhimpunan.

Menurutnya, mereka semuanya sepakat menyatakan sistem pilihanraya di Malaysia masih kotor dan dipenuhi dengan unsur penipuan.

“Mereka tidak rela membiarkan kemungkaran dalam sistem pilihanraya di negara ini yang memungkinkan ada pihak memenanginya dengan cara yang tidak bermaruah,” ujarnya.

Bagi DPPM, ujarnya soal perhimpunan tersebut yang dicemari dengan keganasan adalah alasan bagi memburukkan imej Bersih 2.0 dan peserta yang menghadirinya.

“Sebenarnya setiap perhimpunan yang dianjurkan oleh Bersih 2.0 mahupun parti-parti politik termasuk Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional akan berlangsung dengan aman jika tiada sabotaj atau provokasi,” jelasnya.

Jelas beliau lagi, PAS telah membuktikan dalam Perhimpunan Hijau Menuju Putrajaya yang dihadiri seramai 100,000 orang berjaya diadakan dengan aman jika tiada provokasi.

Tambahnya, perhimpunan Bersih 3.0 akan berlangsung dengan baik dan aman jika tiadanya pihak yang melakukan provokasi melampau sehingga insiden keganasan itu berlaku.

Sehubungan itu, katanya DPPM juga meminta Majlis Fatwa Kebangsaan berlaku adil dengan turut melihat sama kepada program Himpunan Jutaan Belia anjuran kerajaan Malaysia di Putrajaya baru-baru ini.

“Antara artis yang diundang bagi memeriahkan majlis ini adalah kumpulan K-Pop dari Korea.

“Soalnya, apakah mesej baik yang boleh difahami dari penganjuran program ini dan bagaimana hukum bagi umat Islam menghadirinya serta hukum bagi penganjurannya,” ujarnya.

Beliau berkata, dalam keadaan bukti dengan gembar yang jelas memaparkan aksi menjolok mata dari artis-artis tersebut, disambut pula dengan meriah oleh pemimpin-pemimpin negara, Majlis Fatwa Kebangsaan diharapkan tidak membisu seribu bahasa dan menutup mata melihat kemungkaran yang lebih terang di depan mata.

Harakah Daily

Malaysia bawa imej pengeksport judi dunia

16 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: “Dengan dasar kerajaan yang liberal, Malaysia kini membawa imej pengeksport industri judi terkenal di dunia,” kata Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar).

Katanya, hal ini dapat dilihat dalam laporan akhbar NST semalam (5 Jun) di ruangan Business Times yang melaporkan syarikat Malaysia iaitu Genting Malaysia Bhd kini sedang berusaha untuk mendapat kelulusan mengembangkan pelaburan kasino perjudian sehingga ke New York, Amerika Syarikat.

Dalam kenyataannya berdasarkan aliran tunainya yang kukuh ia mungkin membida salah satu lesen kasino yang ditawarkan di New York atau di Florida.

Ia berdasarkan operasi kasino yang dijalankan oleh Resorts World Genting yang didapati sangat kukuh.

Mohd Azmi berkata, dalam laporan NST semalam, berita mengenai cadangan syarikat judi itu berunding dengan pihak kerajaan di Amerika Syarikat sedang diusahakan.

Beliau menambah, World Resorts Genting memang terkenal dengan industri judi, malah Singapura sendiri telah mengundangnya untuk membina kasino di negara itu beberapa tahun yang lalu.

Katanya, ditambah lagi kini laporan berjudi dalam Kejohanan Bola sepak Negara Eropah (Euro) @012 sudah bermula dan akan melibatkan pertaruhan berjuta ringgit dan Malaysia tidak ketinggalan.

“Sindiket pertaruhan setiap perlawanan bolasepak dunia sudah lama bertapak di Malaysia. Hanya semada pertaruhan itu beroperasi secara berlesen atau tidak,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, dianggarkan nilai industri judi di Malaysia mencecah anggaran RM10 bilion setahun.

“Soalnya dasar kerajaan yang liberal mengenai judi menyebabkan amalan berjudi sangat berleluasa,” katanya lagi.

Sehubungan itu, ujarnya Mapim menyatakan pendiriannya bahawa kerajaan sepatutnya mewujudkan polisi yang tegas untuk menghapuskan industri judi secara beransur-ansur kerana implikasi negatif kepada sosial, ekonomi dan keselamatan negara sangat jelas.

“Kami percaya bahawa semua kaum dan agama di negara ini menerima hakikat bahawa keburukan judi adalah jauh lebih besar berbanding manfaat,” ujarnya.

Oleh itu, tegasnya tidak ada sebab kenapa kerajaan harus terus melanjutkan polisi mewujudkan lesen judi untuk mengawal judi haram.

Beliau berkata, Mapim menilai bahawa isu lesen judi bola yang pernah dilulus oleh kerajaan dan kemudian ditarik balik dan ditangguh kelulusannya tiga tahun yang lalu menunjukkan kerajaan sendiri tidak tegas dengan menghapus sebuah industri yang mendatangkan kesan buruk kepada negara.

“Kami dengan ini menuntut supaya pengeluaran lesen judi dinilai semula dan polisi ke arah menjadikan Malaysia sebagai negara sifar judi harus menjadi dasar yang diamalkan di Malaysia,” ujarnya.

Harakah Daily

Himpunan Bersih haram, Himpunan Belia bagaimana

16 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyokong keputusan Majlis Syura Ulamak PAS yang menolak pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan yang berpandangan negatif pada perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

“Bagi DPPM, pendirian Majlis Syura Ulamak PAS adalah jelas iaitu perhimpunan ini adalah sebahagian daripada usaha mencegah kemungkaran dan kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah dalam negara ini,” kata Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor (gambar).

Tambahan lagi, ujarnya tidak ada insiden pelanggaran syariat dalam perhimpunan yang dianjurkan itu.

Katanya, peserta perhimpunan yang hadir tempoh hari amat beradab dan menjaga tatasusila semasa majlis perhimpunan.

Menurutnya, mereka semuanya sepakat menyatakan sistem pilihanraya di Malaysia masih kotor dan dipenuhi dengan unsur penipuan.

“Mereka tidak rela membiarkan kemungkaran dalam sistem pilihanraya di negara ini yang memungkinkan ada pihak memenanginya dengan cara yang tidak bermaruah,” ujarnya.

Bagi DPPM, ujarnya soal perhimpunan tersebut yang dicemari dengan keganasan adalah alasan bagi memburukkan imej Bersih 2.0 dan peserta yang menghadirinya.

“Sebenarnya setiap perhimpunan yang dianjurkan oleh Bersih 2.0 mahupun parti-parti politik termasuk Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional akan berlangsung dengan aman jika tiada sabotaj atau provokasi,” jelasnya.

Jelas beliau lagi, PAS telah membuktikan dalam Perhimpunan Hijau Menuju Putrajaya yang dihadiri seramai 100,000 orang berjaya diadakan dengan aman jika tiada provokasi.

Tambahnya, perhimpunan Bersih 3.0 akan berlangsung dengan baik dan aman jika tiadanya pihak yang melakukan provokasi melampau sehingga insiden keganasan itu berlaku.

Sehubungan itu, katanya DPPM juga meminta Majlis Fatwa Kebangsaan berlaku adil dengan turut melihat sama kepada program Himpunan Jutaan Belia anjuran kerajaan Malaysia di Putrajaya baru-baru ini.

“Antara artis yang diundang bagi memeriahkan majlis ini adalah kumpulan K-Pop dari Korea.

“Soalnya, apakah mesej baik yang boleh difahami dari penganjuran program ini dan bagaimana hukum bagi umat Islam menghadirinya serta hukum bagi penganjurannya,” ujarnya.

Beliau berkata, dalam keadaan bukti dengan gembar yang jelas memaparkan aksi menjolok mata dari artis-artis tersebut, disambut pula dengan meriah oleh pemimpin-pemimpin negara, Majlis Fatwa Kebangsaan diharapkan tidak membisu seribu bahasa dan menutup mata melihat kemungkaran yang lebih terang di depan mata.

harakahdaily/-

Muzakarah: Nik Aziz bertelagah rekaan Umno

16 Rejab 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata laporan media arus perdana yang menyifatkan beliau bertelagah dengan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang adalah cerita rekaan Umno menjelang Pilihan Raya Umum ketiga belas (PRU13).

Perkembangan terbaru, media menggambarkan beliau berbalah dengan presiden parti mengenai isu 'Muzakarah PAS dengan Umno' menyebabkan sehingga kini muzakarah itu tertangguh.

(Gambar: Tuan Guru Nik Abdul Aziz mengiringi Sultan Muhammad V melawat gerai ekspo pertanian.)

Namun beliau yang juga Menteri Besar Kelantan menyifatkan itu adalah 'cerita Umno'.

"Cerita dia nak melaga-lagakan orang, dia sendiri tak dak hujah, tak dak point. Kerja dia melaga-lagakan orang (pimpinan PAS),” katanya sambil menambah perkara itu bukan menjadi 'isu' baginya.

Mengulas muzakarah itu, beliau hanya menyokong cadangannya adalah atas cadangan Presiden PAS, namun apabila cadangan itu ditarik balik, beliau pun menarik balik.

Tuan Guru Nik Aziz bercakap demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Ekspo Pertanian Negeri Kelantan 2012 di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini semalam.

Ekspo bertemakan 'Bertani Satu Ibadah, 'Kelantan Ke Arah Pertanian Organik' bermula semalam hingga 10 Jun itu disempurnakan perasmiannya oleh Sultan Muhammad V.

Harakah Daily

Peserta Bersih 3.0 cedera bantu siasatan Suhakam

16 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Mana-mana pihak yang hadir di perhimpunan Bersih 3.0, 28 April lalu dan mengalami kecederaan diminta tampil bagi membantu siasatan bebas yang ditubuhkan Suhakam.

Jawatankuasa Bersih 2.0 berkata, keterangan daripada mana-mana pihak terbabit itu begitu penting bagi memastikan Suhakam mendapat gambaran sebenar berhubung insiden 28 April itu.

Dalam satu kenyataannya, Bersih 2.0 juga berkata mereka yang terbabit digalakkan mengemukakan bukti-bukti seperti gambar atau video yang dirakam ketika perhimpunan tersebut.

"Kami menegaskan bahawa siasatan Suhakam ini adalah jauh lebih bebas, telus dan adil berbanding dari siasatan pihak polis. Anda juga diminta untuk tampil kehadapan untuk memberi kenyataan kepada Suhakam, di mana butiran peribadi anda tidak akan didedahkan kepada mana-mana pihak," sebut kenyataan itu.

Kerjasama rakyat Malaysia amat diperlukan bagi membuktikan peserta-peserta yang hadir pada 28 April lalu adalah rakyat yang menyayangi keamanan dan keharmonian sejagat.

Sebelum ini, Bersih 2.0 telah menghantar satu memorandum kepada Suhakam untuk meminta badan hak asasi itu menjalankan satu penyiasatan bebas berkaitan insiden tersebut, dan telah dipersetujui Suhakam.

Justeru, kepoada rakyat Malaysia yang terbabit boleh menghubungi Suhakam secara langsung dengan menulis emel kepada complaints@suhakam.org.my.

Selain itu, mereka juga boleh menghubungi 428victims@gmail.com atau 012-3496013.

Harakah Daily

Selangorku Bersih: Kenapa Noh takut sangat?

16 Rejab 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Timbul persoalan kenapa Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar menolak mentah-mentah usaha kerajaan negeri Selangor membersihkan daftar pemilih di negeri itu melalui program Selangorku Bersih.

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor Faekah Husin berkata, Noh sepatutnya menyokong sebarang usaha untuk mewujudkan satu pilihan raya yang bersih, adil dan telus bukannya menghalang.

Namun malang katanya apabila Noh seperti “anjing yang takutkan bayang-bayang” dan menuduh kerajaan Selangor menyalahgunakan kuasa.

"Ketakutan Noh ini seolah-olah mengiyakan kegusaran rakyat Selangor selama ini bahawa terdapat unsur-unsur pengkhianatan oleh kerajaan BN, SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam daftar pemilih," kata Faekah dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Selepas PRU 2008, berlaku peningkatan pengundi luar biasa jumlah pengundi baharu di Selangor dan lebih mengejutkan apabila SPR semalam mengumumkan terdapat 600,000 orang pengundi baharu di negeri itu.

Program Selangorku Bersih pula dilancarkan untuk membantu SPR dalam memastikan Selangor mempunyai daftar pemilih yang bersih sekali gus menolak sebarang andaian negatif terhadap SPR di atas lonjakan pengundi tersebut.

Untuk tujuan itu kerajaan negeri Selangor menggerakkan semua JKKK, Ketua Kampung dan Penghulu untuk memeriksa senarai pengundi baharu di seluruh Selangor untuk memastikan nama-nama yang didaftarkan ini benar-benar wujud dan bukannya pengundi hantu seperti yang didakwa banyak pihak.

Noh dalam kenyataannya semalam bagaimanapun meminta rakyat Selangor untuk tidak melayan JKKK, ketua kampung dan penghulu yang datang menjalankan pemeriksaan.

Menyifatkan Noh sebagai buta demokrasi, Faekah juga mendakwa kenyataan menteri kanan BN itu adalah berniat jahat demi menghalang proses demokrasi.

Lebih malang katanya, Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Hj Wan Ahmad Wan Omar turut bersetuju dengan kenyataan jahat Noh tersebut.

Sedangkan kerajaan negeri telah pun memaklumkan perkara itu kepada Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Wan Ahmad juga turut hadir dalam perjumpaan dua bulan yang lalu.

"Pada ketika itu Pengerusi SPR langsung tidak memberi reaksi negatif terhadap hasrat Kerajaan Selangor tersebut.

"Sebaliknya pula hari ini....tiba-tiba SPR menjadi seperti cacing kepanasan," katanya.

Harakah Daily

‘Mereka nak jual’

16 Rejab 1433H. [MOD] -

TRAUMA...Najwa menceritakan kejadian dia diculik.

BUTTERWORTH: “Hati saya berdebar apabila terdengar perbualan tiga penculik itu yang mahu menjual kami berlima.” Itu kata wanita berusia 28 tahun yang berjaya melarikan diri selepas diculik lima jam di ibu negara, kelmarin.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Najwa mendakwa diculik di kawasan rumah sewanya di Wangsa Maju jam 3 petang, namun berjaya melarikan diri ketika van membawanya berhenti di sebuah stesen minyak berhampiran Simpang Pulai, Perak.

Najwa yang juga kakitangan sebuah bank di Kuala Lumpur berkata, sebaik dipaksa masuk dalam sebuah van oleh tiga lelaki yang menculiknya, dia mendapati ada empat lagi wanita yang juga mangsa culik dalam van berkenaan.

“Ketika itu, saya hanya teringatkan keluarga dan bertambah sedih apabila mendengar tangisan empat lagi wanita dalam van itu,” katanya ketika ditemui di rumah bapa saudaranya di sini, malam tadi.

Menceritakan kejadian itu, Najwa berkata, dia mengambil cuti sakit dan keluar rumah untuk membeli nasi di gerai berhampiran rumah sewanya.

metro/-

Hidup mati: Muhyiddin pamer ketakutan Umno

16 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Seseorang yang berada dalam keadaan selesa, hanya mengeluarkan keyakinan dalam setiap kata-kata yang dituturkan.

Sebaliknya, hanya mereka yang berada dalam keadaan cemas yang akan mengeluarkan kenyataan yang mempamerkan kebimbangan mereka.

Ia terbukti apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengeluarkan kenyataan bahawa pilihn raya umum akan datang sebagai penentu hidup mati BN.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr. Mujahid Yusuf Rawa, berkata Timbalan Presiden Umno itu tanpa beliau sedar telah mempamerkan kebimbangan dan cemasnya BN menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Hanya orang yang bimbang sahaja mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa. Tanpa sedar, ia membayangkan ketakutan BN bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang," kata beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Muhyiddin yang menyatakan PRU13 adalah penentu hidup atau mati BN.

Beliau juga dilaporkan berkata "zaman mewah BN seperti dahulu sudah berlalu. Jika pembangkang melakukan sesuatu kebaikan dan rakyat menyokong mereka, itu adalah masalah bagi kita."

Ditanya mengapa BN berasa cemas, sedangkan saban hari media melaporkan kerajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kononnya mendapat sokongan rakyat, Mujahid berkata BN cemas dengan kebangkitan rakyat yang dilihat banyak menyokong Pakatan Rakyat.

"Mereka cemas kerana pelbagai usaha yang mereka lakukan, nampaknya tidak memberi kesan kepada rakyat. Lebih-lebih lagi apabila merek lihat rakyat bangkit ketika perhimpunan Bersih 3.0 dan Himpunan Hijau ke Putrajaya, baru-baru ini," kata beliau.

Biarpun serangan BN terhadap Pakatan Rakyat begitu kuat, tegas Mujahid ia tidak meninggalkan sebarang kesan kepada rakyat, sebaliknya rakyat melihat BN tidak mampu mengemudi bahtera negara.

Lebih-lebih lagi, katanya Pakatan Rakyat berjaya membuktikan kemampuan mentadbir di empat negeri, iaitu Kelantan, Kedah, Selangor, dan Pulau Pinang.

Sehubungan itu, beliau menggesa jentera Pakatan Rakyat terus memantapkan kemaraan bagi menyelamatkan negara.

"Pilihan raya akan datang bukan soal Pakatan Rakyat menang atau kalah, tapi soal adakah rakyat mahu selamatkan Malaysia dari tangan BN yang melakukan kerosakan. Jadi, jentera Pakatan Rakyat perlu bekerja keras bagi memastikan negara dapat diselamatkan," tegas beliau.

Harakah Daily

Menteri elak terus terang isu no plat RM24,200

16 Rejab 1433H. [MOD] -

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini dilihat enggan menjawab secara langsung berhubung isu bidaan nombor pendaftaran WWW15 bernilai RM24,200 baru-baru ini walaupun diasak hebat pemberita.

Melihat perkara itu, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek tampil mencelah dengan berkata, wang berkaitan hanya "dari tangan kanan kiri kepada tangan kanan" apabila semua wang yang menjadi dana kerajaan disatukan daripada semua kementerian.

Liow semalam mempertahankan bidaan itu dengan berkata kementeriannya mengganti kereta rasmi, sekali gus memerlukan nombor pendaftaran baru.

Bagaimanapun, awal pagi ini, Sin Chew Daily memetik seorang pegawai sebagai berkata, tiada peruntukan untuk menteri membida nombor pendaftaran untuk kereta baru.

Berikut sedutan dialog Liow dengan pemberita dalam sidang media di ibu pejabat MCA di Kuala Lumpur:

WARTAWAN: Siapa bayar bidaan untuk nombor plat kereta?

LIOW: Saya sudah sebut semalam, ini kereta rasmi kerajaan, dan menteri layak mendapat satu nombor pendaftaran.

Jadi prosesnya rasmi. Kita melakukannya melalui pejabat dan memohon kepada JPJ. JPJ pihak yang memproses permohonan ini.

WARTAWAN: Adakah kementerian membayar kosnya? Siapa bayar kosnya?

LIOW: Tidak, tidak. Ia semua terpulang kepada JPJ untuk mengendalikannya, kita serahkan kepada JPJ.

WARTAWAN: Tapi siapa bayar kosnya? Saya tahu prosesnya dikendalikan JPJ, tetapi siapa bayar kosnya?

LIOW: Saya kena semak dulu. Saya tidak pasti. Ia bawah JPJ.

WARTAWAN: Itu bermaksud anda tidak bayar bidaan untuk...

LIOW: Seperti yang saya katakan tadi, menteri layak mendapat satu nombor. Jadi, saya cuma tidak lakukannya sebelum ini. Jadi sejak kementerian saya tukar kereta, jadi mereka tukarkannya sekali.

WARTAWAN: Jadi maksud kamu pegawai kamu yang kendalikan?

LIOW: Ya.

malaysiakini/-

DVD haram bernilai RM2 juta dirampas

16 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Sebuah gudang yang menjadi stor menyimpan cakera video digital (DVD) cetak rompak bagi memenuhi permintaan tinggi di Lembah Klang diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya, malam kelmarin.

KPDNKK merampas 200,000 keping cakera video digital (DVD), dianggarkan bernilai RM2 juta dalam serbuan di Jalan PJU 1A/15 Taman Perindustrian Petaling Jaya.

Ketua Pasukan Petugas Khas Bahagian Penguat kuasa KPDNKK Fahmi Kasim berkata, ketika serbuan, tiada sesiapa di premis itu.

Sindiket yang aktif sejak enam bulan lalu menjadikan bangunan dua tingkat berkenaan sebagai stor membungkus semula DVD sebelum mengedarkannya.

Fahmi berkata, hasil maklumat awam dan risikan sejak dua bulan lepas, sepasukan tujuh anggota penguat kuasa menyerbu premis berkenaan pada jam 8 malam.

"Anggota penguat kuasa terpaksa memecahkan pintu sebelum dapat masuk ke dalam premis. Dipercayai, kesemua DVD pelbagai tajuk ini disalin semula (copy movie) di tempat
lain sebelum dibawa ke stor ini untuk dibungkus semula. Tiada DVD lucah yang dirampas," katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Hak Cipta 1987 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM20,000 bagi setiap satu salinan, dan minimum RM2,000
atau penjara lima tahun atau keduaduanya sekali.

Sinar Harian

Daftar Pemilih : Selangor Sedia Heret SPR, Pusat Ke Mahkamah

16 Rejab 1433H. [MOD] -

Kerajaan Selangor bersedia mengambil tindakan mahkamah terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kerajaan Pusat sekiranya semakan oleh Kerajaan Negeri mendapati daftar pemilih SPR terbukti mengandungi unsur-unsur penipuan.

Demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Negeri Selangor, Ronnie Liu dalam rancangan ‘Terus Terang’ terbitan TV Selangor .

Menurut Ronnie, daftar pemilih yang dikeluarkan oleh SPR menimbulkan banyak keraguan.

“Kita ada terima laporan dari senarai daftar pemilih SPR yang baru, kita semua terkejut pengundi baru untuk Selangor sahaja bertambah sebanyak setengah juta.

“Ini luar biasa. Ini tentu ada ‘hanky panky’. Kotor, tetapi kotor sampai mana kita belum tahu lagi sebab kita baru sahaja melancarkan satu proses semakan dengan pergi rumah ke rumah dengan bantuan ketua kampung, ahli majlis dan rakan-rakan.

“Lebih kurang dalam masa seminggu lagi kita akan dapat tahu wujudkah pengundi hantu, berapa pengundi hantu, dari Indonesia, Myanmar kita akan beritahu, kita akan buat laporan nanti,” ujar Ronnie ketika menjawab soalan pengacara rancangan temubual itu, Mat Zahari Ali.

Pada April lalu, laporan minoriti Jawatankuasa Terpilih Parlimen untuk memperbaiki sistem pilihan raya dan membuktikan penipuan terang-terangan SPR telah ditolak perbahasannya oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Antara bukti yang dikemukan dalam laporan itu terdapat 80 ribu pengundi di negara ini yang mempunyai dua alamat secara serentak.

Rentetan peristiwa itu telah membawa kepada perhimpuan BERSIH 3.0 (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil) pada 28 April lalu.

Dalam satu kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kepada TVS baru-baru ini, Dewan Negeri Selangor tidak akan dibubarkan sebelum daftar pemilih SPR dibersihkan.

selangorku/-