23 Oktober 2012

Pembaca: AES bukan langkah popular, harus dikaji semula

7 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Penggunaan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sekarang disifatkan sebagai langkah yang tidak popular dan dikhuatiri boleh menjejaskan populariti Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Seramai 89 peratus daripada 2,197 pengunjung portal Sinar Harian Online, yang menyertai bancian online, menyifatkan penggunaan AES sebagai langkah tidak popular.

Sehubungan itu, seramai 2,517 menjawab soalan sama ada wajar AES dikaji semula.

Menjawab soalan itu, seramai 86 peratus memilih jawapan "setuju" manakala 14 peratus tidk setuju.
Pengunjung portal ini juga ditanya sama ada AES wajar diberi peluang untuk diuji keberkesanan.

Daripada 2,118 menjawab soalan itu, sermaai 41 peratus berkata "setuju" manakala 59 peratus kata "tidak setuju".

Dalam laporan diberi Sinar Harian sebelum ini,

Persatuan Pemandu Bas Semenanjung Malaysia (PPBSM) menggesa kerajaan mengkaji semula penggunaan AES di negara ini.

Pengerusinya, Sa’adan Man berkata, kerajaan harus mengkaji penggunaan AES itu dengan lebih terperinci merangkumi semua aspek, terutama kepada pengguna jalan raya yang menggunakan pelbagai jenis kenderaan bermotor berbeza.

Katanya, PPBSM tidak menyalahkan mana-mana pihak, tetapi mahu kerajaan mengkaji semula pengguna AES ini kerana ia secara jelas membebankan rakyat.

Berikut beberapa pandangan yang diutarakan oleh pembaca Sinar Harian Online:

Alanzo Shariff: "Point camera AES sekarang macam nak mencari untung kerana seperti di Putrajaya dan Equine - Uniten bukanlah tempat biasa berlaku kemalangan. Tapi seolah-olah dibubuh untuk mencari keuntungan semata kerana had kelajuan 60-70 bagi kawasan tersebut tidak munasabah dan cuba tanya orang ramai... siapa bawak kereta di kawasan tiga laluan dengan 60km."

Syed Hidayat:  "Pergi lawan di mahkamah, ada peluang menang sebab... sebab tiada papan tanda had laju dan operasi had laju dipacak dalm jarak 300m."

Razman Rashid: "Saya cadangkan kerajaan keluarkan kereta Proton berkelajuan maksimum 100km/j saja, dgn ini duit rakyat lagi jimat dr perabis duit buat bayar saman."

Mohamad Takiudin Abd Rahman: "Tambahan lagi kawasan itu kawasan sesak... peluang menyaman dan mendapat untung adalah tinggi.... takkan ini orang tak faham."

Worldkuliah Kuliah: "Keengganan kerajaan memansuhkan AES membuatkan kita terpaksa memansuhkan kerajaan yang sedia ada, insya-ALLAH."

Esa Adam: "Orang dungu aja berfikiran begini."

Hasanul Hamid: "Wajar bagi sistem AES diteruskan. Tetapi lokasi AES perlu dikaji dan diteliti dengan lebih mendalam sebelum diputuskan untuk diletakkan di tempat tersebut. Contohnya, AES tidak wajar diletak di jalan lebuh raya yang lurus, jalan lurus menuruni bukit atau jalan-jalan yang sememangnya tiada bahaya kepada pemandu. Bagi AES di kawasan lampu isyarat, ia sepatutnya diteruskan dah diperluaskan, tetapi tidaklah diperlukan sepanjang 24 jam sehari di kawasan-kawasan yang tidak sibuk. Ada persimpangan berlampu isyarat yang sememangnya lengang pada 3 hingga 4 pagi."

Mohamad Hakimi Azmi: "Saya nak mengemukakan ketidakpuasan hati saya mengenai AES di mana ia dilaksanakan 24 jam. Ini kerana, pada waktu malam, AES menggunakan FLASH dan ini akan menjadi punca berlakunya kemalangan. Saya juga pernah merasakan terutama di lebuh raya. Saya ingin menceritakan situasinya, bayangkan anda sedang memandu walaupun 115 km/j, tiba-tiba anda terkejut dengan lampu 'flash' dari AES, ada kemungkinan kereta yang dipandu akan terbabas? Bagi orang biasa OK, jika orang itu mempunyai penyakit? Bagaimana? Fikirlah!"

Sukri Mohd Salleh: "Sesuai diteruskan tapi harus berada..."
Badaruddin Muhammad: "Kamera AE diletakkan di kawasan 'blackspot' yang berisiko tinggi dan sering berlaku kemalangan. Tidak timbul isu lubuk duit. Sila buang pemikiran negatif dan keterlaluan dari pemikiran saudara. Maknanya kawasan yang ada kamera AES tu memang kawasan berbahaya."

Hamdan Nazam: "Badaruddin anda baca komen saya di atas dan lakukan di negara kita pasti semua selamat duit poket selamat, duit kerajaan selamat dan kemungkinan risiko kemalangan rendah iaitu pemasangan meter kelajuan dihadkan kepada 110km/j sepertimana yang dilakukan ke atas trak tentera."

Rohaifi Azri: "Kerajaan andai serius nak membendung kemalangan, laksanakanlah seperti cadangan saudara Hamdan Nazam. Kalau sekadar kuat kuasa had laju 110km/j tapi pada masa yang sama Proton pun dok keluarkan kereta yang enjinnya bersuntikan turbo, pejadah turbo kalau tidak boleh bawak lebih 110km/j? Kancil pun selamba henjut 120km/j kat lebuh raya."

Halim Samad: "Pemasangan AES kalau di tempat yang sesuai adalah wajar, tetapi kalau ia dipasang di kawasan yang telah ditentukan had laju 60-90km sejam di kawasan jalan dua atai tiga laluan, memang ia bukan satu tindakan holistik untuk mengurangkan kemalangan tetapi semata-mata tindakan holistik nak memerangkap pengguna jalaraya untuk dikenakan saman. 

Adakalanya had laju yang ditetapkan sudah tidak sesuai lagi, kalau keadaan jalan dua hingga tiga laluan mana ada orang pandu kurang 90km sejam, sekarang zaman dah berubah, mana ada sangat dah pengguna memandu kereta berusia 30-an, semua kereta baru, teknologi enjin pun hebat, setakat 60km sejam tu macam rase kayuh basikal je."

sinar/-

SPR temu ahli Parlimen selepas Aidiladha

7 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar
 
SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengalu-alukan ahli-ahli Parlimen khususnya pembangkang supaya dengan "serius menggunakan kesempatan pertemuan", yang akan diadakan selepas sambutan Aidiladha, bagi membincangkan apa saja perkara berbangkit mengenai sistem pilihan raya.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, langkah diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz semalam adalah perkembangan baik kerana membolehkan wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) bertemu dengan suruhanjaya itu.

Difahamkan pertemuan itu akan diadakan di bangunan Parlimen.

Menurutnya, pertemuan SPR dengan parti politik salah satu program SPR untuk berbincang serta berinteraksi dengan ahli-ahli Parlimen yang mempunyai keraguan dan sebagainya.

Tambahnya, "kita memang nak jumpa sangat dengan semua pemimpin politik yang menjadi ahli Parlimen, mereka selalu mempertikaikan kita di belakang."

"Jangan jadikan persidangan Parlimen sebagai platform untuk meluahkan perasaan tak puas hati dan sebagainya kepada SPR tapi apabila kita adakan perjumpaan tak mahu hadir," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata, SPR akan bersedia pada bila-bila masa jika pihak Parlimen mengaturkan pertemuan dimaksudkan.

Katanya, "SPR sentiasa bersedia untuk bertemu dengan ahli Parlimen, jika Nazri kata minggu depan kita ikutlah, tapi yang pasti kita akan buat dalam bulan November ini, selepas sambutan Hari Raya Haji."

"Lagi pun memang kita akan buat perjumpaan dengan mereka untuk urusan pilihan raya, seperti penggunaan dakwat kekal dan bersoal jawab dengan mereka," ulasnya lagi.

sinar/-

'Kami tak mampu bersabar lagi'

7 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

'Kami tak mampu bersabar lagi'
Pemandangan dari rumah Poopathy yang terletak berhadapan pusat berkenaan. Gambar kecil: Poopathy.
SEREMBAN - Kesabaran penduduk Felda Sendayan berhadapan dengan pencemaran udara sejak 16 tahun lalu sampai ke kemuncaknya apabila mereka yang tinggal berdekatan Pusat Kualiti Alam mendesak agar ia dipindahkan segera.

Seorang penduduk, C Poopathy, 68, berkata, sejak pusat pelupusan sisa kimia itu dibuka, dia sering mengalami sakit tekak dan sesak nafas.

“Rumah saya yang paling hampir dengan pusat pelupusan itu kira-kira satu kilometer sahaja dan saya boleh melihat dengan jelas asap tebal yang keluar dari pusat berkenaan.

“Selain itu, saya juga sering mengalami gatal-gatal kulit. Saya menghidap asma dan sering berulang alik ke hospital setiap bulan, keadaan ini sudah tentu menyebabkan penyakit saya bertambah teruk,” katanya.

Poopathy berkata, dia menetap di kampung itu sejak 50 tahun lalu dan tidak berhasrat untuk berpindah.

Sementara itu, jirannya, R Devi, 48, berkata, sudah acap kali aduan dibuat, namun tiada tindakan diambil.

“Sejak pusat berkenaan dibuka pada 1996, kami membuat aduan kepada pihak kilang dan pihak berkuasa, namun tiada tindakan dibuat.

“Selain asap, kenderaan dan kawasan rumah kami pernah diselaputi habuk berwarna kuning dan saya yakin ia datang  dari pusat  kilang,” katanya.

S Parimala, 38, pula berkata, asap tebal akan kelihatan pada sebelah pagi, tengah hari dan petang.

Menurutnya, ketika asap berkenaan kelihatan di udara ia akan mengeluarkan bau gas yang amat busuk.

“Jika saya menyidai pakaian, pakaian akan berbau gas dan saya terpaksa mencucinya semula kerana bimbang kulit akan gatal,” katanya.

Manakala, Azizah Hassan, 55, berkata, dia mendiami kawasan Felda itu sejak ianya dibuka pada 1979.

Azizah berkata, bantahan pertama yang disuarakan penduduk adalah pada 1998 iaitu dua tahun selepas pusat berkenaan dibuka.

“Kami sudah pergi ke pejabat pentadbiran Pusat Kualiti Alam dan menyuarakan bantahan, namun sehingga kini ia masih beroperasi.

“Paling teruk apabila musim hujan kerana asap yang keluar selepas hujan adalah lebih hitam dan ia membahayakan penduduk,” katanya.

Katanya, pertambahan penduduk di kawasan Felda menyebabkan pusat pelupusan sisa kimia itu dianggap tidak sesuai berada di kawasan berkenaan.

sinar/-

Khir Toyo mohon maaf pada Ronnie Liu di mahkamah

7 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


 
Bekas Selangor Menteri Besar, Dr Mohd Khir Toyomemohon maaf kepada Exco Kerajaan Selangor, 

Ronnie Liu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung kenyataan fitnah bahawa Liu menghalang pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan terhadap sebuah tempat yang dikatakan menjadi pusat maksiat di Puchong.

Penyelesaian itu direkodkan di hadapan Hakim Nik Hasmat Nik Mohamad.

Khir membuat permohonan maaf terbuka di mahkamah dengan membaca kenyataan yang disediakan dalam bahasa Inggeris dan kemudian Bahasa Malaysia.

Khir membuat permohonan maaf terbuka di mahkamah dengan membaca kenyataan yang disediakan dalam bahasa Inggeris dan kemudian Bahasa Malaysia.

Khir berkata beliau meminta maaf kepada ADUN Pandamaran dan exco kerajaan negeri Selangor itu berikutan artikel bertajuk "Khir membongkarkan lapuran polis Liu Tian Khiew pernah bercampur tangan dalam urusan menghapuskan kegiatan pelacuran.

Artikel itu yang disiarkan dalam China Press bertarikh 5 Mei 2008. 

malaysiakini/-

PRU13: Krisis calon BN Perak makin jelas

7 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PAS Negeri Perak melihat krisis calon Barisan Nasional (BN) negeri semakin jelas dengan kedengaran suara-suara sumbang di kalangan pimpinan mereka.

Ketua Penerangannya, Ahmad Nuri Al-Amin (gambar) berkata, antara yang nyata ialah kenyataan Datuk Hamidah Osman dan maklum balas Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir selaku Pengerusi BN negeri berhubung kelewatan mengumumkan calon-calon BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Katanya, desakan Hamidah agar calon-calon BN Perak diumumkan lebih awal itu dapat diertikan sebagai satu bentuk tekanan yang ditujukan kepada ketuanya sendiri.

Malah, ujarnya desakan itu juga secara langsung berhubung kait dengan kedudukan kerusi panas Dun Sungai Rapat yang telah dimenangi Hamidah yang juga Exco kerajaan negeri pada PRU12 lalu.

“Banyak persoalan yang menarik timbul dari desakan ini. Adakah Datuk Hamidah agak tergugat dan tidak selamat lagi di Dun Sungai Rapat?

“Beranikah Datuk Seri Zambry menolak Datuk Hamidah bagi mengekalkan kerusi Dun Sungai Rapat?” soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Bagi PAS negeri, kata beliau krisis itu jelas menjadi ujian kepada Zambry yang pertama kali mengetuai BN Perak.

Katanya, jika sebelum ini bekas Pengerusi BN Perak, Tan Sri Mohammad Tajol Rosli Ghazali pernah menangis berikutan 'menggadai' kerusi Parlimen Grik pada PRU12 yang ditandingi Gerakan, apakah Zambry bakal menerima tekanan yang lebih hebat lagi di ambang PRU13 ini.

harakah/-

PAS tanding 30 dari 56 kerusi DUN Johor

7 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


(Dr Mahfodz, pesuruhjaya PAS Johor)

KLUANG: PAS akan bertanding 29 atau 30 dari 56 kerusi Dewan Undangan Negeri Johor dalam pilihan raya umum akan datang ini.

Di peringkat Parlimen pula, PAS akan bertanding lapan kerusi, kata Pesuruhajaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamad dalam wawancara khas dengan Harakahdaily.

Ini bermakna, PAS bertanding paling banyak kerusi DUN Johor berbanding rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat iaitu PKR dan DAP yang akan bertanding kira-kira 27 kerusi lagi.

"Dalam pilihan raya 2008, kita bertanding 33 kerusi. Namun kali ini kita serahkan sebahagiannya kepada PKR dan DAP," kata beliau kepada Harakahdaily ketika ditemui selepas majlis dialog dengan Dewan Himpunan Penyokong PAS di sebuah hotel dekat sini.

KERUSI TUMPUAN


Dari jumlah itu, PAS memberikan tumpuan kepada 17 kerusi untuk dimenangi dalam pilihan raya umum akan datang.

"Kita beri tumpuan untuk menang 17 kerusi ini untuk membolehkan kita 'lead' Pakatan di Johor," kata beliau yang memberitahu, PAS Johor sudah bekerja keras sejak tiga tahun lalu.

DAP akan bertanding kira-kira 14 dan PKR pula akan bertanding 15 kerusi DUN.

KEBANGKITAN UNDI CINA


Menurut beliau, pengundi Melayu perlu memberikan undi kepada PAS dalam pilihan raya ini untuk mempastikan kestabilan politik berlaku di negeri ini.

"Ini kerana, ekoran kebangkitan pengundi Cina selepas 2008, kebanyakan kerusi di Johor akan jatuh kepada Pakatan Rakyat," katanya

Ini ekoran dari tindakan BN memasukkan pengundi Cina ke kebanyakan kerusi DUN di Johor dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya 2003 untuk menghadapi kebangkitan undi Melayu dalam pilihan raya sebelum itu (1999).

Hasilnya, banyak kerusi DUN yang mempunyai komposisi pengundi Cina sekitar 40 peratus.

"Dalam pilihan raya 2008, hanya 60 - 65 peratus sahaja pengundi Cina mengundi PAS. Kali ini, kita jangka pengundi mereka akan bertambah (untuk PAS)," kata Dr Mahfodz.

Jika pengundi Melayu masih terus bersama Umno, mereka akan bersama pembangkang dan kerajaan yang dibentuk nanti tidak akan stabil.

"Kita tidak mahu ulangi apa yang berlaku di Perak di mana kerajaannay tidak stabil. Oleh itu, orang Melayu perlu mengundi PAS bukannya Umno dalam pilihan raya akan datang ini," kata beliau.

AGENDA


Menurut Dr Mahfodz, yang mendapat PhD dalam bidang undang-undang syariah, agenda negara berkebajikan akan mendominasi hala tuju PAS dan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umu ini.

"Kita telah mencapai kata sepakat dalam Pakatan Rakyat, kita akan tumpukan kepada kebajikan rakyat.

"Tawaran air percuma adalah agenda utama kita untuk rakyat Johor," kata beliau.

Beliau memberitahu, syariah Islam hanya akan dilaksana jika mendapat sokongan semua pihak dalam Pakatan Rakyat. Sebab itu, kata beliau, ia tidak menjadi agenda sehingga kini.

"Kita menyertai pilihan raya ini secara bersama, jadi apa-apa yang hendak kita buat mesti mendapat persetujuan bersama dalam konteks demokrasi," kata beliau.

harakah/-

Amaran pertumpahan darah di selatan Thai

7 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

Pramote Prom-in
Beberapa serangan awal telah berlaku sempena ulang tahun pembunuhan beramai-ramai Tak Bai pada Khamis ini.
 
NARATHIWAT - Penduduk di kawasan pedalaman selatan Thailand, semalam, diberi amaran agar bersedia menghadapi kebangkitan keganasan yang dijangka tercetus susulan ulang tahun insiden pembunuhan beramai-ramai di Tak Bai pada Khamis ini.

Amaran dikeluarkan pihak atasan Operasi Keselamatan Dalaman 4, berikutan wilayah berkenaan akan berhadapan hari bersejarah melibatkan insiden pertumpahan darah dalam beberapa hari lagi.
Sepanjang tempoh ini, beberapa insiden serangan telah berlaku, melibatkan satu rangkaian pengeboman dan tembakan di Narathiwat pada Sabtu dan kelmarin.

Sekurang-kurangnya dua askar terbunuh selain lebih10 orang termasuk kanak-kanak berumur sembilan tahun parah.

Jurucakap pegawai, Kolonel Pramote Prom-in berkata, semua tentera di wilayah bergolak itu telah diarah bersedia menghadapi serangan yang lebih kejam sehingga hujung bulan ini.

Katanya, pasukan risikan tempatan mendedahkan kira-kira 2,000 ahli puak pemisah bakal melancarkan serangan di pedalaman selatan Thailand.

"Mereka tidak akan hanya memfokuskan daerah Tak Bai, sebalik kumpulan penyerang ini akan berpecah ke kawasan lain.

"Mereka juga dijangka cuba menguatkan serangan balas dendam terhadap kerajaan yang sebelum ini berjaya membuatkan 93 militan selatan menyerah diri kepada pihak berkuasa," kata Pramote.

Pada 25 Oktober 2005, tentera kerajaan terpaksa bertindak keras terhadap beribu penunjuk perasaan yang mengadakan bantahan di pintu masuk balai polis Tak Bai bagi mendesak pembebasan enam sukarelawan kampung yang ditahan. -Bangkok Post

Akibat daripada itu, seramai 85 orang terbunuh, 78 daripada mereka maut kerana lemas dan dihempap semasa dipindahkan ke pusat tahanan. Tujuh daripadanya mati ditembak. -Bangkok Post

إخلاص دان رضاله برقوربان أونتوق اضام الله

7 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

 
اَللهُ اَكْبَرُ   اَللهُ اَكْبَرُ   اَللهُ اَكْبَرُ 
اَللهُ اَكْبَرُ   اَللهُ اَكْبَرُ   اَللهُ اَكْبَرُ 
 اَللهُ اَكْبَرُ اَللهُ اَكْبَرُ   اَللهُ اَكْبَرُ  وَِللهِ الْحَمْدُ
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِى جَعَلَ هذاَ الْيَوْمَ عِيْدًا كَبِيْرًا وَسُرُوْرًا
أَشْهَدُ اَنْ لاَ اِلهَ ِالاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.  اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلىَ رَسَوْلِكَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى الِهِ وَاَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
اَمَّا بَعْدُ،  فَيَا عِبَادَ الله اِتَّقُوْ اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ اِلاَّ وَاَنْتـُمْ مُسْلِمُوْنَ.
قَالَ الله تَعاَلَىْ فِيْ مُحْكَمِ ايآتِهِ :
فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَى فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانْظُرْ مَاذَا تَرَى قَالَ يَأَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِيْنَ - سورة الصآفات : 102
مك كتيك اسماعيل سمفاي كفريغكت عمور يغ ممفو براوسها برسماث، ابراهيم بركات: واهي انقكو سسوغضوهث اكو مليهت دالم ميمفيكو بهوا اكو مثمبليه كامو. مك اف فنداغنمو مغنإيث. كات اسماعيل: واهي بفاكو، لقساناكنله اف يغ دفرينتهكن. كامو اكن مندافتيكو دغن إذين الله، مروفاكن اورغ يغ صبر.

واهي همب-همبا الله،
       هاري اين سلوروه أومة إسلام مثمبوت عيد الأضحى اتو هاري راي قوربان، دالم كأدأن باثق مغوربانكن اسلام بربنديغ برقوربان أونتوقث. كيت ماسيه لاضي منجادي قوربان ككجامن، فغهينأن دان كبيادابن موسوه اسلام لنتاران جيوا كيت يغ سوده سماكين جأوه درفد كونسيف فغوربانن يغ دتونتوت أوليه الله.
عيدالاضحى اين تيدق هاث ممافركن قيصة فثببليهن نبي الله اسماعيل يغ دضنتيكن دغن سؤيكور كيبش تتافي عيدالأضحى اين مغاجر كيت ارتي كإخلاصن دان رضا كتتافن الله دان رسولث. عيدالأضحى تله منخاتتكن كضمبيرأن نبي الله إبراهيم عليه السلام دان كلوارضاث سلفس مريك برجاي ملالوءي اوجين الله يغ ساغت ضتير دان منخغكم جيوا نوراني مأنسي بياسا. هاري اين، كيت بركوغسي كضمبيرأن ايت، دغن مراعيكن هاري راي عيدالأضحى دسلوروه نضارا دالم سواسان يغ خريا. كيت هاري مغوربانكن بيناتغ ترنقكن دالم ضلق دان تاوا سدغكن حقيفتث نبي الله ابراهيم فرنه ملاكوكنث دغن تيتيسن اير مات. نامون فرينته الله يغ مها اسا تتف دلقسانا دغن إخلاص دان رضى ترهادف كتنتوانث. فستيله أمت بسر معناث كضمبيرأن نبي الله إبراهيم سكلوارض كران مريك برجاي ملفاسي اوجين يغ أمت بسر دالم برقوربان كران الله.  

اَللهُ اَكْبَرُ اَللهُ اَكْبَرُ   اَللهُ اَكْبَرُ  وَِللهِ الْحَمْدُ
مسلمين مسلمين سكلين،
قيصة نبي الله إبراهيم دان انقث نبي اسماعيل عليهما السلام بوكنله مغاجر كيت ارتي فغوربانن بياسا. فغوربانن مريك بوكن كران سسواتو متلامت يغ ترسيرت تتافي هاث سمات-مات كران فاتوه كفد فرينته الله.

اَللهُ اَكْبَرُ اَللهُ اَكْبَرُ   اَللهُ اَكْبَرُ  وَِللهِ الْحَمْدُ
مسلمين مسلمين سكلين،
كيت بياسا برقوربان دان مغوربانكن سسواتو اونتوق مندافتكن سسواتو يغ لبيه باءيق. كيت مغوربانكن كضمبيرأن برفويا-فويا دلوار رومه اونتوق برسام منعماتي كضمبرأن برسام كلوارض. انق-انق مغوربانكن وقتو برمإين دان منونتون تيليويشن اونتوق منومفوكن فرهاتيان ترهادف فلاجران باضي منخافاي كجايأن دالم ففريقسأن. فميمفين مغوربانكن ماس برسام كلوارض اونتوق ممناغي هاتي رعيت اضر تروس ترفيليه سباضاي خالون دالم فيليهنراي. فارا فكرجا مغوربانكن ماس ريحت دان برسانتاي باضي مثيافكن كرجا اونتوق مندافتكن انوضره كخمرلغن. مك كيت هاث اكن مندافت اف يغ كيت ايدامكن جك متلامت فغوربانن كيت تيدق دسانداركن كفد الله دان رسولث.

مسلمين مسلمات سكلين،
نبي إبراهيم تله سغضوف مثمبليه انقث تنفا دجنجيكن كيبش يغ اكن مغضنتيكن انقث، تتافي باضيندا ملاكوكنث سمات-مات كران مماتوهي فرينته الله. نبي إبراهيم سبلومث سغضوف منيغضلكن سيتي حجر، استري يغ دسايغيث برسام نبي اسماعيل يغ كتيك ايت ماسيه كخيل. اين سموا دلاكوكن تنفا جامينن اوليه الله اونتوق ممبينا سبواه كوتا اتاو فركمفوغن. نبي اسماعيل بضيتو فسره برقوربان سهيغضا سغضوف مغأخيري كهيدوفن مودا بلياث ماله ممبري سوكوغن دان ضالقكن كفد نبي إبراهيم اونتوق سضرا مثمبليهث. اين سموا دلاكوكن تنفا جامينن اوليه الله اونتوق منداتغكن كيبش سباضاي ضنتي تتافي دي ملاكوكنث سمات-مات كران مماتوهي فرينته الله. مريك سلوروه اهلي كلوارض تله برقوربان أونتوق منطاعتي فرينته الله.

سودارا-سوداراكو سكلين،
دالم ساتو حديث رواية إمام الترميذي، نبي صلى الله عليه وسلم برسبدا:
عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ إِنَّهَا لَتَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلاَفِهَا وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنْ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنْ الأَرْضِ فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا
داري عائشة بركات بهوا رسول الله صلى الله عليه وسلم برسبدا : تيدق ادا عمالن مأنسي دهاري رايا قوربان يغ لبيه دسوكإي اوليه الله بربنديغ منومفهكن داره بيناتغ قوربان. سسوغضوهث اياث اكن دداتغكن دهاري قيامة دغن تندوق، بوبو دان كوكوث. مك دارهث اكن منداتغكن كريضأن الله سبلوم جاتوهث اي كتانه. مك أخلاص دان رضاكنله هاتيمو ترهادقث.
       اينله سبنرث اساس كفد كجايأن يغ واجر كيت راياكن. كجايأن يغ دبريكن اوليه الله حاصيل فغوربانن يغ تولوس إخلاص كفد الله، بوكن كجايأن يغ دخافاي سمات-مات كران أوسها تيتيق فلوه دان كبيجقسنأن كيت يغ ملوفاكن كيت دغن نعمة فمبريان الله. تيدق اكن اد كجايأن يغ حقيقي دان درضأي تنفا فغوربانن. يقينله كيت بهاوا سضالا فغوربانن كيت ترهادف الله تيدق اكن دفرسيا-سياكن.  فرمان الله سبحانه وتعالى :
أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لاَ يُفْتَنُونَ (2) وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ (3)
أفاكه مأنسي مثغكا بهوا مريك اكن دبياركن بركات، كامي برايمان سدغكن مريك تيدق داوجي. دان سسوغضوهث تله دأوجي مريك يغ سبلوم داري كامو مك اكن مها مغتهؤي سيافامكه يغ بنر سيافامكه يغ بردوستا - العنكبوت: 2-3

واهي همبا-همبا الله،
سغضوفكه دان برانيكه كيت سموا اونتوق برقوربان سمات-مات كران الله دان رسولث. سغضوفكه كيت مغنفيكن كفنتيغن فريبادي، كفنتيغن كلوارض دان كتورونن، كفنتيغن فارتي دان كومفولن ترتنتو ماله مغنفيكن كفنتيغن دنيا دان سإيسيث سمات-مات كران الله. سغضوفكه كيت مغوربانكن سضالا كفنتيغن دنيا اونتوق برساتو مندولتكن اضام الله يغ تله مغأنوضرهكن برباضاي نعمة يغ تيدق ترهيغضا. سغضوفكه كيت برسام كمبالي مغحياتي شريعة الله سفنوهث تنفا فرلو كفد بالاسن درفد سسيافا تتافي سمات-مات كران فاتوه كفد فرينته الله يغ مها بيجقسانا دالم مننتوكن خارا هيدوف تربإيق أونتوق مأنسي. كيت سبنرث تيدق ممرلوكن سبارغ فوجيان بتاف ايندهث شريعة الله درفد مان-مان فيهق افاته لاضي داري ليده اورغ-اورغ يغ تيدق برايمان. فرلقسنأن شريعة الله تله تربوقتي كسسوايان دان كبركساننث دالم مغاتور كهيدوفن مأنسي. يقينله كيت بهاوا شريعة الله اداله يغ ترباءيق دان كايندهنث اكن ترسرله افابيلا دلقسانكن سفنوهث. هاث مأنسي يغ بودوه دان بوتا سجاره سهاج يغ مراسا بيمبغ دان سغسي ترهادف كعاديلن شريعة الله.
اخيرث، يقينله بهاوا سضالا فغوربانن كيت أونتوق ممرتابتكن اضام الله اداله اونتوق منفعة كيت برسام. سضالاث اكن دبلي دان دباير اوليه الله دغن نيلاي يغ ترلالو برهرضا يإيتو كموليأن دان كريضأنث ددنيا دان دآخرة.
إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَى مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالإِنْجِيلِ وَالْقُرْآنِ وَمَنْ أَوْفَى بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُمْ بِهِ وَذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (التوبة :111)
سسوغضوهث الله تله ممبلي دري اورغ-اورغ يغ برايمان اكن جيوا مريك دان هرتا بندا مريك دغن بالسن بهاوا مريك اكن بروليه شورض، دسببكن مريك برجواغ فد جالن الله مك دانتارا مريك اد يغ ممبونوه دان تربونوه. بالسن شورض يغ دمكين اياله سباضاي جنجي يغ بنر يغ دتتفكن اوليه الله ددالم  توراة دان انجيل سرتا القرءان دان سيافاكه لاضي يغ لبيه مثمفورناكن جنجيث درفد الله؟ اوليه ايت، برضمبيراله دغن جوالن يغ كامو جالنكن ايت دان كتاهويله بهاوا جوال بلي يغ سفرتي ايت اياله كمناغن يغ بسر.

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ  بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ، وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا  وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ  ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.
خطبة يغكدوا
اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ،
اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ،
اللهُ أَكْبَرُ، وَِللهِ الْحَمْدُ.
اَلْحَمْدُ ِللهِ الْقاَئِلِ:
 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ
أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ، صَدَقَ وَعْدَهُ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ، وَأَعَزَّ جُنْدَهُ، وَهَزَمَ اْلأَحْزَابَ وَحْدَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ،
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَالاَهُ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ اتَّقُوا اللهََ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُونَ.
سودارا دان سوداري سكلين،
              فد هاري اين ماريله كيت برشكور كفد الله يغ تله مغرنياكن كفد كيت إيمان دان إسلام. ماريله كيت مغوربانكن  ماس لافغ كيت أونتوق مغحساب ديري كيت، كلوارض، مشاركت دان نضارا سمأد ممنوهي تونتوتن إسلام اتو تيدق؟       
ماريله كيت برسام كمبالي مغحياتي سضالا اجاران الله دان رسول. اين سموا فرلوكن فغوربانن يغ امت بسر دان فغوربانن اين مستيله إخلاص سمات-مات كران الله. كيت مستيله رضا دغن فغوربانن يغ كيت لاكوكن كران كيت هاثاله مخلوق يغ دجاديكن اوليه الله دان كفد الله جواله كيت اكن دكمباليكن.
اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَالْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ اْلأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَاْلأَمْوَاتِ.
 اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسلاَمَ وَالْمُسْلِمِينَ، وَأَذِلَّ الشِّرْكَ وَالْمُشْرِكِينَ، وَالنِّفَاقَ وَالْمُنَافِقِينَ، وَالظُّلْمَ وَالظَّلِمِينَ. وَانْصُرْنَا عَلَى هَؤُلآءِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَنَا وَيَصُدُّونَنَا عَنْ سَبِيلِ اللهِ.
اَللَّهُمَّ قَوِّ عَزَائِمَهُمْ، وَاجْمَعْ كَلِمَتَهُمْ. اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكََفَرَةَ وَالْمُنَافِقِينَ وَأهْلِكْ أَعْدَاۤءَكَ أَعْدَاۤءَ الدِّيْنِ وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ.
اَللَّهُمَّ يَا مُجْرِىَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ اْلأَحْزَابِ، اِهزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سُلْطَانَ اَزْلَنْ مُحِبُّ الدِّيْنِ شَاهِ ابْنُ اَلْمَرْحُوْمِ سُلْطَانِ يُوْسُفِ عِزُّ الدِّيْنِ شَاهِ غَفَرَاللهُ لَهُ
رَبَّنَا آتِنَا فِى الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى اْلآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمْ. وَالْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ.
اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، وَِللهِ الْحَمْدُ.