23 Oktober 2012

SPR temu ahli Parlimen selepas Aidiladha

7 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar
 
SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengalu-alukan ahli-ahli Parlimen khususnya pembangkang supaya dengan "serius menggunakan kesempatan pertemuan", yang akan diadakan selepas sambutan Aidiladha, bagi membincangkan apa saja perkara berbangkit mengenai sistem pilihan raya.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, langkah diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz semalam adalah perkembangan baik kerana membolehkan wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) bertemu dengan suruhanjaya itu.

Difahamkan pertemuan itu akan diadakan di bangunan Parlimen.

Menurutnya, pertemuan SPR dengan parti politik salah satu program SPR untuk berbincang serta berinteraksi dengan ahli-ahli Parlimen yang mempunyai keraguan dan sebagainya.

Tambahnya, "kita memang nak jumpa sangat dengan semua pemimpin politik yang menjadi ahli Parlimen, mereka selalu mempertikaikan kita di belakang."

"Jangan jadikan persidangan Parlimen sebagai platform untuk meluahkan perasaan tak puas hati dan sebagainya kepada SPR tapi apabila kita adakan perjumpaan tak mahu hadir," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata, SPR akan bersedia pada bila-bila masa jika pihak Parlimen mengaturkan pertemuan dimaksudkan.

Katanya, "SPR sentiasa bersedia untuk bertemu dengan ahli Parlimen, jika Nazri kata minggu depan kita ikutlah, tapi yang pasti kita akan buat dalam bulan November ini, selepas sambutan Hari Raya Haji."

"Lagi pun memang kita akan buat perjumpaan dengan mereka untuk urusan pilihan raya, seperti penggunaan dakwat kekal dan bersoal jawab dengan mereka," ulasnya lagi.

sinar/-

Tiada ulasan: