23 Oktober 2012

Kerja di KL, hujung minggu di Kulai untuk Pakatan

7 Zulhijjah 1433H. [MOD] -
Suki adalah petugas sepenuh masa ibu pejabat DAP di Pudu, Kuala Lumpur. Namun, setiap hujung minggu, Suki akan pulang ke rumahnya di Kulai, Johor.

Suki atau nama sebenarnya Wong Shu Qi pulang untuk membantu aktiviti DAP di kawasannya terutama di Dun Senai dan Parlimen Kulai tempat beliau dan keluarga tinggal.

Sebagai bekas wartawan, Suki sangat mudah bergaul dengan penduduk sekitarnya. Beliau yang terlepas untuk mengundi pada tahun 2008 tidak sabar-sabar untuk mengundi buat pertama kalinya dalam pilihan raya ke 13 ini.

"Mak saya tidak benarkan saya balik sebelum 2008 lalu kerana katanya Johor tidak selamat. Ragutlah, rogol dan macam-macam lagi kes jenayah," cerita Suki (gambar kanan) ketika ditemui di sebuah kedai kopi di pekan lama Kulai.

Namun selepas apa yang berlaku pada pilihan raya tahun 2008, keluarga beliau membenarkan Suki pulang ke tanah air dan bekerja di Kuala Lupur.

Ibunya seorang guru manakala hampir kesemua keluarganya yang lain bekerja di Singapura walaupun tinggal di Johor.

Malam minggu lalu, lebih 1,300 khasnya masyarakat Cina di Kulai menyertai majlis makan malam anjuran DAP Kulai di sebuah restoran mewah.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Naib Presiden PAS Salahudin Ayub dan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang adalah antara tetamu utamanya.

Majlis makan malam itu adalah siri majlis makan malam yang dianjurkan DAP untuk mengumpul dana untuk pilihan raya umum ke 13 mereka.

Hampir kesemua majlis ini 'full house' sehingga kadang-kadang melimpah keluar. Di majlis macam inilah, DAP akan menjual bahan-bahan kempen mereka berupa mascot, baju, topi dn sebagainya.

Suki adalah antara organizer majlis ini bagi pihak DAP. Ia majlis yang penuh makna untuk Suki dan DAP di Kulai ini.

"Semasa pilihanraya umum 2008, orang-orang Johor tidak terlibat dengan tsunami politik. Selepas itulah, orang Johor baru sedar kita boleh berubah. Masa itulah juga mak saya benarkan saya pulang," beritahu Suki kpeda Harakahdaily.

Atas sebab itulah, katanya, Johor kini sedang alami gelombang perubahan. Hampir kesemua program yang dianjurkan Pakatan Rakyat mendapat sambutan yang hangat.

Hujung minggu lalu, lebih 5,000 menyertai majlis di Sutra Mall, Skudai, lebih 1300 menyetai majlis makan malam di Tropical Garden, Kulai dan lebih 1,000 memenuhi Dewan Chun Moi, Kota Tinggi.

Semuanya melambangkan sambutan dan gelombang perubahan di Johor.

Pada mata kasar, gelombang ini kelihatan berlaku dengan jelas di kalangan masyarakat Cina, namun kajian terbaru yang dibuat Universiti Malaya menunjukkan ia juga berlaku di kalangan masyarakat Melayu khasnya di bandar dan pekan.

Gelombang masyarakat Cina ini memberikan kesan besar kepada kedudukan politik di Johor. Ini kerana, persempadanan semula kawasan pilihan raya 2003 telah menyebarkan pengundi Cina ke merata kerusi pilihan raya di Johor.

Strategi BN ketika itu adalah untuk menghadapi kebangkitan pengundi Melayu yang dikesan pada pilihan raya 1999. Untuk menghadapinya, strategis BN telah memasukkan banyak pengundi Cina ke kawasan DUN atau Parlimen yang selama ini mempunyai majoriti pengundi Melayu yang ramai.

Hasilnya, banyak kerusi DUN di Johor mempunyai lebih 40 peratus pengundi Cina. Dengan kebangkitan mereka, kerusi-kerusi inilah yang mempunyai potensi besar untuk jatuh kepada Pakatan Rakyat termasuk DUN dan Parlimen yang bakal ditandingi PAS sendiri.

"Ibu saya Cina, ayah saya Melayu. Jadi badan saya ini yang kiri Cina dsn yang kanan Melayu. Jadi, tuan-tuan jangan bimbang untuk mengundi PAS kerana di badan saya saja kita semua sudah bersatu," kata Salahudin Ayub ketika berucap di Restoran Tropical Garden, Kulai hujung minggu lalu.

Salahudin disebut-sebut bakal bertanding di kerusi campuran sebegini iaitu Parlimen Pulai dan Dun Nusajaya.

Dengan kenaikan 4 - 5 peratus pengundi Melayu untuk Pakatan sebagaimana kajian Univerisiti Malaya (UMCEDEL) dan sokongan sehingga 80 peratus pengundi Cina, Johor bakal menjadi penyumbang besar kepada Pakatan untuk membolehkannya menuju Putrajaya.

harakah/-

Tiada ulasan: