7 Zulhijjah 1433H. [MOD] -
PELABUHAN KLANG - Kehadiran Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke
Dewan Undangan Negeri (Dun) Pelabuhan Klang menerusi Siri Jelajah
Merdeka Rakyat kelmarin didakwa disabotaj.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Pelabuhan Klang, Norhisam Ali
berkata, kira-kira 100 bendera PKR yang digantung sepanjang kira-kira
satu kilometer di sepanjang jalan bermula di
Kampung Idaman hingga pekarangan sebuah pasar raya dicabut pihak tidak bertanggungjawab.
“Lebih memeranjatkan bendera itu juga turut dibakar. Kita pasang bendera tersebut pada Sabtu malam Ahad sekitar jam 11 malam.
“Hampir jam 2 pagi, proses menggantung bendera siap, segelintir
daripada kami pulang ke kediaman masing-masing dan sebahagiannya ke
restoran berdekatan untuk menikmati minuman,” katanya.
Beliau mendakwa, ketika perjalanan pulang melalui kawasan itu, petugas
yang menggantung bendera menyedari bendera yang dipasang hilang
dipercayai dicabut.
“Kami kemudiannya meninjau di kawasan sekitar dan akhirnya kami
terkejut mendapati bendera sama dibakar pihak tidak bertanggungjawab
berdekatan sebuah bilik gerakan parti lain.
“Kami sempat merakam video berkenaan dan mengambil gambar perbuatan itu
yang dianggap bertentangan dengan nilai-nilai sebagai golongan yang
bijak berpolitik. Justeru, kita akan membuat laporan polis dalam masa
terdekat selepas mengumpul kesemua bukti untuk tindakan pihak berkuasa,”
katanya.
Menurutnya, AMK dan seluruh anggota PKR Cabang Klang kecewa dengan
tindakan itu yang dilihat sebagai sabotaj kepada parti ini di sini.
Kelmarin sekitar jam 2 petang, Anwar bersama Menteri Besar Selangor,
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersama pemimpin tertinggi PKR lain turun
ke pekarangan sebuah pasar raya di
Pandamaran menerusi Siri Jelajah Rakyat bagi Dun Pelabuhan Klang.
Hadir sama, Ketua PKR Cabang Klang, Yew Boon Lye dan AJK PKR Cabang Klang.
sinar harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan