23 Oktober 2012

Bomba maut jatuh siling

7 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

Bomba maut jatuh siling
Siling yang roboh.
Bomba maut jatuh siling
Lokasi mangsa ditemui terjatuh. Gambar kecil: Isa
 
ALOR GAJAH - Seorang anggota bomba maut selepas terjatuh dari siling ketika hendak memeriksa kebocoran tangki air di rumahnya, lewat petang kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira 6.30 petang di Taman Seri Aman, dekat sini, apabila Isa Budin, 57, dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, di sini, terjatuh dipercayai tersalah duduk di siling berkenaan.

Ketika kejadian, mangsa bersama anaknya, Ahmad Ikhwan Isa, 16, dikatakan naik ke bahagian siling untuk memeriksa kebocoran pada tangki,

Ahmad Ikhwan berkata, bapanya jatuh kira-kira 10 minit selepas naik ke atas siling berkenaan.

"Saya bantu ayah ke atas untuk periksa kebocoran tangki air yang terletak antara ruang tamu dan dapur. Ahli keluarga lain semua berada di bahagian depan rumah.

“Semasa hendak betulkan kedudukan atas siling, ayah cari tempat sesuai untuk duduk sebelum periksa bahagian tangki yang bocor. Dia sudah alas tempat yang hendak duduk menggunakan sekeping papan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, ayahnya tersilap duduk di bahagian siling rumah mengakibatkan siling berkenaan pecah sebelum terjatuh dalam keadaan kepala kepala ke bawah dan terkena bucu mesin jahit.

"Dalam keadaan panik, saya turun lihat ayah sudah tidak sedarkan diri dalam keadaan terbaring penuh darah di kepala.

"Saya terus memanggil dan menggoncang tubuh ayah, namun tiada sebarang tindak balas,” katanya kepada Sinar Harian.

Difahamkan, isteri Isa, Hayati Shafie, 50, kemudian tiba dan sempat memangku arwah serta mengajar mengucap sebelum meminta bantuan jiran untuk menghantarnya ke hospital.

Sementara itu, Ahmad Ikhwan berkata, semasa dalam perjalanan, dia melihat ayahnya itu masih menggerakkan tangan, bagaimanapun setiba di hospital, doktor mengesahkan ayahnya sudah meninggal dunia.

Dalam pada itu, Pemangku Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat (Bahagian Keselamatan) Negeri Melaka, Zulkifli Nordin berkata, mangsa sudah berkhidmat dalam bomba sejak lebih 33 tahun dan akan bersara penghujung Februari tahun depan.

sinar/-

Tiada ulasan: