7 Zulhijjah 1433H. [MOD] -
Ingatlah
5 perkara sebelum datang 5 perkara. Salah satu daripadanya ialah hidup
sebelum mati. Hayat yang ada ialah peluang yang paling berharga bagi
seorang hamba Allah. Sesungguhnya setiap yang hidup pasti akan merasai
mati. Kematian adalah ketentuan Allah dan merupakan penamat segala
kehidupan serta penutup segala peluang untuk beribadah kepada Allah
S.W.T.
Firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Mulk, ayat 2:
ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلاً۬ۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ
Maksudnya: “Dialah
yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup kamu untuk menguji dan
menzahirkan keadaan kamu. Siapakah di antara kamu yang lebih baik
amalannya dan Dia Maha Berkuasa lagi amat Pengampun.”
Selagi
kita masih hidup, sama ada kita masih muda atau lebih-lebih lagi
jikalau sudah tua hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya untuk melakukan
amalan yang akan menjadi bekalan untuk hari akhirat. Kita sewajarnya
menumpukan perhatian dan masa untuk berbakti kepada Allah dan
memperbaiki segala ibadat.
Seorang pemuda pernah bertanya kepada Rasulullah S.A.W, “Wahai Rasulullah S.A.W. siapakah insan yang paling baik?”. Rasulullah
S.A.W. menjawab, “orang yang panjang usianya dan baik amalannya”.
Pemuda itu bertanya lagi, “Siapa pula insan yang paling keji?” Baginda
menjawab, “Orang yang panjang usianya tetapi jahat lakunya.”
Berikut
ialah persiapan-persiapan yang sewajarnya kita lakukan kerana kita
sepatutnya sedar bahawa usia ini akan berakhir pada bila-bila masa.
Antaranya ialah:-
1) Kita
hendaklah meluangkan masa untuk belajar atau menuntut ilmu khasnya
memastikan akidah dan amal ibadat kita sah menurut Islam. Amalan yang
baik dapat menambah keberkatan hidup dan memanjangkan usia.
Rasulullah
bersabda “ Tiada yang dapat menolak ketentuan takdir melainkan doa dan
tiada yang dapat memanjangkan usia melainkan amal kebajikan.” (Imam
Tarmizi)
2) Memilih
sahabat yang baik serta mampu memperbaiki segala kelemahan dan
kekurangan kita, membantu meningkatkan kefahaman terhadap agama serta
berani menegur ketika kita melakukan kesilapan.
3) Kita
juga hendaklah selalu bertaubat dan berusaha mengembalikan hak kepada
yang berhak serta memohon maaf dan memberi kemaafan sesama insan.
4) Selalu berdoa mengharapkan pertolongan Allah S.W.T.
Kesimpulannya,
kita harus mensyukuri nikmat usia yang dikurniakan Allah dengan
meningkatkan ilmu, beramal soleh dan menghiasi kehidupan ini dengan
akhlak yang mulia. Selain itu, kita perlu melazimi taubat kepada Allah
S.W.T dan memohon doa agar sentiasa ditetapkan iman dan mencapai husnul khatimah.
Janganlah kita sesekali lalai dengan kehidupan dunia yang hanya
sementara. Sebaliknya ingatlah bahawa kehidupan akhirat jua yang abadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan