04 April 2013

12 jongkong emas bernilai RM17.86 juta ditemui di dalam kereta

23 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

ROM - Polis Itali semalam menyatakan pihaknya menemui beberapa jongkong emas yang bernilai AS$5.8 juta (RM17.86 juta) yang disembunyikan di dalam sebuah kereta.

Ketika kejadian, kereta tersebut dalam perjalanan ke Switzerland.

Polis menahan kereta berkenaan ketika melakukan pemeriksaan harian.

Ketika kereta tersebut ditahan, isteri pemandu kereta berkenaan dan anak-anaknya berada dalam keadaan gementar.

Anggota-anggota polis kemudian menemui dua ruang yang tersembunyi di bawah kereta itu.
Sebanyak 12 jongkong emas kemudian ditemui yang dibungkus dengan surat khabar lama.

Pemandu kereta yang berusia 53 tahun itu merupakan seorang penduduk Itali yang tinggal di Switzerland.
Dia dan pasangannya itu disoal siasat di sebuah balai polis ekoran penemuan tersebut.

Pemandu itu dikenakan dakwaan melakukan penggubahan wang haram dan jongkong emas tersebut dirampas. - AFP

Anwar isytihar senarai penuh calon PKR Perak malam ini

23 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Anwar isytihar senarai penuh calon PKR Perak malam ini
Barisan kepimpinan PKR Negeri diketuai Dr Muhammad (tiga, kanan) pada sidang media, semalam.
IPOH – Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan senarai penuh calon parti yang akan bertanding di Perak pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), malam ini.

Pengumuman yang akan dibuat di satu perhimpunan Jelajah Merdeka Rakyat di Gerik itu juga bakal mencatat sejarah tersendiri apabila Perak, menjadi negeri pertama membuat penyenaraian penuh calon.

Ia juga dikatakan sebagai simbolik kepada kesediaan Ketua Pembangkang itu bertanding di salah satu kerusi di negeri yang pernah mencatat krisis konflik perebutan pimpinan pentadbiran kerajaan negeri.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, pengumuman di Gerik adalah sebagai isyarat bahawa PR sudah bersedia menggempur kawasan Utara Perak yang selama ini merupakan kubu kuat Umno dan Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun menurutnya, pengumuman kerusi mana yang akan menjadi pilihan penyandang Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, masih belum dapat dipastikan.

“Yang itu (kerusi mana pilihan Anwar) belum tahu lagi, kita tengoklah nanti macam mana, apa yang pasti, persiapan kita sudah sampai tahap maksimum, semua calon dan jentera masing-masing sudah bersedia.

“Pada PRU kali ini, PKR akan menampilkan hampir 60 peratus muka baru di samping calon wanita bagi memperkukuh kemenangan di negeri ini,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Hadir sama, timbalan nya, Dr Lee Boon Chye dan Pengarah Pilihan Raya PKR Negeri, Ismail Yusop.
Mengulas lanjut, Dr Muhammad berkata, status quo bagi kerusi Parlimen dan Dun PKR negeri ini masih dikekalkan seperti mana PRU12 lalu iaitu  10 (Parlimen) dan 20 (Dun).
Namun katanya, berlaku sedikit perubahan pada dua kerusi Dun masing-masing di Lintang dan Changkat Jering apabila Majlis Pimpinan PKR Negeri sudah menyatakan kesediaan untuk bertukar kerusi dengan Pas.

“Setakat ini, hanya satu kerusi sudah dimuktamadkan iaitu Dun Lintang dipindah ke Kenering (Pengkalan Hulu) sementara Changkat Jering masih dalam perbincangan akhir bersama Pas,” katanya.

Berdasarkan keputusan PRU lalu, PKR menang di tiga kerusi iaitu Bagan Serai, Sungai Siput dan Gopeng, tujuh lagi kuota parlimen adalah  Padang Rengas, Tambun, Tapah, Pasir Salak, Lumut, Bagan Datoh dan Tanjung Malim.

Bagi Dun pula, PKR menang di tujuh kerusi iaitu Kuala Kurau, Kuala Sepetang, Changkat Jering, Simpang Pulai, Teja, Hutan Melintang dan Behrang.

Sementara kerusi kalah, Pengkalan Hulu, Temenggor, Kota Tampan, Batu Kurau, Alor Pongsu, Lintang, Hulu Kinta, Bukit Chandan, Bota, Tualang Sekah, Chenderiang, Sungai Manik dan Pangkor.

SINAR/-

PRU13: Berjuang bebaskan perhambaan sesama manusia

23 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Gerak kerja dari semalam hingga ke hari Pilihan raya Umum Ke-13 (PRU13) akan akan menentukan hala tuju negara kita, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Mulai semalam, semboyan sudah berbunyi. Kita berada pada tahap 'our last mile' atau sebatu yang terakhir dari ribuan batu yang diharungi dalam perjuangan menghapuskan 'musuh' negara ini.

"'Last mile' yang akan menentukan hala tuju negara kita," katanya.

Menurut Mahfuz, sejak dari Pilihan Raya Umum Ke-12 sehingga hari ini rakyat berjuang habis-habisan untuk menjatuhkan Umno Barisan Nasional (BN).

"Kita berjuang untuk mengembalikan kemerdekaan sejati buat tanah air tercinta ini. Kita berjuang utk mengembalikan keadilan hakiki kepada kita rakyat negara ini.

“Kita berjuang, katanya, agar kita dan tanah air ini dapat ditadbir dengan matlamat menjadikan rakyat dan negara ini bebas dari kongkongan pemerintah yang zalim dan rakus, bebas dari penghinaan, bebas dari ketakutan supaya hasil negara dapat dikecapi oleh semua golongan masyarakat,” ujarnya.


Ahli Parlimen Pokok Sena itu dalam sistem mesej singkat (sms) menegaskan, perjuangan adalah untuk membebaskan manusia daripada perhambaan kepada sesama manusia.

"Ayuh semua! Asal bukan Umno!" tegas beliau lagi.

HARAKAHDAILY/-

Dun Pulau Pinang dijadual bubar esok

23 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
 
SHAH ALAM - Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Pinang dijangka dibubarkan esok bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-13 peringkat negeri diadakan serentak bersama pusat.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, beliau telah menghadap Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas di kediaman rasminya Seri Mutiara untuk memohon perkenan bagi pembubaran Dun.

"Dalam mesyuarat (semalam),  barisan Exco kerajaan negeri Pulau Pinang telah bersetuju dengan saya untuk menerima permintaan bertulis Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membubarkan Dun.

"Ini akan membenarkan Pilihan Raya Umum ke-13 untuk diadakan secara serentak di peringkat negeri dan juga persekutuan.

"Saya juga telah mencadangkan kepada Yang Dipertua Negeri untuk mempertimbangkan hari esok sebagai tarikh pembubaran," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Guan Eng, oleh kerana beliau terpaksa bergegas ke Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, akan mengaturkan sidang akhbar di Komtar pada jam 10.30 pagi esok.

sinar/-

Tarikh pengumuman senarai penuh calon KEADILAN

23 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


keadilanKUALA LUMPUR 4 APRIL: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan senarai penuh calon KEADILAN yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) secara berperingkat bermula malam ini.

Pengumuman itu akan dibuat Ketua Umum sempena siri Jelajah Merdeka Rakyat selepas pembubaran Parlimen semalam.

Jadual jelajah sembilan hari berturut-turut itu seperti berikut:
4 April (Khamis) – Perak di Gerik (11 malam)

5 April (Jumaat) -  Pulau Pinang di Batu Maung (11 malam)
6 April (Sabtu) – Kelantan di Tanah Merah (9.30 malam)

7 April (Ahad) – Perlis di Kuala Perlis (8.30 malam) dan Kedah di Merbuk (11 malam)
8 April (Isnin)  -  Negeri Sembilan (tempat akan dimaklumkan) (8.30 malam), Melaka di Ibu Pejabat Negeri (10 malam)  dan Johor di Muar (11 malam)

9 April (Selasa) – Pahang di Kuantan (9 malam) dan Terengganu di Kemaman (11 malam)
10 April (Rabu) – Selangor dan Wilayah Persekutuan (tempat dan waktu akan dimaklumkan)
11 April (Khamis) – Sarawak di Petra Jaya, Kucing (waktu akan dimaklumkan)
12 April (Jumaat) – Sabah di Sandakan (waktu akan dimaklumkan)

 keadilandaily/-

Pengerusi SPR: Sudah ada bayang-bayang tarikh PRU

23 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -



Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) boleh diadakan selewat-lewatnya 28 Mei berikutan pembubaran Dewan Rakyat hari ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata tarikh itu juga mengambil kira pembubaran automatik Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pada 28 Mac lepas.

"Kalau kira mulai 3 April hari ini, (tempoh 60 hari) akan habis 3 Jun, jadi ia sudah terlepas (tarikh pembubaran DUN) Negeri Sembilan. Maka perlu adakan (PRU-13) selewat-lewatnya 28 Mei," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Soal Jawab terbitan TV3 yang dihoskan oleh Pengarah Eksekutif Operasi Berita dan Editorial Media Prima Bhd Datuk Ahmad A. Talib, malam tadi.

Ditanya mengenai bayangan tarikh penamaan calon dan pengundian, Abdul Aziz berkata: 

"Ada bayang-bayangnya tetapi tidak sesuai saya sebutkan di sini kerana perlu dibincangkan dengan panel-panel (SPR) yang lain".

Abdul Aziz berkata banyak faktor yang perlu dipertimbangkan termasuk peristiwa keagamaan, keadaan cuaca dan penganjuran acara-acara besar dalam memilih tarikh pilihan raya.

"Cuti sekolah bukan jadi pertimbangan kita. Bila anggota panel SPR bermesyuarat, semua akan kemuka pendapat dan kita akan ambil keputusan sebulat suara," katanya.

Beliau juga menolak tanggapan sesetengah pihak bahawa PRU-13 itu akan menjadi pilihan raya "terburuk" dalam sejarah negara, kononnya berlaku penipuan oleh pihak SPR dan parti-parti politik.

"Saya langsung tak percaya PRU-13 ini adalah yang terburuk. Sekiranya semua pihak termasuk parti politik, calon-calon parti, calon Bebas, pemerhati dan badan bukan kerajaan (NGO) beri kerjasama dengan SPR, saya percaya PRU-13 akan berjalan dengan baik, aman dan teratur," katanya.

Abdul Aziz menarik perhatian SPR memperkenalkan 19 pembaharuan dalam proses pilihan raya kali ini termasuk undi awal, dakwat kekal dan pembersihan berterusan Daftar Pemilih.

"SPR hanya sediakan gelanggang, tempat bertanding dan sediakan alat-alat (untuk mengundi). Yang tentukan menang atau kalah calon pilihan raya adalah pengundi," katanya. 

- Bernama

Pemimpin amanah pilihan rakyat

23 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


RAKYAT sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) mempunyai tugas dan tanggungjawab yang penting dan amat besar.

Rakyat juga akan ditanya jika tersalah memilih pemimpin mereka yang tidak amanah. Beberapa sifat baik seperti amanah, jujur dan sentiasa memikirkan kebaikan terhadap perkhidmatan rakyat tentunya akan menjadi pilihan.

Sebagai pengundi dan pemilih kepada pemimpin, wajarlah seseorang itu memerhati dengan mata hati; merenung jauh dengan bijaksana akan pemimpin  yang bakal dipilih memimpin mereka.

Jika tersalah pilih selama lima tahun rakyat akan menerima tempias dan kesannya.

Justeru, pemimpin yang amanah akan melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna. Seseorang pemimpin itu tidak akan mengecewakan dan menghampakan harapan orang yang memberikan kepercayaannya. Begitulah sepatutnya dengan pemimpin politik masa kini.

Pemimpin sepatutnya tidak akan menghampakan harapan orang yang memberikan kepercayaan kepadanya khususnya rakyat dan pengundi.

Pemimpin yang amanah akan menjaga imej dirinya, menjaga kerjanya seperti tidak menyalahgunakan wang rakyat.

Seseorang pemimpin akan  merahsiakan sesuatu perkara yang diamanahkan kepadanya.

Pemimpin yang amanah sentiasa bercakap benar, menunaikan janji-janjinya serta mendukung slogan dan kata-kata “Bersih, Cekap dan Amanah”. Banyak kalangan pemimpin politik yang kadang-kadang bercakap dan berjanji tetapi tidak menunaikan janji.

Sikap amanah perlu dijadikan pegangan hidup setiap mereka yang ingin menjadi pemimpin.
Sebagai contoh bersikap amanah dalam organisasi pentadbiran atau kegiatan politik. Sikap amanah ini juga adalah sikap bertanggungjawab yang boleh menimbulkan kepercayaan dan keyakinan orang ramai.

Janji-janji dalam manifesto parti dalam PRU13 juga adalah amanah yang mesti ditunaikan.

Jika janji dalam manifesto parti pada PRU12 lalu belum ditunaikan, rakyat pastinya akan menanti dan memastikan, sama ada janji tersebut sudah dilaksanakan atau belum. Jangan janji sampai memakan diri dan parti.

Sikap amanah ini dapat dilihat melalui percakapan dan kelakuan seseorang pemimpin. Tidak melakukan pengkhianatan terhadap rakyat. Melakukan aktiviti pembangunan secara terkawal. Mengawal dan mengurangkan aktiviti penerokaan hutan dan pembalakan.

Manusia yang tamak akan meneroka dan memusnahkan alam. Manusia yang rakus lupa akan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin untuk memakmurkan alam.

Semua agama menekankan kepentingan nilai amanah dalam kehidupan. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada iman bagi orang yang tidak amanah dan tidak ada agama bagi orang yang tidak menepati janjinya.” (Riwayat Imam Ahmad dan Ibnu Hibban).

Sabda Baginda juga, “Akan sentiasalah umatku dengan kebaikan selama dia tidak melihat sifat amanah itu sebagai harta rampasan dan sedekah itu sebagai denda.”

Justeru, pemimpin yang amanah dan menunaikan banyak kemahuan dan perkhidmatan untuk rakyat pasti akan dipilih oleh rakyat dalam PRU13. Mereka yang tidak mempunyai sikap ini akhirnya lambat laun akan ditolak oleh rakyat  sebagai pengundi.

Keistimewaan seseorang pemimpin adalah apabila berjaya melaksanakan tanggungjawabnya dengan penuh amanah.
Sikap pemimpin yang amanah adalah pada menyempurnakan satu tanggungjawab yang hebat dan mulia. 
Inilah tanggungjawab pemimpin yang paling besar dan paling mencabar dalam melaksanakan tugasnya.
Amanah lawannya khianat. Melaksanakan amanah adalah pintu rezeki. Melakukan khianat akan memendekkan usia kepimpinan.
Bagi mereka yang amanah akan sentiasa berusaha melaksanakan apa yang diamanahkan kepadanya.
Pemimpin yang amanah akan sentiasa disokong oleh rakyat dan pengundinya. Ini pasti terbukti melalui PRU13 yang sudah semakin dekat dan mencabar, apatah lagi Parlimen sudah dibubarkan semalam.
Sinar/-

44 terbunuh, 91 cedera serangan bom nekad di mahkamah Afghanistan

23 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


HERAT (Afghanistan): Sembilan militan Taliban menyerbu ke dalam kamar mahkamah Afghanistan hari ini, sebelum meledakkan bom yang dipakai mereka sehingga mengakibatkan sekurang-kurangnya 44 terbunuh. 

Kejadian itu berlaku ketika perbicaraan membabitkan 10 rakan seperjuangannya sedang berlangsung, iaitu kes serangan maut kira-kira setahun lalu. 



Menurut pihak berkuasa Afghanistan, kesemua pengebom nekad itu terbunuh di tempat kejadian, di mana serangan itu dimulakan dengan letupan bom kereta di pintu masuk mahkamah. 

"Saya boleh sahkan 34 orang awam, enam tentera, empat anggota polis terbunuh dalam kejadian di kamar mahkamah itu. Selain itu, 91 mangsa lain yang mana sebahagian besarnya adalah orang awam mengalami kecederaan," kara jurucakap Timbalan Menteri Dalam Negeri, Najib Danish di sini, hari ini. - AFP

Kehebatan calon dari Pakatan Rakyat

23 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Datuk Seri Najib Tun Razak dengan wajah muram dan kelihatan sugul telah membubarkan Parlimen kelmarin untuk memberi laluan kepada PRU Ke-13 dalam suasana yang kelihatan tidak memihak kepada Umno/BN atas pelbagai isu.

Mengapa beliau bermuram durja ketika berucap membubarkan parlimen, tersasul pula menyebut 2012, pada hal 2013, adakah kerana tekanan para menteri, atau masalah dalam BN?

Dalam masa yang sama kelmarin, Pakatan Rakyat telah mengumumkan nama-nama besar calonnya untuk bertanding, di samping akan menyusul lagi pengumuman bakal calon Pakatan dari masa ke semasa. 

Pemimpin Pakatan telah mengumum, setakat ini, dua jeneral bersara akan bertanding sebagai calon Parlimen di Johor Bahru dan  Baling Kedah.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah membuat pengumuman dramatik bahawa bekas Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) yang mengisytiharkan menyertai PAS baru-baru ini, Briged Jeneral (B) Datuk Najmi Ahmad, akan bertanding di Parlimen Baling pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Sementara Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan pula akan bertanding di Parlimen Temerloh dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi, seorang peguam, akan bertanding di Parlimen Titiwangsa.

Presiden PAS itu turut mengumumkan penyertaan bekas Duta Malaysia ke Australia, Arab Saudi dan Iran, Datuk Adnan Othman ke dalam PAS.

Datuk Seri Presiden  ketika mengumumkan bakal-bakal calon itu berkata, calon-calon lain akan diumumkan oleh PAS dari masa ke semasa.

Sebelum ini, Lim Kit Siang diumumkan akan bertanding di parlimen Gelang Patah dan Liew Chin Tong di Kluang. Sementara  bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari dijangka akan bertanding sebagai calon PAS di Larut.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali di sidang akhbar itu mengesahkan kawasan Parlimen Larut akan diwakili oleh Datuk Fauzi Shaari.

Sehubungan itu, kata Mustafa, masalah calon di kawasan itu sudah pun diselesaikan dan ia diterima baik oleh akar umbi parti itu.

Sementara itu, Pakatan Rakyat terus membariskan 'heavyweight' di Johor dengan meletakkan bekas Ketua Turus Tentera Darat, Jeneral (B) Tan Sri Md Hashim Hussein sebagai calon PKR untuk kerusi Parlimen Johor Bahru.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengumumkan bahawa Choong sebagai calon kerusi parlimen  Tebrau, Nor Hizwan Ahmad (parlimen Muar) dan Datuk Idris Jauzi (parlimen Batu Pahat).

Choong adalah timbalan setiausaha agung PKR dan dikaitkan sebagai penyokong kuat Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng.

Sementara Nor Hizwan - anak kelahiran  Muar - pernah bersama MAS, dan aktif di PKR Ampang sebelum dilantik sebagai penyelaras PKR bagi parlimen Muar.

Idris adalah Naib Presiden NGO Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) dan bekas pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Hubungannya dengan Anwar bermula sejak Anwar berada dalam kerajaan, sewaktu Idris menjadi timbalan ketua pengarah Biro Tata Negara (BTN).

Anwar membuat pengumuman itu di depan ribuan penyokong di Ceramah Perdana Merdeka Rakyat di Kampung Datuk Sulaiman Menteri, Johor Bahru malam kelmarin.

Pada pilihan raya umum 2008, Tan Sri Shahrir Samad - tokoh Umno menewaskan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hassan Karim dengan majoriti 25,349 undi.

Dengan pengumuman itu, ia dilihat sebagai usaha Pakatan Rakyat untuk 'menawan' negeri di selatan semenanjung Malaysia - yang sebelum ini dianggap simpanan tetap BN.

Sementara itu di Kedah, jika perkiraan dibuat berdasarkan majoriti yang diperoleh dalam pilihan raya umum 2008, Pakatan Rakyat sudah selamat di sekurang-kurangnya 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah dan hanya memerlukan tiga lagi kerusi untuk sekali lagi menang mudah.

Di Kelantan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat mengesahkan PAS Kelantan sudah menyiapkan senarai calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Beliau berkata, hingga semalam, tiada apa-apa masalah berlaku dalam proses penyenaraian calon di negeri ini sehingga Parlimen dibubarkan.

“Kira selesai, tiada masalah. Kita tahu Umno terlalu lemah sekarang ini, sebab itu dia (Umno) bagi duit kepada rakyat. Bagi duit kerana apa? Sama ada rasuah, maka rasuah itu haram, demokrasi pun kata haram, Islam pun kata haram,” katanya.

Sementara itu, banyak lagi calon berwibawa akan dikemukakan oleh PAS/Pakatan dari negeri-negeri yang kini belum lagi diumumkan. 

Dijangka calon itu dari pelbagai golongan – paduan dari ulama, profesional, tokoh pendidik, bekas pensyarah, bekas pegawai kerajaan dan sebagainya.

Dengan kombinasi yang baik ini prestasi Pakatan Rakyat dikayakini akan jauh lebih baik dari PRU 2008. Kerana itu pihak yang meramalkan kononnya tidak akan berlaku lagi tsunami politik dalam PRU akan datang hanya agakan saja, yang dibina berasaskan kebencian kepada Pakatan Rakyat.

Oleh itu, tidak syak lagi, kekuatan PAS/Pakatan Rakyat ialah kerana kejayaannya menggembling semangat, pemikiran aspirasi dan tenaga rakyat, dipadukan di tengah sebuah gelombang kebangkitan rakyat yang didukung oleh generasi baru.

Ini menghairankan orang Umno sendiri dan penyokongnya, yang selama ini tidak pernah mereka alami. Dalam masa yang sama anak muda yang pulang ke kampung membawa berita perkembangan terkini di bandar di mana sama sekali mereka tidak pernah lihat dan dengar melalui media tradisional.

Inilah perkembangan baru yang menakutkan Umno/BN dalam menghadapi PRU akan datang. Lebih-lebih lagi apabila golongan anak muda beriringan menyaksikan bekas general, bekas pegawai tinggi polis, bekas pegawai tinggi kerajaan, malah para artis menyertai Pakatan Rakyat.

Harakahdaily/-

Ke mana RTM setelah 67 tahun?

23 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


RADIO Televisyen Malaysia (RTM) genap 67 tahun Isnin lalu. Kami meraikan ulang tahun tersebut dengan menghimpunkan lebih 100 orang kakitangan dan bekas kakitangan stesen kerajaan itu pada satu majlis yang amat ceria lagi penuh nostalgia.

Auditorium Karangkraf petang itu merakamkan upacara menandatangani MoU penerbitan buku Biografi 67 Mutiara RTM antara Persatuan Veteran RTM (PVRTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Karangkraf sebagai penerbit.

Seperti yang dijelaskan oleh Helan Abu, Presiden PVRTM, buku tersebut akan memuatkan kisah suka duka petugas RTM dari berbagai profesion – wartawan, penerbit, juruhebah, juru foto, tenaga teknikal, dan lain-lain – sebagai khazanah ilmu kepada masyarakat, khasnya kepada pelajar dan pengkaji bidang penyiaran.

Secara peribadi saya ada nostalgia sendiri mengenai stesen tersebut - saya membesar bersamanya. Masih terbayang radio transister jenama Blaupunkt sais setengah pemeluk, ada tombol sebesar penumbuk untuk mencari siaran.

Antara kata-kata yang saya dengar setiap hari, tetapi ketika itu belum dapat memahami maksudnya ialah: “Inilah radio Malaya Kuala Lumpur.” Setahu saya radio itu milik abah, bukan milik Malaya!

Termasuk juga perkataan yang setiap hari saya dengar tetapi tidak faham apa maksudnya ialah ‘gelombang pendek’, ‘gelombang sederhana’. Apa yang saya tahu, seperti kata abah, gelombang atau ombak besar hanya ada di laut. Macam mana boleh masuk radio?

Tidak ada cafe siber, tidak ada karaoke, juga tidak ada pawagam. Satu-satunya sumber hiburan, juga sumber informasi, adalah radio. Saya betul-betul pencandu tegar Radio Malaya yang kemudian bertukar menjadi Radio Malaysia.

Jarang saya terlepas rancangan ‘Lawak Jenaka’ oleh Jamal Kerdil, Ibrahim Din dan SM Salim. Ujian bulanan markah semua merah pun hati akan terhibur dengan lawak mereka. Tidak akan dilepaskan juga – sanggup tidak ikut abah solat Isyak di surau – ialah Kebun Pak Awang, Mata-Mata Gelap. Rancangan berbeza-beza, pelakonnya orang yang serupa juga.

Paling saya minati ialah rancangan sejam Sandiwara Radio, sebelah petang Selasa. Kalau skripnya ditulis oleh Jah Lelawati, minta ampun emak jangan suruh saya ke kedai membeli garam, kelas agama sebelah petang pun saya sanggup ponteng.

Saya ingat Karim Muhamad yang terkenal dengan ulasan langsung setiap perlawanan bola. Suaranya macam peluru. “Gol!” Jerit Karim dan pendengar bersorak sambil menumbuk meja. Tetapi sedetik kemudian pendengar menumbuk radio apabila pengulas berkata: “Ohhh, tidak gol rupanya...”
Antara juruhebah wanita bersuara manja yang selalu membuat saya longlai ialah Salasiah Zakaria dan Rokiah Haji Ramlan. Awal 70an saya berpeluang melawat stesen radio di Federal House, berhampiran Dataran Merdeka, dan bertemu Rokiah. Memang manis dan manja habis.
Hari ini saya mendengar radio hanya di kereta semasa terperangkap dalam kesesakan. Ada berpuluh stesen RTM dan berpuluh lagi radio swasta. Tidak perlu memutar tombol besar untuk memilih stesen, cukup dengan hanya sentuhan jari, semua telah diset mengikut pilihan.
Ada stesen untuk audien tertentu: yang minat agama buka Ikim FM, orang bisnes ada BFM, anak muda ada Hot FM. Ada Sinar, ada Suria, ada Era. Saya sudah tua, tidak sesuai dengan Hot FM. Saya sudah masuk golongan Klasik FM, tetapi sesekali masuk juga Mix FM.
Perihal sandiwara, rancangan kesukaan saya dulu-dulu itu, sampai sekarang boleh diikuti setiap masa sepanjang 24 jam. Cuma saya sudah tidak minat sandiwara di udara, sebaliknya lebih banyak mengikuti sandiwara di luar radio dan TV, yang diarah dan dilakonkan oleh para politikus kita. Hari-hari ada sandiwara baru.
Dulu-dulu pengumuman pilihan raya hanya dibuat menerusi RTM, tidak ada stesen lain. Tetapi pengumuman Datuk Seri Najib Razak semalam mengenai pembubaran Parlimen, tidak sahaja disiarkan stesen kerajaan, tetapi juga oleh sekian banyak stesen dan rangkaian lain. Stesen kerajaan sudah kehilangan hak eksklusif.
Masa berlalu, zaman berubah, selera pun banyak bertukar. Ada berpuluh stesen radio, beratus rangkaian TV. Harap-harap RTM tetap relevan, walaupun tanpa suara manja Salasiah Zakaria atau Rokiah Haji Ramlan.
Harakahdaily/-

Meter sudah dipasang tetapi masih guna air hujan

23 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


MIRI: Masih ramai lagi penduduk Kampung Lusut Jaya yang belum mendapat bantuan tangki air 1Malaysia seperti yang dijanjikan oleh pihak kerajaan BN.


“Mereka amat memerlukan tangki tersebut untuk menadah air hujan untuk kegunaan semasa musim kemarau atau ketika bekalan air terputus,” kata Yang Dipertua PAS Miri, Jofri Jaraiee dalam satu kenyataan.

[Gambar: Jofri (kanan) meninjau keadaan penduduk yang menghadapi masalah bekalan air di Kampung Lusut Jaya.]

Justeru, beliau menggesa Lembaga Air Kawasan Utara dan pihak yang berkaitan agar segera mengatasi masalah itu dari berpanjangan.

“Perkara ini sudah pun dilaporkan sebelum ini tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan susulan diambil untuk mengatasi masalah ini,” katanya.

Kenyataan penuh seperti di bawah.

Kampung Lusut Jaya 3 terletak dalam parlimen Sibuti, kebanyakan penduduknya adalah Bumiputera dari suku kaum Ulu, Kenyah, Kayan, Iban dan terdapat juga keluarga Melayu.

Baru-baru ini PAS Miri buat lawatan bersama Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu untuk meninjau keadaan kehidupan penduduk Kampung Lusut Jaya 3 yang mengalami masalah bekalan air yang sering kali terputus.

Menurut salah seorang penduduk di situ yang dikenali sebagai Jimbai ak Sigi, mereka terpaksa menggunakan air tadahan hujan dari tangki yang mereka beli sendiri untuk mendapatkan air bersih sebab air paip tidak dapat digunakan sama sekali walaupun meter sudah dipasang.

Loji Perawatan Air LAKU (Lembaga Air Kawasan Utara) di Lambir hanya beberapa kilometer saja dari tempat kediaman mereka tetapi tekanan air amat rendah sehingga menyebabkan air tidak keluar dari pili dan yang keluar hanya tekanan angin.

Mereka sudah lama memohon bekalan air bersih sejak tahun 2008 dan sebelum itu mereka juga pernah menyuarakan masalah yang sama kepada pihak yang berkenaan tetapi sehingga kini masalah bekalan air bersih masih belum dapat diatasi sepenuhnya.

Walaupun air dari pili tidak keluar, mereka terpaksa membayar bil air setiap bulan RM5 untuk meter air paip tersebut. Mereka merasa rugi kerana terpaksa membayar meter air yang tidak berfungsi serta tiada perkhidmatan yang diberi dan mereka juga amat kecewa dengan sikap pihak yang bertanggungjawab dalam pengurusan bekalan air yang tidak menghiraukan masalah mereka selama ini.

Ada juga di kalangan mereka terpaksa mengunakan air tadahan hujan dalam kolam untuk kegunaan harian tetapi apabila musim kemarau, air takungan dalam kolam akan kering dan sudah tentu ini akan menyukarkan mereka untuk mendapatkan bekalan air untuk kegunaan harian.

Lagi pun air takungan dalam kolam tidak begitu sesuai untuk membersihkan bahan makanan dan juga tidak selamat untuk diminum, dan ianya paling sesuai untuk pembiakan nyamuk Aedes terutama sekali selepas musim hujan.

Antara masalah lain masih ramai lagi penduduk Kampung Lusut Jaya yang belum mendapat bantuan tangki air 1Malaysia seperti yang dijanjikan oleh pihak kerajaan BN. Mereka amat memerlukan tangki tersebut untuk menadah air hujan untuk kegunaan semasa musim kemarau atau ketika bekalan air terputus.

Kita menggesa pihak LAKU (Lembaga Air Kawasan Utara), dan pihak yang berkaitan agar segera mengatasi masalah ini dari berpanjangan. Perkara ini sudah pun dilaporkan sebelum ini tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan susulan diambil untuk mengatasi masalah ini.

Kerjasama dengan semua pihak yang terlibat untuk menyelesaikan masalah Kampung Lusut Jaya 3 ini amat dihargai.

Harakahdaily/-

Berjuang bantu Palestin

23 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


logo tabung gaza

Tabung Kemanusiaan Gaza.
Palestin adalah bumi suci kerana di situlah terletaknya Masjidil Aqsa yang menjadi kiblat pertama umat Islam pada zaman Rasulullah SAW.
Namun, kesucian tanah suci itu dicabul Zionis durjana.
Kekejaman Israel dan sekutunya ke atas bumi Palestin sudah terakam dalam al-Quran.
Di bumi suci itu, seorang bapa keluar dari rumah dengan membawa senjata di tangan sambil menangis melihat keluarga tersayang. Air mata menitis kerana tahu bahawa itulah kali terakhir dia melihat isteri serta anaknya tersayang kerana sebentar lagi dia akan syahid menentang musuh ALLAH.

Si anak segera menarik tangan si ayah sambil menangis dan berkata, “Ayah, jangan tinggalkan saya dan mak. Siapa yang akan menjaga kami selepas ketiadaan ayah?”

Mendengar ucapan si anak, giliran ayah pula meratap sedih, lalu memeluk anaknya sambil berkata, “Kamu jagalah ibumu selepas ketiadaan ayah.”

“Ayah, mengapa saudara kita langsung tidak pedulikan kita? Mengapa mereka tidak selamatkan kita dan mengapa mereka sendiri berharap kepada musuh ALLAH untuk selamatkan kita?” Kata si anak sambil menangis.

Dapatkah kita bayangkan sekiranya kita berada di tempat mereka? Sedarilah bahawa apa yang umat Islam lakukan sekarang bukanlah apa yang diharapkan oleh semua pejuang dan bangsa di Palestin untuk selamatkan mereka, tapi apa yang mereka harapkan daripada kita adalah kita turut berjuang bersama mereka menentang musuh ALLAH SWT.

Bagaimana kita boleh berjuang bersama mereka? Dengan menghulur sumbangan ke Tabung Sinar-Gaza menerusi akaun tertera, kita dapat sama-sama membantu perjuangan mereka. Untuk keterangan lanjut, anda juga boleh menghubungi Sekretariat Sinar Harian di talian 03-51013888.

Sinar/-

Jiran bantu selamat rumah daripada hangus

23 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Jiran bantu selamat rumah daripada hangus

Sudirman (lima, kiri) menyampaikan sumbangan kepada Sabitah, semalam.
BANTING - Tindakan pantas jiran membantu memadam kebakaran dengan menggunakan air parit berjaya mengawal api daripada memusnahkan kediaman ibu tunggal, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2 petang di Jalan Parit 9  Kampung Kelanang itu, kebakaran itu berjaya dipadamkan  bomba yang tiba di lokasi sejurus menerima panggilan orang awam.

Mangsa, Sabitah Mohd Jamin berkata, dia panik apabila melihat api marak pada bahagian dapur, namun sempat meminta pertolongan daripada jiran.

Katanya, jiran menggunakan baldi untuk mengangkut air dari parit berhampiran untuk membantu memadamkan api daripada terus merebak.

"Alhamdulillah api berjaya dipadamkan  dengan bantuan jiran dan anggota bomba. Saya bersyukur kerana selamat walaupun mengalami kerugian. Jumlah kerugian masih disiasat," katanya ketika ditemui, semalam.

Sementara itu Bendahari Jawatankuasa Sukarelawan Kebajikan Kuala Langat, Sudirman Ismon menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban yang terpaksa ditanggung Sabitah akibat kejadian itu.

"Bantuan segera ini disampaikan merupakan tanda simpati atas kejadian yang menimpa keluarga Sabitah dan berharap mampu meringankan beban yang ditanggung," katanya.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Sukarelawan Kebajikan Kuala Langat, Hafez Shuriddin dan Ketua Kampung Kelanang, Rahmat Atan.

Sinar/-

Mesyuarat khas SPR tentukan tarikh PRU awal minggu depan

23 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Wan Ahmad Wan Omar

Wan Ahmad Wan Omar
SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi menentukan tarikh penamaan calon dan pengundian Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) awal minggu depan.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya masih menunggu surat makluman pembubaran daripada Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (Dun) seluruh negara.

"Kita kena menghormati keputusan (pembubaran). Ada negeri belum bubar Dun... kita tunggu makluman daripada speaker negeri masing-masing.

"Lagipun SPR ada beberapa perkara yang harus diselesaikan minggu ini. Jadi, mesyuarat khas akan diadakan awal minggu depan," kata beliau kepada Sinar Harian Online malam tadi.

Ketika dihubungi malam tadi, hanya Dewan Rakyat dan empat Dun telah sah dibubarkan.

Menjelang tengah malam dua lagi negeri membubarkan Dun.

Setakat tengah malam tadi, Dun Perlis, Melaka, Sabah, Perak, Pahang dan Terengganu sudah diisytiharkan pembubaran.

Sinar/-

Dewan Rakyat, 6 Dun bubar rakyat tunggu PRU

23 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Dewan Rakyat, 4 Dun bubar hari ini

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menandatangani warkah dipersembahkan Najib bagi memohon perkenan pembubaran Dewan Rakyat di Istana Negara Kuala Lumpur har
KUALA LUMPUR - Pembubaran Dewan Rakyat pada hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah diikuti dengan pembubaran enam Dun setakat tengah malam tadi.
Kecuali Sarawak yang belum perlu membubarkan Dunnya dan Negeri Sembilan yang Dunnya terbubar secara sendiri pada 28 Mac lalu, negeri-negeri lain dijangka membubarkan Dun masing-masing dalam tempoh terdekat bagi membolehkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan PRU-13 secara serentak - membabitkan pertandingan di 727 kerusi, masing-masing 202 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dun.
Selepas pembubaran Dewan Rakyat, Perlis merupakan negeri pertama membubarkan
Dun diikuti Sabah, Melaka, Perak dan Terengganu.
Ia diikuti Pahang lewat malam tadi.
Empat negeri yang dikuasai parti-parti politik dalam pakatan pembangkang dijangka mengumumkan tarikh pembubaran Dun masing-masing hari ini.
Di Dungun, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan pembubaran Dun Terengganu berkuat kuasa semalam.
Ahmad yang membuat pengumuman itu pada pukul 10 malam berkata beliau telah menghadap Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Nur
Zahirah pada pukul 7.45 malam untuk mendapat perkenan baginda.

"Pukul 9 pagi esok (hari ini) Speaker Dun Datuk Tengku Putera Tengku Awang akan menghantar notis pembubaran kepada Suruhanjaya Pilihan Raya," katanya.
Di Georgetown, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, beliau akan memaklumkan mengenai tarikh pembubaran Dun selepas menghadap Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas pukul 9.30 pagi ini.
Di Kota Bharu, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Dun akan tetap dibubar sejajar dengan pembubaran Dewan Rakyat dan beliau tidak akan mengubah perkara itu walaupun kerajaan negeri masih boleh menangguh pembubaran itu.
Nik Abdul Aziz dijadual menghadap Sultan Kelantan Sultan Muhammad V di Istana Telipot di sini malam ini bagi mendapat perkenan baginda untuk pembubaran DUN Kelantan.
Sebelum itu beliau akan menghadiri mesyuarat bersama menteri besar dan ketua menteri negeri-negeri di bawah pakatan pembangkang di Pejabat PKR di Petaling Jaya, Selangor petang esok.
Di Alor Setar, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, beliau akan menghadap Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini berhubung urusan pembubaran Dun.
Selepas itu barulah beliau akan menghadap Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah bagi memohon perkenan untuk membubarkan Dun.

Sementara itu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob malam tadi mengumumkan pembubaran Dun. Bercakap kepada pemberita di pekarangan Istana Mahkota di sini pada pukul 11.45 malam ini, Adnan berkata, Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah memperkenankan pembubaran Dun Pahang.
Sebelum itu, Adnan menghadap Sultan Pahang pada jam 10.40 malam di istana itu.
Penggal lima tahun Dun Pahang tamat tempoh pada 7 April ini.
Pahang mempunyai 42 kerusi Dun. Pada pilihan raya umum 2008, BN memenangi 37 kerusi, DAP dan Pas masing-masing dua kerusi dan Bebas satu kerusi.
Adun Bebas di kawasan Dun Tanah Rata, Ho Yip Kap, kemudian menyertai parti Gerakan.
Terdapat 14 kawasan Parlimen di Pahang dan pada pilihan raya umum 2008, BN menguasai 12 kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat menang dua kerusi. - Bernama