04 April 2013

Meter sudah dipasang tetapi masih guna air hujan

23 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


MIRI: Masih ramai lagi penduduk Kampung Lusut Jaya yang belum mendapat bantuan tangki air 1Malaysia seperti yang dijanjikan oleh pihak kerajaan BN.


“Mereka amat memerlukan tangki tersebut untuk menadah air hujan untuk kegunaan semasa musim kemarau atau ketika bekalan air terputus,” kata Yang Dipertua PAS Miri, Jofri Jaraiee dalam satu kenyataan.

[Gambar: Jofri (kanan) meninjau keadaan penduduk yang menghadapi masalah bekalan air di Kampung Lusut Jaya.]

Justeru, beliau menggesa Lembaga Air Kawasan Utara dan pihak yang berkaitan agar segera mengatasi masalah itu dari berpanjangan.

“Perkara ini sudah pun dilaporkan sebelum ini tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan susulan diambil untuk mengatasi masalah ini,” katanya.

Kenyataan penuh seperti di bawah.

Kampung Lusut Jaya 3 terletak dalam parlimen Sibuti, kebanyakan penduduknya adalah Bumiputera dari suku kaum Ulu, Kenyah, Kayan, Iban dan terdapat juga keluarga Melayu.

Baru-baru ini PAS Miri buat lawatan bersama Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu untuk meninjau keadaan kehidupan penduduk Kampung Lusut Jaya 3 yang mengalami masalah bekalan air yang sering kali terputus.

Menurut salah seorang penduduk di situ yang dikenali sebagai Jimbai ak Sigi, mereka terpaksa menggunakan air tadahan hujan dari tangki yang mereka beli sendiri untuk mendapatkan air bersih sebab air paip tidak dapat digunakan sama sekali walaupun meter sudah dipasang.

Loji Perawatan Air LAKU (Lembaga Air Kawasan Utara) di Lambir hanya beberapa kilometer saja dari tempat kediaman mereka tetapi tekanan air amat rendah sehingga menyebabkan air tidak keluar dari pili dan yang keluar hanya tekanan angin.

Mereka sudah lama memohon bekalan air bersih sejak tahun 2008 dan sebelum itu mereka juga pernah menyuarakan masalah yang sama kepada pihak yang berkenaan tetapi sehingga kini masalah bekalan air bersih masih belum dapat diatasi sepenuhnya.

Walaupun air dari pili tidak keluar, mereka terpaksa membayar bil air setiap bulan RM5 untuk meter air paip tersebut. Mereka merasa rugi kerana terpaksa membayar meter air yang tidak berfungsi serta tiada perkhidmatan yang diberi dan mereka juga amat kecewa dengan sikap pihak yang bertanggungjawab dalam pengurusan bekalan air yang tidak menghiraukan masalah mereka selama ini.

Ada juga di kalangan mereka terpaksa mengunakan air tadahan hujan dalam kolam untuk kegunaan harian tetapi apabila musim kemarau, air takungan dalam kolam akan kering dan sudah tentu ini akan menyukarkan mereka untuk mendapatkan bekalan air untuk kegunaan harian.

Lagi pun air takungan dalam kolam tidak begitu sesuai untuk membersihkan bahan makanan dan juga tidak selamat untuk diminum, dan ianya paling sesuai untuk pembiakan nyamuk Aedes terutama sekali selepas musim hujan.

Antara masalah lain masih ramai lagi penduduk Kampung Lusut Jaya yang belum mendapat bantuan tangki air 1Malaysia seperti yang dijanjikan oleh pihak kerajaan BN. Mereka amat memerlukan tangki tersebut untuk menadah air hujan untuk kegunaan semasa musim kemarau atau ketika bekalan air terputus.

Kita menggesa pihak LAKU (Lembaga Air Kawasan Utara), dan pihak yang berkaitan agar segera mengatasi masalah ini dari berpanjangan. Perkara ini sudah pun dilaporkan sebelum ini tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan susulan diambil untuk mengatasi masalah ini.

Kerjasama dengan semua pihak yang terlibat untuk menyelesaikan masalah Kampung Lusut Jaya 3 ini amat dihargai.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: