04 April 2013

Mesyuarat khas SPR tentukan tarikh PRU awal minggu depan

23 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Wan Ahmad Wan Omar

Wan Ahmad Wan Omar
SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi menentukan tarikh penamaan calon dan pengundian Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) awal minggu depan.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya masih menunggu surat makluman pembubaran daripada Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (Dun) seluruh negara.

"Kita kena menghormati keputusan (pembubaran). Ada negeri belum bubar Dun... kita tunggu makluman daripada speaker negeri masing-masing.

"Lagipun SPR ada beberapa perkara yang harus diselesaikan minggu ini. Jadi, mesyuarat khas akan diadakan awal minggu depan," kata beliau kepada Sinar Harian Online malam tadi.

Ketika dihubungi malam tadi, hanya Dewan Rakyat dan empat Dun telah sah dibubarkan.

Menjelang tengah malam dua lagi negeri membubarkan Dun.

Setakat tengah malam tadi, Dun Perlis, Melaka, Sabah, Perak, Pahang dan Terengganu sudah diisytiharkan pembubaran.

Sinar/-

Tiada ulasan: