23 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
SUNGAI PETANI – “Saya halalkan sesiapa terbeli dan termakan kibas dicuri empat lelaki tanpa disedari di Pulau Song Song dalam kejadian kira-kira 7 malam kelmarin."
Demikian luahan penyelidik, Datuk Dr Husaini Yaacob juga seorang usahawan yang rugi RM20,000 apabila 10 ekor kibas disembelih dan dilarikan dalam kejadian itu.
Husaini yang sedang melakukan penyelidikan berhubung haiwan jenis kibas diimport dari Arab Saudi itu menempatkan kira-kira 20 ekor haiwan itu di kawasan ternakan di Pulau Song Song.
Menurutnya, ternakan itu bukan untuk dijual sebaliknya bagi tujuan pembenihan selain menjadi lokasi pelancongan untuk mana-mana penyelidik melakukan lawatan mahupun mendapatkan maklumat haiwan berkenaan.
“Tempat ini memang jadi lokasi persinggahan nelayan dari tiupan angin kencang atau dikunjungi mahasiswa, pelancong dan pengkaji dalam dan luar negara,” katanya.
Menceritakan kejadian, Husaini berkata, dalam insiden terbabit, empat lelaki 'berlagak' penjaga kibas datang ke lokasi ternakan itu menggunakan pukat dan jala bagi memerangkap haiwan itu.
“Ketika itu beberapa saksi ternampak dan menyangka, empat lelaki tersebut adalah pemilik haiwan lalu tidak mengesyaki apa-apa,” katanya.
Menurutnya, kesemua lelaki tersebut menangkap sebelum menyembelih haiwan tersebut dan ditarik ke dalam bot untuk dilarikan.
Katanya, pengangkutan bot adalah satu-satunya kenderaan untuk keluar dari Pulau Song Song dan tujuan kibas disembelih dahulu adalah untuk memudahkan pemindahan ke atas bot.
“Menurut saksi, insiden hanya disedari bila petugas kembali ke kawasan itu setengah jam kemudian mendapati 10 kibas hilang.
“Di lokasi sama juga ditemui kesan darah dipercayai akibat disembelih sebelum dibawa pulang menaiki bot bantuan kerajaan yang telah dikenal pasti nombor sirinya,” katanya.
Bagi menjejaki kejadian itu, beliau bersama beberapa petugas meninjau di Jeti Pendaratan Sungai Limau, Yan dan mendapati bot sama yang digunakan semasa insiden kecurian turut ditemui.
“Apabila ditanya mereka kata tidak terlibat,” katanya.
Beliau bagaimanapun tidak pasti 10 kibas tersebut dijual mahupun dimasak kerana jumlah itu sebenarnya boleh dibuat jamuan kepada kira-kira 1,500 tetamu.
“Saya tetap halalkan sesiapa yang termakan tetapi bagi pencuri yang melakukannya, dia harus bertanggungjawab sepenuhnya,” katanya.
Beliau kini bercadang mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka didapati terlibat kejadian berkenaan supaya kes itu tidak berulang.
“Walaupun ini salah satu cabaran yang terpaksa saya tempuhi, saya tidak pernah putus asa malah lebih bersemangat untuk meneruskan kajian saya berhubung haiwan ini,” katanya.
Sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan