04 April 2013

Jiran bantu selamat rumah daripada hangus

23 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Jiran bantu selamat rumah daripada hangus

Sudirman (lima, kiri) menyampaikan sumbangan kepada Sabitah, semalam.
BANTING - Tindakan pantas jiran membantu memadam kebakaran dengan menggunakan air parit berjaya mengawal api daripada memusnahkan kediaman ibu tunggal, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2 petang di Jalan Parit 9  Kampung Kelanang itu, kebakaran itu berjaya dipadamkan  bomba yang tiba di lokasi sejurus menerima panggilan orang awam.

Mangsa, Sabitah Mohd Jamin berkata, dia panik apabila melihat api marak pada bahagian dapur, namun sempat meminta pertolongan daripada jiran.

Katanya, jiran menggunakan baldi untuk mengangkut air dari parit berhampiran untuk membantu memadamkan api daripada terus merebak.

"Alhamdulillah api berjaya dipadamkan  dengan bantuan jiran dan anggota bomba. Saya bersyukur kerana selamat walaupun mengalami kerugian. Jumlah kerugian masih disiasat," katanya ketika ditemui, semalam.

Sementara itu Bendahari Jawatankuasa Sukarelawan Kebajikan Kuala Langat, Sudirman Ismon menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban yang terpaksa ditanggung Sabitah akibat kejadian itu.

"Bantuan segera ini disampaikan merupakan tanda simpati atas kejadian yang menimpa keluarga Sabitah dan berharap mampu meringankan beban yang ditanggung," katanya.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Sukarelawan Kebajikan Kuala Langat, Hafez Shuriddin dan Ketua Kampung Kelanang, Rahmat Atan.

Sinar/-

Tiada ulasan: