Sebelum membicarakan tajuk ini suka diperjelaskan di sini hukum umat Islam
keluar mengundi. Walaupun sudah banyak kali negara kita mengadakan pilihanraya
namun peratus yang keluar mengundi masih kecil, tidak 100 peratus. Ini
barangkali kerana mengundi tidak diwajibkan oleh kerajaan. Apatah lagi ulama
tidak pernah mengeluarkan fatwa mengenainya.
Ustaz Muhammad Kamil bin Abdul Majid
sewaktu bercakap dalam Wacana Ilmu “PRU
13: APLIKASINYA MENURUT PERSPEKTIF FIQH POLITIK ISLAM” pada 27 Mac 2013 di Dewan Besar, Kolej Dar
al-Hikmah, Kajang Selangor menyebut
hukum mengundi dalam konteks negara kita pada hari ini adalah wajib.
Hukum ini berdasarkan kaedah usul fiqh, “sesuatu
kewajipan (yang wajib) tidak menjadi sempurna melainkan dengan adanya perkara
itu maka perkara ini turut menjadi wajib.”
Perlu dijelaskan di sini, mendaulatkan Islam adalah wajib. Maka usaha untuk mendaulatkan
Islam perlu kepada sebuah negara. Untuk mewujudkan negara perlukan pemimpin
dalam kalangan orang-orang politik bagi mentadbir dan kenguruskannya. Jadi, untuk
mendapatkan pemimpin yang berkelayakan dalam urusan ini perlukan jihad atau
berjuang.
Pada zaman ini, perjuangan yang sesuai ialah dengan
sistem demokrasi ialah dengan mengundi mengikut suara banyak. Oleh sebab itu semua
rakyat perlu keluar mengundi bagi memilih mana-mana pemimpin yang berkelayakan
pada pandangannya. Jadi, mengundi termasuk dalam jihad yang wajib bagi
merealisasikan negara Islam di atas.
Berdasarkan hukum itu, setiap umat islam wajib
keluar mengundi pada hari yang ditetapkan. Maka berdosalah mereka yang tanpa
uzur meninggalkan kerja mengundi. Malah menurut ustaz Dr Zaharuddin Abdul
Rahman, mereka yang sengaja merosakkan undi adalah berdosa.
Bagaimana Memilih
Persoalan sekarang siapa yang kita perlu undi
dan pilih? Sebenarnya Islam menyediakan panduan bagaimana memilih pemimpin atau
wakil rakyat. Di kesempatan ini saya perturunkan panduan berdasarkan sabda Rasulullah
SAW:
فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
"ادْعُ لِي مُعَاوِيَةَ"، فَلَمَّا جَاءَهُ وَقَفَ بَيْنَ يَدَيْهِ ، فَقَالَ:
"حَمِّلُوهُ أَمْرَكُمْ؛ فَإِنَّهُ قَوِيٌّ أَمِينٌ
".
Maksudnya: …maka Rasulullah SAW bersabda;
panggilkan kepadaku Muawiyah. Apabila dia datang dan duduk di sisinya maka
sabdanya: Tugaskan dia urusan kamu maka sesungguhnya dia gagah dan amanah.
(Riwayat Ibnu Asakir)
Jelas di sini wakil yang akan pilih mestilah
ada dua ciri-ciri ini iaitu GAGAH DAN AMANAH. Gagah atau kuat dalam
konteks ini merujuk kepada kualiti individu atau batang tubuh wakil rakyat atau
pemimpin. Maknanya dia mestilah seorang yang yang adil, berani dan mampu
menjalankan tugas yang berat, berilmu pengetahuan luas (dunia/akhirat), hebat
dalam mengatur strategi baik dalam peperangan mahupun dalam pentadbiran.
Manakala Amanah pula, merujuk kepada
sikapnya yang amanah dengan tugas yang diberi, tidak pecah amanah dan tidak
menerima rasuah. Kedua-dua ciri ini mungkin sukar untuk kita menilainya kerana
sebagai pengundi kita tidak didedahkan sifat-sifat calon itu. Kalau wakil
rakyat yang lalu dicalonkan semula mungkin kita dapat menilai sama ada dia
memenuhi ciri-ciri itu atau tidak. Tetapi bagi yang baru dipilih, belum ada
rekodnya dan boleh jadi sewaktu berkempen kelihatan baik, sedangkan hakikatnya
tidak begitu.
Untuk kes sebegitu kita perlu merujuk kepada
parti yang mencalonkannya kerana parti yang telah mengenalpasti kelayakan
mereka. Maka sebagai pengundi kita hanya cukup meyakini kemampuan calon itu
dengan merujuk kepada dasar parti itu. Jika dasar parti ini jelas dan sudah ada
rekod kejayaan sebelum ini, maka pemilihan itu boleh diterima.
Cuma di sini timbul isu, bolehkah orang Islam
mengundi untuk orang bukan Islam. Ini kerana dalam parti ada pakatan yang telah
dibuat dan melibatkan orang bukan Islam. Apakah boleh kita memilih mereka berasaskan
dasar parti yang telah disepakatkan?
Menurut ustaz Dr Zaharuddin Abdul Rahman, jika
terdapat calon bukan Islam dalam parti dan dalam dasar parti ini jelas tidak bercanggah
dengan Islam malah serasi dengan Islam maka undian kita hendaklah berdasarkan
parti atau pakatan itu. Maknanya kita bukan mengundi orang bukan Islam itu
tetapi mengundi parti yang dianggotainya.
Dalam hal ini kita mesti menilai prestasi
sesebuah parti yang bertanding. Kalau mereka sudah memerintah untuk satu atau
lebih penggal, lihatlah kejayaannya adakah menggalakkan atau tidak. Lihatlah juga
kualiti perkhidmatannya adakah memuaskan rakyat atau tidak. Tetapi kalau parti
itu tidak pernah memerintah, lihatlah apakah sumbangan kebajikan yang telah
dilakukan sepanjang tahun.
Jadi, sebagai rakyat kita boleh menilai sendiri
adakah parti yang memerintah itu mampu atau tidak, adil atau tidak, ikhlas atau
tidak. Jika sewaktu memerintah, mereka dapat melaksanakan amanah dengan
sebaiknya tanpa banyak cakap, tentulah mereka mampu. Tetapi jika sepanjang
pemerintahan itu banyak pembangunan dihalakan ke satu pihak dan mengabaikan
satu pihak lagi tentulah mereka tidak adil.
Jika semasa pemerintahan dipenuhi janji seperti
yang dijanjikan, tetapi sumbangan itu dianggap sebagai jasa yang perlu dikenang
dan sebagai balasannya rakyat perlu mengekalkan pemerintahannya, maka ternyata mereka
tidak ikhlas. Dan termasuk juga tidak ikhlas, apabila sesuatu yang dilakukan
pada saat-saat akhir bagi tujuan memancing undi.
Berdasarkan panduan ini, diharapkan semua
rakyat Malaysia terutama yang beragama Islam, keluarlah beramai-ramai untuk
mengundi calon yang kita yakin boleh mentadbir negara dan negeri dengan baik
mengikut acuan Islam.
Ahmad Baei Jaafar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan