04 April 2013

Tercampak sebelum digilis

23 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Tercampak sebelum digilis

Motosikal yang ditunggangi mangsa ketika kejadian di KM 5 jalan Bahau - Kemayan.
JEMPOL- Seorang pemuda maut apabila bahagian tempurung kepalanya pecah setelah terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan lain di Kilometer 5 Jalan Bahau–Kemayan, di sini malam kelmarin.

Ketua Polis daerah, Superintendan Hamzah Alias berkata, mangsa Norazhar Mohammad Nor 28, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Felda Raja Alias Empat.

“Dalam kejadian sekitar jam 11.10 malam itu, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Nouvo LC secara sendirian datang dari arah Bahau dipercayai cuba memotong sebuah lori treler di hadapannya.

“Namun ketika cuba memotong, motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan treler berkenaan lalu menyebabkan mangsa terjatuh di atas bahu jalan.

“Manakala motosikalnya pula terseret ke tengah laluan bertentangan dan menyebabkan sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi dari laluan bertentangan gagal mengawal kenderaannya dan merempuh motosikal tersebut,” katanya ketika mengesahkan kejadian itu, semalam.

Hamzah berkata, mangsa yang berada di laluan tengah pula dikatakan tidak sempat menyelamatkan diri lalu dirempuh oleh sebuah kenderaan lain dari arah Bahau iaitu laluan asal mangsa.

“Mangsa juga dipercayai di gilis kerana hasil siasatan awal pihak polis mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan tangan kanannya patah.

“Selepas digilis mangsa tercampak ke bahu jalan bertentangan dan maut di tempat kejadian.  Bagaimanapun, kenderaan yang menggilis mangsa tidak berhenti.

“Polis masih belum menerima sebarang laporan polis dari pemandu kenderaan tersebut. Manakala pemandu Perodua Myvi adalah seorang lelaki berusia 30an telah membuat laporan polis,” katanya.

Hamzah berkata, mayat mangsa telah di hantar ke Hospital Jempol untuk proses bedah siasat sebelum di tuntut oleh ahli keluarganya, tengah hari semalam.

“Saksi kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Jempol di talian 06-4582222 untuk membantu siasatan," katanya.

Sinar/-

Tiada ulasan: