04 April 2013

Lima bahtera ‘serang’ Kuala Kurau

23 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Lima bahtera ‘serang’ Kuala Kurau
Lebih 50 anak kapal menurunkan hasil tangkapan ikan kembung pelaling untuk dijual kepada pemborong tempatan di jeti pendaratan ikan LKIM Kuala Kurau.
KUALA KURAU - Kompleks Pendaratan Ikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Kurau mencatat sejarah tersendiri apabila menerima ‘kunjungan’ lima bot Zon C buat pertama kali untuk tujuan pendaratan dan penjualan ikan kepada pemborong, di sini, kelmarin.

Ketibaan lima ‘bahtera’ besar yang mampu memuatkan sehingga 25 anak kapal ke jeti pendaratan ikan LKIM kira-kira jam 11 pagi itu menarik perhatian lebih 100 penduduk tempatan.

Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan Kerian, Abdul Halim Khamis berkata, tiga daripada bot itu berasal dari Sungai Besar dan Kuala Selangor, manakala dua bot lain berpangkalan di Pangkor.

Menurutnya, kelima-lima bot itu sudah mengemukakan permohonan melakukan pendaratan sebelum ini, bagaimanapun pihaknya tidak menyangka  pendaratan dilakukan serentak.

“Meskipun perkara itu di luar jangkaan, kami dapat menguruskan pendaratan dengan baik, malah pemilik bot berpuas hati dengan perkhidmatan kami dan berjanji akan singgah lebih kerap.

“Memandangkan hanya dua jeti tersedia yang mampu menampung keperluan bot Zon C, kami terpaksa mengarahkan dua bot mendarat dalam satu masa dan urusan pendaratan kelima-lima bot selesai pada jam 7 petang semalam (kelmarin),” katanya.

Abdul Halim berkata, kehadiran lima bot itu membolehkan 50 hingga 75 tan metrik ikan kembung pelaling terjual kepada pemborong dengan harga lebih kurang RM5 sekilogram.

Menurutnya, jumlah penjualan hampir 75 metrik tan ikan itu merupakan satu rekod memandangkan kehadiran maksimum dua bot Zon C sebelum ini hanya membolehkan maksimum pembelian satu tan ikan sahaja dalam sehari.

“Kehadiran lima bot Zon C di kompleks ini dianggap satu kejayaan bagi membuka mata nelayan terhadap kemampuan kompleks memberi perkhidmatan terbaik sekali gus berpotensi dijadikan destinasi pendaratan ikan utama.

“Selama ini, kebanyakan nelayan menggunakan bot Zon C akan berlabuh di jeti pendaratan ikan LKIM Batu Maung, bagaimanapun keadaan kesesakan lalu lintas di Jambatan Pulau Pinang dan kos pengangkutan tinggi menyebabkan kompleks ini menjadi pilihan utama mereka.

“Pada masa sama, ia juga membantu menjana ekonomi penduduk, meningkatkan hasil pengeluaran ikan peringkat daerah selain membuka mata nelayan tempatan mengenai kelebihan penggunaan bot Zon C, ” katanya.

Bagaimanapun, Abdul Halim menegaskan Kompleks Pendaratan Ikan LKIM Kuala Kurau memerlukan pelbagai kerja penambahbaikan bagi meningkatkan lagi tahap kualiti perkhidmatan.

“Muara Sungai Kurau yang cetek menyukarkan laluan keluar masuk bot Zon C , justeru, pihak berkenaan harus mengambil tindakan demi kelangsungan pendaratan hasil tangkapan," katanya.

sinar/-

Tiada ulasan: