KUALA LUMPUR 4 Apr: Perdana Menteri sementara, Datuk Seri Najib Razak
takut untuk mengumumkan senarai calon Barisan Nasional lebih awal
kerana masalah dalaman yang buruk dalam parti itu, kata Ketua Angkatan
Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Menurutnya, ketakutan sebenar Najib adalah isu sabotaj di kalangan
mereka yang tidak terpilih sebagai calon dan kecewa kerana diketepikan.
Keresahan itu, katanya, terpapar jelas ketika presiden Umno itu
mengumumkan pembubaran parlimen semalam, malah hingga tersasul menyebut
tentang tarikh pembubaran.
” Saya percaya keresahan itu membuktikan wujud pelbagai masalah dan
konflik dalam Umno BN. Konflik dalaman parti itu akan bertambah parah
jika beliau mengumumkan senarai calon lebih awal,” kata Shamsul.
Najib sebelum ini mengumumkan hanya calon boleh menang (winnable
candidate) yang akan diberi kepercayaan bagi mewakili 222 kerusi
parlimen dan 505 kerusi DUN seluruh negara.
Berdasarkan laman web Barisan Nasional, ia memaklumkan senarai
tersebut hanya akan diumumkan dalam tempoh tujuh hingga 10 hari sebelum
hari penamaan calon.
Antara negeri yang dilaporkan telah menyerahkan senarai tersebut kepada Najib ialah Negeri Sembilan, Perak dan Pahang.
Berbeza dengan Pakatan Rakyat, gabungan parti itu sudah menetapkan
tarikh pengumuman bagi senarai calon secara berperingkat mulai malam
ini.
Manakala sebahagian calon telah diumumkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ceramah-ceramah Pakatan Rakyat.
“Kepimpinan Pakatan Rakyat ternyata lebih berkeyakinan dan bersedia
untuk menghadapi PRU dengan mengumumkan calon terlebih dahulu secara
berperingkat dan senarai penuh calon-calon akan disiapkan sepenuhnya
dalam beberapa hari lagi,” kata Shamsul.
“Saya memohon rakyat supaya membuat penilaian yang tepat pada PRU
nanti dengan memberi mandat kepada parti yang lebih yakin dan bersedia
untuk mengangkat martabat rakyat dan memacu negara ke arah lebih baik,”
katanya.
keadilandaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan