04 April 2013

Zamri calon terbaik, Pemuda PAS Wilayah

23 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyambut baik pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Ketuanya, Kamaruzaman Mohamad (gambar) berkata, pihaknya gembira dengan pengumuman tersebut memandangkan pihaknya sudah lama bersedia menghadapi tempoh genting ini.

"Pemuda Wilayah sudah bergerak kerja secara serius sejak tiga bulan yang lalu. Selepas mendapat tahu PAS bertanding di Titiwangsa dan Putrajaya, jentera pemuda khususnya jentera penerangan memang memberikan fokus kepada gerak kerja," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

DPPWP katanya, sudah membuat pembahagian jentera untuk gerak kerja di Titiwangsa dan Putrajaya bagi mengelakkan ketidakseimbangan jentera di dua kawasan itu.

"Pemuda dan jentera di peringkat yang lain awal-awal lagi sudah bagi kawasan bantu di tempat ini kerana kita mahu memaksimumkan jentera kita dan mengelakkan kekurangan atau lebihan tenaga di salah satu tempat," katanya.

Sementara itu, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Ahmad Zamri Asa'ad Khuzami yang diisytiharkan sebagai calon PAS di Parlimen Titiwangsa.

Beliau menyifatkan pemilihan tersebut sebagai penghormatan parti kepada Dewan Pemuda dan yakin Ahmad Zamri mampu menggalas amanah besar yang diberikan.

"Bagi DPPWP, perlantikan Ahmad Zamri dilihat sebagai satu penghormatan buat pemuda PAS umumnya dan Pemuda PAS WP khususnya.

"Keaktifan Ahmad Zamri membantu rakyat Titiwangsa dilihat seusai Allahyarham Dr Lo' Lo' masih hidup lagi. Ahmad Zamri banyak memperjuangkan isu-isu terutamanya berkaitan Isu Kampung Baru," katanya.

Tambah beliau juga, pencalonan ini juga merupakan suatu perlantikan yang tepat kerana mendapat sokongan penuh bukan sahaja di peringkat akar umbi Kawasan Titiwangsa tetapi seluruh jentera pemuda.

"DPPWP mendoakan agar Ahmad Zamri diberikan nusrah oleh Allah SWT dalam memperjuangkan agenda rakyat di Titiwangsa sekaligus meneruskan legasi yang telah ditinggalkan oleh Allahyarham Dr. Lo'Lo'," katanya.

Penyandag Kerusi Titiwangsa sebelum ini, Allahyarham Dr. Lo'Lo' Ghazali meninggal dunia pada 16 Julai 2011 akibat kanser.

Pada PRU ke-12, Allahyarham Dr. Lo'Lo' mengalahkan calon BN, Datuk Aziz Jamaluddin Tahir dengan majoriti 1,972 undi.

Jumlah pengundi ketika itu adalah seramai 52,017 orang. Allahyarham mendapat 17, 857 undi manakala Aziz mendapat 15,885 undi.

Rekod cemerlang perkhidmatan Allahyarham selama tiga tahun selaku wakil rakyat diteruskan PAS Titiwangsa selepas ketiadaan beliau.

harakah/-

Tiada ulasan: