04 April 2013

Ke mana RTM setelah 67 tahun?

23 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


RADIO Televisyen Malaysia (RTM) genap 67 tahun Isnin lalu. Kami meraikan ulang tahun tersebut dengan menghimpunkan lebih 100 orang kakitangan dan bekas kakitangan stesen kerajaan itu pada satu majlis yang amat ceria lagi penuh nostalgia.

Auditorium Karangkraf petang itu merakamkan upacara menandatangani MoU penerbitan buku Biografi 67 Mutiara RTM antara Persatuan Veteran RTM (PVRTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Karangkraf sebagai penerbit.

Seperti yang dijelaskan oleh Helan Abu, Presiden PVRTM, buku tersebut akan memuatkan kisah suka duka petugas RTM dari berbagai profesion – wartawan, penerbit, juruhebah, juru foto, tenaga teknikal, dan lain-lain – sebagai khazanah ilmu kepada masyarakat, khasnya kepada pelajar dan pengkaji bidang penyiaran.

Secara peribadi saya ada nostalgia sendiri mengenai stesen tersebut - saya membesar bersamanya. Masih terbayang radio transister jenama Blaupunkt sais setengah pemeluk, ada tombol sebesar penumbuk untuk mencari siaran.

Antara kata-kata yang saya dengar setiap hari, tetapi ketika itu belum dapat memahami maksudnya ialah: “Inilah radio Malaya Kuala Lumpur.” Setahu saya radio itu milik abah, bukan milik Malaya!

Termasuk juga perkataan yang setiap hari saya dengar tetapi tidak faham apa maksudnya ialah ‘gelombang pendek’, ‘gelombang sederhana’. Apa yang saya tahu, seperti kata abah, gelombang atau ombak besar hanya ada di laut. Macam mana boleh masuk radio?

Tidak ada cafe siber, tidak ada karaoke, juga tidak ada pawagam. Satu-satunya sumber hiburan, juga sumber informasi, adalah radio. Saya betul-betul pencandu tegar Radio Malaya yang kemudian bertukar menjadi Radio Malaysia.

Jarang saya terlepas rancangan ‘Lawak Jenaka’ oleh Jamal Kerdil, Ibrahim Din dan SM Salim. Ujian bulanan markah semua merah pun hati akan terhibur dengan lawak mereka. Tidak akan dilepaskan juga – sanggup tidak ikut abah solat Isyak di surau – ialah Kebun Pak Awang, Mata-Mata Gelap. Rancangan berbeza-beza, pelakonnya orang yang serupa juga.

Paling saya minati ialah rancangan sejam Sandiwara Radio, sebelah petang Selasa. Kalau skripnya ditulis oleh Jah Lelawati, minta ampun emak jangan suruh saya ke kedai membeli garam, kelas agama sebelah petang pun saya sanggup ponteng.

Saya ingat Karim Muhamad yang terkenal dengan ulasan langsung setiap perlawanan bola. Suaranya macam peluru. “Gol!” Jerit Karim dan pendengar bersorak sambil menumbuk meja. Tetapi sedetik kemudian pendengar menumbuk radio apabila pengulas berkata: “Ohhh, tidak gol rupanya...”
Antara juruhebah wanita bersuara manja yang selalu membuat saya longlai ialah Salasiah Zakaria dan Rokiah Haji Ramlan. Awal 70an saya berpeluang melawat stesen radio di Federal House, berhampiran Dataran Merdeka, dan bertemu Rokiah. Memang manis dan manja habis.
Hari ini saya mendengar radio hanya di kereta semasa terperangkap dalam kesesakan. Ada berpuluh stesen RTM dan berpuluh lagi radio swasta. Tidak perlu memutar tombol besar untuk memilih stesen, cukup dengan hanya sentuhan jari, semua telah diset mengikut pilihan.
Ada stesen untuk audien tertentu: yang minat agama buka Ikim FM, orang bisnes ada BFM, anak muda ada Hot FM. Ada Sinar, ada Suria, ada Era. Saya sudah tua, tidak sesuai dengan Hot FM. Saya sudah masuk golongan Klasik FM, tetapi sesekali masuk juga Mix FM.
Perihal sandiwara, rancangan kesukaan saya dulu-dulu itu, sampai sekarang boleh diikuti setiap masa sepanjang 24 jam. Cuma saya sudah tidak minat sandiwara di udara, sebaliknya lebih banyak mengikuti sandiwara di luar radio dan TV, yang diarah dan dilakonkan oleh para politikus kita. Hari-hari ada sandiwara baru.
Dulu-dulu pengumuman pilihan raya hanya dibuat menerusi RTM, tidak ada stesen lain. Tetapi pengumuman Datuk Seri Najib Razak semalam mengenai pembubaran Parlimen, tidak sahaja disiarkan stesen kerajaan, tetapi juga oleh sekian banyak stesen dan rangkaian lain. Stesen kerajaan sudah kehilangan hak eksklusif.
Masa berlalu, zaman berubah, selera pun banyak bertukar. Ada berpuluh stesen radio, beratus rangkaian TV. Harap-harap RTM tetap relevan, walaupun tanpa suara manja Salasiah Zakaria atau Rokiah Haji Ramlan.
Harakahdaily/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ada berpuluh stesen radio, malangnya hanya ada 1 stesen radio Islam. Radio Islam ini pun masih tak berani buat siaran langsung kuliah agama.