04 April 2013

Gempa sederhana gegar Luzon

23 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Gempa sederhana berukuran 5.1 pada skala Richter menggegarkan kepulaun Luzon, Filipina pada pukul 10.27 pagi, hari ini.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, gempa itu berpusat di 74 kilometer dari tenggara Luzon dan 1,139 km dari arah timur laut Kudat, Sabah.

Tiada ancaman tsunami dilaporkan. - Bernama

Lima bahtera ‘serang’ Kuala Kurau

23 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Lima bahtera ‘serang’ Kuala Kurau
Lebih 50 anak kapal menurunkan hasil tangkapan ikan kembung pelaling untuk dijual kepada pemborong tempatan di jeti pendaratan ikan LKIM Kuala Kurau.
KUALA KURAU - Kompleks Pendaratan Ikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Kurau mencatat sejarah tersendiri apabila menerima ‘kunjungan’ lima bot Zon C buat pertama kali untuk tujuan pendaratan dan penjualan ikan kepada pemborong, di sini, kelmarin.

Ketibaan lima ‘bahtera’ besar yang mampu memuatkan sehingga 25 anak kapal ke jeti pendaratan ikan LKIM kira-kira jam 11 pagi itu menarik perhatian lebih 100 penduduk tempatan.

Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan Kerian, Abdul Halim Khamis berkata, tiga daripada bot itu berasal dari Sungai Besar dan Kuala Selangor, manakala dua bot lain berpangkalan di Pangkor.

Menurutnya, kelima-lima bot itu sudah mengemukakan permohonan melakukan pendaratan sebelum ini, bagaimanapun pihaknya tidak menyangka  pendaratan dilakukan serentak.

“Meskipun perkara itu di luar jangkaan, kami dapat menguruskan pendaratan dengan baik, malah pemilik bot berpuas hati dengan perkhidmatan kami dan berjanji akan singgah lebih kerap.

“Memandangkan hanya dua jeti tersedia yang mampu menampung keperluan bot Zon C, kami terpaksa mengarahkan dua bot mendarat dalam satu masa dan urusan pendaratan kelima-lima bot selesai pada jam 7 petang semalam (kelmarin),” katanya.

Abdul Halim berkata, kehadiran lima bot itu membolehkan 50 hingga 75 tan metrik ikan kembung pelaling terjual kepada pemborong dengan harga lebih kurang RM5 sekilogram.

Menurutnya, jumlah penjualan hampir 75 metrik tan ikan itu merupakan satu rekod memandangkan kehadiran maksimum dua bot Zon C sebelum ini hanya membolehkan maksimum pembelian satu tan ikan sahaja dalam sehari.

“Kehadiran lima bot Zon C di kompleks ini dianggap satu kejayaan bagi membuka mata nelayan terhadap kemampuan kompleks memberi perkhidmatan terbaik sekali gus berpotensi dijadikan destinasi pendaratan ikan utama.

“Selama ini, kebanyakan nelayan menggunakan bot Zon C akan berlabuh di jeti pendaratan ikan LKIM Batu Maung, bagaimanapun keadaan kesesakan lalu lintas di Jambatan Pulau Pinang dan kos pengangkutan tinggi menyebabkan kompleks ini menjadi pilihan utama mereka.

“Pada masa sama, ia juga membantu menjana ekonomi penduduk, meningkatkan hasil pengeluaran ikan peringkat daerah selain membuka mata nelayan tempatan mengenai kelebihan penggunaan bot Zon C, ” katanya.

Bagaimanapun, Abdul Halim menegaskan Kompleks Pendaratan Ikan LKIM Kuala Kurau memerlukan pelbagai kerja penambahbaikan bagi meningkatkan lagi tahap kualiti perkhidmatan.

“Muara Sungai Kurau yang cetek menyukarkan laluan keluar masuk bot Zon C , justeru, pihak berkenaan harus mengambil tindakan demi kelangsungan pendaratan hasil tangkapan," katanya.

sinar/-

Panduan mudah memilih wakil rakyat

23 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

Sebelum membicarakan tajuk ini suka diperjelaskan di sini hukum umat Islam keluar mengundi. Walaupun sudah banyak kali negara kita mengadakan pilihanraya namun peratus yang keluar mengundi masih kecil, tidak 100 peratus. Ini barangkali kerana mengundi tidak diwajibkan oleh kerajaan. Apatah lagi ulama tidak pernah mengeluarkan fatwa mengenainya.
Ustaz Muhammad Kamil bin Abdul Majid sewaktu  bercakap dalam Wacana Ilmu “PRU 13: APLIKASINYA MENURUT PERSPEKTIF FIQH POLITIK ISLAM”  pada 27 Mac 2013 di Dewan Besar, Kolej Dar al-Hikmah, Kajang  Selangor menyebut hukum mengundi dalam konteks negara kita pada hari ini adalah wajib.
Hukum ini berdasarkan kaedah usul fiqh, “sesuatu kewajipan (yang wajib) tidak menjadi sempurna melainkan dengan adanya perkara itu maka perkara ini turut menjadi wajib.”
Perlu dijelaskan di sini, mendaulatkan Islam adalah wajib. Maka usaha untuk mendaulatkan Islam perlu kepada sebuah negara. Untuk mewujudkan negara perlukan pemimpin dalam kalangan orang-orang politik bagi mentadbir dan kenguruskannya. Jadi, untuk mendapatkan pemimpin yang berkelayakan dalam urusan ini perlukan jihad atau berjuang.
Pada zaman ini, perjuangan yang sesuai ialah dengan sistem demokrasi ialah dengan mengundi mengikut suara banyak. Oleh sebab itu semua rakyat perlu keluar mengundi bagi memilih mana-mana pemimpin yang berkelayakan pada pandangannya. Jadi, mengundi termasuk dalam jihad yang wajib bagi merealisasikan negara Islam di atas.
Berdasarkan hukum itu, setiap umat islam wajib keluar mengundi pada hari yang ditetapkan. Maka berdosalah mereka yang tanpa uzur meninggalkan kerja mengundi. Malah menurut ustaz Dr Zaharuddin Abdul Rahman, mereka yang sengaja merosakkan undi adalah berdosa.
Bagaimana Memilih
Persoalan sekarang siapa yang kita perlu undi dan pilih? Sebenarnya Islam menyediakan panduan bagaimana memilih pemimpin atau wakil rakyat. Di kesempatan ini saya perturunkan panduan berdasarkan sabda Rasulullah SAW:
فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "ادْعُ لِي مُعَاوِيَةَ"، فَلَمَّا جَاءَهُ وَقَفَ بَيْنَ يَدَيْهِ ، فَقَالَ: "حَمِّلُوهُ أَمْرَكُمْ؛ فَإِنَّهُ قَوِيٌّ أَمِينٌ ".
Maksudnya: …maka Rasulullah SAW bersabda; panggilkan kepadaku Muawiyah. Apabila dia datang dan duduk di sisinya maka sabdanya: Tugaskan dia urusan kamu maka sesungguhnya dia gagah dan amanah. (Riwayat Ibnu Asakir)
Jelas di sini wakil yang akan pilih mestilah ada dua ciri-ciri ini iaitu GAGAH DAN AMANAH. Gagah atau kuat dalam konteks ini merujuk kepada kualiti individu atau batang tubuh wakil rakyat atau pemimpin. Maknanya dia mestilah seorang yang yang adil, berani dan mampu menjalankan tugas yang berat, berilmu pengetahuan luas (dunia/akhirat), hebat dalam mengatur strategi baik dalam peperangan mahupun dalam pentadbiran.
Manakala Amanah pula, merujuk kepada sikapnya yang amanah dengan tugas yang diberi, tidak pecah amanah dan tidak menerima rasuah. Kedua-dua ciri ini mungkin sukar untuk kita menilainya kerana sebagai pengundi kita tidak didedahkan sifat-sifat calon itu. Kalau wakil rakyat yang lalu dicalonkan semula mungkin kita dapat menilai sama ada dia memenuhi ciri-ciri itu atau tidak. Tetapi bagi yang baru dipilih, belum ada rekodnya dan boleh jadi sewaktu berkempen kelihatan baik, sedangkan hakikatnya tidak begitu.
Untuk kes sebegitu kita perlu merujuk kepada parti yang mencalonkannya kerana parti yang telah mengenalpasti kelayakan mereka. Maka sebagai pengundi kita hanya cukup meyakini kemampuan calon itu dengan merujuk kepada dasar parti itu. Jika dasar parti ini jelas dan sudah ada rekod kejayaan sebelum ini, maka pemilihan itu boleh diterima.
Cuma di sini timbul isu, bolehkah orang Islam mengundi untuk orang bukan Islam. Ini kerana dalam parti ada pakatan yang telah dibuat dan melibatkan orang bukan Islam. Apakah boleh kita memilih mereka berasaskan dasar parti yang telah disepakatkan?
Menurut ustaz Dr Zaharuddin Abdul Rahman, jika terdapat calon bukan Islam dalam parti dan dalam dasar parti ini jelas tidak bercanggah dengan Islam malah serasi dengan Islam maka undian kita hendaklah berdasarkan parti atau pakatan itu. Maknanya kita bukan mengundi orang bukan Islam itu tetapi mengundi parti yang dianggotainya.
Dalam hal ini kita mesti menilai prestasi sesebuah parti yang bertanding. Kalau mereka sudah memerintah untuk satu atau lebih penggal, lihatlah kejayaannya adakah menggalakkan atau tidak. Lihatlah juga kualiti perkhidmatannya adakah memuaskan rakyat atau tidak. Tetapi kalau parti itu tidak pernah memerintah, lihatlah apakah sumbangan kebajikan yang telah dilakukan sepanjang tahun.
Jadi, sebagai rakyat kita boleh menilai sendiri adakah parti yang memerintah itu mampu atau tidak, adil atau tidak, ikhlas atau tidak. Jika sewaktu memerintah, mereka dapat melaksanakan amanah dengan sebaiknya tanpa banyak cakap, tentulah mereka mampu. Tetapi jika sepanjang pemerintahan itu banyak pembangunan dihalakan ke satu pihak dan mengabaikan satu pihak lagi tentulah mereka tidak adil.
Jika semasa pemerintahan dipenuhi janji seperti yang dijanjikan, tetapi sumbangan itu dianggap sebagai jasa yang perlu dikenang dan sebagai balasannya rakyat perlu mengekalkan pemerintahannya, maka ternyata mereka tidak ikhlas. Dan termasuk juga tidak ikhlas, apabila sesuatu yang dilakukan pada saat-saat akhir bagi tujuan memancing undi.
Berdasarkan panduan ini, diharapkan semua rakyat Malaysia terutama yang beragama Islam, keluarlah beramai-ramai untuk mengundi calon yang kita yakin boleh mentadbir negara dan negeri dengan baik mengikut acuan Islam.

 Ahmad Baei Jaafar

Zamri calon terbaik, Pemuda PAS Wilayah

23 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyambut baik pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Ketuanya, Kamaruzaman Mohamad (gambar) berkata, pihaknya gembira dengan pengumuman tersebut memandangkan pihaknya sudah lama bersedia menghadapi tempoh genting ini.

"Pemuda Wilayah sudah bergerak kerja secara serius sejak tiga bulan yang lalu. Selepas mendapat tahu PAS bertanding di Titiwangsa dan Putrajaya, jentera pemuda khususnya jentera penerangan memang memberikan fokus kepada gerak kerja," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

DPPWP katanya, sudah membuat pembahagian jentera untuk gerak kerja di Titiwangsa dan Putrajaya bagi mengelakkan ketidakseimbangan jentera di dua kawasan itu.

"Pemuda dan jentera di peringkat yang lain awal-awal lagi sudah bagi kawasan bantu di tempat ini kerana kita mahu memaksimumkan jentera kita dan mengelakkan kekurangan atau lebihan tenaga di salah satu tempat," katanya.

Sementara itu, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Ahmad Zamri Asa'ad Khuzami yang diisytiharkan sebagai calon PAS di Parlimen Titiwangsa.

Beliau menyifatkan pemilihan tersebut sebagai penghormatan parti kepada Dewan Pemuda dan yakin Ahmad Zamri mampu menggalas amanah besar yang diberikan.

"Bagi DPPWP, perlantikan Ahmad Zamri dilihat sebagai satu penghormatan buat pemuda PAS umumnya dan Pemuda PAS WP khususnya.

"Keaktifan Ahmad Zamri membantu rakyat Titiwangsa dilihat seusai Allahyarham Dr Lo' Lo' masih hidup lagi. Ahmad Zamri banyak memperjuangkan isu-isu terutamanya berkaitan Isu Kampung Baru," katanya.

Tambah beliau juga, pencalonan ini juga merupakan suatu perlantikan yang tepat kerana mendapat sokongan penuh bukan sahaja di peringkat akar umbi Kawasan Titiwangsa tetapi seluruh jentera pemuda.

"DPPWP mendoakan agar Ahmad Zamri diberikan nusrah oleh Allah SWT dalam memperjuangkan agenda rakyat di Titiwangsa sekaligus meneruskan legasi yang telah ditinggalkan oleh Allahyarham Dr. Lo'Lo'," katanya.

Penyandag Kerusi Titiwangsa sebelum ini, Allahyarham Dr. Lo'Lo' Ghazali meninggal dunia pada 16 Julai 2011 akibat kanser.

Pada PRU ke-12, Allahyarham Dr. Lo'Lo' mengalahkan calon BN, Datuk Aziz Jamaluddin Tahir dengan majoriti 1,972 undi.

Jumlah pengundi ketika itu adalah seramai 52,017 orang. Allahyarham mendapat 17, 857 undi manakala Aziz mendapat 15,885 undi.

Rekod cemerlang perkhidmatan Allahyarham selama tiga tahun selaku wakil rakyat diteruskan PAS Titiwangsa selepas ketiadaan beliau.

harakah/-

Pameran emas di pasar raya Jepun

23 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


 
TOKYO - Pasar raya Matsuzakaya di sini menganjurkan pameran Ekspo Emas yang mempamerkan pelbagai barang-barang yang diperbuat daripada emas.

Antara yang dipamerkan itu ialah jongkong emas seberat 120 kilogram (kg) yang berharga AS$6.5 juta (RM20.02 juta).

Sehelai jubah pengantin tenunan benang emas yang berharga AS$560,000 (RM1.7 juta) turut dipamerkan kepada orang ramai.

Para pengunjung pusat itu juga berpeluang menyaksikan satu set cawan dan piring emas yang berharga AS$75,000 (RM231,037).

Sepohon pokok bunga emas yang seberat 4.2kg yang berharga AS$1.7 juta (RM5.23 juta) turut dipamerkan kepada orang ramai. - Agensi

PAS minta kerajaan sementara patuhi 11 perkara

23 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: PAS meminta kerajaan sementara samada di peringkat pusat atau negeri mematuhi 11 perkara dalam menjalankan tugas mereka.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) dalam kenyataan medianya berkata, ia diperlu dilakukan bagi memastikan kerajaan sementara berjalan lancar dan dihormati semua pihak.

"Bagi pihak PAS, saya dengan ini menyeru supaya Perdana Menteri dan seluruh pemegang jawatan di dalam badan Eksekutif, samada ahli kabinet Persekutuan mahupun ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri supaya benar-benar mematuhi prinsip, amalan dan konvensyen berkaitan dengan Kerajaan Sementara secara sepenuhnya.

11 perkara itu adalah:

i) Memegang jawatan Perdana Menteri, Menteri-Menteri atau Menteri Besar bagi Kerajaan Sementara  adalah hanya untuk menjalankan tanggungjawab wajib selaku kerajaan yang memerintah yang berkaitan dengan urusan day to day sesebuah kerajaan;

ii) Turun berkempen dalam Pilihanraya kapasiti atau jawatan politik di dalam parti dan bukan sebagai Perdana Menteri, Menteri-Menteri atau Menteri Besar

iii) Tidak menyalahgunakan jentera, peruntukan, kenderaan, kemudahan dan kakitangan kerajaan dengan tujuan untuk berkempen dan meraih undi

iv) Tidak membuat sebarang pengumuman atau pelancaran sebarang projek atau inisiatif kerajaan;

v) Tidak memasuki atau menandantangi sebarang perjanjian baru terutamanya yang melibatkan projek-projek besar serta implikasi kewangan kepada kerajaan.

vi) Tidak membuat sebarang pengumuman atau pemberian apa jua bentuk bantuan atau peruntukan wang kerajaan samada dalam bentuk wang tunai, geran, bonus atau pemberian barangan;

vii) Tidak membuat sebarang pelantikan, pertukaran atau rombakan dalam apa jua organisasi yang kerajaan berkuasa ke atasnya;

viii) Tidak menganjurkan apa jua bentuk himpunan, aktiviti atau apa jua program yang melibatkan kakitangan kerajaan dan orang ramai melalui kementerian, jabatan atau mana-mana agensi-agensi kerajaan yang dilihat sebagai cubaan untuk berkempen dan menanamkan dakyah politik;

ix) Tidak menggunakan jawatan untuk menggugut atau mengindoktrinasi rakyat, khususnya kakitangan kerajaan atau pelajar-pelajarjar IPT bagi mendapatkan undi mereka;

x) Tidak menjadikan premis, pejabat atau bangunan milik kerajaan sebagai markas parti.

xi) Memastikan media massa milik kerajaan memberikan liputan yang seimbang dan adil kepada semua parti-parti yang bertanding.

"Kami di pihak PAS dan Pakatan Rakyat akan memantau perkara ini secara serius dan akan mengambil tindakan sewajarnya jika perkara-perkara di atas dilanggar," kata Mahfuz.

harakahdaily/-

Hadi: Pakatan kini lebih mantap bagi saingi BN

23 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

Abdul Hadi Awang
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
MARANG - Pas menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dengan persediaan lebih baik berbanding PRU12 berikutan pembubaran Dewan Rakyat yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, secara keseluruhannya, Pas selesai membuat penyusunan kerjasama dalam Pakatan Rakyat (PR), malah lebih baik daripada 2008 di mana PR berjaya mewujudkan gelombang tsunami dalam arena politik tanah air.

“Jentera parti bergerak sejak awal dan ditingkatkan sebaik pengumuman pembubaran," katanya.

Ketika ditanya kerusi akan ditandingi Pas, Abdul Hadi mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa Pas jangkakan bertanding 76 kerusi Parlimen daripada 222 kerusi pada PRU13 berbanding 66 kerusi pada PRU12.

Katanya, pertambahan dan penyusunan kerusi itu dipersetujui semua pihak dalam PR, manakala baki kerusi lain akan melibatkan pembahagian antara PKR, DAP dan parti di Sabah serta Sarawak.

“Pas juga akan mengemukakan calon paling bertanggungjawab, paling menunaikan amanah dibuktikan melalui Kerajaan Negeri diperintah dan melalui kawasan sudah dimenangi serta melalui khidmat masyarakat (termasuk muka baru).

“Ia dilakukan semua kalangan kita kepada rakyat sepanjang 2008 sehingga kini agar rakyat dapat menilai walaupun kita bukan parti yang memerintah (namun) kita telah menunaikan tanggungjawab mengikut kemampuan untuk rakyat dengan seikhlas-ikhlasnya,” katanya.

Ketika ditanya adakah beliau akan mempertahankan dua kerusi iaitu Parlimen Marang dan Dun Rhu Rendang dimenangi pada PRU12, beliau enggan memberi komen dan masih berahsia mengenainya, tetapi akan mengumumkannya dalam tempoh terdekat ini.

“Sebagai pemimpin pertama dalam parti, saya sendiri masih lagi memberi peluang kepada parti untuk membuat keputusan di mana saya (akan) bertanding,” katanya dan berharap PRU13 kali ini dapat diadakan dengan adil dan telus melalui sistem demokrasi sebenar.

Dalam perkembangan lain katanya, Pas juga bersedia beri kerjasama kepada DAP dengan menawarkan simbol parti ‘bulan’ kepada calon daripada parti itu jika DAP dibatalkan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

harakahdaily/-

PRU13: Muslimat PAS sasar kumpul RM200,000

23 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Pusat mengalu-alukan ahli korporat, usahawan, individu ke program `Hi Tea Muslimat‘ untuk mengumpul dana khas calon-calon Muslimat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 ini.

Timbalan Ketua DMPP, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, Dewan Muslimat mensasarkan sumbangan sebanyak RM200,000 untuk membantu gerak kerja 22 orang calon Muslimat yang bertanding di Parlimen dan Dun seluruh Malaysia.

Menurut beliau, Hi Tea Dewan Muslimat itu akan diadakan pada 7 April dengan sumbangan satu kerusi berjumlah RM1,000 atau sumbangan boleh dibuat secara perkongsian.

Beliau yakin muslimat PAS kreatif dan mampu untuk mencari sumbangan bagi mengisi dana pilihan raya untuk calon-calon Muslimat.

Hi Tea tertutup DMMP itu akan diadakan di Astana Era Mewah, Lot 2896, Jalan Paya Jaras Tengah, Pinggiran Sungai Buloh, Seksyen U19 Shah Alam bermula jam 2.30 petang.

Dalam majlis itu juga diadakan tayangan montaj, sembang santai bersama pimpinan serta persembahan daripada artis terkenal, Wan Aisyah Wan Ariffin (Aisyah).

Sumbangan amat dialu-alukan dan bagi dermawan yang tidak boleh hadir ke Hi Tea boleh terus masukkan sumbangan ke `DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT BANK ISLAM (MEDAN MARA) akaun 140 410 100 376 73 dan hubungi Dr Siti Mariah di talian 019-2361889.

harakahdaily/-

Tercampak sebelum digilis

23 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Tercampak sebelum digilis

Motosikal yang ditunggangi mangsa ketika kejadian di KM 5 jalan Bahau - Kemayan.
JEMPOL- Seorang pemuda maut apabila bahagian tempurung kepalanya pecah setelah terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan lain di Kilometer 5 Jalan Bahau–Kemayan, di sini malam kelmarin.

Ketua Polis daerah, Superintendan Hamzah Alias berkata, mangsa Norazhar Mohammad Nor 28, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Felda Raja Alias Empat.

“Dalam kejadian sekitar jam 11.10 malam itu, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Nouvo LC secara sendirian datang dari arah Bahau dipercayai cuba memotong sebuah lori treler di hadapannya.

“Namun ketika cuba memotong, motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan treler berkenaan lalu menyebabkan mangsa terjatuh di atas bahu jalan.

“Manakala motosikalnya pula terseret ke tengah laluan bertentangan dan menyebabkan sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi dari laluan bertentangan gagal mengawal kenderaannya dan merempuh motosikal tersebut,” katanya ketika mengesahkan kejadian itu, semalam.

Hamzah berkata, mangsa yang berada di laluan tengah pula dikatakan tidak sempat menyelamatkan diri lalu dirempuh oleh sebuah kenderaan lain dari arah Bahau iaitu laluan asal mangsa.

“Mangsa juga dipercayai di gilis kerana hasil siasatan awal pihak polis mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan tangan kanannya patah.

“Selepas digilis mangsa tercampak ke bahu jalan bertentangan dan maut di tempat kejadian.  Bagaimanapun, kenderaan yang menggilis mangsa tidak berhenti.

“Polis masih belum menerima sebarang laporan polis dari pemandu kenderaan tersebut. Manakala pemandu Perodua Myvi adalah seorang lelaki berusia 30an telah membuat laporan polis,” katanya.

Hamzah berkata, mayat mangsa telah di hantar ke Hospital Jempol untuk proses bedah siasat sebelum di tuntut oleh ahli keluarganya, tengah hari semalam.

“Saksi kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Jempol di talian 06-4582222 untuk membantu siasatan," katanya.

Sinar/-

10 kibas kena sembelih

23 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


10 kibas kena sembelih

Husaini menunjukkan sebahagian kibas yang masih tinggal.
SUNGAI PETANI – “Saya halalkan sesiapa terbeli dan termakan kibas dicuri empat lelaki tanpa disedari di Pulau Song Song dalam kejadian kira-kira 7 malam kelmarin."

Demikian luahan  penyelidik, Datuk Dr Husaini Yaacob  juga seorang usahawan yang rugi RM20,000 apabila 10 ekor kibas disembelih dan dilarikan dalam kejadian itu.

Husaini yang sedang melakukan penyelidikan berhubung haiwan jenis kibas  diimport dari Arab Saudi itu menempatkan kira-kira 20 ekor haiwan itu di kawasan ternakan di Pulau Song Song.

Menurutnya,  ternakan itu bukan untuk dijual sebaliknya bagi tujuan pembenihan selain menjadi lokasi pelancongan untuk mana-mana penyelidik melakukan lawatan mahupun mendapatkan maklumat  haiwan berkenaan.

“Tempat ini memang jadi lokasi persinggahan nelayan dari tiupan angin kencang atau dikunjungi mahasiswa, pelancong dan pengkaji dalam dan luar negara,” katanya.

Menceritakan kejadian, Husaini berkata, dalam insiden  terbabit, empat lelaki 'berlagak'  penjaga kibas datang ke lokasi ternakan itu menggunakan  pukat dan jala bagi memerangkap haiwan itu.

“Ketika itu beberapa saksi ternampak dan menyangka, empat lelaki tersebut adalah pemilik haiwan lalu tidak mengesyaki apa-apa,” katanya.

Menurutnya, kesemua lelaki tersebut menangkap sebelum menyembelih haiwan tersebut dan ditarik ke dalam bot untuk dilarikan.

Katanya, pengangkutan  bot adalah satu-satunya kenderaan untuk keluar dari Pulau Song Song dan tujuan kibas disembelih dahulu adalah untuk memudahkan pemindahan ke atas bot.

“Menurut saksi, insiden hanya disedari bila petugas kembali ke kawasan itu setengah jam kemudian mendapati 10 kibas hilang.

“Di lokasi sama juga ditemui kesan darah dipercayai akibat disembelih sebelum dibawa pulang menaiki bot bantuan kerajaan yang telah dikenal pasti nombor sirinya,” katanya.

Bagi menjejaki kejadian itu, beliau bersama beberapa petugas meninjau di Jeti Pendaratan Sungai Limau, Yan dan mendapati bot sama yang digunakan semasa insiden kecurian turut ditemui.

“Apabila ditanya mereka kata tidak terlibat,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak pasti 10 kibas tersebut dijual mahupun dimasak kerana jumlah itu sebenarnya boleh dibuat jamuan kepada kira-kira 1,500 tetamu.

“Saya tetap halalkan sesiapa yang termakan tetapi bagi pencuri yang melakukannya, dia harus bertanggungjawab sepenuhnya,” katanya.

Beliau kini bercadang mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka  didapati terlibat kejadian berkenaan supaya kes itu tidak berulang.

“Walaupun ini salah satu cabaran yang terpaksa saya tempuhi, saya tidak pernah putus asa malah lebih bersemangat untuk meneruskan kajian saya berhubung haiwan ini,” katanya.

Sinar/-

PRU13: Adakah Samy Vellu bertanding semula?

23 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


IPOH: Jawatankuasa Isu dan Strategik Badan Perhubungan PAS Negeri Perak melihat Datuk Seri S. Samy Vellu memberikan signal bahawa beliau bersedia dicalonkan semula untuk bertanding di kerusi lamanya iaitu Parlimen Sungai Siput.
Koordinatornya, Salman Saleh (gambar) berkata demikian melihat kepada kenyataan bekas Presiden MIC semalam yang menyatakan secara terbuka bahawa beliau adalah calon ‘boleh menang’.

Justeru, beliau bertanya adakah Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir selaku Pengerusi BN negeri telah menyenaraikan Samy Vellu sebagai calon pada PRU13 nanti.

“Adakah Datuk Seri G. Palanivel, Presiden MIC yang juga Pengerusi MIC Negeri Perak telah bersetuju menetapkan kerusi untuk bekas Presidennya bertanding pada PRU13 kali ini?” tanya beliau dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, walaupun Samy Vellu tidak merujuk kebenaran untuk bertanding semula daripada BN Perak, ia secara tidak langsung menunjukkan Zambry tidak mampu menyekat bekas Presiden MIC itu jika Datuk Seri Najib selaku Pengerusi BN memberikan keizinan kepadanya untuk bertanding kelak.

Katanya, jika Samy Vellu tidak dibenarkan untuk bertanding, ini menunjukkan BN tidak lagi memerlukan beliau dan secara tidak langsung tidak mengiktiraf peranannya selama ini untuk pembangunan kaum India.

“Nampaknya pergolakan dalaman dalam BN Perak semakin bergelora dan ianya akan lebih bergelora lagi bila hampir masa penamaan calon pilihanraya kelak,” katanya.

harakahdaily/-